Keperibadian

Maksiat Dan Kesan-Kesannya Di Dunia

Maksiat lawannya taat. Hanya Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya yang dapat menentukan sesuatu amalan itu sama ada amalan taat atau amalan maksiat.

Maksiat mempunyai kesannya sepertimana taat juga mempunyai kesannya. Ketaatan menjadi suatu yang manis bagi seorang mu’min, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi si penderhaka kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat. Mu’min sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan.

Kita hendaklah belajar daripada al-Quran dan As-Sunnah untuk memahami perkara-perkara taat dan perkara-perkara maksiat.

Kesan-kesan kemaksiatanyang dilakukan oleh seseorang hamba dapat dilihat semasa hidupnya di dunia ini lagi.Kesan-kesan itu ialah:

1. Tidak mendapatkan ilmu yang sebenar

Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah Subhanahuwata’ala ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut.

Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafi’i yang belajar dengannya:

Saya melihat Allah (Subhanahuwata’ala) telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat.

Imam Syafi’i juga pernah mengeluh:

Saya mengeluh kepada Waki’ bahawa hafalanku jelek, lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Sambung Waki’: Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah Allah, dan Allah tidak berikan kepada pelaku maksiat.

2. Tidak mendapat rezeki yang diberkati

Dalam Musnad Imam Ahmad ada menyatakan:

Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuatnya.

Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala itu akan membawa kepada kemurahan rezeki yang diberkati, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan yang sebenar.

3. Kerisauan dan kesepian di hati

Hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah Subhanahuwata’ala, tidak ada keseimbangan dan kenikmatan, malahan yang terbit daripada hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia dan seisinya diberikan kepadanya, tetap tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut.

Tidak ada yang lebih pahit bagi hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang yang soleh, lebih-lebih lagi dengan orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya daripada lingkungan orang soleh .

Akhirnya, jika hati yang terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh daripada kelompok yang dekat dengan Allah Subhanahuwata’ala. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing daripada keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan rasa tertekan dalam dirinya.

4. Banyak mendapat kesulitan

Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam pelbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.

5. Kegelapan dalam hati

Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan seperti gelap dan pekatnya malam. Bila ia diberi tunjuk ajar, maka kegelapan maksiatnya itu menutupi hatinya daripada menerima tunjuk ajar itu.

Berkata Abdullah bin Abbas:

Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya. Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang.

6. Melemahkan hati dan badan

Orang mu’min itu kekuatannya terletak pada hatinya. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya sangat lemah. Bayangkan dalam sejarah yang lalu, kekuatan badan orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang mu’min dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

7. Kehilangan ketaatan

Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang daripada ketaatan terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan baginya.

8. Mengurangi umur dan mengikis keberkatan

Sebahagian ulama mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat bermakna hilangnya keberkatan umur. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati yang beriman dan kehidupan yang berkat.

Umur manusia beriman ialah apabila hatinya hidup dan bersama-sama dengan Allah Subhanahuwata’ala. Itulah umur yang sebenar. Bila berpaling daripada Allah Subhanahuwata’ala dan sibuk dalam kemaksiatan, maka hilanglah kehidupan yang hakiki. Pada akhirnya (di akhirat nanti) pelaku-pelaku maksiat akan berkata:

يَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي قَدَّمۡتُ لِحَيَاتِي ٢٤

Dia mengatakan: “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini”.

(Surah Al-Fajr: 24).

 

Rujukan:

Ibn Qayyim, Terapi Penyakit Hati.

Print Friendly, PDF & Email

2 Comments

  1. Assalamualaikum.. Bagaimana kita nak tegur sahabat kita yg ada masalah hati, tapi pada masa yang sama saya sendiri pada situasi yang sama seperti kawan saya.. Saya dalam proses ingin berubah untuk menjaga hati.. bagaimana saya nak mengelak daripada sahabat saya ni akan fikir ‘Eleh,kau pun buat, ada hati nak nasihat aku pulak’.. tapi saya yakin kawan saya tidak akan fikir macam tu..

    Mohon Penjelasan

    1. وعليكم السلام ورحمة الله
      Terima kasih Safwanah kerana melontarkan satu soalan yang baik. Dalam perkara-perkara kebaikan elok kita mulakan dengan diri kita kemudian kita ajak orang lain yang dekat dengan kita untuk sama-sama berbuat baik seperti kita. Perbaiki diri mu dan ajaklah orang lain. Ajakan yang berkesan ialah yang disertai dengan contoh amali tapi tidak bermaksud kita tunggu kita baik dalam semua perkara baru kita nak ajak orang lain. Sekiranya kita disapa sentuhan keinsafan untuk berubah maka apa salahnya kita terpanggil untuk mengajak rakan taulan yang rapat dengan kita untuk sama-sama insaf, sedar dan bertekad untuk berubah.

      Secara umumnya sesuatu nasihat akan berkesan jika nasihat itu datang dari dorongan hati yang ikhlas kerana Allah. Orang yang memberi nasihat tidak rasa dirinya lebih baik dari sahabatnya yang nak dinasihati sebaliknya nasihat itu kerana rasa kasihnya kepada sahabatnya supaya dia tertingkat kepada yang lebih baik. Pendekatan dan cara nasihat yang berkesan ialah apabila sahabat yang dinasihati tidak rasa dirinya dipandang rendah lantaran kelemahannya sebaliknya berterima kasih kerana masih ada orang yang sudi memperbaiki kekurangannya. Wallahu a’alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button