Ibadah

Hukum-Hakam Puasa Dan Amal-Amal Utama Di Bulan Ramadhan

MUQADDIMAH

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣ أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٤ شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

WAHAI
orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu
agar kamu bertaqwa, iaitu pada beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (maka dibolehkan untuknya berbuka), kemudian (wajiblah baginya menqadha puasanya) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang mampu (jika mereka berbuka puasa) membayar fidyah, iaitu: memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagimu berbanding berbuka dan membayar fidyah jika kamu mengetahui. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran (pada malam Lailatul Qadr) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu mendatangi bulan Ramadhan dalam keadaan dia bermukim, maka wajib baginya berpuasa pada bulan tersebut. Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (maka dibolehkan untuknya berbuka), kemudian (wajiblah baginya menqadha puasanya) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah hendak memberi kemudahan bagimu, dan tidak ingin memberi kesusahan bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (sebulan penuh) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (pada akhir Ramadhan dan pada Hari ‘Idul Fitri) di atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah : 183-185)

DEFINISI PUASA RAMADHAN & HUKUM ASAS MENGENAINYA

1. Definisi puasa: Menahan diri daripada makan, minum, jima’ dan seluruh hal yang dapat membatalkan puasa, dengan niat beribadat kepada Allah ta’ala, bermula terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari.

2. Hukumnya : wajib atas setiap muslim yang telah baligh, berakal, mampu melaksanakannya dan muqim (menetap).

3. Ramadhan ditetapkan dengan melihat hilal (anak bulan) atau menyempurnakan bulan Sya’ban sebanyak 30 hari jika terhalang daripada melihat hilal. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُبِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ
Berpuasalah karena melihat hilal dan berbukalah karena melihatnya. Apabila (penglihatan) kamu terhalang, maka sempurnakan bulan Sya’ban tiga puluh hari.  (HR Bukhari)

4. Hukum Niat : wajib berniat untuk puasa Ramadhan dan bagi orang yang berpuasa cukuplah baginya meniatkan di dalam hatinya sebelum masuk waktu Subuh hari yang dia ingin berpuasa. Maka barangsiapa yang bersahur sebelum subuh maka ia telah berniat. Kata Ibnu Umar Radhiallahu’anhu :

من لَم يُجمعِ الصِّيامَ قبلَ الفجرِ ، فلا صيامَ لَهُ
Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.  (HR Bukhari)

– Adapun puasa sunat umum, tidak disyaratkan niat pada malam harinya. Jika puasa sunat khusus seperti puasa Hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya seeloknya berniat pada malam harinya.

– Sesiapa yang sedang berpuasa wajib seperti nazar, qadha dan kaffarah, maka dia mesti menyempurnakannya dan tidak boleh berbuka tanpa keuzuran.

FADHILAT RAMADHAN & PUASA

1. Allah Ta’ala berfirman:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ
Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an. (Surah Al-Baqarah : 185)

2. Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ ١
Sesungguhnya kami menurunkannya di malam Lailatul Qadr. (Surah Al-Qadr : 1)

– Malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan.

3. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda :

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوَابُ جَهَنَّمَ وسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Apabila Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka Jahannam ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu. (HR Bukhari)

4. Di dalam hadits riwayat Imam at-Tirmizi :

وينادي مُنادٍ يا باغِيَ الخيرِ أقبِلْ، ويا باغِيَ الشَّرِّ أقصِرْ وللهِ عُتَقاءُ من النارِ، وذلك كلَّ ليلةٍ
Berseru seorang penyeru, wahai orang yang menghendaki kebaikan lakukan dan laksanakanlah, wahai orang yang menghendaki keburukan kurangilah. Dan di sisi Allah orang yang dibebaskan daripada neraka dan hal ini terjadi pada setiap malam sampai berakhirnya Ramadhan.
(HR at-Tirmizi)

5. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda :

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إلى سَبْعمِئَة ضِعْفٍ، قالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: إلَّا الصَّوْمَ، فإنَّه لي وَأَنَا أَجْزِي به، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِن أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ وَلَخُلُوفُ فيه أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِن رِيحِ المِسْكِ
Setiap amal anak Adam akan digandakan, satu kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh kali ganda sehingga sampai tujuh ratus kali ganda, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman : Kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan mengganjarinya. Dia meninggalkan syahwat dan makanannya hanya kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia bertemu dengan Rabbnya. Demi jiwa Muhammad di dalam tangan-Nya, sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah pada hari akhirat berbanding bau wangian kasturi. (HR Muslim)

6. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

إنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ له الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ منه الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لا يَدْخُلُ منه أحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ لا يَدْخُلُ منه أحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ منه أحَدٌ
Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan tidak ada seorangpun selain mereka yang dapat memasukinya. Dikatakan: Di manakah orang yang berpuasa? Lalu mereka masuk melalui pintu tersebut. Apabila orang terakhir dalam kalangan mereka memasukinya, pintu tersebut ditutup, dan tidak ada seorang pun yang dapat memasukinya lagi. (HR Bukhari)

7. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

مَن صامَ رَمَضانَ إيمانًا واحْتِسابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
Barang siapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (mengharap balasan daripada Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (HR Bukhari)

8. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

الصَّلَوَاتُ الخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إلى الجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إلى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ ما بيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الكَبَائِرَ
Antara solat lima waktu, antara jumaat ke jumaat yang lain dan antara ramadhan ke ramadhan yang lain, merupakan kaffarat (penghapus dosa) diantaranya, selama dosa-dosa besar dijauhi.
(HR Muslim)

9. Daripada Abi Umamah Radhiallahu’anhu beliau berkata : Aku mendatangi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan aku berkata :

مُرْني بعملٍ يُدخِلُني الجنَّةَ
Tunjukkan padaku amalan yang dapat memasukkan aku ke syurga.

Baginda menjawab :

قال: عليك بالصَّومِ؛ فإنَّه لا عِدلَ له
Hendaklah kamu berpuasa kerana tidak ada yang setanding dengannya.

ثُمَّ أتَيتُه الثَّانيةَ، فقال لي: عليك بالصِّيامِ
Kemudian aku mendatangi baginda kali kedua, baginda tetap menjawab: Hendaklah kamu berpuasa. (HR Ahmad)

10. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

ما مِن عَبْدٍ يَصُومُ يَوْمًا في سَبيلِ اللهِ، إِلَّا بَاعَدَ اللَّهُ، بذلكَ اليَومِ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, melainkan Allah akan jauhkan wajahnya dengan hari itu daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun. (HR Muslim)

11. Rasulullah sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda :

الصِّيامُ والقرآنُ يشفعان للعبدِ يومَ القيامةِ يقولُ الصِّيامُ : يا رَبِّ ، إنِّي مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ والشَّرَابَ والشَّهَوَاتِ بِالنَّهارِ ، فَشَفِّعْنِي فيهِ ، ويقولُ القرآنُ: يا رَبِّ ، إنِّي مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِالليلِ فَشَفِّعْنِي فيهِ ، فَيُشَفَّعَانِ فيهِ
Puasa dan Al-Qur’an akan memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata : Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menahannya daripada makan dan syahwat di siang hari, maka berikanlah aku syafaat padanya. Dan Al-Qur’an pula berkata: Wahai Tuhanku aku telah menahannya daripada tidur di malam hari, maka berikanlah aku syafaat padanya. Sabda Nabi: Maka kedua-duanya diberi syafaat.  (HR Ahmad)

ADAB DI BULAN RAMADHAN

1. Menjaga kefarduan yang lain terutamanya solat. Diantara orang yang berpuasa ada orang yang meninggalkan solat, sedangkan solat merupakan tiang agama dan meninggalkannya boleh membawa kepada kekufuran.

2. Menyempurnakan puasa Ramadhan. Latihlah anak-anak kita untuk berpuasa bila-bila sahaja jika mereka mampu dan berhati-hatilah daripada berbuka (membatalkan puasa) dengan sengaja di bulan Ramadhan tanpa ada keuzuran. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam pernah melihat sebuah kaum di dalam mimpinya:

مُعلَّقينَ بعراقيبِهم مُشقَّقةٍ أشداقُهم تسيلُ أشداقُهم دَمًا فقُلْتُ : مَن هؤلاءِ ؟ فقيل : هؤلاءِ الَّذينَ يُفطِرونَ قبْلَ تحِلَّةِ صومِهم
Yang digantung terbalik dengan kepala di bawah, mulut-mulut mereka terkoyak dan dari mulut mereka keluar darah bercucuran. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bertanya: Siapakah mereka ini? (Malaikat) menjawab :Mereka adalah orang yang berbuka sebelum tiba waktu berbuka puasa. (HR Ibnu Hibban)

Barangsiapa yang membatalkan puasanya sehari dengan sengaja maka wajib ke atasnya mengqadha’nya dan bertaubat.

3. Berhati-hatilah daripada berbuka puasa di hadapan manusia.

Sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam :

كُلُّ أُمَّتي مُعافًى إلَّا المُجاهِرِينَ،
Seluruh umatku terampun dosanya kecuali mujahirin (orang yang melakukan kemaksiatan kepada orang ramai atau menceritakannya kepada mereka).  (HR Bukhari)

4. Menjaga perilaku dan akhlak. Hindari daripada mencela agama serta berkelakuan buruk terhadap orang lain. Puasa sepatutnya dapat menjaga tingkah laku kita daripada melakukan perkara-perkara yang buruk dan keji.

Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam bersabda:

وإذَا كانَ يَوْمُ صَوْمِ أحَدِكُمْ فلا يَرْفُثْ ولَا يَصْخَبْ، فإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah berkata keji dan jangan pula bertengkar dan berkelahi. Apabila ada seorang yang mencela atau melawannya, maka katakanlah : sesungguhnya aku sedang berpuasa. (HR Bukhari)

5. Menjaga lidah daripada mengumpat, berbohong dan sebagainya.

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به والجَهْلَ، فليسَ لِلَّهِ حاجَةٌ أنْ يَدَعَ طَعامَهُ وشَرابَهُ
Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta atau melakukan kedustaan, maka Allah tidak berhajat pun kepada puasanya yang meninggalkan makan dan minum.  (HR Bukhari)

Dan dalam hadits yang lain:

كم مِن صائمٍ ليس له مِن صيامِه إلَّا الجوعُ،
Betapa ramai orang yang berpuasa, namun dia tidak mendapatkan dari puasanya melainkan hanya kelaparan. (HR Ahmad)

6. Bacalah buku-buku atau artikel-artikel berkaitan dengan masalah puasa, supaya kita dapat mengetahui hukum-hukam yang berkaitan dengannya dan kita berpuasa dan beribadat dengan penuh keyakinan serta mengikuti sunnah baginda Sallahu‘alaihiwasallam.

SUNNAH DALAM BERPUASA

1. Bersahur.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda :

تَسَحَّرُوا فإنَّ في السَّحُورِ بَرَكَةً
Bersahurlah, karena di dalam bersahur itu ada keberkatan. (HR Bukhari)

2. Menyegerakan berbuka puasa.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

لا يَزَالُ النَّاسُ بخَيْرٍ ما عَجَّلُوا الفِطْرَ
Sentiasa manusia dalam keadaan yang baik selama mereka menyegerakan berbuka. (HR Bukhari)

عجِّلوا الفطرَ فإنَّ اليَهودَ يؤخِّرونَ
Ini kerana amalan ini menyelisihi amalan orang yahudi yang melewat-lewatkan berbuka.
(Mafhum hadits riwayat Ibnu Majah, yang dihasankan oleh Al-Albani)

3. Memulakan berbuka puasa dengan ruthob (kurma basah) atau apa-apa kurma.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu’anhu berkata:

كان النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يفطر قبل أن يصليَ على رطباتٍ، فإن لم تكن رطباتٌ فتُميراتٌ، فإن لم تكن تُميراتٌ، حسا حسَواتٍ من ماءٍ
Adalah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam sebelum menunaikan solat berbuka dengan beberapa ruthob (kurma basah), dan apabila tidak mendapati ruthob beginda berbuka dengan beberapa tamar (kurma kering), dan apabila tidak ada tamar baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
(HR Tirmizi)

4. Berdoa sebelum berbuka puasa.

Sabda Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam:

ثلاثةٌ لا تُردُّ دعوتُهم الصَّائمُ حتَّى يُفطِرَ والإمامُ العادلُ ودعوةُ المظلومِ
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu : orang yang berpuasa ketika berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi.(HR Tirmizi)

5. Doa berbuka puasa.

Daripada Ibnu Umar ra berkata: Adalah nabi sallahu ‘alaihi wa sallam ketika ingin berbuka puasa baginda berdoa:

ذَهبَ الظَّمأُ، وابتلَّتِ العروقُ، وثبتَ الأجرُ إن شاءَ اللَّهُ
Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat serta telah ditetapkan pahala dengan izin Allah.
(HR Abu Daud)

GOLONGAN YANG DIBENARKAN UNTUK TIDAK BERPUASA

1. Orang yang sakit dan musafir, maka wajib atas mereka qadha’ (menggantinya), sebagaimana firman Allah Ta’ala :

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ
Maka barang siapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), (maka dibolehkan untuknya berbuka), kemudian (wajiblah baginya menqadha puasanya) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah : 184)

– Adapun seorang yang sakitnya tidak ada harapan untuk sembuh dan orang yang terlalu tua dan tersangat uzur, maka wajib ke atasnya memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari dengan makanan yang mengenyangkan.

– Dan dibolehkan memberi makan orang yang sama untuk setiap hari yang tidak berpuasa.

2. Wanita datang haidh atau nifas, maka wajib ke atas mereka menqadhanya, sebagai mana ucapan ‘Aisyah Radhiallahu‘anha:

فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Kami diperintahkan untuk menggantikan puasa namun tidak diperintahkan untuk menggantikan solat. (HR Muslim)

3. Wanita hamil dan wanita menyusui yang bimbang terhadap (kesehatan) bayinya atau dirinya dan bayinya, maka wajib atas mereka menqadhanya kerana ia termasuk dalam penyakit yang boleh sembuh.

PEMBATAL-PEMBATAL PUASA

Ianya ada dua jenis:

1. Yang membatalkan puasa dan hanya wajib menqadhanya, iaitu:

a. Makan dan minum.
b. Muntah dengan sengaja.
c. Wanita yang datang haid atau nifas, walaupun dia berada pada waktu akhir menjelang terbenamnya matahari.

2. Yang membatalkan puasa dan wajib menggantikannya serta mebayar kaffarah, iaitu jima’. Kaffarahnya ialah: membebaskan seorang hamba, jika tidak ada maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu maka memberi makan enam puluh orang miskin.

PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

1. Makan dan minum kerana lupa, keliru (maksudnya, mengira sudah masuk waktu berbuka tetapi sebenarnya belum) atau terpaksa. Tidak wajib menggantikannya ataupun membayar kaffarah, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam :

Barangsiapa yang lupa sedangkan dia sedang berpuasa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum. (muttafaqun ’alaih)

Dan sabda baginda yang lain :

Sesungguhnya Allah mengangkat (beban taklif) daripada umatku (dengan sebab) tersilap, lupa dan keterpaksaan. (HR Tabrani)

2. Muntah tanpa disengajakan, sebagai mana sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam:

Barangsiapa yang muntah sedangkan dia dalam keadaan berpuasa maka tidak wajib ke atasnya menggantikannya. (HR Hakim)

3. Mencium isteri, baik untuk orang yang telah tua maupun masih muda selama tidak terjadinya jima’. Dari ’Aisyah radhiyallahu’anha beliau berkata :

Rasulullah pernah mencium (isteri-isteri baginda) sedangkan beliau dalam keadaan berpuasa, baginda juga pernah bermesraan sedangkan beliau dalam keadaan berpuasa. Namun baginda adalah orang yang paling mampu menahan kehendaknya. (muttafaqun ’alaih)

4. Bermimpi di siang hari walaupun keluar air mani.

5. Mengakhirkan mandi junub, haidh atau nifas dari malam hari hingga terbitnya fajar. Namun wajib baginya menyegerakannya untuk menunaikan solat.

6. Menggunakan wangian di siang hari pada bulan Ramadhan.

7. Berkumur dan istinsyaq (menghirup air ke dalam rongga hidung) secara tidak berlebihan, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam kepada Laqith bin Shobirah:

أسبغِ الوضوءَ ، وخلّلْ بينَ الأصابعِ ، وبالغْ في الاستنشاقِ ، إلا أن تكونَ صائمًا
Sempurnakanlah wudhu’, sela-selakanlah jari jemari, dan hiruplah air dengan ke dalam hidung dengan kuat melainkan jika kamu sedang berpuasa. (HR Tirmizi)

8. Menggunakan siwak bila-bila masa sahaja.

9. Mencicipi makanan dengan syarat tidak sampai ke dalam perut.

10. Bercelak dan menitiskan ubat mata ke dalam mata.

11. Suntikan (injection) selain suntikan nutrisi dalam segala jenisnya.

12. Menelan air liur, kahak dan segala (benda) yang tidak mungkin terhindar daripadanya seperti debu, habuk atau sejenis dengannya.

13. Mengguna ubat-ubatan yang tidak masuk ke dalam pencernaan seperti inhaler bagi orang yang asma.

14. Mandi pada siang hari.

15. Apabila fajar telah terbit namun gelas masih ada di tangannya, maka janganlah diletakkannya melainkan setelah dia menyelesaikan hajatnya, sebagai mana sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam:

إذا سَمِع أحَدُكم النِّداءَ والإناءُ على يدِهِ فلا يضَعْهُ حتَّى يَقضيَ حاجتَهُ منه
Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan dikumandangkan sedangkan gelas masih berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan hajatnya tersebut (meminumnya). (HR Abu Dawud)

16. Berbekam, kerana Nabi Sallallahu’alaihiwasallam pernah berbekam sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. (muttafaqun ’alaih).

Adapun hadits yang lain menyebutkan (maksud):

Orang yang membekam dan dibekam puasanya batal. (HR Ahmad) maka statusnya mansukh dengan hadits sebelumnya dan dalil-dalil yang lainnya.

AMALAN-AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADHAN

1. Berpuasa.

2. Melaksanakan umrah.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

فإنَّ عُمْرَةً في رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أوْ حَجَّةً مَعِي
Sesungguhnya umrah pada bulan ramadhan menyamai pahala melaksanakan haji bersamaku.
(HR Bukhari)

3. Solat malam (Qiyamullail)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مَن قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
Barangsiapa yang bangun solat malam pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang telah lalu.(HR Muslim)

Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam sendiri melaksanakan solat malam sebanyak 13 rakaat, termasuk solat witir dan dua rakaat solat sunat fajar. (HR Bukhari)

– Kata Aisyah Radhiaallahu’anha:

كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إذَا دَخَلَ العَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ، وأَحْيَا لَيْلَهُ، وأَيْقَظَ أهْلَهُ
Adalah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam apabila telah memasuki sepuluh (hari terakhir Ramadhan), beliau akan mengikat kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.
(HR Bukhari)

– Sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ في الوِتْرِ، مِنَ العَشْرِ الأوَاخِرِ مِن رَمَضَانَ
Carilah malam Lailatul Qodr pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. (HR Bukhari)

– Aisyah bertanya kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam:

يا رسولَ اللهِ، أرأَيْتَ إنْ علِمْتُ أيَّ ليلةٍ ليلةَ القدرِ ما أقولُ فيها؟ قال: قولي: اللَّهمَّ إنَّك عفُوٌّ كريمٌ تُحِبُّ العفْوَ، فاعْفُ عنِّي
Wahai Rasulullah, apakah pendapat kamu apabila aku ditaqdirkan bertemu malam lailatul qadr, apa yang sepatutnya aku ucapankan padanya? Baginda menjawab : “Ucapkanlah :Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengampuni, maka ampunilah aku.
(HR Tirmizi)

4. Beri’tikaf.

Kata Abu Hurairah Radhiallahu’anhu:

كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَعْتَكِفُ في كُلِّ رَمَضَانٍ عَشَرَةَ أيَّامٍ، فَلَمَّا كانَ العَامُ الذي قُبِضَ فيه اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا
Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam beriktikaf 10 hari pada setiap kali Ramadhan, akan tetapi pada tahun baginda diwafatkan baginda beriktikaf 20 hari. (HR Bukhari)

Disunatkan bagi orang yang beriktikaf untuk memperbanyakkan ibadat-badat sunat seperti solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain.

5. Membaca Al-Quran

Berkata Ibnu ‘Abbas Radhiallahu’anhu:

كانَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أجْوَدَ النَّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضَانَ، فيُدَارِسُهُ القُرْآنَ
Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam orang yang paling dermawan, dan baginda akan menjadi lebih dermawan apabila berada di bulan Ramadhan sewaktu Jibril bertemu dengan baginda. Dan pertemuan itu berlaku pada setiap malam dalam bulan Ramadhan maka dia mengajarkan baginda Al-Quran. (HR Bukhari)

6. Bersedekah.

Berkata Ibnu ‘Abbas Radhiallahu’anhu:

فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عليه السَّلَامُ، كانَ أجْوَدَ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maka apabila Jibril telah bertemu dengan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, baginda menjadi orang paling cepat memberi kebaikan lebih laju daripada angin bertiup.  (HR Bukhari)

7. Berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah ta’ala:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ ١٨٦
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah): bahawasanya aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka berada dalam kebenaran.  (Surah Al-Baqarah: 186).

Kata Imam Ibnu Katsir Rahimahullah:

Dalam ayat ini Allah ta’ala menyeru kita untuk berdoa, yang mana ayat ini disebutkan dicelah-celah ayat tentang hukum-hakam puasa. Ini memberi petunjuk untuk kita bersungguh-sungguh di dalam berdoa setelah selesai tempoh berpuasa, bahkan pada setiap kali berbuka puasa. (Tafsir Ibnu Katsir {1/233})

8. Banyakkan bersabar.

Sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam:

صومُ شهرِ الصَّبرِ وثلاثةُ أيامٍ من كلِّ شهرٍ صومُ الدَّهرِ
(Puasa) bulan kesabaran (iaitu Ramadhan) dan tiga hari pada setiap bulan menyamai puasa setahun. (HR Nasaie)

9. Istighfar & Taubat.

Ramadhan berasal dari kalimah (رمض) yang bermaksud membakar. Kata Imam Al-Qurthubi Rahimahullah:

Sesungguhnya Ramadhan kerana membakar dosa dengan amal-amal soleh.
(Tafsir Al-Qurthubi : 2/2910)

Ia juga bertepatan dengan hadits nabi yang berbunyi:

مَن صامَ رَمَضانَ إيمانًا واحْتِسابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
Barang siapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (mengharap balasan daripada Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.(HR Bukhari)

10. Memberi makan orang berbuka puasa.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

مَن فطَّر صائمًا كان له مِثْلُ أجرِه مِن غيرِ أنْ ينقُصَ مِن أجرِه شيئًا
Barangsiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, maka baginya pahala sebagai mana pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun. (HR Tabrani)


Susunan : Ustaz Mohammad Fathan Adi Tarmizi

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button