Keperibadian

Saya Mestilah Mampu Menguasai Diri

Dalam kehidupan ini, manusia sentiasa bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalanya ia kecundang, atau pun ia tetap berada dalam pertarungan yang berterusan. Sememangnya pertarungan ini suatu yang berterusan hinggalah ajal menjemput manusia.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَنَفۡسٖ وَمَا سَوَّىٰهَا ٧ فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا ٨  قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠

Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.

 (Surah Asy-Syams : 7-10)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menggambarkan hal yang sama dalam hadits baginda:

تُعرَضُ الفتنُ علَى القلوبِ كالحصيرِ عودًا عودًا فأيُّ قلبٍ أُشرِبَها نُكِتَ فيهِ نُكتةٌ سَوداءُ وأيُّ قلبٍ أنكرَها نُكِتَ فيهِ نُكتةٌ بَيضاءُ حتَّى تصيرَ علَى قلبَينِ علَى أبيضَ مِثلِ الصَّفا فلا تضرُّهُ فتنةٌ ما دامتِ السَّماواتُ والأرضُ والآخرُ أسوَدُ مُربادًّا كالكوزِ مُجَخِّيًا لا يعرِفُ معروفًا ولا ينكرُ مُنكرًا

Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran.

(Riwayat Muslim)[1]

Dalam pertarungan menghadapi nafsu manusia terbahagi kepada beberapa golongan:

1. Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka:

Mereka hidup dengan berseronok di muka bumi dan ingin hidup kekal. Mereka adalah orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan nikmat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka. Di dalam Al-Quran, Allah menyifatkan mereka sebagai manusia yang mempertuhankan hawa nafsu.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya (ilahnya) dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya, dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?

 (Surah Al-Jathiyah : 23)

2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya:

Dalam bertarung menentang hawa nafsu, adakalanya golongan ini mendapat kemenangan dan adakalanya kecundang. Namun, apabila terlibat dengan kesalahan, mereka segera bertaubat. Apabila terjebak dengan maksiat, mereka segera sedar, menyesal dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ

Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui

(Surah Ali-Imran : 135)

Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dalam sabdanya:

 كلُّ بني آدمَ خطَّاءٌ وخيرُ الخطَّائين التوابونَ

Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat

(RiwayatIbn  Hibban)[2]

Sehubungan dengan pengertian inilah diriwayatkan satu kisah oleh Wahab bin Munabbih yang mengatakan:

Sesungguhnya Iblis pernah bertemu dengan Nabi Allah Yahya bin

Zakaria Alaihissalam, lalu Nabi Yahya Alaihissalam berkata kepada Iblis: “Ceritakan

kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu”.

Lalu Iblis menjawab:

1. Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini. Mereka ini terpelihara (daripada kejahatan dan dosa).

2. Golongan yang kedua adalah mereka yang berada dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.

3. Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.

 Sendi-sendi kekuatan dalam memerangi nafsu

1. Hati:

Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Saidina Ali Radiallahuanhu yang bermaksudi:

Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati … maka hati yang paling disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala ialah hati yang lembut, bersih dan cekal. Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah-kalimah tersebut dengan) katanya: Cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mu’min.

 Saidina Ali juga berkata:

 Hati seorang mu’min itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam serta berpenyakit.

Al-Quran Al-Karim memberi gambaran tentang hati orang mu’min menerusi firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِيمَٰنٗا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Rablah mereka bertawakkal.

(Surah Al-Anfal : 2)

Dalam menggambarkan sifat-sifat hati orang kafir pula Allah Subhanahuwata‘ala menjelaskan:

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.

(Surah Al-Hajj : 46)

Allah Subhanahuwata‘ala juga berfirman:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَآ

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?

(Surah Muhammad : 24)

2. Akal

Akal adalah ciptaan Allah Subhanahuwata‘ala yang dapat melihat, memahami, membeza dan menyimpan ilmu yang dapat menghampirkan diri dengan Allah Subhanahuwata‘ala, mengetahui keagungan-Nya dan kekuatan-Nya. Akal seperti inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.

(Surah Al-Fatir: 28).

Oleh kerana tingginya nilai akal, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan ilmu berkaitan din (agama) agar ia dapat memandu segala tindakan dan membezakan yang hak dengan yang batil. Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

مَن يُردِ اللَّهُ بهِ خَيرًا يُفقِّهُّ في الدِّينِ

Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya, maka diberikan kefahaman yang mendalam dalam din (agama).

(Riwayat al-Wadh‘ie)[3]

 Ini membuktikan betapa tinggi nilai dan kesan akal dalam membina kekuatan dalam diri manusia.

Akal seorang mu’min adalah akal yang waras serta mampu membezakan yang buruk dengan yang baik, yang halal dengan yang haram dan kebaikan dengan kemungkaran.Ini kerana aqal itu melihat dengan cahaya Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورٗا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ

Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun

(Surah Al-Nur : 40).

Cahaya akal seseorang mu’min itu sentiasa bersinar dan tidak dapat dipadamkan kecuali oleh maksiat yang berkekalan atau maksiat yang dilakukan secara terang-terangan atau maksiat yang tidak diikuti dengan taubat. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjelaskan:

مَنْ قارفَ ذنبًا فارقَهُ عقلٌ لا يعودُ إليه أبدًا

Sesiapa yang melakukan dosa maka bercerailah akalnya dari dirinya, ia tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya.

(Riwayat al-Iraqi)[4]

Oleh itu, untuk menghadapi serangan hawa nafsu, maka isilah hati dengan iman dan isilah akal dengan ilmu yang benar.

 Rujukan:

Apa Ertinya Saya Menganut Islam (Terjemahan dari kitab: Maza Ya’ni Intima’i Lil-Islam), Fathi Yakan.

[1] Sahih Muslim, no.hadits : 144

[2] Al-Majruhin, no.hadits dan  juzu’ : 2/87

[3] As-Sahih Al-Musnad, no.hadits : 618

[4] Takhrij al-Ihya’, no.hadits dan juzu’ : 3/16

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button