Kompetensi

Tajuk Pilihan Pemantapan Pendakwah (3): Al-Ikhlas

Oleh: DKB Ustaz Dahlan Mohd Zain

MAKSUD Ikhlas

Mungkin tafsiran ikhlas di kalangan kita bermacam-macam. Oleh itu kita berhajatkan kepada satu keseragaman tafsiran menge­nai pengertian ikhlas.

Apa yang dikehendaki oleh Imam Hasan al-Banna tentang ikhlas ialah setiap muslim yang bersama dengan organisasi dakwah perlu menentukan niat jihadnya (kerjanya, dakwahnya) kerana Allah SWT semata-mata, tanpa melihat kepada kepentingan kebendaan yang bersifat zahir (seperti kedudukan atau pangkat, gelaran nama, kemajuan kebendaan dan sebagainya). Sekir­anya kita bekerja kerana hendakkan kemajuan yang zahir semata-mata maka ikhlas itu tidak tepat.  Oleh itu kita perlukan keikh­lasan yang betul kerana Allah semata-mata tanpa melihat kepada faktor-faktor lain.

Jelas Hasan Al-Banna:

أن يقصد الأخ المسلم بقوله وعمله وجهاده كله وجه الله, وابتغاء مرضاته وحسن مثوبته من غير نظر إلى مغنم أو مظهر أو جاه أو لقب أو تقدم أو تأخر, وبذلك يكون جندي فكرة وعقيدة, لا جندي غرض ومنفعة – قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ – الأنعام :162
Apa yang saya maksudkan dengan ikhlas:
Ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan dalam setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredhaan dan ganjaran-Nya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.
(Firman Allah SWT) Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Rabb yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An‘am: 162)

Pejuang Fikrah Dan Aqidah

Dengan ikhlas yang sedemikian, kita akan menjadi seorang pejuang yang memperjuangkan fikrah dan ‘aqidah. Bukan pejuang untuk manfaat tertentu. Jika kita seorang pemimpin, pekerja atau petugas, maka kita adalah orang yang ikhlas. Kita hendaklah menjadi pejuang fikrah dan ‘aqidah yang hakiki, InsyaAllah.

Setiap pekerjaan kita mestilah tercetus daripada kesedaran fikrah dan ‘aqidah kita. Kita tidak dipengaruhi oleh nilai-nilai masyarakat yang yang tidak selari dengan syari’at Islam. Bahkan semua nilai yang lain bukanlah pendorong untuk kita bergerak dan berkerja untuk Islam.

Firman Allah SWT:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ١٦٣
“Katakanlah: “Sesunguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah Rabb sekalian alam. Tiada pensyirikan pada-Nya, dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerah diri (kepada Allah SWT).” (al-An’am: 162-163)

Dengan demikian barulah seseorang muslim itu akan dapat memahami makna ungkapan-ungkapan seperti Allahu Akbar, Walillahil-Hamd dan Allahu Ghayatuna. Ungkapan-ungkapan ini bermaksud untuk melahirkan keikhlasan yang sebenarnya.

Berjihad Di Jalan Allah Kerana Allah

Dalam hadith Abi Musa al-Asy’ari: Apabila ditanya kepada Rasulul­lah SAW tentang seorang lelaki yang berperang kerana berani dan berperang kerana mempertahankan kedudukan supaya orang menggelarnya pahlawan dan berjuang, kerana riya’ – yang mana satukah Jihad Fi Sabilillah. Jawab Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berjihad kerana menegakkan Kalimah Allah SWT maka dialah yang berada di jalan Allah.

Hadith ini memberi maksud seseorang yang berjihad kerana berani atau kerana hendak menunjukkan kepahlawanan atau kerana riya’ maka semuanya itu bukanlah Jihad Fi Sabilillah. Mereka yang berjihad di jalan Allah ialah mereka yang  berjihad kerana menegakkan Kalimah Allah SWT semata-mata.

Banyak hadith-hadith lain yang membawa maksud yang sama. Antaranya (bermaksud):

“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada badan-badan kamu dan tidak melihat pada rupa-rupa kamu tetapi Allah melihat hati kamu (kerana keikhlasan itu lahir dari hati).”

Peringatan Kepada Ummah Pertama

Terdapat sebuah hadith lain yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW sewaktu realiti ummah Islam telah terbentuk dan sampai ke peringkat mempunyai Syakhsiyah Islamiyah yang betul, namun Rasu­lullah SAW masih lagi mengingatkan mereka supaya jangan ada dorongan lain semasa mereka berhijrah ke Madinah.

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: “إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ”
Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu, katanya: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.’”  (Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ummah pertama ini walau pun diproses oleh Rasulullah SAW sendiri, namun masih ada niatnya yang perlu diperbetulkan. Disebabkan Allah SWT menyayangi mereka maka Allah berikan peringatan melalui Rasul-Nya agar jangan ada dorongan lain yang merosak­kan amalan mereka.

Dalam gerak kerja Islam, hadith ini mestilah menjadi suatu qaedah yang penting dan utama. Tidak boleh dipandang ringan sahaja. Bahkan hadith ini perlu menjadi qaedah yang memandu pemimpin atau pekerja Islam dalam setiap masa dan ketika.

Jiwa manusia kadang-kadang terdapat dorongan lain, tetapi dengan peringatan daripada hadith ini maka dapatlah ia segera menyedari dan kembali kepada dorongan yang betul. Keikhlasan hamba Allah selalu terganggu, lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat yang sedang mengalami pelbagai krisis nilai.

Ikhlas Adalah Roh Bagi Amalan

Seorang ahli sufi berkata: “Amal (kerja) adalah lembaga sahaja, manakala rohnya adalah keikhlasan yang terdapat dalam kerja itu.”

Oleh itu kerja yang dibuat tanpa roh bermakna tidak hidup. Perkara yang menghidupkan kerja/amal adalah ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Setiap amal tanpa ikhlas adalah amal yang mati dan tidak akan diterima oleh Allah SWT serta tidak ada barakah, samada amalan itu besar atau kecil.

Sensitif

Persoalan ikhlas adalah persoalan yang sangat sensitif. Sedikit sahaja kita lari daripada niat yang sebenarnya maka amalan itu tidak akan diterima oleh Allah SWT. Justeru itu kita perlulah teliti betul-betul. Kita tidak mahu dorongan yang lain meresap ke dalam hati.

Perlulah setiap muslim berusaha untuk mendapatkan peringkat keikhlasan yang sebenarnya. Kita perlu menyemak apakah sebenarnya dorongan yang menggerakkan setiap amalan kita.

Tanggungjawab Yang Banyak Memerlukan Keikhlasan

Seorang anggota organisasi dakwah bertanggungjawab atau dipertanggungjawab­kan dengan  berbagai urusan. Misalnya, tanggungja­wab menegakkan din Allah SWT dan tanggungjawab melengkap­kan dirinya dengan sifat-sifat mukmin. Tanggungjawab ini amat besar. Oleh itu ia perlu memperbetulkan niatnya dalam apa keadaan sekalipun dan di mana-mana sahaja. Dan, jauhkan diri daripada sikap menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Ini kerana Darul Akhirah itu Allah SWT jadikan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman, beramal mengikut panduan syara’ dan ikhlas kerana Allah SWT, serta jauh daripada sifat menunjuk-nunjuk dan suka berrbuat fasad.

Nafsu Yang Cuba Menyelewengkan

Jika kita perhati dan amati, dorongan nafsu manusia selalu cuba memalingkan  atau menyelewengkan seseorang anggota organisasi dakwah daripada keikhlasan. Antara dorongan itu ialah:

1. Keuntungan kebendaan.
2. Kemegahan, nama atau gelaran.
3. Kemasyhuran.
4. Gelaran.
5. Kemajuan duniawi.
6. Kemunduran duniawi,
dan pelbagai tujuan atau kepentingan tertentu.

Itu semua boleh menghilangkan keikhlasan.

Sebagai orang beriman, kita hendaklah beramal kerana Allah S.W.T. semata-mata dan sentiasa terikat dengan syara’. Apabila kita bekerja, jangan ada unsur lain yang mengganggu keikhlasan. Sedikit sahaja riya’ maka rosaklah amalan kita.

Memperbaiki Niat Disepanjang Amalan

Sekiranya ada unsur yang mengganggu, seperti riya’ sewaktu ber­kerja maka janganlah kita berhenti bekerja. Kita perlu terus berkerja dan pada masa  yang sama kita betulkan niat serta proseskan hati kita.

Ahli Tasawwuf ada berkata: “Meninggalkan kerja kerana orang adalah riya’ dan membuat kerja kerana orang adalah syirik.”

Sewaktu beramal, kita perlu memelihara dan meningkatkan keikhlasan.

Ikhlas Menjamin Istiqamah

Apabila keikhlasan itu wujud dan hakiki, maka walaupun dalam suasana ketakutan atau teruji maka ahli-ahli gerakan dakwah tetap bersama gerakannya. Manakala dalam suasana dihidangkan habuan-habuan duniawi maka ahli gerakan akan didapati tidak ada yang menawarkan diri untuk merebutkannya.

Ini berbeza dengan apa yang biasa berlaku dalam masyarakat. Semasa dihadapkan dengan habuan-habuan laba dunia maka ramailah yang muncul dan menawarkan diri untuk menerima, tetapi dalam suasana ketakutan atau terancam maka semua akan menghilangkan diri.

Apabila ikhlas itu betul-betul bertapak di hati, orang mukmin akan bersesak-sesak melaksanakan kerja-kerja Islam. Sebaliknya, mereka akan melarikan diri apabila dihadapkan dengan  harta benda dan habuan duniawi.

Bagi orang yang ikhlas, keuntungan dunia ditolak ke tepi. Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan keuntungan akhirat. Pada ketika ini barulah kerja-kerja kita mendapat berkat di sisi Allah SWT, dan barisan anggota-anggota organisasi dakwah akan menjadi utuh dan padu.

Apabila ikhlas tiada maka jadilah setiap kegiatan itu seperti kosong, tiada balasan apa-apa daripada Allah SWT, tidak mendapat barakah dan tidak akan tercapai matlamat Islam yang sebenarnya.

Begitulah Bentuk Keikhlasan

Begitulah bentuk keikhlasan yang perlu ditingkatkan dalam organisasi dakwah Islam. Tanpa keikhlasan seperti ini organisasi tidak akan sampai kepada matlamatnya yang murni. Juga, tanpa keikhlasan seperti ini  organisasi dianggap berada di awang-awangan sahaja. Mungkin kita mendengar kemunculan projek-projek dakwah di sana sini, tetapi isi yang hakiki tidak ada.

Inilah peringkat keikhlasan yang dikehendaki dalam pembentukan kita. Ia akan sentiasa memandu dan memperbaiki diri kita. Keikhlasan yang tidak berubah dalam apa jua keadaan – samada dalam keadaan bersama dengan ramai orang atau sedikit orang, samada dilihat orang lain atau tidak dilihat orang lain dan samada diberi nilai atau tidak diberi nilai oleh manusia.

Kita mahu amalan yang diberkati Allah SWT. Sekiranya amalan diberkati maka InsyaAllah kita akan sampai kepada matlamatnya.

Keikhlasan Dalam Syura

Keikhlasan sangat penting dalam organisasi dakwah Islam. Kita berhajatkan kepada kehidupan berorganisasi yang bersih dan diberkati oleh Allah SWT. Begitu juga di dalam syura organisasi dakwah, kita membawa kaedah-kaedah yang betul, menjaga keikhlasan, kejujuran dan sifat-sifat yang diper­lukan. Dalam hal ini Allah SWT lebih mengetahui segala yang batin. Kita hanya berhukum pada yang zahir.

Apa yang mustahak kita perbetulkan kerja-kerja yang dijalankan. Tarbiah mestilah berjalan di atas asas-asas yang betul. Jangan kita bersiasah seperti yang berlaku dalam masyarakat sekarang. Siasah seperti yang berlaku dalam masyarakat membawa kepada nilai keuntungan kebendaan melebihi segala yang lain.

Kegelencongan

Dalam perjalanan dakwah, sering juga berlaku kegelencongan setelah berjalan dengan betul. Kegelencongan ini terjadi kerana tidak betul-betul melalui proses keimanan dan kefahaman. Juga kerana tidak meletakkan diri agar betul-betul berada dalam sistem tarbiah.

Janganlah kita hanya memperkatakan tarbiah tetapi diri sendiri tidak dimasukkan dalam sistem tarbiah. Kadangkala kegelencongan berlaku tanpa disedari. Kadangkala juga terdapat sesuatu yang mendorong ke arah kegelencongan itu.

Janganlah kita terlalu cepat mengambil uslub siasi yang tertarik kepada bilangan yang ramai, tepuk sorak dan terpengaruh dengan nilai kebendaan.

Kita perlu hadzamkan betul-betul kaedah-kaedah syara’. Kita mahukan matlamat jelas lagi masyru’, dan wasail juga jelas lagi masyru’. InsyaAllah, semoga dengan keikhlasan, segala usaha dan masa yang kita curahkan akan diberkati Allah SWT.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button