Fikrah

Apakah Yang Dituntut Oleh Islam Ke Atas Kita ?

TAJUK ini memang besar dan luas. Apa yang dibentangkan di sini hanya sekadar gambaran ringkas sahaja. Antara tuntutan Islam ke atas kita ialah:

1. Islam dalam Aqidah.

Iaitu aqidah salimah sahihah (sejahtera dan benar) yang tepat sepertimana anjuran Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Seorang Muslim dikehendaki beriman sepertimana generasi pertama Islam telah beriman. Merekalah model utama untuk kita.

2. Islam dalam Ibadah.

Islam dalam ibadah bermakna pengabdian yang sempurna kepada Allah Subhanahuwata‘ala dalam semua aspek kehidupan. Fahaman mengenai ibadah mestilah betul dan bertepatan dengan keterangan Al-Quran. Kita perlu menghayati ibadah dalam ertikata sebenarnya dalam kehidupan kita. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku. (Surah az-Dzariyaat : 56)

لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Tiada sekutu bagi-Nya dan demikian itulah diperintahkan kepada aku dan aku adalah orang yang pertama menyerah diri (kepada Allah Subhanahuwata’ala).  (Surah al-An’am : 163)

3. Islam dalam Akhlak dan Keperibadian.

Akhlak yang mulia itu adalah matlamat asasi risalah yang dibawa oleh Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, seperti sabda Baginda:

إنَّما بُعِثْتُ لأُتمِّمَ مكارمَ الأخلاقِ

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Riwayat Ibn Rejab)[1]

Akhlak mulia itu adalah tanda iman atau hasil daripada iman. Tidak bernilai seorang yang mengaku beriman tanpa berakhlak mulia. Akhlak yang mulia itu juga adalah kesan daripada ibadah yang betul. Tanpa akhlak mulia, maka ibadah yang dilakukan itu hanya gerak-geri fizikal sahaja tanpa apa-apa faedah. Fahamilah akan firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (Al-Quran) dan dirikan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (yakni solat) adalah lebih besar. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.  (Surah al-Ankabut : 45)

4. Islam pada Ahli dan Keluarga.

Wajib kita berusaha supaya masyarakat yang kita hidup di dalamnya menjadi muslimin sebenar. Tidak memadai kita menjadi muslim seorang diri sahaja tanpa mengambil berat terhadap orang di sekeliling kita. Di atas hakikat inilah, kita berkewajipan membentuk mujtama’ Islam (masyarakat Islam).

Langkah pertama ke arah membentuk mujtama’ Islam ialah kita membawa Islam ke dalam masyarakat kecil iaitu ahli keluarga kita sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Lihatlah firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.  (Surah at-Tahrim : 6)

5. Sentiasa Berjihad Melawan Hawa Nafsu.

Kita janganlah ber’tuhan’kan hawa nafsu. Jika kita terlanjur melakukan apa-apa kesalahan, maka hendaklah segera melakukan taubat dan meminta ampunan daripada Allah Subhanahuwata‘ala. Sikap mu’min yang sedemikian telah pun digambarkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala, iaitu firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ

Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?, Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.   (Surah al-Imran : 135)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

كلُّ بني آدمَ خطَّاءٌ وخيرُ الخطَّائين التوابونَ

Tiap manusia (Bani Adam) ada kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah itu ialah orang yang bertaubat. (Riwayat Ibn Hibban)[2]

6. Meyakini Kebenaran Islam Keseluruhannya.

Hanya Islam satu-satu sistem yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia ciptaan Allah Subhanahuwata‘ala. Allah Subhanahuwata‘ala yang menjadikan manusia maka Dialah Yang maha Mengetahui sistem hidup yang sesuai untuk  makhluk-Nya. Lihatlah firman Allah Subhanahuwata‘ala:

أَلَا يَعۡلَمُ مَنۡ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ

Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan dan rahsiakan) dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?    (Surah Al-Mulk : 14)

7. Kewajipan memperjuangkan Islam.

Kita berkewajipan bekerja dengan sepenuh tenaga untuk membina kehidupan Islam yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata‘ala, seperti yang dikehendaki di dalam Surah adz-Dzariyat, ayat 56.

Kita hendaklah bekerja kuat serta menganggap dunia ini sebagai ladang akhirat. Dunia sebagai medan untuk mentaati Allah Subhanahuwata‘ala. Seluruh hidup kita; ilmu, perniagaan, harta, rumah, masa, fikiran dan sebagainya – dihalakan ke arah mendaulatkan kalimah Allah Subhanahuwata’aladan mencari keredhaan-Nya.

8. Membentuk Organisasi Islam dan Ummah Yang Menjalankan Syari‘at Allah Subhanahuwata’ala

Sebarang kecuaian, atau meninggalkan, usaha-usaha ke arah membentuk ummah yang menjalankan syari’at Allah Subhanahuwata‘ala adalah dikira berdosa. Bukti-bukti kewajipan ini cukup nyata. Lihatlah firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّآ أَنزَلۡنَا ٱلتَّوۡرَىٰةَ فِيهَا هُدٗى وَنُورٞۚ يَحۡكُمُ بِهَا ٱلنَّبِيُّونَ ٱلَّذِينَ أَسۡلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلرَّبَّٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ بِمَا ٱسۡتُحۡفِظُواْ مِن كِتَٰبِ ٱللَّهِ وَكَانُواْ عَلَيۡهِ شُهَدَآءَۚ فَلَا تَخۡشَوُاْ ٱلنَّاسَ وَٱخۡشَوۡنِ وَلَا تَشۡتَرُواْ بِ‍َٔايَٰتِي ثَمَنٗا قَلِيلٗاۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٤٤ وَكَتَبۡنَا عَلَيۡهِمۡ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ وَٱلۡعَيۡنَ بِٱلۡعَيۡنِ وَٱلۡأَنفَ بِٱلۡأَنفِ وَٱلۡأُذُنَ بِٱلۡأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلۡجُرُوحَ قِصَاصٞۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةٞ لَّهُۥۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٤٥

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang alim mereka dan pendita-pendita mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah takut kepada manusia , tetapi takutlah kepada-Ku. Dan jangan kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang yang kafir.

Dan Kami tetapkan terhadap mereka di dalamnya (at-Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya.   (Surah al-Maidah : 44-45)

وَلۡيَحۡكُمۡ أَهۡلُ ٱلۡإِنجِيلِ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فِيهِۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Dan hendaklah orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang yang fasik. (Surah al-Maaidah : 47)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّٰعِنُونَ

Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati pula oleh semua makhluk yang dapat melaknati. ( Surah al-Baqarah : 159)

Pelaksanaan syari’at Islam itu wajib. Maka jalan untuk sampai kapada perlaksanaannya juga adalah wajib berdasarkan satu kaedah syarak:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Perkara yang wajib tidak dapat disempurnakan melainkan melalui jalannya, maka jalan itu menjadi wajib juga.

Jalan untuk membentuk umat ialah melalui harakah (pergerakan) atau organisasi. Jalan inilah yang telah dilalui oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam semenjak hari pertama Baginda berda’wah. Baginda berusaha membentuk organisasi. Baginda memungut penyokong-penyokong Baginda dan mendidik mereka hingga menjadi tenaga-tenaga kerja Islam yang akhirnya berjaya mengubah manusia daripada jahiliah kepada Islam.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

1. Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Fathi Yakan.

[1]لطائف المعارف(Litoifil Ma’arif) no.hadits : 305

[2]المجروحين, (Al-Majruhin) no.hadits  : 2/87

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button