Tafsir Tematik

TAFSIR TEMATIK (11) :
MENGAJAK KEPADA ALLAH SWT

PENDAHULUAN

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥
Serulah (manusia) ke jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah dengan cara yang lebih baik. Sesunggguhnya Rabbmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Nahl : 125)

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
Bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) : “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.” (Surah Yusuf : 108)

KOSA KATA

الحِكمَة : Kebijaksanaan terbaik atau pemilihan terbaik.
المَوعِظَةُ الحَسَنَة : Kata-kata atau nasihat yang baik dan lemah-lembut.
جَادِلْهُم ( daripada جِدَال ): Iaitu perbualan atau perbincangan yang bertukar jadi hujah menghujah.
السَّبِيل : Jalan yang jelas/benar.
البَصِيرَة : Pengetahuan, pemahaman dan keyakinan.

TAFSIRAN AYAT

Ayat Al-Quran di atas telah menggariskan kaedah-kaedah berdakwah dan asas-asasnya. Juga menerangkan wasilah-wasilah di jalan dakwah. Ayat ini juga menjelaskan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kaedah  dakwah yang benar. Manakala para pendakwah selepas baginda pun perlu mempelajarinya ketika menyampaikan kalimah Allah dan risalah Islam kepada manusia. Ayat-ayat secara umumnya menjelas panduan dakwah yang rabbani dan betul bagi menjamin kejayaan di dunia dan akhirat dengan izin Allah Subhanahuwata’ala.

KAEDAH-KAEDAH UNTUK MENGAJAK MANUSIA KEPADA ALLAH SWT

Antara kaedah-kaedah dan asas-asas dakwah adalah :

1. Dakwah merupakan kewajipan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan pengikut baginda hingga ke hari kiamat. Ini berdalilkan firman Allah Ta’ala:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ…
Maksudnya: “Serulah (manusia) ke jalan Rabbmu…”

Suruhan ini (fi’il ‘amar) membawa kepada hukum wajib.

2. Sesungguhnya hakikat dakwah itu adalah mengajak manusia ke jalan Allah. Bukan mengajak kepada diri pendakwah sendiri atau kelompok tertentu. Bukanlah kerana kelebihan seseorang pendakwah menyebabkan seseorang yang didakwahkan itu mendapat hidayah. Bukan pula kerana orang yang didakwah itu daripada kelompok tertentu maka dia pun mendapat hidayah daripada Allah SWT. Hidayah di Tangan Allah SWT. Tugas pendakwah hanyalah berdakwah. Pahala berdakwah hanya datang daripada Allah SWT. Allah SWT lebih tahu pendakwah hakiki, ikhlas dan benar ilmunya. Allah SWT berfirman:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ
Bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan Rabbmu.”

Dakwah adalah hak Allah SWT. Allah SWT sendiri yang menentukan rupabentuk atau celupan-Nya. Dia tidak terpengaruh atau terkesan dengan celupan atau rupabentuk makhluk. Tugas pendakwah hanyalah berdakwah bersungguh-sungguh dan sedaya upaya memilih cara dakwah yang betul. Allah SWT tidak tertakluk kepada makhluk-Nya untuk memberi hidayah kepada kaum mana atau individu mana. Allah SWT memiliki hak dan kebebasan multak untuk memberi hidayah kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki .

3. Dakwah hakiki jauh daripada bermatlamatkan dunia. Ia bukan jalan mencari pendapatan, keuntungan dunia atau perhiasannya. Dakwah adalah jalan hidup mulia para rasul Allah SWT dan jalan paling mulia untuk bertemu-Nya.

4. Para pendakwah perlu mengerahkan segala usaha dan tenaganya untuk berdakwah kepada manusia. Perlaksanaannya mesti dengan sebaik-baik cara berserta seindah-indah perkataan.

5. Pememilihan cara berdakwah perlulah dengan cara paling sesuai dan tepat mengikut  keadaan dan situasi orang yang didakwahkan.

6. Pendakwah perlu mengetahui kesediaan mereka yang menjadi sasaran dakwahnya. Wajar beliau berkenalan dahulu dengan sasaran dan mengetahui latarbelakangnya. Jika berbual dengan mereka bukanlah dengan cara perbualan yang memberatkan atau merumitkan mereka. Ini penting  supaya mereka tidak besikap negatif dengan pendakwah. Janganlah pula semangat untuk berdakwah itu menyebabkan pendakwah lupa akan sempadan hikmah yang perlu dipelihara.

Pendakwah mesti dihiasi dengan sifat mesra dan baik hati serta menjauhi kekerasan dan kebiadaban. Sepertimana yang dapat difahami daripada firman-Nya:

بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَة
Bermaksud: “dengan hikmah dan pelajaran yang baik.”

7. Berdakwah kepada Allah SWT seelok-eloknya disertakan dengan hujah dan dalil. Pengambilan dalil pula hendaklah daripada sumber yang sahih, yang akan membina pemikiran baik, positif dan murni bagi orang yang didakwahkan. Pendakwah perlu  menjauhi perbualan atau perbincangan khilaf yang mendorong kepada suasana menghina atau mencela. Pendakwah perlulah bijak mewujudkan suasana  aman dan tenang untuk orang yang didakwahkan. Mereka harus jelas tugasnya adalah menyampaikan kebenaran dengan cara sebaik mungkin. Bukan mewujudkan suasana berjidal (bertelingkah dan bertengkar). Perlu juga ke atas pendakwah menjaga kemuliaan orang yang didakwahkan. Jangan sampai wujud suasana bertelingkah hingga mereka meras tercalar. Ini boleh  menghalang mereka daripada mendapat hidayah Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ

Bermaksud: “Dan berdebatlah mereka dengan cara yang paling baik.”

8. Pendakwah kepada Allah SWT perlu meneliti dan menilai dakwahnya dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat dakwahnya tetap betul dan cara dakwahnya juga adalah cara terbaik. Di mana beliau yakin bahawa beliau benar dan membawa kebenaran tanpa syak atau ragu-ragu.

Pendakwah hendak benar- benar yakin bahawa beliau berjalan di atas manhaj atau jalan yang jelas. Di mana beliau memiliki  ilmu dan pengetahuan yang mencukupi terhadap dakwahnya (beliau faham apa matlamat dakwahnya, jalan atau caranya, isi dakwahnya, sahsiah diri yang perlu dipelihara dan sebagainya. Semua ini diambil daripada sumber-sumber yang diperakui oleh din Allah SWT). Inilah yang dimaksudkan daripada firman Allah SWT :

عَلَىٰ بَصِيرَةٍ
Bermaksud: “Dengan hujah yang nyata” 

9. Kekuatan dakwah yang didokong oleh seorang pendakwah bergantung kepada sejauh mana dakwahnya dapat membawa seseorang kepada Allah SWT. Yakni dakwah yang memiliki tujuan yang jelas, dakwah yang benar dan pendakwahnya konsisten di atas jalan dakwah.. Dakwahnya bersesuaian dengan fitrah dan tidak bercanggah dengan logik akal yang normal dan mengisi keprluan hati dengan iman dan taqwa. Dakwah yang menyentuh keperluan insan secara seimbang meliputi roh, aqal dan jasad. Dakwah yang mengangkat martabak pendokongnya ke martabat yang tinggi di sisi Allah SWT.

Itulah dakwah yang terbaik untuk manusia serta membawa faedah yang baik pula untuk semua makhluk lain. Ia menegakkan yang hak dan meruntuhkan kebatilan serta menebarkan keadilan. Seterusnya menyingkirkan kezaliman hinnga ke akar umbi dan melawan penindasan, kezaliman dan kuku besi.

Para pendakwah perlulah memilki semangat yang kuat, mampu memikul tanggungjawab serta bersiap sedia menanggunn akibat yang mencabar daripada dakwah yang dibawanya. Pendakwah perlulah bersabar atas kejahilan orang yang didakwahkan serta  bersiap sedia terhadap ancaman mereka, yang terdiri daripada golongan hartawan dan orang yang berkepentingan.

Berdakwah kepada Allah SWT memerlukan pengorbanan tenaga, harta, jiwa, waktu dan apa yang dimiliki mengikut kemampuan.

PENGAJARAN DARIPADA AYAT DI ATAS

  1. Berdakwah kepada Allah SWT wajib ke atas semua muslim.
  2. Berdakwah kepada Allah SWT merupakan tugas para nabi dan para mengislah di sepanjang masa.
  3. Berdakwah ini memerlukan hikmah (kebijaksanaan), penelitian yang baik, kata-kata yang sesuai dan lembut, serta bicara dengan akal dan hati.
  4. Berdakwah juga memerlukan pengetahuan yang luas dan tajam, serta kefahaman yang mendalam. Juga memerlukan keazaman yang kukuh dan tawakkal (berserah diri) kepada Allah.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Apakah makna berdakwah di jalan Allah?

2. Apakah sumber hakiki dalam berdakwah?

3. Apakah hukum syarak bg dakwah ke jalan Allah?

4. Nyatakan 3 kaedah-kaedah berdakwah kepada Allah.

5. Bulatkan jawapan yang sesuai dengan penyataan yang berikut:

Makna hikmah disebalik ayat :

“اُدعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ”

  1. Memilih cara yang sesuai dalam menyampaikan dakwah.
  2. Mengetahui keadaan orang yang didakwa menilai serta mentafsir keadaan mereka.
  3. Melihat kepada akibat-akibat serta natijah daripada perbuatan.
  4. Semua yang telah disebut

Makna daripada ayat : وَجَادِلهُم بِالَّتى هِيَ أَحْسَنُ

Berdebat itu mestilah:

1. Dengan meninggikan dan menzahirkan kekuatan suara.

2. Dengan bukti dan hujah-hujah dalam masa yang sama menghormati orang didakwahkan.

3. Tiada perasaan yang ingin menyedapkan hati dan menzahirkan kasih- sayang.

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button