Fikrah

Tasawwur Jahiliyah Berdasarkan Al-Quran

MAKNA jahiliyah

Banyak manusia kini tidak memahami konsep jahiliyah dengan betul. Akibatnya mereka tidak dapat menilai dengan betul akan realiti kehidupan hari ini.

Justeru itu,  kita perlulah memahami tasawwur jahiliyah agar penilaian kita terhadap realiti kini selaras dengan hakikat sebenar.

Lafaz ‘Jahiliyah’ merupakan istilah yang terdapat dalam Al-Quran.  Ibn Taimiyah dalam menjelaskan makna lughawi ‘jahl’ mengatakan:

Iaitu tidak mempunyai ilmu atau tidak mengikut ilmu. Maka orang yang tidak tahu haq, dia adalah jahil ringan. Tetapi jika dia meyakini sesuatu yang bertentangan dengan haq sebagai suatu kebenaran,  dia disebut jahil murakkab. Demikian pula, orang yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan haq, dia tetap disebut jahil meskipun dia tahu bahawa hal itu bertentangan dengan haq.

‘Jahiliyah’ seperti yang disebut dalam Al-Quran

Kata jahiliyah dalam Al-Quran digunakan untuk makna tertentu. Jahiliyah digunakan untuk menerangkan tentang jahl terhadap hakikat uluhiyyah serta ciri-cirinya, dan jahl terhadap hakikat suluk (tingkah laku).

1. Jahil terhadap hakikat uluhiyyah serta ciri-cirinya

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتَوۡاْ عَلَىٰ قَوۡمٖ يَعۡكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصۡنَامٖ لَّهُمۡۚ قَالُواْ يَٰمُوسَى ٱجۡعَل لَّنَآ إِلَٰهٗا كَمَا لَهُمۡ ءَالِهَةٞۚ قَالَ إِنَّكُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ

Dan kami seberangkan Bani Israil ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: Wahai Musa buatlah untuk kami sebuah sembahan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa sembahan. Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.  (Surah Al A’raf : 138)

Kata ‘jahl’ dalam ayat di atas menunjukkan tidak adanya kefahaman tentang uluhiyyah.  Ini kerana mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwata’ala itu:

لَّا تُدۡرِكُهُ ٱلۡأَبۡصَٰرُ

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata.  (Surah Al-An’aam : 103)

لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَيۡءٞۖ

Tidak ada sesuatu pun serupa dengan Dia. (Surah As-Syura : 11)

خَٰلِقُ كُلِّ شَيۡءٖ فَٱعۡبُدُوهُۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ وَكِيلٞ

       Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu.  (Surah Al-An’aam : 102)

Allah Subhanahuwata’ala bukan makhluk dan sifat-Nya tidak sama seperti sifat makhluk.

Sekiranya Bani Israil memahami hakikat uluhiyyah seperti di atas, maka sudah tentu mereka tidak akan bertanya atau meminta sesuatu yang membuktikan kejahilan mereka.

Dalam ayat lain Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَطَآئِفَةٞ قَدۡ أَهَمَّتۡهُمۡ أَنفُسُهُمۡ يَظُنُّونَ بِٱللَّهِ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ ظَنَّ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِۖ يَقُولُونَ هَل لَّنَا مِنَ ٱلۡأَمۡرِ مِن شَيۡءٖۗ

Sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka. Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?  (Surah Ali-Imran : 154)

Allah Subhanahuwata’ala mencela golongan dalam ayat di atas kerana tasawwur mereka yang salah terhadap hakikat uluhiyyah. Mereka menyangka Allah Subhanahuwata’ala tidak berhak untuk mentadbir segala persoalan dan urusan di alam ini. Kejahilan mereka ialah bahawa mereka tidak memahami  sesungguhnya segala urusan di alam, termasuk kehidupan di dunia, ditadbir oleh Iradah dan di bawah Pentadbiran Allah Subhanahuwata’ala. Bukan pentadbiran daripada makhluk ke atas makhluk. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah di bawah pengaruh qudrat dan takdir Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala tidak perlu  bermusyawarah dengan makhluk atau meminta pendapat makhluk untuk mentadbir alam ini. Allah Subhanahuwata’ala menolak tasawwur yang salah itu dengan firman-Nya:

قُلۡ إِنَّ ٱلۡأَمۡرَ كُلَّهُۥ لِلَّهِۗ

Katakanlah: Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah. (Surah Ali-Imran : 154)

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ لَوۡلَا يُكَلِّمُنَا ٱللَّهُ أَوۡ تَأۡتِينَآ ءَايَةٞۗ كَذَٰلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِم مِّثۡلَ قَوۡلِهِمۡۘ تَشَٰبَهَتۡ قُلُوبُهُمۡۗ قَدۡ بَيَّنَّا ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يُوقِنُونَ

Dan orang yang tidak mengetahui berkata: Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami? Demikian pula orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan itu. Hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.

(Surah Al-Baqarah : 118)

Ayat di atas menunjukkan kejahilan mereka berhubung persoalan uluhiyyah, iaitu mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwata’ala tidak berbicara dengan manusia melainkan melalui wahyu atau di belakang ‘tabir’ seperti dalam firmanNya:

۞وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ ٱللَّهُ إِلَّا وَحۡيًا أَوۡ مِن وَرَآيِٕ حِجَابٍ أَوۡ يُرۡسِلَ رَسُولٗا فَيُوحِيَ بِإِذۡنِهِۦ مَا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ عَلِيٌّ حَكِيمٞ

Dia tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau mengutuskan seorang utusan (Malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana. (Surah As-Syura : 51)

2. Jahil terhadap hakikat suluk (tingkah laku)

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَقَرۡنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ

Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliyah yang dahulu.  (Surah Al-Ahzab : 33)

Maksud jahiliyah berdasarkan ayat di atas adalah berkaitan dengan suluk (tingkah laku) yang tidak mundhabith (selaras atau sesuai) dengan panduan Rabbani. Atau, dengan kata lain, suluk yang mengikut cara yang lain daripada apa yang ditanzilkan oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam. Suluk dalam ayat di atas  bermaksud penyimpangan daripada kewajipan merasa malu dalam berpakaian serta mempamerkan perhiasan kepada yang bukan muhrim.

Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala, Nabi Allah Yusuf ada berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala serta memuji-Nya:

وَإِلَّا تَصۡرِفۡ عَنِّي كَيۡدَهُنَّ أَصۡبُ إِلَيۡهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلۡجَٰهِلِينَ

Dan jika tidak Engkau hindarkan daripada aku akan tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung (memenuhi keinginan jahat mereka) dan tentulah aku termasuk orang yang jahil.  (Surah Yusuf : 33)

Pengertian jahil dalam ayat di atas juga berkaitan dengan suluk yang tidak selaras dengan panduan Rabbani. Iaitu mengenai perbuatan serong dengan wanita dan terlibat dalam perbuatan haram. Perbuatan yang bertentangan dengan panduan Rabbani itulah yang ditakuti oleh Nabi Allah Yusuf. Kerana itu dia berlindung dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang lain:

إِذۡ جَعَلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ

Ketika orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah.  (Surah Al Fath : 26)

Makna jahiliyah dalam ayat di atas jelas berhubung dengan suluk yang tidak mundhabith dengan panduan Rabbani, iaitu menerangkan bahawa manusia tidak boleh berperang kecuali di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Tidak boleh berperang di atas dasar hamiyah (kesombongan) dan ta’asubiyyah (fanatik buta). Serta, tidak boleh berperang untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Seterusnya, firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ

Apakah hukum  jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang yakin.  (Surah Al-Maidah : 50)

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang yang kafir.  (Surah Al-Maidah : 44)

Ayat-ayat tersebut di atas menerangkan bahawa jahiliyah itu adalah  mengikut atau menjalankan tasyri’ (undang-undang) yang bukan daripada kitabullah.

Kesimpulan

Demikianlah pengertian jahiliyah menurut Al-Quran. Jahiliyah adalah jahil terhadap hakikat uluhiyyah dan jahil terhadap apa yang diwajibkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Berdasarkan pengertian ini, jahiliyah tidaklah terbatas pada zaman, tempat dan bangsa tertentu sahaja.  Jahiliyah boleh berlaku pada bila-bila masa berdasarkan tasawwur di atas. Dengan kata lain, pada bila dan di mana sahaja, jika terdapat atau terlaksana tasawwur atau suluk jahiliyah, maka ia adalah jahiliyah.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button