PENYAKIT-PENYAKIT yang biasa terdapat dalam jiwa manusia ialah seperti berikut:
-
- Mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.
- Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahuwata’ala.
- Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada hamba yang muslim.
- Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi dan disokong Allah Subhanahuwata’ala.
- Meninggalkan keputusan Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan, sebaliknya mengambil keputusan yang lain. Dalam realiti kini, banyak ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahuwata’ala dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia. Manusia tidak memberi harga dan nilai yang sepatutnya kepada kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah Subhanahuwata’ala. Mungkin terdapat segelintir manusia daripada umat ini yang memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan Allah Subhanahuwata’ala. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah Subhanahuwata’ala maka dirasakan menjatuhkan maruah, seterusnya bersikap tidak mempedulikan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Ini satu penyakit jiwa.
- Tidak merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup yang meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.
- Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahuwata’ala, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain Allah Subhanahuwata’ala. Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka sudah tentu tiada lagi pergantungan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat ini dinilai berasaskan praktik hidup manusia hari ini, meskipun dari segi dakwaan mereka mengakui merujuk dan bergantung Allah Subhanahuwata’ala. Inilah yang sedang nyata berlaku.
- Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala.Allah Subhanahuwata’ala memberitahu bahawa orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh akan mendapat syurga. Allah juga memberitahu orang yang menentang-Nya dijanjikan azab neraka. Namun dalam perlaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Jika manusia yakin akan janji-janji itu, sudah tentu realiti manusia berbeza daripada apa yang ada sekarang. Kini secara meluas manusia berasa curiga dan syak dengan janji-janji dan ingatan-ingatan Allah Subhanahuwata’ala.
Itulah perkara-perkara atau sebab-sebab yang membawa penyakit kepada jiwa manusia.
Ubat yang mujarab
Tidak ada ubat yang boleh mengubati penyakit-penyakit itu melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam. Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.
-
- Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala.
- Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala.
- Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut dan kembali melakukannya.
- Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka, redha dan cinta terhadapnya.
- Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua hal kehidupan. Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan tidak boleh terlepas daripada keputusan Allah Subhanahuwata’ala. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan kepada keputusan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu merujuk dan kembali kepada syara’ atau Islam sahaja.
- Jika penyakit itu ialah memandang kecil dan hina terhadap nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah kembali menilai dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala. Manusia harus diberi kefahaman sebenar terhadap nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala. Dengan cara ini barulah penyakit tersebut dapat sembuh.
Keriangan orang yang mentauhidkan Allah
Keseluruhan cara pengubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap penyakit-penyakit jiwa. Penyakit mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala, disembuhkan dengan cara kembali mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Tauhid kepada Allah Subhanahuwata’ala akan membuka pintu kebaikan, kegembiraan, dan keriangan. Riang dan gembira orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpura-pura. Keriangan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam. Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang yang mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka sentiasa bertindak di atas landasan syara’. Sekiranya mereka bertindak di atas landasan syara’ tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit dalam jiwa mereka.
Taubat
Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri daripada segala perkara yang bertentangan dengan Islam, yang boleh merosakkan jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai bukan Islam dan kembali kepada nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat. Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristighfar kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripada makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.
Dosa melemah dan mematikan jiwa
Thabit bin Qurrah berkata:
Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Abdullah bin Mubarak berkata:
Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa
Realiti kini
Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya menderhakai syara’ atau ajaran Islam. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan. Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara’, lalu syara’ dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. Jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit. Penyakit mencerca Allah Subhanahuwata’ala berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, Allah Subhanahuwata’ala menurunkan hujan. Kedapatan manusia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan ’malam amal’ atau majlis-majlis tidak syar’i yang tertentu. Walaupun Allah Subhanahuwata’ala mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-istidraj. Allah SWT dengan terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan. Mencerca Allah Subhanahuwata’ala juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya. Realiti ini menjadi semakin payah dan sukar bagi para doktor (para penda’wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada umat keseluruhannya.
Mengubati dengan rahmat Allah SWT
Menurut Ibn al-Qayyim:
Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu kecuali hanya rahmat Allah Subhanahuwata’ala ke atas mereka sahaja.
Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhubung dan bergantung dengan Allah Subhanahuwata’ala. Abdullah bin ‘Abbas berkata:
Doa kita harus mengandungi tauhid dan mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahuwata’ala sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah.
Maksudnya, do’a pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman dan keyakinan akan sifat-sifat Allah Subhanahuwata’ala. Dengan cara ini barulah pendakwah-pendakwah boleh mengharapkan doa itu dimakbulkan Allah Subhanahuwata’ala.
Oleh: Ustaz Dahlan Mohd Zain
Rujukan: Kitab Ibn al-Qayyim al-Jauzi