Firman Allah Subhanahuwata’ala:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ٢
Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyu´ dalam solatnya
(Al-Mu’minun : 1-2)
Panduan Untuk Khusyu’ Dalam Solat Ialah:
1. Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat
Membaca dengan baik dan meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat al-Quran (tasbih, takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati ikut mengetahui segala apa yang kita baca.
2. Merendahkan Diri
Hadirkan rasa tawadhu’, rasa rendah hati dan rasa rendah diri sepanjang waktu solat terutama ketika ruku’ dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa ruku’ dan sujud. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.
(Hadis riwayat Muslim)
3. Mengagungkan Allah Subhanahuwata’ala
Merasai dalam hati akan Keangungan, Kebesaran dan Kesucian Allah Subhanahuwata’ala terutama ketika bertakbir dan bertasbih. Timbulkan rasa haya’ iaitu perasaan malu terhadap Allah Subhanahuwata’ala dan rasa khauf iaitu perasaan takut terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
4. Menghindari Daripada Memikirkan Hal Keduniaan.
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir dan ikut serta dalam solat. Kosongkan hati daripada segala urusan yang boleh mengganggu dan tiada kaitan dengan solat.
5. Tumpuan Penuh Pada Solat.
Segala perhatian hendaklah tertumpu kepada solat dan mendirikan solat dengan cara terbaik. Rukun-rukun solat dilakukan dengan penuh tertib. Berkonsentrasi dan menyedari bahawa Allah Subhanahuwata’ala sentiasa memperhatikan solat itu.
6. Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan.
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota badan, seperti tangan dan kaki, iaitu pergerakan yang tiada kaitan dengan pergerakan solat.
7. Sentiasa Melihat Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله semasa membaca syahadah di waktu tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Namun, jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu’ dalam solat seseorang itu, maka ia dibolehkan berbuat demikian dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.
8. Lakukan Solat Dengan Thama’ninah.
Thuma’ninah (tenang) maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li (perbuatan) dalam solat seperti ruku’, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir:
سبحان الله (Subhanallah).
Setiap pergerakan dalam solat tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau kelam-kabut, bahkan dilakukan dengan tenang.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada berpesan:
Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian ruku’lah sehingga kamu berthama’ninah dalam keadaan ruku’. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthama’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthama’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rujukan: https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/08/02/tip-tips-cara-rahsia-khusyuk-dalam-solat/