Keperibadian

Adab Pelajar Terhadap Guru

SIFAT pertama yang perlu ada pada setiap pelajar dalam memelihara adab terhadap guru ialah menghormati guru. Guru wajib dihormati kerana kedudukannya yang menyampaikan ilmu kepada pelajar. Pelajar juga wajib menghormati guru kerana kedudukan pelajar yang menerima ilmu darinya. Daripada  Abu  Hurairah  bahawasanya  Rasulullah  Salallahu’alaihiwasallam  pernah bersabda bermaksud:

Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga mengingatkan akan hak pelajar terhadap guru dalam sabda baginda, bermaksud:

Tidak termasuk umatku orang yang tidak mengagungkan orang besar dari kami, tidak mengasihi orang kecil dari kami, dan tidak mengetahui hak orang alim dari kami. (Riwayat At-Thabrani)

Saidina Ali Radhiallahu‘anhu pernah memberi pesanan dalam soal menghormati guru dengan berkata, bermaksud:

Hak seorang alim (guru) yang wajib atas dirimu ialah: memberi salam kepada semua orang yang berada dalam majlisnya, dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah duduk berhadapan dengannya, tidak boleh menunjuk jari di hadapannya, tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya, tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya, tidak boleh mencaci orang di hadapannya dan sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah maafkannya. Muliakanlah dirinya kerana Allah Subhanahuwata’ala, dan kiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya, jangan memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika dia keberatan, jangan merasa jemu duduk bersamanya. Anggap dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa sahaja.

Sehubungan dengan hadith di atas serta pesanan Saidina Ali Radhiallahu‘anhu, Dr.Abdullah Nasih Ulwan membuat beberapa kesimpulan akan adab-adab pelajar terhadap gurunya :

1. Seorang pelajar hendaklah merendahkan dirinya di depan guru, jangan keluar daripada pendapat dan arahannya. Merendahkan diri terhadap guru adalah satu kemuliaan dan ketinggian. Imam Ghazali ada menyatakan : Ilmu itu hanya akan diperolehi dengan merendahkan diri dan memperhatikannya… Imam Ahmad berkata kepada Khalafu’l-Ahmar: Aku tidak pernah duduk kecuali di hadapanmu, kami telah diperintahkan untuk merendahkan diri terhadap orang yang kami ambil ilmunya..

2. Seorang pelajar hendaklah memandang gurunya dengan kemuliaan dan meyakini bahawa gurunya memiliki darjat yang tinggi. Imam Syafi’i ada menyatakan: Pernah aku menyimbak (membuka) lembaran kertas di depan Malik dengan lembut kerana kewibawaannya, agar dia tidak mendengar gemerisiknya Ar-Rabi’ berkata : Demi Allah, aku tidak berani meminum air sedangkan As-Syafi’i melihatku kerana rasa hormat kepadanya.  Pelajar-pelajar juga hendaklah dilatih supaya tidak memanggil gurunya dengan kata-kata “kamu”,  tetapi dengan mengatakan “wahai guruku atau wahai ustazku”, kerana kata-kata panggilan yang baik merupakan pengikat rasa kasih sayang antara murid dan gurunya.

3. Hendaklah pelajar mengetahui hak-hak terhadap gurunya dan tidak melupakan jasa gurunya sehingga ke akhir hayat. Syu’bah berkata: Apabila aku mendengar hadis Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam daripada seseorang, selama itulah aku menghormatinya. Sebaiknya seorang pelajar mendoakan kesejahteraan gurunya sepanjang hayat. Jika guru itu sudah wafat hendaklah diambil berat hal ehwal keturunan dan orang yang mencintainya.

4. Jika guru menegur atau marah, maka hendaklah murid bersikap sabar. Hendaklah pelajar menganggap bahawa kemarahan guru adalah sebagai tanda kasih sayang guru terhadap pelajarnya. Para guru sebenarnya ingin memperbaiki kelemahan pelajarnya. Dengan sikap sedemikian, akan lahirlah rasa sayang para pelajar terhadap guru dan bermanfaatlah segala ilmunya dalam urusan din, dunia dan akhirat. Sebahagian ahli salaf berkata: Barangsiapa tidak sabar dalam belajar, maka dia akan buta huruf selama hidupnya. Dan barang siapa bersabar di dalamnya, dia akan mendapat kemuliaan dunia dan akhirat.

5. Hendaklah pelajar duduk di hadapan gurunya dengan sopan, tenang, merendahkan diri dan hormat sambil mendengar dan memberi sepenuh perhatian kepada gurunya. Seorang pelajar juga haruslah menghindarkan segala perbuatan yang tidak sopan terhadap gurunya.

6. Janganlah pelajar berjumpa gurunya di kelas, rumah atau tempat khusus sebelum mendapat izin daripadanya. Sebaiknya penampilan seorang pelajar menghadap gurunya dalam keadaan sempurna, dengan badan dan pakaian yang bersih, terutama jika dia hendak ke majlis ilmu. Kerana majlis ilmu adalah majlis zikir, pertemuan dan ibadah.

7. Apabila seorang pelajar mendengar gurunya menyebut sesuatu dalil hukum, menceritakan sesuatu syair, membawa sesuatu berita atau mengemukakan sesuatu ilmu, hendaklah dia mendengar dengan penuh perhatian seakan-akan dia belum pernah mendengar sama sekali. Dr. Abdullah Nasih Ulwan ada mengatakan bahawasanya memenuhi hak terhadap guru adalah wajib lebih-lebih lagi jika guru tersebut adalah dikalangan mereka yang bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.  Itulah adab-adab terpenting yang harus diamalkan oleh para pelajar dalam rangka untuk menjadi pelajar yang benar-benar berilmu, beradab dan bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button