
Di dalam kehidupan ini, insan sentiasa bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalanya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya.
Firman Allah:
وَنَفۡسٖ وَمَا سَوَّىٰهَا ٧ فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا ٨ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠
Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (Surah Asy-Syams : 7-10)
Maksud inilah yang terkandung dalam sabda yang diisyaratkan oleh baginda Sallallahu’alaihiwasallam:
تُعْرَضُ الفِتَنُ علَى القُلُوبِ كالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا، فأيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَها، نُكِتَ فيه نُكْتَةٌ سَوْداءُ، وأَيُّ قَلْبٍ أنْكَرَها، نُكِتَ فيه نُكْتَةٌ بَيْضاءُ، حتَّى تَصِيرَ علَى قَلْبَيْنِ، علَى أبْيَضَ مِثْلِ الصَّفا فلا تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ ما دامَتِ السَّمَواتُ والأرْضُ، والآخَرُ أسْوَدُ مُرْبادًّا كالْكُوزِ، مُجَخِّيًا لا يَعْرِفُ مَعْرُوفًا، ولا يُنْكِرُ مُنْكَرًا
Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran.
(Hadith riwayat Muslim daripada Huzaifah Ibn Yaman)
Dalam pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada beberapa golongan:
- Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka
Mereka hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran Allah menyifatkan mereka sebagai orang yang mempertuhankan hawa nafsu, firman Allah:
أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? (Surah Al-Jathiyah : 23)
- Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya.
Dalam menentang hawa nafsunya ada kalanya golongan ini mencapai kemenangan dan ada kalanya mereka kecundang. Apabila terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat. Begitu juga bila mereka melakukan maksiat mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan dari Allah. Allah berfirman:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥
Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Surah Al-‘Imran : 135)
Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam sabdanya:
كلُّ بَني آدَمَ خَطَّاءٌ، وخيرُ الخطَّائين التَّوابُون
Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat. (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Sehubungan dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab Bin Munabbih yang mengatakan:
“Sesungguhnya Iblis pernah bertemu dengan Nabi Allah Yahya bin
Zakaria a.s, lalu Nabi Yahya a.s berkata kepada Iblis: “Ceritakan
kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu”. Lalu Iblis menjawab:
- Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini. Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
- Golongan yang kedua adalah mereka yang berada dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
- Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.
Sendi-sendi Kekuatan Dalam Memerangi Nafsu.
- Hati
Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Sayidina Ali yang berbunyi:
Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati … maka hati yang paling disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala ialah hati yang lembut, bersih dan cekal. Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah kalimah tersebut dengan) katanya: Cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin.
Saidina Ali juga berkata:
Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit.
Al-Quran Al-Karim memberi gambaran tentang hati orang-orang mukmin menerusi firman Allah:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِيمَٰنٗا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ ٢
Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Rabblah mereka bertawakkal. (Surah Al-Anfal : 2)
Dalam menggambarkan sifat-sifat hati orang kafir pula Allah menjelaskan:
أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦
Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.(Surah Al-Hajj : 46)
Allah juga berfirman:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَآ ٢٤
Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?
(Surah Muhammad : 24)
- Akal
Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatan-Nya. Akal seperti inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ مُخۡتَلِفٌ أَلۡوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَۗ إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ٢٨
Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Surah Al-Fatir : 28).
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyebut betapa tingginya nilai akal ini dalam sabdanya:
مَا خلق اللَّهُ خلْقًا أكرَمَ عليهِ منَ العَقْلِ
Allah tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari akal.
(Riwayat at-Tirmizi al-hakim dalam “An-Nawadir” dengan sanad dha’if.)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan kepada Sayidina Ali Karramallahu wajhah:
إذا تقربَ الناسُ إلى اللهِ بأنواعِ البرِّ فتقربْ أنتَ بعقلِكَ
Apabila manusia mendampingi Allah dengan melakukan berbagai amalan kebajikan maka engkau dampingilah Allah dengan akal fikiran engkau.
(Riwayat Anu Nu’aim dalam “Hilyah” dengan sanad dha’if.)
Baginda juga bersabda:
ما اكتسَب رجلٌ ما اكتسَب مثلَ فضلِ عقلٍ يَهدي صاحبَهُ إلى هُدًى ويَرُدُّه عن رَدىً
Tidaklah beruntung seorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya dari perkara yang buruk”. (Riwayat Al-Mujbir)
Oleh kerana betapa tingginya nilai akal, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan agama agar dengan ilmu-ilmu itu akal menjadikannya sebagai sebab akibat yang memandu segala tindakan, membezakan di antara yang buruk dengan yang baik, di antara yang hak dengan yang batil sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
من يردِ اللهُ به خيرًا يُفقِّههُ في الدينِ
Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda baginda lagi:
فضلُ العالمِ على العابدِ كفضلي على أدناكم
Kelebihan (keutamaan) seorang ‘alim atas seorang ‘abid (ahli ibadat) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah dari kalian”. (Riwayat Tirmizi)
Semua ini membuktikan betapa tingginya nilai dan kesan akal dalam proses membina kekuatan insan di dalam diri manusia. Dengannya manusia dapat mengenali serta dapat menyelami hakikat alam semesta dan rahsianya.
Oleh yang demikian akal seorang mukmin itu adalah akal fikiran yang waras, dapat membezakan buruk dan baik, halal dan haram, kebaikan dan kemungkaran kerana ia melihat segala perkara dengan cahaya Allah yang dapat menembusi di sebalik tutupan yang halus. Firman Allah:
وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورٗا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ ٤٠
Barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun. (Surah Al-Nur 24: Ayat 40)
Cahaya akal seseorang mukmin itu sentiasa bersinar, tidak dapat dipadamkan kecuali oleh kerja-kerja maksiat yang berkekalan, dilakukan pula secara terang-terangan dan tidak pula diikuti dengan taubat.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan:
مَنْ قارفَ ذنبًا فارقَهُ عقلٌ لا يعودُ إليه أبدًا
Sesiapa yang melakukan dosa maka bercerailah akalnya dari dirinya, ia tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya. (Riwayat Al-Iraqi)
Baginda Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
لولا أن الشياطين يحومون على قلوب بني آدم لنظروا إلى ملكوت السماوات والأرض
Kalaulah tidak kerana syaitan-syaitan itu mengelilingi hati anak-anak Adam nescaya mereka dapat melihat (merenung) kerajaan Allah di langit dan di bumi.
(Riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah)
Anas bin Malik r.a menceritakan:
لما دخلت على عثمان رضي الله عنه وكنت قد لقيت إمرأة في طريقي فنظرت إليها شزرا وتاملت محاسنها فقال عثمان لما دخلت: يدخل أحدكم واثر الزنا على عينيه أما علمت أن زنا العينين النظر؟ لتتوبن أو لأعزرنك؟ فقلت أوحى بعد النبي؟ فقال: لا ولكن بصيرة وبرهان وفراسة صادقة
Semasa aku masuk menemui Othman bin Affan r.a aku bertemu seorang wanita dalam perjalanan, lalu aku sempat mengerling memandangnya dan tertarik kepada kecantikannya. Lalu semasa aku menemuinya Othman berkata kepadaku:
Seorang dari kamu menemuiku sedangkan kesan zina kelihatan pada kedua matanya. Adakah engkau mengetahui bahawa zina mata itu ialah memandang? Hendaklah kamu bertaubat atau aku akan mengenakan hukuman takzir”. Lalu akupun bertanya? “Adakah lagi wahyu (kepadamu) selepas Nabi?” Maka Othman menjawab: “Tidak, tetapi (dengan pandangan) basirah hati burhan dan firasatyang benar.
Tanda-tanda Ketewasan Jiwa
Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran di dalam tubuhnya.
Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah:
ٱسۡتَحۡوَذَ عَلَيۡهِمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَأَنسَىٰهُمۡ ذِكۡرَ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱلشَّيۡطَٰنِ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٩
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah, mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi. (Surah Al-Mujadalah : 19)
Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh Al-Quran Al-Karim yang menyatakan:
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧
Iblis menjawab: “Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (Surah Al-A’raf : 16-17)
Sebenarnya selain dari penyakit di atas terdapat satu penyakit lain yang paling berbahaya iaitu penyakit was-was, syaitan menyebabkan mereka merasa was-was dalam setiap urusan hidup mereka dengan tujuan memesongkan mereka dari jalan Allah. Dalam hal ini Rasulullah bersabda:
إنَّ الشَّيطانَ قعد لابنِ آدمَ بطرُقٍ فقعد له بطريقِ الإسلامِ فقال أتُسلِمُ وتتركُ دينَك ودينَ آبائِك ! فعصاه وأسلم , ثمَّ قعد له بطريقِ الهجرةِ فقال أتهاجرُ وتدعُ أرضَك وسماءَك ! فعصاه وهاجر , ثمَّ قعد له بطريقِ الجهادِ فقال أتجاهدُ وهو تلَفُ النَّفسِ والمالِ فتُقاتِلُ فتُقتَلُ فتُنكَحُ نساؤُك
Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek moyangmu?. Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut pula di jalan hijrah, lalu dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad. Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah Subhanahuwata’ala memasukkannya ke dalam syurga. (Riwayat Al-Nasa’i)
Alangkah baiknya jikalau anda dapat menatap kisah antara syaitan dan seorang Rahib Bani Israil dalam tafsir ayat Surah Al-Hasyr :
كَمَثَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَٰنِ ٱكۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦
(Bujukan orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam.
(Surah Al Hasyr : 16)
Cara-cara Menghalang Godaan Syaitan
Untuk membantu manusia menghadapi hasutan syaitan dan serangan-serangan Iblis, Islam telah menunjukkan kepada manusia berbagai perkara yang dapat membantunya bertahan menghadapi pertarungan dengan syaitan seterusnya berjaya menewaskan musuh ketatnya itu.
Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang dari para salihin dengan katanya:
Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia, ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh pintu:
Pertama:
Tamak dan buruk sangka, maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
Kedua:
Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku pada bila-bila waktu.
Ketiga:
Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
Keempat:
Kagum terhadap diri sendiri (‘ujub), lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan takut kepada akibat yang buruk.
Kelima:
Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.
Keenam:
Hasad (dengki), lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan reda terhadap kurniaan Allah kepada makhluknya.
Ketujuh:
Riya’ dan sukakan pujian orang. Lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.
Kelapan:
Bakhil (kedekut), lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah.
Kesembilan:
Takabbur (membesarkan diri), lalu aku menghadapinya dengan rasa tawaduk.
Kesepuluh:
Tamak haloba, lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.
Di antara arahan-arahan yang di anjurkan oleh Islam sebagai jalan untuk mengelak serangan dan tipu daya syaitan ialah agar sentiasa seseorang itu mengingati Allah apabila memulakan setiap pekerjaan.
Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah berhubung dengan hal ini menyebutkan:
Syaitan bagi orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang kafir, lalu di dapati syaitan bagi orang kafir dalam keadaan gemuk montel sedangkan syaitan bagi orang mukmin dalam keadaan kurus kering, bertelanjang dan kusut masai. Lalu syaitan bagi orang kafir itu bertanya kepada syaitan bagi orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering?. Lalu ia menjawab: “Aku bersama seorang lelaki yang apabila ia makan ia menyebut nama Allah, lalu aku terus kelaparan, apabila ia minum ia menyebut nama Allah, lalu aku terus dalam keadaan dahaga, apabila ia memakai pakaian ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus bertelanjang. Apabila ia memakai minyak rambut juga ia menyebut nama Allah menyebabkan aku terus kusut masai”. Kemudian syaitan bagi orang kafir itu berkata: “Tetapi aku bersama lelaki yang tidak berbuat demikian sedikitpun, maka bolehlah aku berkongsi makan, minum dan pakai dengannya”.
Di antara cara-cara untuk dijadikan kubu pertahanan menghadapi tipu daya dan godaan syaitan ialah dengan cara:
- Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menghadapi makanan yang baik dan halal kerana Allah berfirman:
۞يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٖ وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ ٣١
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (Surah Al-A’raf 7: Ayat 31)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda mengingatkan, maksudnya:
Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan. (Riwayat Ahmad)
- Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika ia mengingati Allah ia pun lari daripadanya, jika sekiranya ia lupakan Allah syaitan akan mengunyah hatinya. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)
- Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah.
(Riwayat ibn Abi Shaibah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi. At-Tirmizi meriwayatkan hadith sepertinya dan Al-Albani mengetakan: Sanadnya Hasan.)
Sebenarnya ruang ini adalah terbatas untuk menyebut semua sebab, amal-amal dan pesanan-pesanan yang dianjurkan oleh Islam untuk menjaga diri dari serangan dan godaan syaitan. Memadailah di sini kita melihat firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّهُمۡ طَٰٓئِفٞ مِّنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ ٢٠١
Sesungguhnya orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.
(Surah Al-A’raf : 201)
Rujukan: “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” (Terjemahan dari kitab: Maza Ya’ni Intima’i Lil-Islam), oleh: Fathi Yakan.