Ibadah

Menjauhi Hal-Hal Yang Haram

اِتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ

Peliharalah dirimu daripada perkara yang haram, nescaya kamu akan menjadi ahli ibadat yang paling hebat

(Riwayat at-Tirmizi)[1]

Sekilas Penjelasan

Hadits ini menyeru agar setiap muslim menjaga dirinya daripada sesuatu yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala apabila beliau ingin menjadi seorang ahli ibadah yang hebat. Ini kerana salah satu sasaran terpenting daripada ibadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala adalah merealisasikan ketaatan mutlak kepada Allah Subhanahuwata‘ala dengan menjalankan hal-hal yang diperintahkan-Nya dan menjauhi hal-hal yang dilarang-Nya

Hikmah Tarbawiyah

Mengapa menjauhi hal haram dikira ahli ibadah terhebat?

1. Menjauhkan diri daripada hal-hal yang haram adalah salah satu ibadah yang terbaik. Al-Hasan berkata:

 Tidak ada sesuatu ibadah yang dilakukan oleh para ahli ibadah yang jauh lebih utama daripada meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

(Jami’ al-‘Ulum Wa al-Hikam)

2. Mencegah daripada hal-hal yang haram adalah sasaran utama setiap ibadah yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ

Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

(Surah Al-Ankabut: 45)

Setiap ibadah mempunyai fungsi penghapus dosa. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

الصَّلواتُ الخمسُ والجمُعةُ إلى الجمعةِ ورمضانُ إلى رمضانَ مُكفِّراتٌ ما بينَهنَّ إذا اجتنَبَ الْكبائرَ

Solat lima waktu dan solat jumaat ke solat jumaat serta bulan ramadhan ke bulan ramadhan berikutnya antaranya adalah penebus dosa-dosa kecil diantara waktu tersebut selagi mana pelakunya menghindarkan diri daripada dosa-dosa besar.

(Riwayat Muslim)[2]

3. Menjauhkan diri daripada perkara yang haram akan membakar semangat yang tinggi bagi seorang hamba dalam melakukan pelbagai bentuk ibadah, sehinggalah ia akan menjadi ahli ibadah yang paling hebat. Ini kerana hal-hal yang haram akan melemahkan semangat untuk melakukan ibadat. Ibnu al-Qayyim berkata:

 Antara akibat buruk melakukan dosa adalah melemahkan aktiviti hati menuju kepada Allah Subhanahuwata’ata dan akhirat. Bahkan menghalangi, menghenti dan memutuskan hati daripada aktiviti ibadat. Dosa-dosa yang dilakukannya tidak akan membiarkan ia melangkah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala meskipun hanya satu langkah. Lebih parah daripada itu, dosa-dosa akan menyeretnya ke belakang.

(Al-Jawab al-Kafi)

Makna memelihara diri daripada perkara yang haram

1. Menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

إنَّ اللَّهَ تعالى فرضَ فرائضَ فلا تضيِّعوها وحدَّ حدودًا فلا تعتدوها وحرَّمَ أشياءَ فلا تنتَهكوها وسَكتَ عن أشياءَ لَكم رحمةً فلا تبحثوا عنْه

Sesungguhnya Allah telah menetapkan sejumlah kewajipan, maka janganlah kamu menyia-nyiakannya. Dia telah menetapkan batasan-batasan (hukum), maka janganlah kamu melanggarnya. Dia telah mengharamkan sejumlah perkara, maka janganlah kamu terjatuh ke dalamnya. Dia telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untukmu, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mempersoalkannya.

(Riwayat an-Nawawi)[3]

 ما نَهَيْتُكُمْ عنْه فاجْتَنِبوهُ . وما أمرْتُكُمْ بِهِ فافعلوا منه ما استَطَعْتُم

Apa yang aku larang atas kamu, maka tinggalkanlah dan apa yang aku perintahkan atas kamu, maka laksanakanlah sesuai kemampuan kamu.

(Riwayat Muslim)[4]

2. Menjauhi perkara yang syubhah.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

الحلالُ بيِّنٌ، والحرامُ بيِّنٌ، وبينهما مُشَبَّهاتٌ لا يعلمُها كثيرٌ من الناسِ، فمَنِ اتقى المُشَبَّهاتِ استبرَأ لدينِه وعِرضِه، ومَن وقَع في الشُّبُهاتِ: كَراعٍ يرعى حولَ الحِمى يوشِكُ أن يواقِعَه، ألا وإن لكلِّ ملكٍ حِمى، ألا وإن حِمى اللهِ في أرضِه مَحارِمُه

Sesungguhnya, perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara syubhah yang kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa menghindari perkara syubhah, maka ia telah membersihkan din dan kehormatannya. Barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara syubhah, maka ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Seperti pengembala kambing mengembala kambing di sekitar pagar larangan (milik orang), dikhuatiri kambingnya akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki kawasan larangan (undang-undang), ketahuilah bahawa kawasan larangan Allah adalah apa yang diharamkan-Nya.

(Riwayat al-Bukhari)[5]

3. Menjauhkan diri daripada perkara yang dikhuatiri akan menyeretnya kepada sesuatu yang haram. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

تمامُ التَّقوى أن يتَّقيَ اللَّهَ العبدُ ، حتَّى يتَّقيَهُ من مثقالِ ذرَّةٍ وحتَّى يترُكَ ما يرى أنَّهُ حلالٌ خشيةَ أن يَكونَ حرامًا حجابًا بينَهُ وبينَ الحرامِ

Kesempurnaan taqwa adalah seorang hamba itu takutkan Allah walaupun dalam sekecil-kecil perkara sebesar zarah bahkan dia meninggalkan perkara yang halal kerana takut jatuh kepada yang haram bagi mendinding dirinya daripada perkara yang haram

(Riwayat Ibn Rejab)[6]

Langkah-langkah untuk memelihara diri daripada perkara yang haram

1. Ilmu tentang halal dan haram

Tanpa ilmu, seseorang sudah pasti akan mudah terjerumus ke dalam hal yang haram.

2. Tadzkiyatun-nafs

Pengetahuan tentang halal dan haram sahaja tidak mencukupi untuk mendorong seseorang agar meninggalkan hal yang haram. Seringkali manusia kalah di hadapan nafsunya, sehingga dia melakukan perkara haram walaupun mengetahui bahawa sesuatu hal itu haram. Maka dia memerlukan pembersihan hati daripada sifat-sifat madzmumah (tercela).

3. Penegakan hukum

Pengetahuan dan kebersihan hati kadang-kadang belum cukup untuk mencegah seseorang daripada melakukan hal yang haram. Di sana perlu ada hakim-hakim yang tegas terhadap orang yang melakukan perkara haram, di mana dengan hukuman itu boleh menakutkannya sehingga ia tidak ingin melakukan perkara yang haram.

4. Amar ma’ruf nahi mungkar

Apabila seseorang mengajak orang lain melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, maka ini akan membantunya untuk membuang perasaan ingin melakukan hal yang haram.

5. Berdoa Kepada Allah Subhanahuwata‘ala

Perkara yang sangat penting ialah berdoa kepada Allah Subhanahuwata‘ala supaya Dia membantu dan memberi perlindungan daripada godaan syaitan dan nafsu, serta membersihkan jiwa dan meningkatkan taqwa.

 

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.

[1] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2305

[2] Sahih Muslim, no.hadits : 233

[3] Bustanul ‘arifin, no.hadits : 44

[4] Sahih Muslim, no.hadits : 1337

[5] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 52

[6] Fathul Bari Li Ibn Rejab, no hadits : 1/15

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button