Tafsir Tematik

Tafsir Tematik: Tema 5 – Sifat Hamba Ar-Rahman 3

TEMA 5 – SIFAT HAMBA AR-RAHMAN 3

PENDAHULUAN

FIRMAN Allah SWT (Surah Al-Furqan : 72-77)

وَٱلَّذِينَ لَا يَشۡهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّواْ بِٱللَّغۡوِ مَرُّواْ كِرَامٗا
Dan orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

وَٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ لَمۡ يَخِرُّواْ عَلَيۡهَا صُمّٗا وَعُمۡيَانٗا
Dan orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang yang tuli dan buta.

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan orang yang berkata: “Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa

أُوْلَٰٓئِكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ وَيُلَقَّوۡنَ فِيهَا تَحِيَّةٗ وَسَلَٰمًا
Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.

خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ حَسُنَتۡ مُسۡتَقَرّٗا وَمُقَامٗا
Mereka kekal di dalam syurga itu, amatlah elok syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

قُلۡ مَا يَعۡبَؤُاْ بِكُمۡ رَبِّي لَوۡلَا دُعَآؤُكُمۡۖ فَقَدۡ كَذَّبۡتُمۡ فَسَوۡفَ يَكُونُ لِزَامَۢا
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): “Rabbku tidak akan menghargai kamu kalau tidak ada doa ibadat kamu kepada-Nya, (apabila kamu telah mengetahui bahawa Rabbku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Rabbku), dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi) akan menimpa kamu.

KOSA KATA

الزُّور = Pendustaan dan pembohongan.
اللَّغْو = Kebodohan, sia-sia  dan kejahilan.
كِرامًا = Mengangkat diri daripada tenggalam dalam kebatilan, dan berpaling daripada kejahilan dan kebodohan.
لم يخرُّوا عليها صمَّا وعميانا = Mereka tidak menterbalikkan atas sesuatu tanpa sedar.
قرّةُ أعين = Apa yang menenangkan mata dengan memandangnya. Kiasan bagi sesuatu yang merehatkan dan menenangkan.
إماما = Qudwah yang menjadi teladan dalam kebaikan.
الغرفة = Peringkat yang tinggi. Iaitu kedudukan dan peringkat yang tertinggi dalam syurga.
يلَقَّونَ فيها تحيةً وسلامًا = Mereka menerima dalam syurga penghargaan daripada Allah SWT dan salam daripada malaikat.
ما يعبأ = Dia tidak peduli.
لِزامًا = Azab yang wajib,  kekal dan abadi.

TAFSIRAN AYAT

Ayat-ayat atas menceritakan beberapa sifat-sifat yang mulia. Allah SWT menginginkan sifat-sifat ini ada pada hamba-hamba-Nya yang beriman, hingga terbina akhlak mulia yang menjadi contoh, dalam masyarakat Islam, untuk diteladani. Juga agar mereka bersedia memikul tugas kepimpinan dan pelopor bagi umat. Mereka menjadi contoh teladan dalam kebaikan dan menjadi qudwah dalam amal yang mulia.

DI ANTARA SIFAT-SIFAT MUKMIN YANG DISEBUT DALAM AYAT-AYAT TERSEBUT:

PERTAMA: SENTIASA BERKATA BENAR

Sentiasa berkata benar dan menjauhi diri daripada menyebarkan berita dusta. Menjauhkan diri daripada golongan yang suka berbohong dan berkata perkara palsu serta menjauhkan diri daripada penyaksian palsu.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ لَا يَشۡهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّواْ بِٱللَّغۡوِ مَرُّواْ كِرَامٗا
Dan orang yang tidak memberikan persaksian palsu. (Surah Al-Furqan :72)

Sesungguhnya ajaran Islam menegaskan bahawa penyaksian palsu adalah antara dosa besar yang berhadapan dengan ancaman yang tegas dan hukuman yang hina di akhirat. Penyaksian palsu akan mengakibatkan pelbagai kemudaratan yang besar.  Antaranya ialah – hilangnya hak-hak seorang hamba, terjebak dalam amalan memakan harta manusia secara bathil, tersebarnya pembohongan yang membawa kepada kerosakan dan keruntuhan masyarakat, hilangnya keadilan dan tersebarnya kezaliman.

 

KEDUA: BERPALING DARIPADA ORANG JAHIL

Orang beriman perlu menghindarkan diri daripada terjerumus dalam pebicaraan yang sia-sia. Tidak membalas kata-kata orang yang bodoh. Memuliakan lisan-lisan mereka dengan cara menjauhi kata-kata biadab dan lafaz-lafaz buruk serta memelihara maruah mereka daripada dicemari oleh lisan yang buruk. Tindakan ini akan menjadikan mereka golongan yang berkedudukan tinggi dan hamba-hamba Allah SWT yang mulia. Tindakan ini juga memelihara mereka daripada terperangkap dalam perkara yang buruk dan remeh.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا مَرُّواْ بِٱللَّغۡوِ مَرُّواْ كِرَامٗا
dan apabila mereka bertemu dengan (orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu (sahaja) dengan menjaga kehormatan diri. (Surah Al-Furqan : 72)

KETIGA: PEMIKIRAN YANG TAJAM DAN PEMAHAMAN YANG JELAS TENTANG MANHAJ KEIMANAN DAN JALAN DAKWAH

Sifat mereka seterusnya ialah meneliti dengan baik terhadap apa yang mereka dengar. Merenung dan bertafakkur terhadap apa yang mereka lihat. Tidak melihat sesuatu perkara dengan membuta dan tuli. Hati mereka terbuka dan akal mereka sedar untuk mengetahui tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan kalam-Nya. Mereka memiliki kekuatan dalam mengetahui kebenaran dan suka mengkaji untuk mendapatkan kebenaran. Tidak dimudaratkan oleh godaan-godaan yang sesat dan tidak tertipu dengan luaran yang palsu. Mereka mengenal kebenaran dan orang yang benar.

Firman Allah SWT:

 وَٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ لَمۡ يَخِرُّواْ عَلَيۡهَا صُمّٗا وَعُمۡيَانٗا
Dan orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang yang tuli dan buta. (Surah Al-Furqan : 73)

KEEMPAT: BERDOA KEPADA ALLAH SWT SUPAYA DIKURNIAKAN PASANGAN YANG BERIMAN DAN KETURUNAN YANG BAIK

Mereka berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan pasangan yang beriman dan keturunan yang baik. Mereka juga berdoa supaya pasangan dan anak-anak menjadi penyejuk mata mereka, selepas berusaha memilih pasangan yang soleh. Mereka berusaha sedaya upaya dalam mentarbiah anak-anak mereka dengan penuh keimanan dan kesedaran sehinggalah anak-anak mereka dapat menyertai mereka dalam membawa risalah Islam serta dapat membantu dalam membina masyarakat beriman.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan orang yang berkata: “Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penenang mata (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa. (Surah Al-Furqan : 74)

KELIMA: BERSEGERA MELAKSANAKAN HUKUM-HUKUM ALLAH SWT DAN BERSEGERA BERBUAT KEBAIKAN

Mereka bersegera dalam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT dan bersegera berbuat kebaikan. Bersegera dalam melaksanakan ketaatan menjadikan mereka contoh dan suri teladan bagi orang mukmin yang lain dan bagi orang yang ingin melalui jalan petunjuk dan kemenangan. Mereka berdoa kepada Allah SWT dengan tidak henti-henti supaya Allah menyampaikan mereka kepada kedudukan ini (kedudukan sebagai Imam). Imam dalam kebaikan,  ketakwaan, tujuan yang baik dan perbuatan yang baik. Mereka berdoa sepertimana dalam Firman Allah SWT:

وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
dan jadikanlah kami imam bagi yang bertakwa.

Sesungguhnya umat kini sangat memerlukan kepada golongan  printis yang mencapai peringkat tertinggi dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Di samping itu, mereka mencapai peringkat tertinggi dalam memiliki akhlak terpuji.

Mereka membina kekuatan mereka sehinggalah mereka mampu menyelamatkan manusia dan menarik tangan mereka menuju kemenangan, keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

KEENAM: BERSABAR DENGAN MANHAJ ALLAH SWT

Mereka bersabar dengan manhaj Allah SWT dan tabah memikul dakwah Allah SWT. Juga bersabar dengan qada’ dan qadar Allah SWT.

Firman Allah SWT:

أُوْلَٰٓئِكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ
Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka.
(Surah Al-Furqan : 75)

Sesungguhnya orang mukmin yang telah sampai ke peringkat tertinggi dalam akhlak, kekuatan dan ketakwaan akan menjadikan mereka memperolehi kedudukan tertinggi di dunia. Mereka turut mendapat kedudukan tertinggi di akhirat, iaitu غرفة (martabat yang tinggi dalam syurga). Mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan salam, penghargaan dan pertemuan yang bahagia. Mereka disambut dengan mulia di syurga, Insya-Allah.

PENGAJARAN AYAT

1. Seorang mukmin hendaklah menjauhi kata-kata dusta dan penyaksian palsu. Ia merupakan antara dosa besar yang membawa kemudaratan kepada individu dan masyarakat.

2. Sangat penting bagi kita untuk menjauhkan diri daripada majlis-majlis yang melalaikan. Kita juga hendaklah berpaling daripada kata-kata orang yang jahil dan tidak tenggelam dalam kebatilan.

3. Sangat penting untuk kita meneliti setiap perkara dan sedar akan setiap ucapan. Hendaklah kita menjauhkan diri daripada menyerupai orang kafir yang bersifat degil dan taksub membabi buta. Janganlah kita berpegang teguh dengan kebatilan yang tiada dalil dan bukti.

4. Berlindung kepada Allah SWT dengan berdoa demi kebaikan pasangan dan zuriat. Doakan supaya Allah SWT      memberi taufik kepada mereka untuk melalui jalan yang lurus dan menjadi penyejuk mata.

5. Berlindung kepada Allah SWT dengan berdoa untuk sampai ke martabat imam yang takwa. Lakukan kebaikan, laksanakan ketaatan dan jauhkan diri daripada tipu daya orang kafir.

6. Bersabar dengan perintah Allah SWT dan manhaj-Nya hingga sampai ke peringkat tertinggi di dunia dan akhirat. Dan balasannya adalah kedudukan yang tinggi (غرفة) di syurga.

SOALAN PENGUKUHAN:

1. Terangkan makna perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat yang berikut:

  • (وَإِذَا مَرُّا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا)
  • (وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمَ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا)
  • (فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَامًا)

2. Sebutkan tiga sifat yang wajib ada pada seorang mukmin.

3. Apakah doa yang dituturkan oleh lisan orang mukmin dalam ayat sebelum ini?

4. Sambungkan ayat dalam perenggan pertama dengan maknanya dalam perenggan kedua.

: الآية

(وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورّ)

(وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا)

(وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمَ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا)

(وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا)

Maknanya:

1. Bersegera melakukan kebaikan.

2. Pengharaman penyaksian palsu.

3. Menjauhkan diri daripada majlis-majlis hiburan yang melalaikan.

4. Meneliti dan mentadabbur dengan baik atas apa yang dibentangkan kepada manusia.

 

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est).

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button