Ibadah

Ibadah Yang Luas

Makna Ibadah

Ibadah ialah pengabdian. Kita adalah abdi dan Allah Subhanahuwata’ala adalah Pencipta kita. Kepada-Nya lah kita mengabdikan diri. Kita adalah hamba, manakala Tuan kita yang sebenar ialah Allah Subhanahuwata’ala. Setiap apa yang dilakukan oleh seorang hamba untuk mematuhi kehendak Tuannya adalah ibadah.

Contohnya, apabila kita berbual dengan orang lain kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka ia dikira ibadah, kerana Allah Subhanahuwata’ala menyukai perbuatan itu.

Jika kita melakukan hubungan muamalah dengan pelbagai lapisan manusia seperti berjual-beli di pasar, bergaul dengan ibubapa, berinteraksi dengan saudara mara dan menghadiri sesuatu majlis, sambil kita memelihara hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala dan kita lakukan kerana keredhaan-Nya, maka itu semua adalah ibadah.

Demikian juga, jika kita berbuat baik kepada orang miskin, menolong orang teraniaya, memberi makan orang lapar dan menziarahi orang sakit serta dilakukan kerana mengharap wajah Allah Subhanahuwata’ala, bukan bertujuan mencari pujian manusia, maka semua itu dikira ibadah ke hadrat-Nya.

Seterusnya, jika kita berkecimpung dalam bidang perniagaan, melakukan perkhidmatan dan menunaikan suatu amanah serta menjaga yang halal dan menjauhi yang haram dalam semua hal, dan mengharapkan wajah Allah Subhanahuwata’ala, maka semua itu adalah ibadah di sisi-Nya.

Setiap sesuatu seperti takut kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam setiap suasana hidup, sentiasa mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, menolak setiap manfaat yang diperolehi di jalan maksiat dan bersabar atas kemudaratan yang menimpa kerana mentaati Allah Subhanahuwata’ala, maka semua itu adalah ibadah pada nilaian-Nya.

Pendek kata semua hal – makan, minum, tidur, bangun, duduk, berdiri, berjalan, berkata dan diam – termasuk ertikata ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Inilah ibadah yang luas. Islam tidak ada maksud yang lain, melainkan ingin menjadikan manusia sentiasa beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Ibadah Khas Dan Ibadah Umum

Islam menghendaki manusia melakukan ibadah-ibadah khas, seperti solat, puasa, zakat dan haji, sebagai persiapan untuk melakukan ibadah yang besar, luas dan umum dalam segala aspek kehidupan.

Ibadah-ibadah khas adalah rukun-rukun atau tiang-tiang untuk diletakkan bangunan Islam yang besar. Setiap bangunan berdiri atas tiang-tiangnya, maka demikianlah juga bangunan kehidupan lslam  berdiri atas tiang-tiang yang telah ditetapkan. Barangsiapa membinasakan tiang-tiang itu, maka sesungguhnya dia membinasakan bangunan Islam itu sendiri.

Rujukan: Al-Maududi, Asas-asas Islam.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button