PENDAHULUAN
۞وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا ٢٣ وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرٗا ٢٤
Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah :” Wahai tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku diwaktu kecil.” (Surah Al-Isra’ : 23-24)
وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حُسۡنٗاۖ وَإِن جَٰهَدَاكَ لِتُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَآۚ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٨
Dan kami wajibkan kepada manusia agar (berbuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. Hanya kepadaku tempat kembalimu. Dan akan aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (Surah Al-Ankabut (29): 8)
KOSA KATA
قَضَى : Menyuruh atau mewajibkan.
أُفٍّ : Kalimah yang menggambarkan kebosanan dan menolak.
تَنهَرهُمَا : Melarang atau menentang dan melawan, Bersikap kasar terhadap mereka dengan kata-kata.
قَولاً كَرِيمًا : Kata-kata yang baik dan lembut.
وَاخفِضْ لَهُمَا جناح الذُّل : Perumpamaan tentang rahmat, kasih sayang dan rendah diri.
وَوَصَّينَا : Mewajibkan kita, menyuruh kita
جَاهَدَاكَ: Daripada مُجَاهَدَة :Melawan, menggalakkan atau memujuk.
TAFSIRAN AYAT
Allah telah menyamakan perbuatan berbuat baik kepada kedua ibubapa dengan ibadah kepadaNya. Bahkan apabila menyatakan syukur kepada kedua ibu bapa itu sebagai tanda bersyukur kepadaNya. Allah juga menjadikan amalan berbuat baik kepada kedua orang tua ini merupakan amalan terbaik di dalam ajaranNya seperti mana Dia menjadikan dosa menderhakai kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan layak kepada pelakunya mendapat kemurkaan Allah dan menerima azabNya.
BENTUK-BENTUK BERBUAT BAIK KEPADA IBUBAPA ADALAH SEPERTI YANG BERIKUT:-
Pertama:
Mentaati keduanya dengan melaksanakan semua perintah dan mengikuti kehendaknya selagi mana perintah dan kehendaknya tidak menyuruh dalam berbuat maksiat dan tidak mengundang kemurkaan Allah. Para fuqaha’ (orang yang alim dalam bidang fikah) telah bersepakat ke atas kewajipan untuk taat kepada keduanya selagi mana permintaan daripada keduanya menyuruh kepada ketaatan. Malah taat kepada ibu bapa merupakan sebahagian daripada jihad dan ibadah serta salah satu jalan daripada jalan-jalan untuk mendapat redha Allah dan mendapat kemenangan dengan kurniaan syurga.
Kedua:
Menemani dan bersahabat dengan mereka secara baik. Bersikap lemah lembut terhadap keduanya. Berbicara dengan lemah lembut, memilih lafaz yang sesuai dan beradab ketika berkomunikasi dengan keduanya. Bergaul baik dengan mereka. Dan menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang dalam hubungan dan segala permintaan mereka. Semuanya ditunaikan dengan rasa penghargaan dan penghormatan. Merendahkan hati di hadapan mereka dan memuliakan mereka dengan segala makna kemuliaan yang berserta kasih sayang, kelembutan dan rasa rendah diri.
Seperti yang difahami daripada firman Allah,
وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ
Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang. (Surah Al-Isra’: 24)
Umpama burung menunjukkan kasih sayangnya terhadap orang tuanya melalui sayapnya.
Ketiga:
Menjauhi kata-kata yang bakal menyakiti hati mereka atau perlakuan yang kasar dan biadab. Selain itu juga menjauhi rasa bosan ketika melayani keduanya. Semua ini diambil daripada makna “فَلَا تَقُلْ لَّهُمَا أُفٍّ” (dengan berkata, “Uh!”) yang bakal mengguris serta menyakiti mereka.
Menderhakai kedua ibubapa dikira dosa besar yang setanding dengan dosa perbuatan lari pada hari peperangan, penyaksian yang dusta dan membunuh orang yang diharamkan Allah untuk membunuhnya.
Keempat
Menjaga keduanya dan melipat gandakan sifat lemah lembut dan berbuat baik kepada mereka ketika mereka telah tua dan dalam keadaan yang lemah, berdalilkan firman Allah Taala:
إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا….
Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai kepada usia lanjut dalam pemeliharaanmu…(Surah Al-Isra’ : 23)
Kelima
Mendoakan bagi keduanya rahmat dan keampunan selepas mereka meninggal dunia, menyempurnakan wasiat dan menunaikan segala janji mereka. Seterusnya, berbuat baik kepada teman-teman keduanya.
Keenam
Berbuat baik kepada kedua ibubapa yang bukan muslim:
Sekiranya terdapat perbezaan agama antara anak dan ibu bapa. Sebagai contoh anaknya beragama Islam sedangkan ibu bapanya beragama lain. Sesungguhnya Islam tetap menuntut penganutnya untuk berbuat baik kepada kedua orang tua meskipun keduanya bukan beragama Islam. Seharusnya mereka menemani dan bersahabat baik dengan mereka, mencukupkan keperluan mereka dan menunaikan hajat-hajat mereka serta berlembah lembut dengan mereka sepertimana mereka orang muslim. Kecuali tentang satu perkara iaitu sekiranya mereka menyuruh atau mengajak kita untuk keluar daripada agama Islam dan mensyirikkan Allah.
Ini sepertimana difahami daripada firman Allah Subhanahu Wataala:
وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. (Surah Al-Ankabut: 8)
Dan firman-Nya pada tempat yang lain:
وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik. (Surah Luqman : 15)
Maka berbuat baik kepada ibu bapa itu dituntut bagi setiap muslim meskipun mereka berlainan agama. Hendaklah berlaku ihsan, menunaikan tanggungjawab daripada sudut kewangan, nafkah dan berlemah-lembut serta menghormati, menghargai dan berusaha untuk mencukupkan keperluan keduanya. Dituntut juga untuk mencari keredaannya dan melaksanakan perintahnya selagimana tidak bercanggah dengan syarak seperti suruhannya untuk keluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya Islam telah pun memasakkan asas kemanusiaan yang agung melalui ayat ini. Islam telah meninggikan perihal, “berbuat baik kepada ibu bapa” dengan mengangkat martabat suruhan sehingga dianggap sebahagian daripada ibadah. Itulah martabat yang paling tinggi dan paling agung di dalam kehidupan manusia. Bahkan itulah matlamat penciptaannya. Malah Allah Subhanahu Wataala menganggap bersyukur kepada keduanya itu sebagai kesyukuran terhadap Allah seperti di dalam firmanNya:
أَنِ اشْكُرلِي وَلِوَالِدَيْكَ
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu. (Surah Luqman : 14)
PENGAJARAN AYAT
1. Allah menyamakan amalan berbuat baik kepada ibubapa dengan ibadah daripada sudut kewajipan dan kepentingannya.
2. Allah juga mengharamkan perbuatan yang menyakiti keduanya dengan sekecil-kecil perkara walaupon sekadar bercakap “ah”.
3. Tuntutan berbuat baik kepada ibubapa mesti jauh lebih wajib dan jauh lebih baik tatkala sampai pada usia tua mereka. Yakni dalam keadaan mereka yang semakin lemah.
4. Kewajipan untuk sentiasa mendoakan keduanya supaya mendapat rahmat, keampunan dan kematian yang sebaik-baiknya.
5. Berbuat baik kepada ibubapa itu merupakan suatu kewajipan meskipun mereka bukan di kalangan orang muslim. Dan syarat ketaatan kepada keduanya mestilah tidak kepada perkara kemaksiatan kepada Allah.
LATIHAN PENGUKUHAN
1. Sebutkan 2 cara untuk berbakti kepada kedua ibubapa.
2. Apakah hubungan di antara seorang muslim dengan ibu bapanya yang bukan beragama islam?
3. Bulatkan jawapan yang betul berdasarkan penyataan yang berikut :
Berbakti kepada kedua ibubapa selepas meninggal dunia adalah seperti yang berikut :-
1. Mendoakan serta memohon keampunan bagi keduanya.
2. Melaksanakan wasiatnya dan menunaikan janjinya.
3. Memuliakan sahabat-sahabatnya.
4. Semua yang disebut.
Berbakti kepada kedua orang tua merangkumi :-
- Bergaul baik dengan mereka dan taat akan perintahnya selagimana tidak membawa kepada kemaksiatan.
- Mentaati mereka secara mutlak tanpa syarat.
- Menggauli mereka sepertimana pergaulan dengan anak-anak.
- Membiarkan mereka menjaga diri mereka ketika tua.