Dasar UmumFikrah

INILAH JALAN KITA

JALAN ISLAM SEPERTI MANA YANG DITUNJUKKAN OLEH RASULULLAH SAW.

Pada suatu hari seorang sahabat bernama Thaubat berjumpa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam keadaan wajahnya  pucat. Melihatkan keadaan Thaubat yang sebegitu rupa lalu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasalalam  bertanya kenapa dia kelihatan pucat. Thaubat menjawab, tidak ada apa-apa melainkan kerana dia kasihkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dia bimbang kalau-kalau tidak berjumpa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di akhirat nanti. Oleh kerana syurga itu mempunyai banyak tahap dan tingkatannya, maka katanya sudah tentu dirinya akan duduk di tingkat bawah dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di tingkat atas. Maka Allah Subhanahuwata’ala  menurunkan ayat berikut (an-Nisa’: 69) yang menjadikan Thaubat berasa gembira:

Terjemahannya yang berbunyi : Dan barangsiapa yang menta’ati Allah dan rasul (-Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, golongan sidiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang salih. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.

Allah Subhanahuwata’a juga berfirman, yang bermaksud :

Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Surah az-Zukhruf : 67)

Firman Allah ini membawa pengertian bahawa ukhuwah antara orang-orang yang beriman akan kekal hingga ke hari akhirat. Berkaitan hal ini, Abu Sufian pernah menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat bagaimana seorang manusia kasih kepada manusia yang lain seperti para sahabat kasih kepada baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Fakta-fakta penting berkaitan jalan hidup yang kita lalui

  1. Kita perlu faham dan sedar bahawa perjalanan hidup yang sedang kita ikuti ialah jalan yang Allah Subhanahuwata’ala sudah tentukan. Maksudnya ia adalah jalan Islam, jalan yang telah dilalui dan dipamerkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita bukan mengikuti jalan yang lain daripada jalan tersebut dan ia bukan juga jalan yang baharu. Inilah jalan fitrah, jalan sunnah yang ramai di antara kita semakin kabur dan terpesong daripada mengikutinya.

Jalan Islam yang hakiki mestilah  bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Hakikat inilah yang perlu kita mantapkan dalam diri dan diperhalusi dari semasa ke semasa. Jalan yang harus  kita lalui bukan jalan Islam dalam acuan pemikiran manusia seperti Islam ala Amerika atau jalan yang dibina melalui logik akal dengan rujukan minima terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sumber kita adalah sumber yang asli, sumber generasi awal atau sumber tamadun asal. Bukan bersumberkan tamadun yang lain atau daripada serpihan tamadun Islam. Bukan juga bersumberkan orang yang membawa ideologi asing atau daripada orang yang menyesuaikan ajaran Islam dengan selera hawa nasfu sendiri. Memang kita semakin dilalaikan daripada merujuk dan memahami sumber yang asli ini.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya dengan berpegang padanya, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pastilah ramai yang mempersoalkan bagaimanakah kita boleh mengikuti jalan sebagaimana dilalui oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sedangkan baginda sudah beribu tahun meninggalkan kita. Jawapannya mudah. Kita perlu mengkaji dan meneliti jalan lurus itu melalui pemikiran dan tindakan yang diusahakan oleh ulama-ulama yang luas ilmunya dan ikhlas mencari keredhaan Allah melalui kerja-kerja dakwah dan membimbing umat.

2. Jalan kita adalah jalan yang terang, bukan jalan yang kabur atau samar-samar.

Firman Allah Subhanahuwata’al:

Yang bermaksud : Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata (terang dan jelas). Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.” (Surah Yusuf : 108)

Ulama terkenal Turki Al-Marhum Badiuzaman Said Nursi pernah menyatakan bahawa Islam ini terang seperti cahaya matahari, tetapi manusia sengaja memejam mata mereka terhadapnya.

Oleh itu orang yang ingin mencari kebenaran dengan hati yang penuh ikhlas Insya-Allah  akan dapat melihat kebenaran tersebut. Ini kerana fitrah hati dan akal yang bersih akan nampak kebenaran Allah Subhanahuwata’ala.

Firman-Nya lagi, yang bermaksud :

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada din (Allah), (tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) din yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Ar-Rum : 30)

Sifat fitrah, hati dan akal yang bersih akan dapat melihat kebenaran Islam.

3. Jalan kita adalah jalan yang satu, manakala jalan yang lain itu pelbagai dan banyak tetapi hilang keasliannya. Jalan yang satu ini adalah jalan yang sukar atau payah. Apabila terlepas daripada  jalan ini maka seseorang itu akan sesat. Firman Allah Ta’ala, yang bermaksud:

Maka tidak ada sesudah kebenaran ini melainkan kesesatan. (Surah Yunus : 32)

Walau bagaimanapun jalan yang satu ini bukanlah jalan yang dilalui oleh kumpulan tertentu sahaja. Sebenarnya sesiapa sahaja yang mengikuti jalan al-Quran dan al-Sunnah maka dia berada di atas jalan yang satu dan benar.

Untuk memahami hal ini serta maksud jalan yang dilalui ini, maka kita perlu meneliti dan memahami sistem pendidikan Islam  dan mengikuti sistem berkenaan dengan penuh ikhlas dalam rangka mencari redha Allah.  Allah Subhanahuwata’ala tidak akan memberi sesuatu yang mahal dengan cara yang mudah. Sebaliknya kita perlu melalui proses pendidikan yang terus menerus dan bersabar di atas ujian serta mehnahnya. Tidak mudah berputus asa.

Tidak boleh seseorang itu berkata bahawa dia boleh terlepas daripada pendidikan Islam. Dalam apa keadaan sekalipun jalan pendidikan Islam mesti kekal menjadi laluan semua Muslim. Hidup bukan sekadar sibuk dengan urusan makan, minum, beranak pinak, berhibur dan merawat kesakitan.

Islam itu sangat tinggi. Tidak cukup seluruh tenaga dan umur kita untuk mencapai ketinggiannya. Kita mesti bijak mengurus waktu. Masa itu adalah amanah dan janganlah kita terperangkap dengan aktiviti-aktiviti melalaikan dan menzalimi diri sendiri. Godaan melalaikan terlalu banyak di sekeliling kita.

4. Jalan kita bersifat amali, bukan teori semata-mata.  Islam itu tidak akan lahir sebagai Islam yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala jika ia bersifat teori semata-mata.  Kefahaman kita mestilah diikuti dengan penghayatan yang bersifat menyeluruh. Bukan amalan terpisah-pisah dengan hanya menerima syariat yang sesuai dengan nafsu kita dan menolak amalan yang dirasakan membebankan. Dengan ini barulah jalan kita menjadi realiti. Kita perlu menghayati jalan ini dengan menampakkan kebagusan dan manfaatnya kepada seluruh fakulti insaniah: iaitu manfaat kepada jasad, akal dan ruh manusia.

Sehubungan dengan itu, dalam praktik ibadah agama ini, kita perlu lakukan dengan kefahaman. Ini berbeza dengan sebahagian anggota masyarakat yang mengamalkan agama secara terpisah-pisah antara agama dan aktiviti kehidupan. Kesan pendidikan barat, berjaya membangunkan pemikiran yang memisahkan antara agama dengan kehidupan.

Sungguhpun pemikiran Islam sebagai agama syumul sudah mula diterima ramai kesan daripada semakin banyaknya institusi pendidikan dan aktiviti dakwah, mereka tidak boleh mengabaikan ibadah-ibadah khusus yang mungkin dianggap kurang penting dan kurang diberi penekanan. Harus disedari bahawa ibadah-ibadah khusus ini sebenarnya adalah asas atau fondasi untuk melaksanakan dan menegakkan Islam yang syumul. Jika hubungan personal kita dengan Allah biasa-biasa sahaja, sukar untuk kita kekal di atas jalan ini dan kita akan mudah tergelincir daripada menuju “destinasi” yang diingini. Nauzubillah.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

Didirikan Islam itu di atas lima perkara, mengakui bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solah, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sepatutnya segala ibadah yang dilakukan merupakan persediaan-persediaan ke arah membina ummah dan Islam yang besar. Ibadah adalah medan pendidikan Islam. Ibadah adalah medan memproses hati. Contohnya amalan berpuasa yang dikatakan membantu kita menjadi lebih bertaqwa dan dekat dengan Allah Subahanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala, yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Surah Al Baqarah : 183)

Dalam hidup yang sementara ini marilah kita pastikan bahawa matlamat kita adalah untuk mencapai keredhaan Allah Subahanahuwata’ala. Untuk sampai kepada matlamat ini, kita perlu terlebih dahulu mencapai pelbagai objektif. Ibadah yang berkesan adalah satu daripada amalan harian kita yang harus diperbaiki terus-menerus.

5. Jalan kita adalah jalan yang panjang. Umur jalan ini tidak diukur berdasarkan umur individu tetapi umur jalan ini dilihat pada umur amal Islami atau umur kegiatan dakwah Islamiyah.

Menelusuri sirah para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam seperti Saidina Hamzah dan Saidina Yasir, mereka terkorban dan  syahid di pertengahan jalan dakwah yang mereka ceburi. Mereka tersangat yakin pada janji Allah, berasa nikmat hidup dalam dakwah dan terus berjihad biarpun terpaksa melalui pelbagai ujian dan mehnah.

Firman Allah Ta’ala :

Yang bermaksud : Kalau apa yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, sudah tentu mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. (Surah At-Taubah : 42)

Jalan ini jalan yang panjang, tetapi jalan ini juga jalan yang tepat dan dekat. Maksudnya jalan-jalan yang lain sekali-kali tidak akan membawa kita sampai kepada matlamat.

Jalan ini panjang kerana:

  • Jalan ini adalah jalan Islam yang mengubah keseluruhan Jahiliah kepada Islam. Dakwah perlu bertujuan untuk menjatuhkan mungkar al-akbar dan menegakkan makruf al-akbar. Ia bermatlamat mengubah minda dan keyakinan manusia daripada bertuhankan sesama manusia dan kebendaan kepada bulat tekad membesarkan Allah.
  • Jalan ini ingin merubah manusia. Dakwah ini ingin merubah hati manusia. Bukan sekadar ingin merubah pakaian atau fesyen baju.
  • Hasil atau natijah perjuangan di jalan ini hendaklah kita serahkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dia Maha Mengetahui kepada siapa dan pada masa bila untuk mengurniakan natijah dan kemenangan. Allah Subhanahuwata’ala sahajalah yang lebih mengetahui siapa yang layak dan ikhlas beramal kepada-Nya. Tugas kita adalah melakukan kerja secara bersungguh-sungguh.

6. Perlu difahami bawa Jalan Kita adalah jalan yang sukar. Kenapa dikatakan sukar? Jawapannya hasil yang kita ingini sangat mahal nilainya. Daripada segi sunnatullah, untuk mendapatkan suatu perkara yang berharga, maka bayarannya juga adalah tinggi.

Allah Subhanahuwata’ala menawarkan kepada kita pulangan yang terlalu mahal. Firman-Nya, bermaksud :

Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (Surah At-Taubah : 111)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri selalu mengingatkan kita akan nikmat Allah Ta’ala yang banyak. Sesungguhnya nikmat Allah Ta’ala itu tersangat banyak berbanding dengan kesukaran yang dialami oleh manusia. Syurga itu tersangat mahal. Daripada berbilion jumlah manusia yang hadir di muka bumi ini, hanya segelintir bakal  terpilih  memasuki syurga. Bagaimana kita?

Terdapat hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang mengisahkan bahawa  di akhirat nanti orang yang mati syahid berhasrat atau meminta agar dapat hidup semula untuk  berjihad supaya mati syahid sekali lagi. Hal ini disebabkan mereka telah dapat melihat dan merasai nikmat Allah Subhanahuwata’ala yang begitu istimewa. Mungkinkah mereka akan bandingkan nikmat syurga yang mereka dapat dengan nikmat syurga di tingkat yang lebih tinggi. Mereka meminta dikembalikan ke dunia untuk memaksimakan jihad dan memasuki syurga yang paling tinggi di akhirat nanti. Namun permintaan itu hanyalah sekadar permintaan. Tidak mungkin boleh dikembalikan ke dunia. Maka kita yang masih berada di dunia hendaklah mengambil iktibar daripada kisah ini dengan menggandakan kemampuan kita memberi sumbangan terbaik kepada Islam.

Hukum jihad dalam konteks kehidupan hari ini adalah wajib. Allah Subhanahuwata’ala menjadikan kita untuk beribadah. Satu daripada ibadah penting ialah menyumbangkan secara maksima   segala-galanya yang kita ada: kebendaan, pemikiran, masa  dan tenaga untuk mengangkat martabat Islam. Barulah kita dikatakan melakukan amal  jihad (bersungguh-sungguh).

Jalan jihad kita ini memerlukan kesungguhan (jidiyyah) dan kesabaran. Rugilah kalau kita melalui jalan ini secara sambil lewa sahaja lantas membentuk keyakinan berbelah bahagi akan janji-janji Allah. Malu kita kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. Kita belum mewakafkan diri kepada dakwah.  Nauzubillah. Firman Allah Subhanahuwata’ala, bermaksud:

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah : 155)

Kesimpulan

Selain bersungguh-sungguh dan melalui jalan ini dengan penuh yakin, kita juga diminta bersabar di atas segala ujian mendatang. Fitrah jalan ini memang keras, perlu bersungguh-sungguh dan bersabar. Tapisan ke syurga itu memang begitu. Ada yang pada mulanya bersungguh-sungguh, tetapi kemudian kecundang dan futur bila diuji. Oleh kerana itu kita perlu melalui proses pembentukan ilmu dan peribadi yang asli supaya kita mendapat pengakhiran yang sunnatullah jua.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melewati batas. (Surah Al-Kahfi : 28)

Artikel ini adalah sumbangan dari bahagian penerbitan HALUAN.

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button