Tafsir Tematik

Tafsir Tematik: Tema 6 – Kelebihan Berinfaq Di Jalan Allah Swt

PENDAHULUAN

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah (2): ayat 261 hingga 263:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah Al-Baqarah : 261)

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (din) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Rabb mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah Al-Baqarah : 262)

قَوۡلٞ مَّعۡرُوفٞ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٞ مِّن صَدَقَةٖ يَتۡبَعُهَآ أَذٗىۗ وَٱللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٞ
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (Surah Al-Baqarah : 263)

KOSA KATA DAN UNGKAPAN

المِنَّة = Seseorang yang berbangga dengan kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain dan menyebutnya-nyebut tentang kebaikannya untuk berbangga-bangga.
الأذى = Menyakiti manusia atas kebaikannya terhadap mereka.
والله واسعٌ عليمٌ = Luas kebaikan-Nya dan sifat pemurah-Nya, lagi mengetahui niat orang yang berinfaq.
قولٌ معروفٌ = Kata-kata yang baik dan membalas dengan baik.

TAFSIRAN AYAT

Antara sunnatullah dalam penciptaan-Nya, Allah Subhanahuwata’ala menciptakan manusia berbeza-beza keadaan kehidupannya dan berbeza-beza juga rezekinya. Ada di kalangan mereka yang kaya dan memiliki segala keperluannya. Bahkan rezekinya melimpah ruah dan lebih daripada keperluannya. Ada pula golongan yang fakir dan sering berpenat lelah serta bersusah payah untuk mendapatkan rezeki bagi manampung keperluan hidup. Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan orang yang beriman untuk saling bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah material mereka. Ini bertujuan untuk mengangkat kesukaran dan kesulitan yang ditanggung oleh orang yang fakir.

GANJARAN INFAQ DI JALAN ALLAH SWT

Allah Subhanahuwata’ala membuat perumpamaan pahala bagi orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan Allah SWT, dengan menyatakan bahawa ganjaran untuk mereka adalah berlipat ganda sepertimana bergandanya sebiji benih apabila ia ditanam. Benih tersebut menumbuhkan tujuh tangkai yang terdapat padanya barakah. Dan pada setiap tangkai tersebut mengandungi seratus biji. Ini merupakan janji Allah SWT untuk orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan-Nya. Allah SWT akan melipat gandakan ganjaran dan pahalanya, melebihi infaqnya. Dan Allah SWT akan menggantikan untuk mereka dengan ganjaran yang lebih baik.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Mulia. Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa menggantikan harta untuk orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan-Nya, dengan ganjaran kelebihan yang mulia.

Allah Subhanahuwata’ala menegaskan bahawa ganjaran perbuatan baik ini berbeza bagi setiap orang. Dan perbezaan ganjaran ini adalah berdasarkan keikhlasan dan keadaannya. Allah SWT saja yang lebih mengetahui hakikatnya yang sebenar. Dia sajalah yang dapat melihat segala amalan dan apa yang terpendam dalam hati manusia.

Allah Subhanahuwata’ala menjanjikan bagi golongan yang menginfaqkan harta di jalan-Nya dengan ganjaran yang besar di sisi-Nya. Allah SWT sajalah yang mampu menjamin sedemikian. Tiada seorang pun yang mampu menjamin untuk mereka selain Allah SWT. Allah SWT turut menjamin bahawa tiada ketakutan bagi mereka dengan dikurangkan ganjaran pahala untuk mereka. Malah tidak ditimpakan sesuatu pun daripada azab akhirat dan segala kedahsyatannya. Allah SWT juga menjamin bahawa mereka tidak bersedih hati dan tidak akan menyesal dengan amalan infaq ini. Lalu orang yang berinfaq mengetahui akan kemuliaan yang bakal diperolehi di sisi Rabb mereka.

BENTUK-BENTUK INFAQ DI JALAN ALLAH SWT

Infaq ada pelbagai bentuk. Antaranya ialah :

1. ZAKAT

Sekiranya seseorang muslim memiliki harta-harta tertentu, dengan syarat-syarat tertentu, maka wajib ke atasnya untuk memberikan sebahagian harta tersebut kepada golongan fakir, miskin dan golongan yang dibenarkan oleh syara’ untuk mengambil manfaat daripada harta tersebut, yang diistilahkan sebagai zakat. Hasil daripada infaq di jalan Allah SWT ini (yang berupa zakat) akan mengalirlah redha dan ganjaran Allah SWT ke atas hamba-Nya yang taat itu.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat. (Surah An-Nur : 56)

2. SEDEKAH

Zakat yang wajib dikeluarkan oleh seorang muslim yang berkemampuan merupakan kadar minima dalam berinfaq di jalan Allah SWT. Allah SWT menggalakkan kita untuk berinfaq di jalan-Nya daripada pelbagai jenis harta dan ianya tidak mempunyai kadar yang tetap. Ia mengikut kemampuan seseorang insan berdasarkan keinginannya untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan. Itulah dinamakan sedekah di jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلۡمُصَّدِّقِينَ وَٱلۡمُصَّدِّقَٰتِ وَأَقۡرَضُواْ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنٗا يُضَٰعَفُ لَهُمۡ وَلَهُمۡ أَجۡرٞ كَرِيمٞ
Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik lagi ikhlas, akan digandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya, dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (Surah Al-Hadid : 18)

3. KIFARAH

Allah Subhanahuwata’ala mewajibkan ke atas orang muslim untuk menginfaqkan hartanya dengan kadar tertentu bagi menghapuskan sebahagian kesilapan yang dilakukannya. Contohnya, bagi sesiapa yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dan dia  tidak mampu untuk menggantikannya, maka Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.  (Surah Al-Baqarah : 184)

Dengan menunaikan infaq ini, seorang muslim akan diberikan pahala. Ini kerana dia menurut perintah Allah Subhanahuwata’ala.

4. MENGINFAQKAN HARTA KEPADA KAUM KERABAT

Seorang muslim disuruh untuk menginfaqkan hartanya kepada isterinya dan anak-anaknya yang masih kecil. Dia juga dituntut untuk menginfaqkan hartanya buat kedua ibu bapanya yang fakir. InsyaAllah dia akan mendapat ganjaran pahala atas infaq tersebut. Dia turut mendapat ganjaran kerana menghubungkan silaturrahim.

ADAB-ADAB MENGINFAQKAN HARTA DI JALAN ALLAH SWT

Di dalam ayat-ayat awal di atas, Allah Subhanahuwata’ala menerangkan dua adab yang wajib diikuti oleh seorang mukmin ketika dia menginfaqkan hartanya di jalan Allah SWT:

1. TEGAHAN DARIPADA MENGUNGKIT-UNGKIT AKAN KEBAIKAN YANG DILAKUKAN DAN MENYAKITI HATI SI PENERIMA

Seorang muslim ketika menginfaqkan sesuatu daripada hartanya, hendaklah dia sedar bahawa perbuatannya itu adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dan mengharapkan ganjaran pahala yang baik. Hendaklah dia tidak mengharapkan daripada infaqnya selain daripada maksud untuk mencari keredhaan Allah SWT. Seperti, ingin diketahui manusia akan kebaikannya dan ingin mendapat keredhaan serta penghormatan daripada pihak yang menerima sedekah.

2. MENGUCAPKAN KATA-KATA YANG BAIK DAN SOPAN

Sekiranya ada di kalangan manusia yang memintanya sedekah, tetapi dia tidak mampu untuk memberi atas sebab-sebab tertentu, maka wajib ke atasnya untuk membalas permintaan tersebut dengan reaksi yang baik dan kata-kata yang sopan agar dapat mendamaikan hati si peminta serta yang tidak mencalarkan kehormatannya. Allah Subhanahuwata’ala mengajar kita bahawa membalas dengan baik itu, lebih baik daripada bersedekah yang disertakan dengan rungutan, menyerang si penerima atas pemberiannya dan melukakan hati si penerima.

PENGAJARAN DARIPADA AYAT DI ATAS

1. Apabila seorang muslim menginfaqkan hartanya, mestilah dengan niat meraih keredhaan Allah SWT dan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya.

2. Pahala bersedekah berbeza-beza antara seorang pemberi dengan pemberi yang lain, berdasarkan keikhlasan dan kesucian niat masing-masing.

3. Allah Subhanahuwata’ala menyediakan bagi orang yang menginfaqkan harta mereka dengan ganjaran pahala dan mereka terselamat daripada azab, serta tiada penyesalan atas amalan infaq tersebut.

4. Orang muslim tidak mengikuti pemberian mereka dengan mengungkit-ungkit jasa mereka atau meninggi diri berbanding manusia lain. Mereka tidak berinfaq melainkan dengan tujuan untuk mendapat redha Allah SWT.

5. Orang muslim membalas hajat si peminta dengan reaksi yang baik dan kata-kata yang sopan, sekiranya dia tidak mampu memenuhi permintaan tersebut.

SOALAN PENGUKUHAN

1. Jelaskan makna firman Allah Subhanahuwata’ala:

كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ
ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuk tangkai.

2. Bagaimanakah boleh terjadinya perbezaan ganjaran pahala antara seorang insan dengan insan yang lain ketika berinfaq di jalan Allah SWT?

3. Apakah janji Allah Subhanahuwata’ala untuk mereka yang menginfaqkan harta di jalan-Nya?

4. Sebutkan dua jenis infaq di jalan Allah yang wajib atas orang Islam?

5. Bagaimana seseorang itu boleh melepaskan dirinya daripada perasaan bangga diri terhadap orang yang menerima pemberiannya?

6. Bulatkan jawapan yang betul:

Seorang muslim berhak mendapatkan ganjaran pahala atas sedekahnya, berdasarkan:

a. Kadar sedekahnya.

b. Keikhlasan niatnya dalam berinfaq/bersedekah.

c. Keperluannya terhadap sedekah tersebut.

d. Semua yang disebut di atas.

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est).

[siteorigin_widget class=”Tribe_Image_Widget”][/siteorigin_widget]

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button