Fikrah

Makna Islam

Secara bahasa, al-Islam diambil dari akar kata salima. Daripada akar kata ini, kita akan mendapati kata-kata:

  1. Islaamulwajhi yang bererti menundukkan wajah. Hal ini dilakukan ketika seseorang mengakui kebesaran pihak lain dan rendah hati di hadapannya.
  1. Al-Istislaam yang bererti berserah diri. Hal ini dilakukan ketika orang sudah kalah atau berasa lebih aman kalau tidak menentang.
  1. As-Salaamah yang bermakna keselamatan, kebersihan atau kesihatan.
  1. As-Salaam yang bermaksud selamat dan sejahtera.
  1. As-Salm atau as-Silm yang bererti pendamaian atau kedamaian.

Ketika seseorang menundukkan wajahnya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan berserah diri kepada-Nya, pada saat itulah dia bersih daripada kesombongan. Jika itu yang dia lakukan, dia akan merasakan kedamaian hidup dalam naungan-Nya, terjamin kehidupannya, terbebas daripada cemas dan takut.

Nama bagi agama ini tidak berdasarkan pembawa atau tempat ia diturunkannya, atau nama-nama lainnya. Islam diambil daripada sikap yang harus dilakukan para penganut. Dengan sikap itu, mereka akan mendapat dan menyebarkan kedamaian serta kesejahteraan di seluruh alam.

Kalau kita melihat Al-Quran, As-sunnah, dan subjek-subjek mengenai Islam, kita akan mendapati bahawa kata al-Islam boleh ditafsirkan sesuai dengan konteks pembicaraannya. Islam adalah:

  1. Ketundukan (Al-Khudhu’)

Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ

 Maka apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah-lah mereka dikembalikan.

(Surah Ali-Imran: 83)

سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ

Kami mendengar dan kami patuh

(Surah An-Nur: 51)

  1. Berindentitikan wahyu Allah Subhanahuwata’ala

Islam beridentitikan kitab sucinya iaitu Al-Quran Al-Karim. Manakala As-Sunnah menjadi penjelas kitab suci. Kedua-duanya merupakan wahyu Ilahi yang diberikan kepada rasul dan perlu dipegang teguh oleh umat Islam agar selamat di dunia dan akhirat, sebagaimana tersebut dalam surah Al-Anbiya’ ayat 7 atau An-Najm ayat 4:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا قَبۡلَكَ إِلَّا رِجَالٗا نُّوحِيٓ إِلَيۡهِمۡۖ فَسۡ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat), maka bertanyalah kamu kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak tahu.

(Surah Al-Anbiya’ : 7)

إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)

(Surah An-Najm : 4)

  1. Din (Agama) Para Nabi dan Rasul (Dinul Anbiya Wal Mursalin)

Rasulullah bersabda:

إنَّا معشرَ الأنبياءِ دينُنا واحدٌ

Sesungguhnya kami para nabi, agama kami adalah sama dan satu.

 (Riwayat Ibn Taimiah)[1]

Kaum muslimin mengimani kitab-kitab suci yang diturunkan kepada semua nabi dan rasul, tidak membeza-bezakan di antara nabi-nabi, sebagaimana tersebut dalam Surah Ali-Imran ayat 84:

قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ

Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’qub dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi daripada Rab mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah kami menyerahkan diri.

(Surah Ali-Imran : 84)

 

  1. Hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala (Ahkamullah)

 Disebut ahkamullah kerana Islam adalah sistem hukum yang memuatkan hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala, yang sumber asalnya ialah al-Quran dan as-sunnah, sebagaimana tersebut dalam ayat-ayat berikut:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ

Dan kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu. Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.

(Surah Al-Maidah : 48)

وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.

(Surah Al-Maidah : 49)

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ

Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang yakin?

(Surah Al-Maidah : 50)

  1. Jalan Yang Lurus (As-Sirat Al-Mustaqim)

Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang lurus berbanding  sistem-sistem lain yang menyeleweng. Islam lurus kerana ia adalah sistem Allah yang didasarkan pada ilmu dan kebijaksanaan-Nya yang Maha Luas. Sedangkan sistem lain didasarkan kepada pengetahuan manusia atau makhluk yang serba terbatas, serta tidak terlepas daripada pengaruh nafsu dan kepentingan peribadi.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.

 (Surah Al-An’am : 153)

  1. Keselamatan Dunia dan Akhirat (Salamatud Dunya Wal Akhirah)

 Keselamatan hidup seorang muslim dapat dinikmati di dunia dan akhirat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.

 (Surah An-Nahl : 97)

Islam adalah sistem terbaik. Ia dibawa oleh para nabi berdasarkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala. Hukum-hukum yang ada di dalamnya adalah hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala yang bebas daripada kekurangan dan keterbatasan.

Sistem yang sempurna ini, apabila didokong dan dibela bermati-matian oleh para penganutnya yang tulus ikhlas tunduk kepada Allah dan rasul-Nya, pasti mereka akan meraih kejayaan sebagaimana pernah diraih oleh generasi awal Islam. Kemenangan ini sudah dijamin oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ

Dialah yang telah mengutus rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan din (agama) yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang musyrikin tidak menyukainya.

 (Surah At-Taubah : 33)

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدٗا

Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan din (agama) yang hak, agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

 (Surah Al-Fath : 28)

Rujukan:

  1. Materi Tarbiah Edisi Lengkap – Syarah Rasmul Bayan, Bina Insani.
  2. Syarah Tarbiah Rasmul Bayan, Jasiman, Lc, Auliya Press

[1] Majmuk Al-Fatawa, no.hadits : 18/317

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button