Kompetensi

Tajuk Pilihan Pemantapan Pendakwah (5): Jalan² Menuju Keikhlasan

PENDAHULUAN

ORANG beriman yang terdahulu daripada umat ini sangat mementingkan keikhlasan. Mereka sangat mengharapkan agar diperingatkan kepada diri mereka supaya sentiasa ikhlas. Sebab itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إنما الأعمال بالنيات
Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niatnya.

Hendaklah kita menanam pohon keikhlasan ke dalam hati kita agar kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kepentingan Ikhlas

Pentingnya ikhlas kerana ia adalah perintah Allah Subhanahuwata’ala dan menjadi syarat utama agar kehidupan seseorang itu diterima atau diredhai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta’atan kepada-Nya. (Surah Al-Bayyinah : 5)

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ ٢ أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُۚ
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al Qur’an) dengan kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan keta’atan kepadaNya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah din yang bersih. (Surah Az-Zumar : 2-3)

قُلِ ٱللَّهَ أَعۡبُدُ مُخۡلِصٗا لَّهُۥ دِينِي
Katakanlah: Hanya Allah sahaja yang aku sembah dengan ikhlas kepadaNya dalam dinku. (Surah Az-Zumar : 14)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

إن الله لا يقبل من العمل إلا ما كان خالصا وابتغي به وجهه  رواه النسائي والطبراني
Sesungguhnya Allah tidak menerima amal seseorang kecuali apabila amal itu ikhlas dan mencari ridha Allah. (Riwayat Nasaie dan Tabrani)

Fudhail bin Iyadh menyatakan: Meninggalkan perbuatan kerana manusia adalah riya’ dan melakukan perbuatan untuk menusia adalah syirik, sedangkan ikhlas adalah Allah membebaskan kamu dari keduanya.

Pengertian Ikhlas

Ikhlas bermakna bersih dan murni daripada campuran. Imam Abu Hamid Al Ghazali menyatakan: Ketahuilah bahawa segala sesuatu mungkin akan dicampuri dengan sesuatu yang lain. Jika sesuatu itu bersih dan murni daripada campuran maka ia dikatakan suatu yang murni (khalis). Amalan yang bersih dan murni adalah amalan yang ikhlas.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ۦ مِنۢ بَيۡنِ فَرۡثٖ وَدَمٖ لَّبَنًا خَالِصٗا سَآئِغٗا لِّلشَّٰرِبِينَ
Iaitu berupa susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang yang meminumnya. (Surah An-Nahl : 66)

Dari ayat di atas, bermaksud susu itu murni dan bersih apabila tidak bercampur dengan tahi dan darah.

Justeru itu niat yang ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata mencari kerdhaan Allah Subhanahuwata’ala, tanpa dicampuri dengan syirik, samada syirik khafi (tersembunyi) atau syirik jali (jelas).  Juga tanpa dicampuri dengan keinginan nafsu, keuntungan duniawi, pangkat, harta, populariti, inginkan pujian, takutkan cacian atau lain-lain dorongan yang boleh dihimpunkan sebagai melakukan sesuatu bukan kerana Allah  Subhanahuwata’ala.

Niat yang ikhlas ialah buah dari tauhid yang sempurna, iaitu mengesakan Allah. Ikhlas adalah lawan kepada syirik.

Imam Hasan Al Banna menyatakan: Ikhlas ialah setiap akh muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala daripada-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu dia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar keinginan atau manfaat.

Ikhlas boleh dicapai apabila seseorang itu bersungguh-sungguh membersihkan diri daripada kepentingan peribadi, mencari balasan duniawi dan ucapan terima kasih daripada manusia. Sebaliknya menjuruskan amalnya kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا
Dan mereka yang memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. (Surah Al-Insan : 8-9)

Orang yang jauh daripada ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala ialah orang yang mengungkit-ungkitkan pemberiannya dan menyakitkan hati serta mendedahkan aib orang yang telah menerima pemberiannya.

Bukti amali orang yang memberi dengan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala ialah apabila dia dapat melupakan jasanya kepada manusia. Kemudian dia bergaul dengan mereka tanpa mengungkit-ungkit dan tanpa meminta  penghargaan. Bahkan, apabila mereka melakukan kesalahan kepadanya, maka dia tidak mencela mereka dan tidak mengingatkan mereka akan jasanya yang lalu.

Seterusnya, orang yang ikhlas tidak mempedulikan seandainya kedudukannya tidak dihormati oleh manusia. Dia tidak bergembira apabila manusia mengetahui kebaikan amalnya dan dia tidak membenci manusia apabila mereka mengetahui keburukan amalnya. Baginya, yang penting ialah keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Amal Yang Terbaik

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Surah Al-Mulk : 2)

Mengenai amal yang lebih baik, dari ayat di atas, Fudhail bin Iyadh menyatakan:

Ia adalah amal yang paling ikhlas dan paling benar”. Orang bertanya kepadanya, “Wahai Abu Ali, apakah amal yang paling ikhlas dan paling benar ?”. Dia menjawab, “Suatu amal yang ikhlas tetapi tidak benar maka tidak diterima. Jika ia benar tetapi tidak ikhlas, maka tidak juga diterima. Amal yang ikhlas ialah kerana Allah. Amal yang benar ialah yang mengikut sunnah (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).” Lalu beliau membaca firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا
Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabbnya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam beribadah kepada Rabbnya. (Surah Al-Kahfi : 110)

Bahaya Riya’

Riya’ adalah suatu keinginan dalam hati agar sesuatu amalan yang dilakukan diperlihatkan kepada manusia atau bertujuan untuk mendapat tempat di hati manusia. Riya’ bertentangan dengan ikhlas  dan merosakkan amalan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya’ kepada manusia. (Surah Al-Baqarah : 264)

Dari Syidad bin Aus menyatakan:

Aku melihat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menangis, maka aku bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu menangis wahai Rasulullah?.” Baginda menjawab: “Aku merasa sangat takut terhadap umatku dari syirik. Mereka tidak menyembah berhala, matahari, bulan atau batu. Tetapi, mereka melakukan riya’ dengan perbuatan-perbuatan mereka.

Seorang mukmin yang berkerja untuk Islam perlu bertanya kepada dirinya: “Sampai bilakah kita akan merosakkan sedekah-sedekah kita, mensesiakan kerja-kerja kita dan membuang waktu kita  dengan percuma (disebabkan riya’)?”

Tanda-Tanda Ikhlas

Di antara tanda-tanda ikhlas ialah:

1. Khuatir Di Atas A’Ib Diri Sendiri Dan Tidak Merasa Sombong Di Atas Kebaikan Amalannya

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَٱلَّذِينَ يُؤۡتُونَ مَآ ءَاتَواْ وَّقُلُوبُهُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّهُمۡ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ رَٰجِعُونَ
Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka. (Surah Al-Mukminun : 60)

Apabila seorang hamba berkorban untuk din Allah Subhanahuwata’ala atau memberi sesuatu, maka dia merasa khuatir atau takut kalau-kalau amalannya tidak memenuhi syarat-syarat sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Dia bimbang jika dia tak dapat mengawal hatinya daripada dimasuki sifat megah dan takjub dengan diri sendiri. Justeru itu, dia menyelidiki akan kemungkinan aib yang ada pada dirinya dan lebih berhati-hati serta memperbaiki diri.

Dia merasa fakir, miskin dan hina di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Dia memerlukan Allah Subhanahuwata’ala dan berlindung dengan Allah Subhanahuwata’ala. Seterusnya dia menyaksikan kekayaan Allah, kebaikan-Nya dan kemurahan-Nya.

Apabila dia membandingkan dirinya dengan manusia lain, maka dia tidak melihat dirinya lebih baik, kerana dia tahu bahawa manusia terbaik ialah yang paling tinggi taqwanya di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Mas’ud berkata, ‘Aun bin Abdillah berkata:

Cukuplah dirimu menjadi sombong apabila kamu melihat dirimu mempunyai keutamaan daripada orang yang lebih rendah darimu. (Shifatus Shofwah : 3/101)

Di antara ubat untuk berhadapan dengan perasaan tidak khuatir terhadap aib diri atau merasa sombong di atas kebaikan amal ialah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim dalam ‘Tanbih Al Mughtabirin’:

1. Seorang hamba hendaklah menyaksikan anugerah, kurnia dan taufik Allah subhanahuwata’ala. Dia menyaksikan bahawa dia berhadapan dengan Allah, bukan terbatas dengan dirinya sendiri. Kebaikan yang dilakukannya adalah dari Allah dan kerana Allah, bukan darinya atau kerana dirinya sendiri.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

۞ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ أَبَدٗا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ
Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu sekelian, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih (daripada perbuatan keji) selama-lamanya, tetapi Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah An-Nuur : 21)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِي قُلُوبِكُمۡ وَكَرَّهَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡكُفۡرَ وَٱلۡفُسُوقَ وَٱلۡعِصۡيَانَۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ
Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan. (Surah Al-Hujurat : 7)

Oleh itu, setiap kebaikan bagi seorang hamba adalah semata-mata kurniaan Allah, anugerah Allah, kebaikan Allah dan nikmat Allah.

2. Berwaspada terhadap kelalaian diri dan perosak amal yang berpunca daripada hawa nafsu dan godaan syaitan. Pada setiap amal, hawanafsu dan syaitan sering mengambil bahagian untuk merosakkan amalan tersebut. Jika amal tersebut tidak dapat dirosakkan keseluruhan, maka dirosakkan sebahagian daripadanya.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang memalingkan muka sewaktu solat, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: Itu adalah bahagian yang dicuri oleh syaitan daripada solah seorang hamba.

3. Menyedari bahawa adalah hak Allah Subhanahuwata’ala agar seorang hamba itu beribadah hanyalah ditujukan kepada-Nya. Memelihara adab-adab dan syarat-syarat dalam beribadah, samada ibadah hati mahupun ibadah zahir. Seorang hamba sangat lemah dan kemampuannya sentiasa sedikit untuk menunaikan hak tersebut. Seorang hamba yang sebenar akan merasakan tidak cukup dan tidak puas beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

2. Berhati-Hati Terhadap Pujian

Di antara tanda-tanda orang yang ikhlas ialah tidak merasa gembira apabila dipuji dan tidak merasa sedih apabila dihina.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إذا رأيتم المداحين فاحثوا في وجوههم التراب  رواه مسلم
Jika kamu melihat kepada orang yang suka memuji, maka tumpahkanlah debu kepada wajah-wajah mereka. (Riwayat Muslim)

Bahaya Pujian

Pujian  boleh mendatangkan bahaya yang besar bagi seorang muslim. Saidina Umar Radiallahu‘anhu berkata: Memuji adalah menyembelih.

Pujian dianggap menyembelih kerana orang yang dipuji boleh dijangkiti penyakit ujub (kagum dengan diri sendiri) dan takabbur yang merosakkan. Barangsiapa yang merasa kagum dengan dirinya sendiri, maka akan berkuranglah kepantasannya berkerja. Ini kerana seseorang itu akan berkerja kuat dan pantas apabila merasai dirinya masih kurang.

Oleh itu orang yang menerima pujian boleh diresapi perasaan malas dan berhenti daripada beramal. Dia merasakan amalannya sudah mencukupi dan tidak bersemangat untuk meningkatkan amalannya.

Kepada orang yang suka memuji saudaranya, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan:

قطعت عنق صاحبك، قطعت عنق صاحبك  مرارا، ثم قال: ( من كان منكم مادحا أخاه لا محالة فليقل: أحسب فلانا والله حسيبه ولا أزكي على الله أحدا، أحسبه كذا وكذا، إن كان يعلم ذلك منه ) رواه البخاري ومسلم
Engkau telah memotong leher sahabatmu, engkau telah memotong leher sahabatmu. Berulang kali. Kemudian Rasulullah SAW bersabda,  Sesiapa di antara kamu tidak dapat mengelakkan dirinya daripada memuji saudaranya maka hendaklah dia berkata: Aku mengira si polan, dan Allah Subhanahuwata’ala yang akan menghitungnya. Aku tidak dapat membersihkan seseorangpun di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Aku menyangkanya begitu, sekiranya dia mengetahui perkara itu daripadanya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Mengatasi Bahaya Pujian

1. Hendaklah mencari redha Allah Subhanahuwata’ala, bukan mencari redha manusia.

2. Berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya dihindarkan daripada fitnah pujian. Saidina Ali Radiallahu‘anhu berkata ketika dipuji: Wahai Rabbku, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak tahu, janganlah Engkau mengambil dariku daripada apa yang mereka katakan dan jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.

3. Beringat-ingat bahawa bangga dengan pujian boleh mengakibatkan amalan dan kerja menjadi umpama debu yang berterbangan di udara, yakni tiada nilai di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

4. Menyedari bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Takutlah kepada su’ul khatimah (kesudahan yang buruk).

 3. Berusaha Untuk Menyembunyikan Amalan Daripada Diketahui Atau Diperkatakan Oleh Manusia

Sikap para sahabat dan salaf yang salih selalu berusaha menyembunyikan ketaatan mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Saidina Umar Radiallahu‘anhu ketika melihat seorang lelaki yang menundukkan kepalanya, beliau berkata: Wahai orang yang memiliki kepala, angkatlah kepalamu sebab khusyu’ tidak terletak di kepala, tetapi khusyu’ itu di hati.

Seorang muslim perlu membiasakan diri untuk menyembunyikan amal ibadahnya. Juga berusaha menutup pintu-pintu yang menyukai amalannya diperkatakan atau diperdengarkan kepada manusia, sepertimana menutup pintu-pintu maksiat, sehingga hatinya yakin dan rasa cukup dengan pengetahuan dan penglihatan Allah Subhanahuwata’ala serta tidak tertarik dengan desakan nafsu yang ingin mencari pengiktirafan makhluk.

Barangsiapa yang mendapati dirinya merasa mulia apabila manusia mengetahui amal atau kerja-kerjanya, maka hendaklah dia mempertikaikan tahap keikhlasan hatinya.

Kata Ibn Atha: Keinginan kamu agar manusia mengetahui urusan-urusan peribadi kamu menjadi bukti ketidakikhlasan kamu dalam beribadah.

Fudhail bin Iyadh menyatakan: Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah Subhanahuwata’ala?

Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya untuk mencari keredhaan manusia, jika di sebaliknya adalah kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala.

Adakah Seseorang Itu Boleh Meninggalkan Ketaatan Atau Kerja-Kerja Islam Kerana Takutkan Riya’ ?

Imam Abu Hamid Al Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan: Ketahuilah bahawa di antara manusia ada yang meninggalkan amalnya kerana merasa takut akan menjadi riya’ dengan amal itu. Ini adalah suatu kesalahan dan mengikut kehendak syaitan.

Jika seorang hamba yang beramal, bermula dengan ikhlas, kemudian terkena penyakit riya’ atau sebab-sebab yang membawa kepada riya’, maka dia harus bersungguh-sungguh menolak penyakit riya’ itu sambil meneruskan amalannya sehinggalah hatinya kembali kepada keikhlasan. Dia harus memaksa dirinya untuk kembali kepada keikhlasan sehinggalah amalnya sempurna. Ini kerana syaitan mengajak atau menggoda seseorang hamba dalam beberapa keadaan:

1. Syaitan menggoda manusia agar meninggalkan amalan baiknya.

2. Jika manusia masih terus beramal, maka syaitan akan mengatakan: Perbuatan kamu tidak ikhlas dan kamu riya’, amal kamu sia-sia, apa manfa’at bagi kamu jika amalmu tidak ikhlas?. Maka syaitan akan mengajaknya meninggalkan amalannya dan apabila dia meninggalkan amalannya maka hajat syaitan tercapai.

Termasuk dalam tipu daya syaitan ialah apabila seorang muslim meninggalkan sesuatu amalan kerana takut kepada perkataan manusia yang mengatakan dia riya’. Sebenarnya bagi muslim yang benar-benar ikhlas, perkataan manusia tidak akan membahayakan amalnya dan tidak akan menghilangkan pahala ibadahnya. Dia tidak akan terpengaruh dengan kata-kata manusia samada manusia mengatakan dia ikhlas, dia riya’ atau manusia tidak berkata apa-apa.

Termasuk juga dalam tipu daya syaitan apabila muslim memperelokkan amalnya kerana takut kepada perkataan manusia yang mengatakan dia lalai atau tidak serius.

Apabila seorang muslim memulakan sesuatu kerja kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka Imam Ghazali mengingatkan: Janganlah kamu meninggalkan amalmu dan berusahalah untuk memerangi riya’. Ikatkan hatimu dengan merasa malu kepada Allah Subhanahuwata’ala jika hawa nafsu menyerumu untuk menggantikan pujian kepadaNya dengan pujian daripada makhluk. Allah mengetahui isi hatimu.

Seseorang itu hanya mungkin boleh meninggalkan atau menangguhkan sesuatu amal jika di dalam hatinya langsung tiada dorongan din (agama) dan sepenuhnya riya’. Kata Imam Ghazali: Jika di dalam hati kamu tidak ada rasa benci dan takut kepada riya’ serta tidak ada dorongan din, bahkan yang ada hanyalah riya’ sepenuhnya, maka pada sa’at itu tinggalkanlah amal kamu itu.

Namun bagi sesuatu ‘amal fardhu, seseorang muslim itu tetap wajib melakukan amalnya sambil memperbaiki dirinya.

Bolehkah Seorang Muslim Itu Bergembira Di Atas Kejayaan Da’wah Atau Usahanya?

Apabila seorang muslim itu berdakwah atau beramal, kemudian dakwah atau amalnya, juga keadaan dirinya, tersebar di kalangan manusia hingga manusia membicarakannya atau menyebut-nyebutnya sehingga dia merasa gembira, maka apakah kegembiraan itu dianggap sebahagian daripada riya’?

Persoalan seperti itu dijawab oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam Aqabat fi Thariqid Du’at, dengan menyatakan: Apabila maksud di dalam amalnya itu ikhlas kerana Allah dan untuk mencari keredhaan Allah, kemudian manusia mengetahui sebahagian daripada amal atau keta’atannya sehingga mereka memuji atau menyanjungnya, bahkan menyebarkan berita yang soleh itu kepada orang lain, sehingga dia merasa gembira terhadap apa yang dibicarakan atau apa yang diperdengarkan, maka kegembiraan itu tidak termasuk riya’.

Bahkan kegembiraan itu adalah anugerah yang diberikan kepada mukmin di dunia sepertimana dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Muslim, dari Abu Dzar berkata: Dikatakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, “Apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang berbuat kebajikan, kemudian dipuji oleh manusia kerana kebajikannya itu?”, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab, “Itu adalah kegembiraan bagi seorang mukmin yang disegerakan.

Dan ini adalah makna dari firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ٦٢ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ ٦٣ لَهُمُ ٱلۡبُشۡرَىٰ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۚ
Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) Orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. (Surah Yunus : 62-64)

Namun, jika dia mengharapkan kesenangan dan kegembiraan sebelum beramal, serta seluruh keinginannya adalah agar manusia mengetahui amalnya sehingga memujinya, mengagungkannya dan menyelesaikan hajat-hajatnya, maka ia tidak diragui lagi termasuk riya’. Semoga Allah menghindari kita daripadanya.

4. Tidak Menyukai Populariti

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

رب أشعث أغبر ذي طمرين تنبو عنه أعين الناس لو أقسم على الله لأبره رواه الحاكم في المستدرك

Barangkali orang yang kusut rambutnya dan berdebu, memakai kain yang lusuh dan tidak ada orang yang memberi perhatian kepadanya, seandainya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. (Riwayat Al-Hakim)

Umar Radiallahu’anhu masuk ke dalam masjid Nabawi. Beliau melihat Mu’adz bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka Umar bertanya, “Apakah yang membuat kamu menangis?”. Mu’adz menjawab, “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

اليسير من الرياء شرك ومن عادى أولياء الله فقد بارز الله بالمحاربة، إن الله يحب الأبرار الأتقياء الأخفياء الذين إن غابوا لم يفتقدوا وإن حضروا لم يعرفوا، قلوبهم مصابيح الهدى يخرجون من كل غبراء مظلمة  رواه الحاكم في المستدرك
Sedikit daripada riya’ adalah syirik. Dan sesiapa yang memusuhi wali-wali Allah maka dia seperti memerangi Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat baik, yang bertaqwa, yang menyembunyikannya, iaitu orang yang apabila mereka tidak ada (di suatu tempat), maka tidak ada orang yang merasai kehilangan mereka, dan apabila mereka hadir, maka mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat daripada debu yang pekat. (Riwayat Al-Hakim)

Celaan Mencari Populariti

Ibrahim Adham berkata: Tidak ikhlas kepada Allah orang yang mencari populariti.

Basyar Al Hafi berkata: Seseorang yang ingin dikenal oleh orang lain, maka dia tidak akan mendapat kelazatan iman.

Oleh itu mencari populariti adalah dicela. Namun, populariti yang tidak dicela ialah populariti yang dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala tanpa ada usaha yang dipaksa oleh seorang muslim. Imam Abu Hamid Al Ghazali menyatakan  orang yang tidak tercela popularitinya ialah: Orang yang dimasyhurkan oleh Allah kerana menyebarkan dinNya tanpa bersusah payah untuk mencari populariti.

Populariti yang seumpama ini boleh memberi manfaat kepada dakwah jika ia diperolehi oleh orang yang kuat iman dan sahsiahnya, sebaliknya boleh menjadi fitnah bagi orang yang lemah iman dan lemah sahsiahnya.

5. Berperasaan Mengikut Kehendak Allah Dan Kerana Allah

Seorang muslim yang ikhlas akan mencintai dan membenci, memberi dan menahan, meredhai dan memarahi, semuanya kerana Allah Subhanahuwata’ala. Dia tidak menjadi seperti golongan munafik yang dicela oleh Allah sepertimana dalam firmanNya:

وَمِنۡهُم مَّن يَلۡمِزُكَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ فَإِنۡ أُعۡطُواْ مِنۡهَا رَضُواْ وَإِن لَّمۡ يُعۡطَوۡاْ مِنۡهَآ إِذَا هُمۡ يَسۡخَطُونَ
Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya dengan serta merta mereka menjadi marah. (Surah At-Taubah : 58)

Kadangkala dapat dilihat, seorang pekerja di medan dakwah, apabila ditegur oleh saudaranya dengan ucapan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya luka disebabkan perbuatan yang menyinggungnya, maka dia cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan jamaah serta mengasingkan diri daripada medan dakwah.

Sepatutnya, keikhlasan dalam hatinya, menuntutnya agar dia terus berada di jalan da’wah. Ini kerana dia beramal semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala tanpa menghiraukan sikap manusia terhadapnya.

6. Terus Menerus Bekerja Di Atas Jalan Yang Panjang

Seorang muslim yang ikhlas tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana jalan yang panjang, buah yang lambat dan kejayaan yang jauh. Beliau tidak penat bekerja menghadapi pelbagai ragam manusia. Beliau tidak berkerja untuk berjaya atau menang semata-mata, bahkan beliau berkerja semata-mata kerana mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan mematuhi perintahnya.

Sesungguhnya, pada hari kiamat nanti, Allah tidak akan bertanya mengapa manusia tidak berjaya di dunia ini, tetapi Dia akan bertanya mengapa manusia tidak berkerja.

7. Berkerja Tanpa Mengira Jawatan

Tanda-tanda ikhlas bagi seorang muslim atau da’i akan nampak terpancar pada sahsiahnya sebagai seorang yang tidak menginginkan sesuatu daripada dakwahnya melainkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Seorang da’i yang ikhlas, sama sahaja baginya, bekerja sebagai pemimpin atau sebagai pekerja. Dia tidak mengharapkan sanjungan, rasa takjub, keuntungan harta benda dan penghormatan daripada manusia. Ini tidaklah pula bermakna dia mengharapkan cacian dan penghinaan daripada mereka.

Sebenarnya da’i yang ikhlas hanya mengharapkan agar dia tetap berada di jalan yang lurus serta mendapat pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Keikhlasan seorang da’i terjelma pada sikapnya yang turut bergembira melihat kejayaan da’wah saudaranya sepertimana dia gembira melihat kejayaan da’wahnya sendiri.

8. Bersyukur Di Atas Kemunculan Orang Yang Lebih Layak

Seorang muslim yang ikhlas akan bersyukur dan gembira di atas kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan pekerja Islam. Tiada masalah baginya untuk memberi peluang kepada mereka untuk tampil ke hadapan bagi menyumbang kerja-kerja untuk Islam. Bahkan, dia bersedia untuk memberi laluan kepada mereka menggantikan tempatnya dengan lapang dada dan rasa bahagia.

Perkara-Perkara Yang Mengganggu Ikhlas

Jalan menuju keikhlasan penuh dengan rintangan dan duri. Antaranya:

1. Nafsu

Allah telah mencipta nafsu ammarah (nafsu yang menyuruh kepada kejahatan) untuk menguji seorang hamba sejauh mana dia ikhlas beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Adakalanya seorang hamba melakukan amal yang banyak, tetapi ikhlasnya sedikit. Ini kerana nafsunya telah menguasai amalnya dan menghalangnya daripada ikhlas sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Nafsu adalah rintangan yang sangat sulit untuk dihadapi. Misalnya seorang hamba yang berinfaq fi sabilillah dan menyembunyikan amalannya kerana takut terjatuh ke dalam riya’. Kemudian, dia menyangka bahawa dia telah ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala. Malangnya, nafsunya telah mendorongnya untuk bersikap ‘ujub dengan amalnya, sehingga dia merasakan dia lebih baik daripada orang lain. Lalu nafsunya mendorong untuk menunggu ucapan terima kasih atau, dalam kesempatan tertentu, menyakiti pihak yang menerima infaqnya.

Misalan yang lain, seorang hamba melakukan solah malam pada saat orang lain nyenyak tidur sehingga tiada yang melihatnya kecuali Allah Subhanahuwata’ala. Dia mengira bahawa dia ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala, tetapi nafsunya, tanpa disedari mendorong ke arah lain. Nafsunya mengisyaratkan bahawa dialah orang yang gigih beribadah dan lebih baik daripada orang lain serta telah memiliki kedudukan yang tertentu di sisi Allah Subhanahuwata’ala sehingga mencetuskan rasa sombong dan takabbur.

Kadangkala pula nafsu menimbulkan rasa semangat untuk melakukan ibadah atau kerja tertentu sehingga menghilangkan minat untuk mengerjakan ibadah yang lain, sedangkan sebenarnya, pada ketika yang sama, ibadah yang lain itu lebih penting dan utama.

Demikianlah, betapa banyaknya amal kita yang pada zahirnya seperti berniat ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala, tetapi pada hakikatnya niat itu dirosakkan oleh nafsu.

2. Hawa

Pengertian hawa menurut para ulama’ ialah apa yang diinginkan oleh nafsu. Manusia yang tidak bermujahadah untuk menjinakkan nafsunya akan senang dengan hawa seperti ingin beristirehat, bermalas-malasan, menikmati syahwat, senang dengan keselamatan, takutkan ejekan manusia, sukakan populariti dan tidak sukakan tanggungjawab.

Allah Subhanaahuwata’ala memperingatkan tentang bahayanya hawa (hawa nafsu) dalam firmanNya :

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطٗا
Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawanya (hawa nafsunya) dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah Al-Kahfi : 28)

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya ? (Surah Al-Furqan : 43)

Allah Subhanahuwata’ala meminta kita berjuang melawan hawanafsu agar memperolehi redhaNya dan syurgaNya. FirmanNya :

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ٤٠ فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ
Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya).  (Surah An-Nazi’at : 40-41)

3. Dunia

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقّٞۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ
Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah itu benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan  dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah.  (Surah Fathir : 5)

Sikap tamak dunia merupakan rintangan besar yang menghalang seorang hamba menuju Allah Subhanahuwata’ala dengan ikhlas. Dunia sentiasa berhias dan menyembunyikan wajahnya yang buruk. Tidak ada yang selamat daripada jerat-jerat dunia melainkan mereka yang mendapat rahmat Allah Subhanahuwata’ala. Dan bilangan mereka yang terselamat itu sangat sedikit.

Di antara manusia ada yang tertipu dengan harta sehingga tidak merasa cukup dan kenyang. Di antara manusia ada yang tertipu dengan pangkat sehingga rakus dan tidak puas.

Banyak terjadi mereka yang pada mulanya ikhlas, soleh, berdakwah di jalan Allah bertahun-tahun dan menanggung pelbagai penderitaan, namun ketika datang kemenangan dan dunia berada di hadapannya, maka mereka berebut dengan teman-temannya sendiri. Niat untuk mengutamakan din telah hilang.

4. Syaitan

Syaitan adalah musuh kita yang paling besar. Dia melakukan pelbagai tipu daya untuk menghalang kita daripada memasuki syurga. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لَكُمۡ عَدُوّٞ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu, maka anggaplah ia musuh, kerana sesungguhnya syaitan hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. (Surah Fathir : 6)

Syaitan sering merosakkan manusia melalui dua kelemahan yang terdapat pada manusia iaitu kejahilan dan nafsu yang tidak dibimbing oleh hidayah Allah.

Apabila syaitan melihat seorang hamba Allah Subhanahuwata’ala yang mula berjalan menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka dia akan mengumpulkan seluruh senjata dan penolong-penolongnya, daripada kalangan jin dan manusia, untuk menyelewengkan dia kembali. Apabila hamba itu tetap tidak memenuhi ajakan syaitan, maka syaitan akan menghiasai pekerjaannya yang pada zahir nampak baik, tetapi pada hakikatnya hamba itu tidak ikhlas Allah.

Syaitan akan menyesatkan manusia melalui pelbagai pintu dan arah sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala:

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ
Iblis menjawab, “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. (Surah Al A’raf : 16,17)

Syaitan juga tidak menyerang hamba Allah Subhanahuwata’ala dengan satu serangan, tetapi dia menyerang hamba Allah Subhanahuwata’ala melalui langkah-langkah yang banyak dan berperingkat-peringkat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ وَمَن يَتَّبِعۡ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۚ
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. (Surah An-Nur : 21)

Syaitan juga menakut-nakutkan hamba Allah dengan kemiskinan, kesusahan hidup dan menyuruh supaya tamak dengan dunia. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ
Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan. (Surah Al-Baqarah : 268)

Jalan-Jalan Menuju Keikhlasan

Jalan menuju keikhlasan sangat sulit, berat dan memerlukan seorang hamba mengikuti jalan-jalan tertentu, iaitu :

1. Meminta Pertolongan Kepada Allah Subhanahuwata’ala

Mengikhlaskan hati kerana Allah semasa beramal atau berkerja merupakan perkara yang sangat sulit. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan, untuk mencapai tahap kerja yang ikhlas merupakan perkara yang paling sukar dalam hidup seorang hamba Allah. Ini kerana seorang hamba akan menempuh banyak rintangan untuk menjadi seorang yang ikhlas, di samping dia sering menghadapi kelemahan zahir dan batinnya sendiri.

Seorang hamba sering tewas berhadapan dengan syaitan, dunia dan nafsu yang terus menerus merayu dan menggoda. Justeru itu, dia perlu memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.

Meminta pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala mestilah disertai dengan perasaan lemah, rendah dir dan fakir. Telitilah akan kefakiran kita di hadapan Allah meski pun kita memiliki harta yang banyak, anak yang ramai, kesihatan yang baik dan kekuasaan yang tinggi.

Kita haruslah sentiasa merasa memerlukan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ١٥
Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan (fakir) kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Fathir : 15)

Jika Allah biarkan kita, nescaya kita akan menjadi budak hawanafsu, pengikut syaitan dan tenggelam dalam lautan dunia. Allahlah yang membuatkan kita cinta kepada iman serta ta’at, dan membuatkan kita benci kepada kekafiran, kefasikan dan maksiat. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِي قُلُوبِكُمۡ وَكَرَّهَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡكُفۡرَ وَٱلۡفُسُوقَ وَٱلۡعِصۡيَانَۚ
Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan. (Surah Al Hujurat : 7)

وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ
Tetapi Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah An-Nuur: 21)

2. Mengakui Nikmat Allah Yang Banyak

Kita perlu merasakan nikmat Allah Subhanahuwata’ala di dalam kebaikan yang kita perolehi. Setiap kebaikan merupakan kurnia Allah Subhanahuwata’ala kepada hamba-Nya. Allahlah yang mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya dan memilih kita ke jalan hidayah. Betapa banyak manusia lain yang masih berada di jalan syaitan. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

بَلِ ٱللَّهُ يَمُنُّ عَلَيۡكُمۡ أَنۡ هَدَىٰكُمۡ لِلۡإِيمَٰنِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ
Sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepada kamu dengan memberikan hidayah kepada keimanan jika kamu adalah orang yang benar. (Surah Al-Hujurat : 17)

Sesungguhnya kita sememangnya tenggelam di dalam kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Kita telah dibanjiri oleh nikmat Allah yang tidak putus-putus. Sebenarnya, orang yang bersyukur di atas nikmat Allah itu pun, tidaklah dia bersyukur melainkan kerana didorong dan ditolong oleh Allah Subhanahuwata’ala. Doa seorang hamba di dalam Firman-Nya :

قَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ
Ya Rabbku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku. (Surah Al-Ahqaf : 15)

Hanya milik Allah Subhanahuwata’ala segala kurnia dan nikmat. Hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala segala puji-pujian.

3. Mengambil Berat Terhadap Usaha Perbaiki Diri Dan Persiapan Diri, Samada Sebagai Seorang Pekerja Mahupun Sebagai Seorang Pemimpin

Banyak manusia menganggap diri jauh lebih tinggi daripada hakikat diri mereka yang sebenar. Lalu, mereka melihat orang lain dengan pandangan rendah, kecil dan remeh.

Ada manusia yang menganggap dirinya telah cukup berilmu sehingga meletakkan dirinya sebarisan para ulama, padahal dia tidak pun belajar, membaca dan menghafal. Dia  tidak menempuh jalan ilmu yang susah. Dia membawa dirinya menuju populariti tanpa persiapan. Apabila ditanya sesuatu perkara, maka dia menjawab tanpa pengetahuan untuk menyembunyikan kejahilannya. Dia meninggikan diri dan tidak berniat ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Sebenarnya barangsiapa yang ikhlas kerana Allah maka dia lebih suka menyembunyikan diri terutama di dalam tempoh belajar, membentuk dan mendidik diri. Tempoh pendidikan tidak memerlukan populariti dan keributan, bahkan yang diperlukan ialah ketenangan. Jika kita inginkan hasil yang baik, kita tidak boleh tergesa-gesa.

Betapa banyak orang yang berkerja untuk Islam mengalami kecacatan amal di pertengahan jalan kerana sikap tergesa-gesa. Dengan persiapan yang tidak matang pada diri seseorang, jika dipaksa untuk berkerja dan bergerak, maka akan mengakibatkan hasil yang rosak atau cacat.

Seorang hamba Allah yang mempersiapkan diri adalah umpama benih baik yang ditanam di dalam tanah yang jauh dari sinar matahari. Benih itu berkembang dengan tersembunyi di dalam tanah sehingga ia matang dan muncul ke permukaan bumi dengan izin Allah sebagai pokok yang kuat dan bersedia menghadapi angin kencang.

Hendaklah seorang hamba bersembunyi dengan kejahilannya agar amal dan keadaannya tidak tersebar. Dengan cara ini, dia akan menutup pintu-pintu syaitan yang cuba merosakkan dirinya. Dia akan mendapat banyak manfa’at daripada orang ramai yang mengajarnya kerana mereka menganggapnya masih jahil.

Hendaklah setiap diri lebih suka menolak kepimpinan, lebih-lebih lagi apabila persiapan diri tidak mencukupi. Namun jika dia mendapati dirinya tidak dapat mengelak daripada kepimpinan maka hendaklah dia memperhatikan keikhlasannya. Semasa menjalankan tugas kepimpinan hendaklah dia tetap menyukai dan  menghayati sifat sebagai seorang pekerja. Sifat pekerja yang berkerja untuk Islam tanpa membuat keributan.

Juga hendaklah dia menerima tanggungjawab kepimpinan itu dengan rasa khuatir dan takut sehingga keadaannya seperti orang yang menerima musibah kerana dia sedar bahawa tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah Subhanahuwata’ala di akhirat nanti. Ketakutan itu akan mendorongnya untuk :

– Selalu meminta pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

– Sentiasa berfikir terhadap kerja-kerja atau langkah-langkahnya.

– Selalu meminta pertimbangan/penilaian orang di sekitarnya.

– Tidak akan bersikap keras terhadap pendapat sendiri.

– Tidak tergesa-gesa mengambil sesuatu keputusan.

– Selalu bermuhasabah terhadap amalannya, samada yang kecil mahupun yang besar sehinggalah dia menjadi pemimpin yang baik.

4. Merasa Curiga Kepada Nafsu

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَٱلَّذِينَ يُؤۡتُونَ مَآ ءَاتَواْ وَّقُلُوبُهُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّهُمۡ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ رَٰجِعُونَ
Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka.  (Surah Al-Mukminun : 60)

Setiap kita harus merasa curiga dengan keikhlasan yang sering diganggu oleh nafsu. Sebelum melakukan suatu amalan kita perlu meneliti akan keikhlasan serta berusaha untuk membersihkan niat dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila kita menyemak semula niat kita setelah selesaikan melakukan sesuatu amalan, kita akan mengetahui bahawa jalan menuju keikhlasan dipenuhi dengan duri dan rintangan. Justeru itu untuk amalan yang berikutnya kita perlu terus meneliti  keikhlasan kita serta terus berusaha untuk membersihkan niat dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala

Kesimpulan

Jalan menuju keikhlasan adalah jalan yang berat. Di hadapan orang yang berjalan menuju keikhlasan akan didapati dunia dengan keindahannya, syaitan dengan rayuannya dan nafsu dengan kejahilan serta kerakusannya. Tidak ada orang yang sanggup menempuh jalan keikhlasan kecuali orang yang meminta pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala, meneliti hakikat ubudiyah kepada-Nya dan berjihad melawan hawa nafsunya.

Semua manusia akan hancur kecuali orang yang berilmu. Semua orang berilmu akan hancur kecuali orang yang beramal. Semua orang yang beramal akan hancur kecuali orang ikhlas. Semua orang yang ikhlas berada di dalam bahaya-bahaya dan ancaman-ancaman yang besar yang bersiap sedia untuk menghancurkan keikhlasannya.

Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih merbahaya daripada penyakit tubuh badan. Penyakit-penyakit itu boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan manusia daripada jalan dakwah yang benar. Penyakit-penyakit itu tidak dapat dibendung melainkan dengan tarbiah, iman dan taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Da’i akan diuji keimanan dan keikhlasannya. Ujian bagi da’i yang ikhlas adalah kenikmatan dunia dan keindahannya.

Da’wah Islam hanya boleh tertegak dengan adanya da’i, murabbi dan pekerja yang ikhlas, yang berpegang teguh kepada perinsip dan yang bersedia berkorban tanpa mengira manfaat duniawi.

Rujukan :
1. ‘Rakaizud Da’wah’, Dr. Majdi Al Hilali.
2. ‘Nazarat fi Risalatit Ta’lim’, Muhammad Abdullah Al Khatib.

AH

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button