Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
صَلُّوا خَمْسَكُمْ وَصُومُوا شَهْرَكُمْ وَحُجُّوا بَيْتَكُمْ وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالَكُمْ طَيِّبَةً بِهَا أَنْفُسَكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ
Laksanakanlah solat lima waktumu, kerjakan puasamu, berhajilah ke ka’bahmu, dan tunaikanlah zakat harta bendamu dengan ketulusan dan keredhaan jiwamu (an-nafs at-tayyibah), necaya kamu akan masuk syurga Rabmu
(Riwayat at-Tabrani)[1]
SEKILAS PENJELASAN
Setelah mengikrarkan syahadah dengan penuh ikhlas, hendaknya seorang muslim melaksanakan solat fardu, berpuasa Ramadhan, menunai zakat dan melakukan haji dengan penuh keikhlasan dan keredhaan hati. Apabila kelima-lima rukun ini ditunaikan dengan penuh keikhlasan dan keredhaan hati maka Allah Subhanahuwata‘ala akan memasukkannya ke dalam syurga yang penuh nikmat.
HIKMAH TARBAWIYAH
Makna An-Nafs At-Tayyibah
Hendaklah setiap muslim merenung makna at-tayyibah, menumbuhkannya dalam jiwa dan mengaitkannya dengan ibadah yang dilakukannya, agar memberikan hasil positif yang maksima:
1. At-tayyibah bermakna baik, bersih dan harum. Makna yang berlawanan ialah buruk, busuk dan kotor. Oleh itu ketika melaksanakan sesuatu ibadah hendaklah seorang muslim melakukannya dengan jiwa yang baik, bersih dan suci daripada segala niat dan keinginan yang buruk dan kotor.
2. At-tayyibah bermakna lembut dan subur. Al-ardhu at-tayyibah bererti tanah yang lembut dan subur. Oleh itu seorang muslim hendaklah melakukan ibadah dengan jiwa yang lembut sehingga ibadahnya membuahkan sikap dan perbuatan yang baik.
3. At-tayyibah bermakna aman dan damai. Baldah tayyibah bererti negeri yang aman dan damai. Oleh itu ketika melaksanakan ibadah hendaklah seorang muslim menghilangkan kebencian, kemarahan dan permusuhan. Pada masa sama menghadirkan semangat perdamaian dan persaudaraan.
4. At-tayyibah bermakna menjaga kehormatan diri. Rajulun tayyibul izzah bererti orang yang menjaga kehormatan diri. Oleh itu seorang muslim hendaklah melakukan ibadah dengan menjaga kehormatan diri di hadapan Allah Subhanahuwata‘ala dengan cara memenuhi syarat dan rukunnya, serta menyempurnakan adab dan sunnahnya, dan tidak melaksanakan ibadah dengan pakaian bernajis dan kotor.
5. At-tayyibah bermakna tulus dan redha. An-nafsu at-tayyibah bererti jiwa yang tulus dan redha. Oleh itu seorang muslim hendaklah melaksanakan ibadah dengan seikhlas hati, tidak malas dan bersegera menyahut panggilan Allah Subhanahuwata‘ala. Juga dengan tulus dan ikhlas hanya mengharapkan pahala dan redha Allah Subhanahuwata‘ala.
Oleh kerana itu dalam melaksanakan pelbagai ibadah, hendaklah seorang muslim memperhatikan adab-adab nafsi sehinggalah ibadah itu membuahkan hasil yang baik.
Adab-Adab Jiwa Dalam Menegakkan Solat
Antara adab-adab jiwa dalam melaksanakan solat ialah:
1. Seorang muslim yang mengerjakan solat, hendaklah mengerjakannya hengan penuh keikhlasan dan keredhaan hati. Hendaklah ia menghadirkan hati dan mengosongkan hatinya daripada pelbagai hal yang tiada kaitan dengan solat.
2. Berusaha memahami makna yang terkandung dalam setiap ayat dan doa yang dibaca. Memahami setiap makna yang terkandung dalam setiap gerakan solat. Inilah yang akan membuatkan solatnya mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
3. Mengagungkan Allah Subhanahuwata‘ala sehingga timbul perasaan takut dalam hatinya akan keagungan Allah Subhanahuwata‘ala. Dengan ini ia akan lebih kusyuk dan tawadhu’.
4. Mengharapkan Allah Subhanahuwata‘ala memberikannya limpahan pahala, memasukkannya ke dalam syurga, dan menyelamatkannya daripada api neraka.
5. Merasa malu kepada Allah Subhanahuwata‘ala kerana menyedari kekurangan, kelalaian dan keburukan amalnya. Juga menyedari bahawa amal ibadahnya tidak akan memasukkannya ke dalam syurga dan menyelamatkannya daripada neraka seandainya tidak mendapat rahmat daripada Allah Subhanahuwata‘ala.
Adab-Adab Jiwa Dalam Menunaikan Zakat
Antara adab-adab jiwa dalam menunaikan zakat ialah:
1. Seorang muslim, dengan penuh ikhlas dan keredhaan hati, memahami bahawa kewajipan zakat akan menyucikan jiwa daripada sifat kikir dan penyakit cintakan dunia dan harta. Zakat juga sebagai tanda bersyukur kepada Allah Subhanahuwata‘ala atas limpahan nikmat dan kurnia-Nya.
2. Seorang muslim, dengan penuh ikhlas dan keredhaan hati, akan segera menunaikan zakat apabila telah cukup syarat-syaratnya. Menangguh bermakna menangguhkan pemberian hak kepada pihak yang berhak.
3. Merahsiakan penunaian zakat untuk menjauhkan diri daripada penyakit riya’ dan sum’ah. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
إِن تُبۡدُواْ ٱلصَّدَقَٰتِ فَنِعِمَّا هِيَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَئَِّاتِكُمۡۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ
Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah :271)
4. Menampakkan penunaian zakat dengan tujuan untuk memotivasikan orang lain agar mencontohinya, dalam keadaan hatinya akan terpelihara daripada sifat riya’ dan sum’ah. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ سِرّٗا وَعَلَانِيَةٗ يَرۡجُونَ تِجَٰرَةٗ لَّن تَبُورَ
Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. (Surah Fatir :29)
5. Hendaknya ia tidak merosakkan sedekahnya dengan mengungkit-ungkit atau menyakitkan hati orang yang telah menerima sedekahnya. Firman Allah Sunhanahuwata‘ala:
يَٰٓأَيُّهَاٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ
Wahai orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakitkan (hati si penerima sedekah). (Surah Al Baqarah : 264)
6. Menganggap kecil pemberiannya. Ini kerana menganggap besar pemberian hanya akan menimbulkan kebanggaan diri dan kesombongan yang merosak amal. Firman-Nya:
وَيَوۡمَ حُنَيۡنٍ إِذۡ أَعۡجَبَتۡكُمۡ كَثۡرَتُكُمۡ فَلَمۡ تُغۡنِ عَنكُمۡ شَيۡٔٗا
dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah(mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfa’at kepadamu sedikitpun. (Surah At-Taubah : 25)
7. Memilih yang paling baik, paling halal dan paling dicintai daripada hartanya untuk disedekahkan. Ini kerana Allah Maha Indah dan tidak menerima kecuali yang baik. Firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَاٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بَِٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
Wahai orang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan (menutup) mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Al-Baqarah : 267)
8. Memperbanyakkan pahala dan berkat pemberiannya dengan cara memberi kepada orang yang memiliki kriteria khusus. Antaranya:
– Orang bertaqwa yang berpaling dari dunia dan menyibukkan diri dengan perniagaan akhirat.
– Orang bertaqwa yang menyibukkan diri dengan ilmu.
– Orang yang tulus dalam ketaqwaan dan amalannya, tidak mengampu dan mengharapkan pertolongan orang lain melebihi harapannya kepada Allah Subhanahuwata‘ala.
– Orang yang menyembunyikan kefakirannya dan kemiskinannya serta tidak banyak mengeluh. Firman-Nya:
:لِلۡفُقَرَآءِٱلَّذِينَ أُحۡصِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسۡتَطِيعُونَ ضَرۡبٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ يَحۡسَبُهُمُ ٱلۡجَاهِلُ أَغۡنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعۡرِفُهُم بِسِيمَٰهُمۡ لَا يَسَۡٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلۡحَافٗاۗ وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ
(Berinfaqlah) kepada orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di bumi, orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengatahui. (Surah Al-Baqarah:273)
– Orang yang sangat miskin dan memikul tanggungjawab keluarga yang besar atau yang terkena penyakit atau sebab-sebab lain sehingga tidak mampu berpenghasilan.
– Orang yang memiliki kekerabatan, dengan cara ini dapat menyuburkan hubungan silaturahim.
Adab-Adab Jiwa Dalam Melaksanakan Puasa
Ada beberapa adab jiwa yang harus diperhatikan oleh seseorang muslim ketika melakukan ibadah puasa:
1. Menahan diri daripada memandang perkara yang haram dan tercela. Serta, daripada hal-hal yang menyibukan hati daripada mengingati Allah Subhanahuwata‘ala. Nabi Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
النظرةُ سَهمٌ مَسمومٌ من سِهامِ إبليسَ ، مَن تَركَها مِن مَخافَتِي ؛ أَبدلْتُه إِيمانًا يَجِدُ حَلاوَتَه في قَلبِه
Pandangan adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana Allah, maka Allah ‘Azza wa Jalla akan memberikan keimanan yang kenikmatannya boleh ia rasakan di dalam hati.(Riwayat Albani)[2]
2. Memelihara lisan daripada perkataan sia-sia seperti perkataan haram, tercela, cabul, ghairah dan kasar. Sibukkan diri dengan zikir dan tilawah al-Quran. Nabi Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
الصيامُ جُنَّةٌ، وإذا كان يومُ صومِ أحدِكُم فلاَ يَرْفُثْ ولا يَجهلْ، وإنِ امْرُؤٌ قَاتلهُ أوْ شاتَمَهُ، فَليَقُلْ إني صائمٌ مَرَّتينِ
Puasa adalah perisai. Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah ia berkata cabul dan bertindak bodoh. Jika ada seseorang yang melawannya dan memakinya, maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Sesungguhnya aku sedang berpuasa. (Riwayat al-Bukhari)[3]
3. Memelihara pendengaran daripada hal-hal yang haram atau makruh untuk didengarkan. Allah Subhanahuwata‘ala menyamakan orang yang suka mendengar kebohongan dengan orang yang memakan benda haram. Firman-Nya:
سَمَّٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّٰلُونَ لِلسُّحۡتِ
Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. (Surah Al-Maidah:42)
4. Memelihara semua anggota badan daripada dosa dan maksiat, samada pada siang hari mahupun pada malam hari. Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
رُبَّ صائمٍ ليس له من صيامهِ إلَّا الجوعُ والعطشُ
Berapa banyak orang yang berpuasa namun ia tidak mendapat apa-apa pun daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat Ibn Uday)[4]
5. Memelihara syahwat daripada membeli-belah secara berlebih-lebihan. Meskipun hal ini halal, namun berlebih-lebihan akan merosakkan tujuan atau hikmah dalam ibadah puasa itu sendiri. Juga, tidak banyak tidur kerana ia akan membuat seseorang kehilangan banyak kesempatan untuk melakukan pelbagai ibadah dan meraih pahala sebanyak-banyaknya.
6. Menguatkan ibadah hati iaitu raja’ (mengharap), khauf (takut) dan mahabbah (cinta) kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Ini kerana seorang muslim tidak tahu apakah Allah Subhanahuwata‘ala akan menerima puasanya atau menolak puasanya. Maka dia berpuasa dengan penuh pengharapan agar Allah menerima puasanya, sekali gus merasa takut andaikata Allah menolak puasanya. Maka perasaan raja’ dan khauf ini akan menumbuhkan pula rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata‘ala.
Adab-Adab Jiwa Dalam Melaksanakan Haji
Untuk mendapatkan haji mabrur, dengan izin Allah Subhanahuwata‘ala, ada beberapa adab yang perlu diikuti:
1. Menyiapkan bekalan untuk menunaikan haji daripada sumber halal dan mematuhi syara’.
2. Menjaga niat yang ikhlas dan tumpuan hati dalam melakukan zikrullah dan syiar-syiar Allah Subhanahuwata‘ala semasa ibadah haji.
3. Meninggalkan perniagaan dan pelbagai urusan duniawi yang boleh menyibukan hati.
4. Menguatkan semangat infaq dan dermawan untuk membantu orang yang memerlukan bantuan, serta membersihkan hati daripada sifat-sifat kikir, ego dan tamak. Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
الحجُّ المبرورُ ليس له جزاءٌ إلا الجنةُ فقيل له : يا رسولَ اللهِ ما برُّ الحجِّ ؟ فقال : طَيِّبُ الكلامِ وإطعامُ الطعامِ
Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur kecuali syurga. Ada yang bertanya: Wahai Rasulullah, apakah haji yang mabrur itu? Baginda menjawab: Perkataan yang baik dan memberi makanan kepada yang memerlukannya.(Riwayat al-Iraqi)[5]
5. Meninggalkan amalan keji, fasiq dan berbantah-bantah sebagaimana firman Allah Subhanahuwata‘ala:
ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّ
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. (Surah Al-Baqarah:197)
6. Menghiasi diri dengan sifat tawadhu’ baik dalam hal pakaian, makanan mahupun perilaku. Dalam hadits qudsi Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
انظُروا إلى عبادي شُعْثًا غُبْرًا ضاحِينَ جاؤوا مِن كلِّ فجٍّ عميقٍ
Lihatlah pada hamba-hamba-Ku (penziarah bait-Ku), dalam keadaan lusuh dan berdebu mereka telah datang dari segala penjuru yang jauh. (Riwayat Ibn Hibban)[6]
7. Menghiasi diri dengan kesabaran dan keredhaan atas musibah apa pun yang terjadi ketika melaksanakan ibadah haji.
8. Menjaga pahala dan keberkatan haji. Jangan sampai pahala dan keberkatan haji itu gugur dan hilang disebabkan oleh kesombongan dan kemaksiatan.
[1]Musnad Asy-Syamiyyin Lit-Tabrani.
[2] Dhoif at-Targhib, no.hadits : 1194
[3] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 1894
[4] Al-Kamil fi Ad-Dhuafa’, no.hadits dan juzu’ : 8/142
[5] Takhrij al-Ihya’, no.hadits dan juzu’ : 1/351
[6] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 3853