Tafsir Tematik

Tafsir Tematik: Tema 4 – Sifat Hamba Ar-Rahman 2

TEMA 4 – SIFAT HAMBA AR-RAHMAN 2

Pendahuluan

Firman Allah dalam Surah Al-Furqan (25), ayat 67 hingga 71:

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَكَانَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ قَوَامٗا
Maksudnya, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul, sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” 

وَٱلَّذِينَ لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقۡتُلُونَ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ وَلَا يَزۡنُونَۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ يَلۡقَ أَثَامٗا
Maksudnya, “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya.” 

يُضَٰعَفۡ لَهُ ٱلۡعَذَابُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَيَخۡلُدۡ فِيهِۦ مُهَانًا
Maksudnya, “Akan digandakan baginya azab siksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.” 

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلٗا صَٰلِحٗا فَأُوْلَٰٓئِكَ يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ حَسَنَٰتٖۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا
Maksudnya, “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا فَإِنَّهُۥ يَتُوبُ إِلَى ٱللَّهِ مَتَابٗا
Maksudnya, “Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.” (Al-Furqan : 67 – 71)

Kosa Kata

لَمۡ يُسۡرِفُواْ : Tidak melebihi kadar yang wajar dalam berinfaq.
يَقۡتُرُواْ : Tidak bakhil dan tidak menghalang hak Allah ditunaikan.
قَوَامٗا : Adil dan saksama, serta berpada-pada dalam bertindak.
لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ : Tidak menyekutukan Allah dengan yang lain.
يَلۡقَ أَثَامٗا  : Berhadapan dengan hukuman dan azab.
مُهَانًا  : Memalukan.
يُبَدِّلُ ٱللَّهُ سَيِّ‍َٔاتِهِمۡ حَسَنَٰتٖۗ :  Menjadikan amalan buruk mereka berubah menjadi amalan soleh .

Tafsiran Ayat

Ayat ini merupakan sambungan daripada (surah Al-Furqan) ayat yang menjelaskan sifat-sifat kumpulan orang beriman yang mana terletak pada bahu mereka kemenangan din Allah SWT. Mereka yang melaksanakan bebanan dakwah hanya kerana Allah SWT dengan berpandukan kepada manhaj-Nya. Maka kumpulan ini perlu bersifat dengan sifat-sifat yang baik sehingga membolehkan mereka membawa dan memikul amanah ini dengan penuh kekuatan dan kecekapan.

Sifat-sifat Mukmin yang Terdapat dalam Ayat Ini

Pertama: Bersederhana dan Berpada dalam Berbelanja dan Membuat Apa-Apa Urusan

Antara ciri-ciri penting bagi individu beriman atau sesebuah organisasi Islam adalah “kesederhanaan”. Maka sesungguhnya Allah SWT menginginkan umat Islam bersifat sederhana dalam semua keadaan.

Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا
Maksudnya, “dan demikian kami jadikan kamu ummah yang sederhana.” (Surah Al-baqarah (2): 143)

Kesederhanaan ini akan tercermin dengan jelas terutamanya ketika berinfaq (membelanjakan harta). Maka tidak wajar orang beriman berlebih-lebihan atau melampaui daripada apa yang diperlukan sehingga boleh membawa kepada pembaziran harta dan kerosakan jiwa. Namun tidak boleh juga terlalu kedekut hingga menimbulkan kesukaran pada pihak yang berhak, seperti diri sendiri dan ahli keluarga. Sehingga menyebabkan dirinya dan mereka yang bersama dengannya menghadapi kesukaran serta kepayahan dalam kehidupan, sedangkan dialah yang bertanggungjawab untuk menguruskan harta berkenaan.

Kedua: Menumpukan Tujuan Taat dan Beribadah adalah untuk/kepada Allah SWT Semata-mata

Umat Islam dituntut agar tidak menyekutukan Allah SWT dengan selain daripada-Nya dalam berdoa, berharap, takut dan cinta. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ
Maksudnya, “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah.” (Al-Furqan : 68)

Keadaan ini akan memperlihatkan kekuatan dan keberanian orang beriman dalam melaksanakan kebenaran. Juga kehebatan, ketenangan dan kedudukan mereka di kalangan manusia.

Ketiga: Menjauhi Perkara Berdosa Besar daripada Perkara Keji dan Maksiat dalam Kategori Dosa Besar serta Bakal Menerima Hukuman yang Dahsyat.

Antara perkara berdosa besar yang patut dijauhi oleh orang beriman ialah:

1. Membunuh jiwa

Jiwa manusia itu haram dibunuh. Bahkan, diharamkan daripada disakiti. Maka, tidak dibenarkan membunuh dengan sengaja atau menumpahkan darah manusia.

Firman Allah SWT: 

مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا وَمَنۡ أَحۡيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحۡيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعٗاۚ
Maksudnya, “bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkannya membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh semua manusia.” (Surah Al-Maidah (5): 32)

Golongan yang bermudah-mudah dalam membunuh manusia sehingga tercabut roh atau menumpahkan darah manusia tanpa sebab, maka sesungguhnya mereka itu sejahat-jahat makhluk. Merka merupakan syaitan bertopengkan manusia. Mereka sentiasa berusaha untuk merosakkan manusia dan kehidupan manusia dengan menggugat keamanan dan kestabilan.

2. Zina:

Zina merupakan salah satu jenayah yang sangat merbahaya dalam masyarakat sehingga boleh mengundang kepada rosaknya hubungan kemasyarakatan, memecah-belahkan masyarakat, merosakkan maruah dan keturunan. Oleh sebab itu, al-Quran menjadikan zina sebagai sekeji-keji perbuatan, yang boleh menjadikan pelakunya ke tahap haiwan yang rendah kedudukannya.

Allah SWT menginginkan sebuah masyarakat yang suci dan bersih serta dibina atas perhubungan yang halal. Hinggalah lahir suasana kehidupan yang aman, stabil, berkasih sayang dan saling mencintai.

Keempat: Bersegera Bertaubat dengan Bersungguh-sungguh dan Ikhlas apabila Melakukan Perkara Berdosa

Pintu taubat sentiasa terbuka untuk para hamba-Nya. Bahkan Allah SWT menjanjikan keampunan bagi mereka yang bertaubat dan menggantikan amalan jahat mereka dengan amalan yang soleh. Lalu diangkat dan ditinggikan kedudukan mereka di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ عَمَلٗا صَٰلِحٗا….
Maksudnya, “kecuali mereka yang bertaubat dan beriman serta melakukan amalan soleh….” (Al-Furqan (25): 70)

Orang mukmin adalah manusia biasa yang ada kalanya tersilap dan ada kalanya betul. Mereka bukanlah malaikat. Akan tetapi orang beriman apabila melakukan suatu kesalahan, akan kembali semula kepada Allah SWT dan bertaubat daripada dosa mereka. Mereka mengaku salah dan berusaha memperelokkan diri mereka serta menyesali kesalahan mereka. Maka dengan bertaubat ini, ia akan memperelokkan kedudukan mereka dan mengangkat martabat mereka di sisi Allah SWT .

Pengajaran Daripada Ayat

1. Orang beriman perlu bersederhana dalam berbelanja. Mereka tidak berlebihan dan tidak juga kedekut. Mereka memberikan hak kepada setiap pihak yang berhak tanpa membazir atau berbuat zalim. Mereka juga bersederhana dalam beribadah. Tidak terlalu berlebihan dan tidak kurang. Mereka bersederhana dalam segala aspek.

2. Menjauhi diri daripada perkara syirik kepada Allah SWT dan segala perkara yang boleh membawa kepada syirik (sama ada dalam perbuatan atau pertuturan).

3. Menjauhi jenayah membunuh secara zalim dan sengaja.

4. Menjauhi jenayah zina. Ini kerana ia akan memudaratkan masyarakat dan membawa dosa besar.

5. Bersegera untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha. Dan, diikuti taubat itu dengan amalan yang soleh dan niat yang benar.

Latihan

1. Tuliskan sepotong ayat al-Quran yang kamu hafal selain daripada ayat di atas (al-Furqan : 67) yang menjelaskan mengenai “besederhana dalam berbelanja”.

2. Sebutkan beberapa perkara/perbuatan berdosa besar selain daripada yang telah disebutkan di atas.

Latihan Pengukuhan

1. Nyatakan makna perkataan yang bergaris di bawah:

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَكَانَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ قَوَامٗا 

وَٱلَّذِينَ لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ

وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ يَلۡقَ أَثَامٗا

2. Sebutkan tiga sifat penting bagi orang mukmin yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas.

3. Terangkan bahaya yang akan berlaku sekiranya seseorang itu melakukan jenayah zina.

Bulatkan jawapan yang betul di bawah:

1. Allah SWT menyifatkan hamba-Nya yang mukmin dengan “قَوَامٗا” (pertengahan – tidak terlalu membazir dan tidak terlalu kedekut). Ini bermaksud:

a. Menjadikan dia seorang yang kaya dengan ketetapan Allah SWT.
b. Menjadikan dia seorang lelaki yang menjaga keluarganya.
c. Menjadikan dia seorang hamba yang berjalan di jalan sederhana dan tidak melampaui batas dalam berbelanja.
d. Menjadikan dia seorang yang menjaga harta warisan.

2. Allah SWT melarang melakukan pembunuhan nyawa kerana:

a. Menjaga jiwa manusia serta memulia dan menjaganya daripada dirosakkan.
b. Memastikan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat.
c. Menetapkan matlamat penciptaan manusia iaitu beribadah dan memakmurkan bumi (dengan tugas sebagai khalifah).
d. Semua yang disebutkan di atas.

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est).

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button