Keperibadian

ADAB MEMANDANG ANTARA LELAKI DAN WANITA

  1. Adab lelaki memandang wanita lain

Seorang lelaki yang telah baligh tidak dibolehkan memandang seorang wanita lain, walaupun tidak dengan syahwat. Wanita lain yang dimaksudkan ialah wanita yang halal bagi lelaki untuk mengahwininya. Anak laki-laki yang sudah melalui masa peralihan yakni yang sudah dapat membezakan antara wanita jelek dan cantik juga tidak dibolehkan memandang wanita lain. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ ٣٠ وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٣١
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (Surah An-Nur : 30-31)

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda, seperti yang diriwayatkan, dari Allah SWT (Hadith Qudsi):

Pandangan itu adalah salah satu di antara panah-panah iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan ganti kepadanya dengan suatu keimanan yang akan dia rasakan kemanisannya di dalam hatinya.

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam lagi:

Ada tiga kelompok manusia yang mata mereka tidak akan melihat api neraka: Orang yang matanya berjaga di jalan Allah, orang yang matanya menangis kerana takut kepada Allah dan orang yang matanya tidak mahu melihat perkara-perkara yang diharamkan Allah.
(Riwayat At-Thabrani)

  1. Adab lelaki memandang lelaki

Aurat bagi lelaki ialah bahagian badan di antara pusat hingga lutut. Seorang lelaki tidak dibolehkan memandang aurat lelaki lain, samada lelaki yang dipandang itu kerabat atau orang jauh, muslim atau kafir. Selain itu, seperti perut, dada dan lain-lain boleh dilihat selama syahwat orang yang memandang itu dijamin aman. Pengharaman ini adalah berdasarkan hadith riwayat Muslim dari Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam :

Janganlah seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan jangan pula seorang wanita memandang aurat wanita lain …

Al-Hakim meriwayatkan dari Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:

Apa yang ada di antara pusat dan lutut adalah aurat.

Seorang lelaki tidak boleh membuka bahagian tubuh antara pusat dan lutut, baik ketika bersukan mahu pun ketika bergaul. Jika dia disuruh oleh seseorang untuk membuka auratnya, janganlah dia mentaatinya, berdasarkan hadith:

Tidak ada ketaatan terhadap makhluk di dalam bermaksiat kepada Al-Khaliq.

  1. Adab wanita memandang wanita lain

Seorang wanita dilarang memandang wanita lain pada bahagian tubuh antara pusat dan lututnya, baik wanita yang dilihatnya itu kerabat atau orang  jauh.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksdud:

Janganlah seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan jangan pula seorang wanita memandang aurat wanita lain.. (Riwayat Muslim).

Juga hadits yang lain berbunyi yang bermaksud :

Apa-apa yang terletak antara pusat dan lutut adalah aurat.. (Riwayat Al-Hakim)

Daripada ketentuan tersebut jelaslah bahawa wanita diharamkan melihat peha wanita lain baik anak wanitanya, saudara wanitanya, ibunya, tetangganya atau kawan-kawannya.

Kesimpulannya ialah ada satu kata-kata daripada ulama’ salaf terdahulu:

من حفظ بصره نور الله بصيرته وقلبه
Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)

Semoga Allah Subhanahuwata’ala memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button