Fikrah

Erti Menerima Islam

RAGAM manusia hari ini menerima Islam

Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut din Islam  tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walaupun tidak melaksanakan kewajipan-kewajipannya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam semata-mata. Al-Quran merupakan kitab Allah Subhanahuwata‘ala yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam untuk difahami dan dijadikan panduan hidup umat manusia.

Ramai juga orang yang memeluk Islam seolah-olah seperti suatu hobi atau suatu fesyen, yang mempamerkan diri secara zahir sahaja, melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solat.

Erti menerima Islam

Islam adalah din (peraturan hidup) yang ditentukan Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rab. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup.

Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan ilahnya daripada Allah Subhanahuwata’ala kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.

Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya sama ada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.

Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.

Sesuaikan diri dengan Islam

Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.

Islam adalah din yang lengkap dan menyeluruh yang ditentu dan diturunkan Allah Subhanahuwata’ala.  Islam mencakupi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan dirinya dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan.

Hati yang cemas

Din Islam tidak lahir dalam praktik hidup masyarakat kini. Hati yang beriman perlu merasa cemas apabila melihat sistem Islam tidak wujud di muka bumi. Hati yang cemas tidak akan berdiam diri daripada bertindak untuk menyelamatkan manusia yang berada dalam keadaan sedemikian. Sesungguhnya hati yang beriman hendaklah mengambil Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Pada masa yang sama mengenepikan sistem-sistem hidup yang lain secara keseluruhannya. Islam tidak mungkin dapat mengisi suatu tempat yang masih terisi sistem jahiliah kecuali tempat itu dikosongkan dahulu.

Hati-hati akan berkumpul

Setiap manusia memiliki hati. Hati yang sedar dan insaf akan mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk  suatu kehidupan yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah Subhanahuwata’ala mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain.

Wajib mengikuti jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang dibimbing oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Din itu sendiri. Kita tidak boleh membuat sebarang pindaan terhadap jalan-Nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.

Kita perlulah mengikuti jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Jalan utama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah jalan tarbiah. Tarbiah Islamiyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiah Islamiyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu mungkin mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.

Islam sebagai din  bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiah (pendidikan). Tarbiah perlu dirancang, direncana dan disusun dengan rapi dan lengkap untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlak, jiwanya dan segala tindakan.

Islam perlukan pekerja

Sesungguhnya setiap sistem memerlukan pekerja dan pejuangnya. Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang sistem Allah Subhanahuwata’ala, bukan sistem yang lain. Allah Subhanahuwata‘ala akan membantu orang yang membantu sistem atau din-Nya.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button