Fikrah

Panji-Panji Taqwa

Oleh: DKB Ustaz Dahlan Mohd Zain

FIRMAN Allah Subhanahuwata’ala dalam  Surah  Al-Hujurat : 13:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah Al-Hujurat : 13)

Wahai manusia, wahai mereka yang berbagai bangsa dan warna kulit, berbagai puak dan kaum -kamu berasal daripada yang satu keturunan. Oleh itu janganlah kamu berselisih faham, berpecah belah dan bermusuh-musuhan serta pulau memulau.

Wahai manusia, yang menyeru kamu itu ialah yang menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita (Adam dan Hawa) dan Dia menjelaskan kepada kamu matlamat kenapa dijadikan manusia berbangsa-bangsa, berkaum-kaum dan berkabilah-kabilah.  Sebenarnya bukanlah untuk bermusuh-musuhan tetapi untuk berkenal-kenalan dan berbaik-baik antara satu sama lain. Perbezaan perangai, akhlak dan persediaan-persediaan yang lain, bukanlah untuk bertelagah, bermusuh-musuhan, tetapi perbezaan-perbezaan ini adalah untuk bertolong-tolongan di antara satu sama lain, dalam semua tanggungjawab hidup.

Warna kulit, bangsa, bahasa, puak, negeri dan watan tidak penting pada nilai Allah Subhanahuwata’ala.  Di sana ada satu nilai saja dan satu neraca sahaja.  Dengan nilai itulah dapat diketahui kelebihan dan kemuliaan manusia.  Dengan neraca itu dapat dikenali kelebihan atau karamah insaniah. Nilai atau neraca itu ialah:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. 

Yang mulia sebenarnya ialah yang mulia pada nilai Allah. Allah lah yang menyukat dan menimbang dengan neraca-Nya dan ilmu-Nya. Kerana itulah ayat di atas ditutup dengan:

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Dengan yang demikian, jatuhlah semua perbezaan-perbezaan pada nilai makhluk. Terangkatlah  satu neraca dan satu nilai sahaja iaitu neraca/nilai Allah Subhanahuwata’ala.

Di atas neraca ini sahaja manusia perlu meletak segala amalannya untuk ditentukan betul atau salah.  Kerana, semua neraca yang lain adalah neraca atau nilai yang palsu.

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ar Rahman ayat 7

وَالسَّمَاء رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَان
Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan) (Surah Ar-Rahman :7)

Perselisihan neraca dan krisis nilai semua itu dapat dibereskan hanya dengan kembali kepada nilai dan neraca Allah Subhanahuwata’ala. Berlakunya krisis nilai hari ini adalah kerana manusia menyukat dengan neraca palsu yang bermacam-macam – nilai timurlah, nilai baratlah dan selainnya, yang mana semua ini adalah neraca yang bercampur aduk. Kita bertolak dari nilai Allah Subhanahuwata’ala dan terus berpegang dengannya.  Selagimana kita tidak kembali kepada nilai Allah Subhanahuwata’ala maka selagi itulah kita akan menghadapi krisis nilai.

Bila kita mengambil dan berpegang teguh kepada nilai Allah Subhanahuwata’ala, maka jadi murahlah segala nilai-nilai yang lain. Nilai Allah Subhanahuwata’ala adalah termahal. Kalau kita perhatikan realiti praktik hidup masyarakat kita, adakah mereka meletakkan nilai Allah benar-benar di hadapan mereka?

Bagaimana kita nak kembali semula kepada nilai Allah Subhanahuwata’ala?  Maka hendaklah kita kembali kepada din Allah dalam semua urusan hidup.

Hendaklah satu panji-panji sahaja yang terangkat atau terjulang, dan berlumba-lumbalah semua hamba-hamba Allah bernaung di bawah panji-panji itu, iaitu panji-panji taqwa di bawah din Allah Subhanahuwata’ala.

Kalau kita berteduh di bawah panji-panji taqwa kepada Allah, barulah akan betul neraca. Akan tetapi, apa yang kita perhatikan kebanyakan manusia kini belum lagi berteduh di bawah panji-panji taqwa kepada Allah dalam seluruh urusan hidup.

Dengan berteduh di bawah panji-panji taqwa kepada Allah, Islam mengangkat darjat manusia daripada dikuasai oleh sentimen kebangsaan, qabilah atau watan (   عصبية للجنس) kerana semua ‘asobiyah ini adalah jahiliah. Sesuatu yang jauh dan asing dengan Islam dan Islam memerangi ‘asabiyah jahiliah ini sebagaimana sabda junjungan Sallallahu’alaihiwasallam:

لا عصبية فى السلام
Tiada ‘asobiyah di dalam Islam

`Asobiyah ialah kita berjuang menegakkan matlamat bangsa, watan, kumpulan parti dan bukan kerana Allah SWT.

Satu hadith yang dikeluarkan oleh Imam Abi Dawud:

ليس منا من دعا إلى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية
Bukan daripada golongan kami (Muslimin), mereka yang menyeru kepada ‘asobiyah, dan bukan daripada golongan kami yang berperang di atas ‘asobiyah, dan bukan dari golongan kami yang mati kerana asobiyah.

Sebagai contohnya, katakan kita berkumpul ini untuk berjuang demi kepentingan orang Melayu, maka itulah ‘asobiyah Melayuwiyah atau kita berjuang mempertahankan kampung kita, bukan kerana Allah Subhanahuwata,ala.  Akan tetapi kalau kita berjuang untuk menyelamatkan hukum-hukum Allah daripada diganggu dan memastikan hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala berjalan, maka itulah jihad fisabilillah.  Jadi kena tentukan tidak ada matlamat dan perjuangan ‘asobiyah dalam usaha-usaha kita.

Apa jua bentuk ‘asobiyah, Islam tetap memeranginya demi menegakkan satu peraturan manusia yang universal (‘alamiyah), di bawah satu panji-panji Allah bukan panji-panji watan atau kebangsaan atau kaum kerana semua panji ini adalah palsu.  Islam tak pernah kenal panji-panji ini.

Ar Rasul Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda yang maksudnya

دعوها فإنها منتنة
Tinggalkan, kerana ianya (‘asobiyah) busuk.

Jadi sesiapa yang berjuang untuk ‘asobiyah sesungguhnya dia berjuang benda yang busuk dan palsu.

________________________

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button