Keperibadian

Redha Dengan Allah Subhanahuwata‘ala, Islam Dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً

Telah merasakan lazatnya iman, orang yang redha bahawa Allah sebagai Rab, Islam sebagai Din, dan Muhammad sebagai Rasul.

(Riwayat Muslim)[1]

SEKILAS PENJELASAN

Hadits ini menegaskan bahawa seorang muslim tidak boleh menjadikan selain daripada Allah Subahanahuwata‘ala sebagai Rab yang disembah atau dituju, tidak boleh berjalan melainkan mengikuti jalan Islam dan tidak boleh melakukan sesuatu melainkan mengikuti syari‘at Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam. Apabila dia melakukan semua hal ini, maka dia akan merasai kelazatan iman.

HIKMAH TARBAWIYAH

Perngertian Redha Dan Syarat-Syarat Kesempurnaannya

Redha bermakna merasa puas dengan sesuatu sehingga tidak mencari sesuatu yang lain. Ada ulama menyebutkan beberapa syarat kesempurnaan redha berdasarkan makna secara bahasa, iaitu:

1. Tidak ada kebencian sedikit pun terhadap apa yang diredhai.

Redha secara bahasa adalah lawan bagi kebencian atau kemurkaan. Ini bermakna jika kita mengaku redha kepada Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rab, Islam sebagai Din dan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul, maka hendaklah kita tidak menyimpan sedikit pun rasa benci kepada Allah Subhanahuwata‘ala, Islam dan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam.

2. Mempersembahkan apa yang dimiliki kepada pihak yang diredhai sehingga ia merasa redha.

Dikatakan perkataan ‘ardhaahu’ itu bermakna memberikan kepada sesuatu yang diredhai apa yang menjadikannya redha. Ini bererti kita harus mempersembahkan semua yang kita miliki untuk meraih redha Allah Subhanahuwata‘ala, redha Islam dan redha Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam sesuai dengan ajaran yang telah digariskan.

3. Mentaati semua perkara yang ditetapkan oleh pihak yang diredhai.

Ar-radhi megandungi erti al-muthi’ (orang yang mentaati). Ini bererti kita harus mentaati segala perintah Allah Subhanahuwata‘ala, Islam dan Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam.

4. Menjadi penjamin atau pembela terhadap sesuatu yang diredhai.

Ar-radhi mengandungi erti adh-dhamin (pemberi jaminan). Ini bererti kita harus berusaha menjadi perisai yang  menjaga dan melindungi din Allah Subhanahuwata‘ala dan Rasul-Nya.

5. Memandang bahawa apa yang diredhai itu adalah paling layak untuk diredhai dan dicintai.

Irtadhaahu juga mengandungi erti ‘memandangnya layak untuk dirinya’. Ini bermakna kita harus merasa puas dan ‘izzah dengan Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rab, Islam sebagai Din dan  Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul.

6. Rela bersusah payah demi kepentingan pihak yang diredhai.

Taradh-dhaituhu mengandungi erti ‘aku menjadikannya redha setelah berusaha dengan susah payah’. Ini bermakna hendaklah bersusah payah berjuang agar hanya Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rab yang disembah, Islam sebagai din yang diamalkan dan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul yang ditaati.

Itulah syarat-syarat kesempurnaan redha yang harus kita hayati ketika mengaku redha kepada Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rab, Islam sebagai Din dan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul.

Ciri-Ciri Orang Yang Redha Kepada Allah Subahanahuwata‘ala Sebagai Rab

Ciri-ciri orang yang redha kepada Allah Subahanahuwata‘ala sebagai Rab ialah:

1. Mengenal Allah Subhanahuwata‘ala sehingga menjadikan seorang muslim itu mentauhidkan-Nya dengan tauhid yang murni. Firman-Nya:

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ

Maka ketahuilah, bahawa tidak ada Ilah (suatu yang disembah) melainkan Allah.

(Surah Muhammad :19)

2. Mempersembahkan seluruh ibadah, perbuatan, perkataan, hidup dan mati hanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala Penguasa alam semesta, bukan kepada selain-Nya. Firman-Nya:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ

Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Rab alam semesta.

(Surah Al-An’am: 162)

3. Mentaati segala perintah Allah Subhanahuwata‘ala dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta meyakini bahawa semua yang diperintahkan-Nya adalah baik dan semua yang dilarang-Nya adalah buruk. Firman-Nya:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil pengajaran.

(Surah An-Nahl: 90)

4. Redha kepada takdir Allah Subhanahuwata‘ala, samada yang baik mahupun yang buruk. Mensyukuri atas setiap nikmat dan bersabar atas setiap musibah. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

وتُؤمِنَ بالقدَرِ خيرِه وشرِّه

Dan hendaklah kamu beriman kepada takdir, samada yang baik mahupun yang buruk.

(Riwayat Ibn Hibban)[2]

5. Sentiasa menolong Allah Subhanahuwata‘ala dengan cara berjuang menegakkan din-Nya. Firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Wahai orang beriman, jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

(Surah Muhammad: 7)

Maksud menolong Allah Subhanahuwata‘ala di sini ialah berjuang dan berusaha menegakkan din-Nya pada diri sendiri dan juga pada masyarakat.

6. Menyenangi apa yang disenangi oleh Allah Subhanahuwata‘ala dan membenci apa yang dibenci oleh-Nya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

من أحب لله ، وأبغض لله ، وأعطى لله ، ومنع لله ، فقد استكمل الإيمان

Sesiapa yang menyayangi kerana Allah dan membenci kerana Allah dan memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah maka telah sempurnalah iman

(Riwayat Abu Daud)[3]

Ciri-Ciri Orang Yang Redha Terhadap Islam Sebagai Din.

 1. Mempelajari ajaran Islam dan mengajarkannya kepada manusia. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

كُونُواْ رَبَّٰنِيِّ‍ۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ

Hendaklah kamu menjadi orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

(Surah Ali-Imran : 79)

Berbeza dengan orang yang tidak redha dengan Islam, mereka langsung berpaling ketika mendengar ayat-ayat Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعۡرَضَ عَنۡهَآۚ إِنَّا مِنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Rabnya, kemudian ia berpaling daripadanya. Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang yang berdosa.

(Surah As-Sajadah: 22)

2. Menjadikan Islam sebagai pedoman hidup bagi peribadi dan masyarakat. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا

Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu dinmu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku redhai Islam menjadi dinmu.

(Surah Al-Maidah:3)

3. Mengamalkan ajaran dan syari’at Islam dengan penuh keikhlasan sebagai bukti keredhaan terhadap Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ

Dan tidaklah mereka disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) din yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, yang demikian itulah din yang lurus.

(Surah Al-Bayyinah :5)

4. Berjihad dan berkorban demi membela din Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقّٗا فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِي بَايَعۡتُم بِهِۦۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُٱلۡعَظِيمُ

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mu’min, diri dan harta mereka dengan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang  benar daripada Allah didalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

(Surah At-Taubah :111)

5. Meyakini Islam sebagai satu-satunya sistem yang dapat membawa manusia kepada kejayaaan dan kemuliaan. Saidina Umar Radiallahuanhu berkata:

Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan din Islam, barang siapa mencari kemuliaan dengan selain Islam, maka ia akan dihina oleh Allah.

6. Menda’wahkan Islam kepada masyarakat dengan perkataan, perbuatan dan akhlak Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata sesungguhnya aku termasuk orang muslim.

(Surah Fussilat :33)

Ciri-Ciri Orang Yang Redha Dengan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam Sebagai Rasul

1. Mengenal sirah dan perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Berkaitan hal ini, Syeikh Al-Utsaimin berkata:

Yakni mengenal Rasul-Nya Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dengan pengenalan yang menuntun kita untuk menerima petunjuk dan kebenaran yang dibawanya, membenarkan informasinya, melaksanakan perintahnya, meninggalkan larangannya, menerapkan syari’atnya dan redha terhadap hukumnya.

(Syahrul Tsalatsil Usul 20)

2. Menjadikan Rasul sebagai teladan dalam pelbagai aspek kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

(Surah Al-Ahzab :21)

3. Mengikuti dan menghidupkan sunnah Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai bukti keredhaan kita kepada baginda. Baginda bersabda:

فمَن رغِبَ عن سُنَّتي فليسَ منِّي

Barangsiapa benci kepada sunnahku maka dia bukan daripada pengikutku.

(Riwayat Muslim)[4]

Sabda baginda lagi:

مَن أحيا سُنَّتي فقد أحَبَّني ومَن أحَبَّني كان معي في الجنَّةِ

Barangsiapa menghidupkan sunnahku maka dia telah mencintaiku. Barangsiapa mencintaiku maka dia akan bersamaku di syurga.

(Riwayat at-Tirmizi)[5]

4. Membela kehormatan dan kemuliaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Baginda pernah berkata kepada seorang munafik yang memperolok-olokkan baginda: Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? (Tafsir Ibnu Katsir: 484)

5. Melanjutkan misi Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dalam berda’wah dan menyeru manusia ke jalan Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ

Katakanlah, inilah jalanku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujah yang nyata, maha suci Allah, dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.

(Surah Yusuf :108)

6. Mengikhlaskan syahadah (dua kalimah syahadah), memperbanyakkan salawat dan melakukan amalan yang mengundang keredhaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Baginda bersabda:

أسعدُ الناسِ بشفاعتي يومَ القيامةِ مَن قال : لا إلهَ إلا اللهُ، خالصًا من قِبَلِ نفسِه

Orang yang paling bahagia dengan syafaatku adalah orang yang mengucapkan Laa ilaaha illallaah dengan tulus ikhlas daripada lubuk hatinya.

(Riwayatal-Bukhari)[6]

مَن صلى عَلَيَّ حين يُصْبِحُ عَشْرًا ، وحين يُمْسِي عَشْرًا أَدْرَكَتْه شفاعتي يومَ القيامةِ

Barang siapa bersalawat untukku sepuluh kali di pagi hari dan sepuluh kali di petang hari, maka ia akan mendapatkan syafaatku pada hari kiamat.

(Riwayat Albani)[7]

Buah Daripada Redha

Redha kepada Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rab, Islam sebagai Din dan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul akan membuahkan hal-hal berikut:

1. Bimbingan dan petunjuk daripada Allah Subhanahuwata‘ala.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَهۡدِي بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ

Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan  keselamatan. Dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang  itu daripada gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

(Surah Al-Maidah :16)

2. Kemenangan dan kejayaan.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ

Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang pasti menang.

 (Surah Al-Maidah :56)

3. Ketenangan dan ketenteraman jiwa.

يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَئِنَّةُ ٢٧  ٱرۡجِعِيٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةٗ مَّرۡضِيَّةٗ ٢٨ فَٱدۡخُلِي فِي عِبَٰدِي ٢٩  وَٱدۡخُلِي جَنَّتِي ٣٠

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rab-mu dengan hati yang redha lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.

(Surah Al-Fajr :27-30)

4. Meraih syurga dan selamat dari api neraka.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ ٧ جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتُ عَدۡنٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٰلِكَ لِمَنۡ خَشِيَ رَبَّهُۥ

Sesungguhnya orang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Rab mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rab-nya.

(Surah Al-Bayyinah:7-8)

Sebaliknya, orang yang hanya redha kepada kehidupan dunia dan tidak redha kepada Allah Subhanuwata‘ala, din-Nya dan Rasul-Nya, maka mereka akan masuk ke dalam neraka. Firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يَرۡجُونَ لِقَآءَنَا وَرَضُواْ بِٱلۡحَيَوٰةِٱلدُّنۡيَا وَٱطۡمَأَنُّواْ بِهَا وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنۡ ءَايَٰتِنَا غَٰفِلُونَ ٧ أُوْلَٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Sesungguhnya orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, dan merasa redha (puas) dengan kehidupan di dunia, serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang yang melalaikan ayat-ayat kami. Mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

 (Surah Yunus :7-8)

 

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.

[1] Sahih Muslim, no.hadits : 34

[2] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 173

[3][3] Sunan Abi Daud, no.hadits : 4681

[4] Sahih Muslim, no.hadits : 1401

[5] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2678

[6] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6570

[7] Sahihul jami’, no.hadits : 6357

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button