Kompetensi

Kesukarelaan Dan Sukarelawan Islam

Pengenalan

Kesukarelaan adalah amalan terpuji. Setiap  orang yang terlibat dalam kerja-kerja dan program-program kesukarelaan adalah orang yang terpuji di sisi ajaran Islam.

Kesukarelaan akan mendorong manusia untuk terus hidup secara bermasyarakat dan berkongsi ukhuwah serta kasih sayang.

Hakikatnya para sukarelawan adalah insan-insan berbudi dengan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala. Sebahagiannya tidak dikenali dan tidak ingin mencari publisiti, bahkan menaburkan jasa yang meninggalkan kesan abadi pada jiwa-jiwa manusia lain.

Barisan muslimin sebenar, seharusnya sentiasa menampilkan para sukarelawan yang sentiasa bersedia berkongsi khidmat dan keringat untuk membantu orang lain. 

Konsep kesukarelaan dan sukarelawan

Perkataan “sukarela”, menurut Kamus Dewan, bermakna “dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati”. Manakala perkataan “kesukarelaan” pula membawa makna “sikap sukarela”.

Berasaskan makna tersebut, kesukarelaan secara umumnya dapat dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah, dengan niat yang ikhlas dan dengan tidak mengharapkan apa-apa pulangan untuk diri sendiri.

Secara khususnya, dari sudut pandangan Islam, kesukarelaan bermakna memberi khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati yang ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala, sentiasa menjaga sahsiah yang baik dan sentiasa memelihara batas-batas syara’.

Islam memberikan petunjuk yang amat menggalakkan akan amalan kesukarelaan melalui ayat al-Quran yang merujuk konsep fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.

(Surah Al-Imran : 114)

Berdasarkan ayat ini, asas-asas utama yang perlu dititikberatkan dalam kerja-kerja kesukarelaan ialah memelihara hubungan yang rapat dengan Allah Subhanahuwata‘ala (hablu min Allah) dan, pada waktu yang sama, memelihara hubungan sesama manusia (hablu min ‘an nas).

Islam menekankan peri pentingnya roh pengorbanan (ruh al-tadhhiyah) wujud dalam diri seorang muslim dan inginkan balasan pahala di akhirat kelak. Dengan roh ini, seorang muslim akan lebih bersedia untuk membantu dan membela golongan yang terbiar, tertindas dan memerlukan bantuan.

Orang yang sanggup berkorban dan  melakukan kerja-kerja kesukarelaan dipanggil “sukarelawan” bagi lelaki dan “sukarelawati” bagi perempuan. Namun, dalam konteks penggunaan dan pengamalan harian, apabila disebut “sukarelawan”, ia boleh mewakili sukarelawan lelaki dan juga sukarelawan perempuan.

Manakala sukarelawan Islam pula ialah sukarelawan muslim yang melakukan kerja-kerja kesukarelaan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala, menjaga sahsiah Islam, memelihara batas-batas syara’ dan membawa misi da’wah Islam.

Persediaan sukarelawan

Pada asasnya untuk menjadi sukarelawan muslim sejati tidak memerlukan kemahiran yang khusus. Apa yang penting ialah niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala, keazaman yang tinggi, komitmen yang kuat dan bersedia untuk belajar.

Namun, untuk melakukan kerja dan khidmat kesukarelaan yang spesifik, maka sukarelawan tetap memerlukan latihan yang khusus seperti latihan pertolongan cemas dan latihan paramedik.

Persediaan diri yang perlu ada pada sukarelawan juga ialah kesediaan untuk bekerja dan berkhidmat secara berpasukan dengan para sukarelawan yang lain. Ini kerana kerja dan khidmat kesukarelaan yang sukar dan mencabar berkehendakkan kepada kemampuan berkerja secara berpasukan yang tinggi, yang berasaskan iman dan ukhuwah yang padu.

Persediaan berkaitan akhlak sangat penting untuk difahami dan dihayati kerana Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إنَّما بُعِثْتُ  لِأُتَمِّمَ مَكارِمَ الأخلاقِ

Sesungguhnya aku tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

(Albani, Al-Silsilah As-Sahihah, halaman 45)

Allah Subhanahuwata’ala telah mempersiapkan pada diri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan akhlak yang tinggi. Firman-Nya:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berakhlak agung.

(Surah al-Qalam: 4)

Antara tanggungjawab yang besar bagi para pendidik untuk bekerja bersungguh-sungguh dan mengembleng sifat kreativiti bagi mewujudkan wasilah dan suasana tarbiah yang sesuai untuk mendidik para sukarelawan ke arah mencapai kemuliaan akhlak yang komprehensif.

Skop kerja kesukarelaan Islam

Skop kerja kesukarelaan Islam tidaklah terbatas dengan apa yang sering difahami oleh sebahagian anggota masyarakat seperti  mencuci masjid dan membantu orang miskin. Skop kesukarelaan Islam meliputi:

  1. Memberi kefahaman dan kesedaran Islam kepada masyarakat melalui bimbingan, tunjuk ajar dan kecontohan akhlak yang mulia supaya masyarakat kembali memahami dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.
  1. Memberikan sumbangan ekonomi kepada golongan yang memerlukan bantuan, terutama untuk tujuan memenuhi keperluan asas hidup. Di samping itu mendidik golongan itu supaya mampu berdikari dan mampu mencari nafkah hidup sendiri.
  1. Menyatukan masyarakat yang dipisahkan oleh pelbagai jurang seperti jurang ekonomi, jurang ilmu dan jurang pangkat, di atas asas iman kepada Allah Subhanahuwata‘ala, persaudaraan Islam dan tolong menolong. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.

(Surah Al-Maidah : 2)

  1. Memberi pendidikan kepada masyarakat supaya lahir masyarakat berilmu, terutama ilmu yang boleh menyampaikan manusia kepada matlamat kewujudannya untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di bumi.
  1. Membantu dan membela golongan yang sering terpinggir seperti warga tua, janda miskin, orang kurang upaya, golongan miskin dan anak yatim.
  1. Memberi pembelaan dan bantuan kepada golongan yang tertindas dan terzalimi seperti mangsa peperangan dan mangsa penjajahan.
  1. Memberi pembelaan dan bantuan kepada mangsa malapetaka seperti mangsa banjir, mangsa gempa bumi dan bangsa tsunami.
  1. Menjadi tali penghubung dan pemudahcara bagi golongan yang dermawan dan para panyumbang. Dalam konteks ini para sukarelawan mewujudkan pusat pengumpulan wang dan pelbagai barangan bantuan, kemudian menyampaikannya kepada pihak yang memerlukan bantuan.
  1. Memberi kesedaran dan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang, seperti pembangunan belia soleh dan solehah, pemeliharaan alam sekitar, kesedaran pengguna, memerangi penyalahgunaan dadah, anti merokok, kesedaran tentang kanser dan memelihara kesihatan serta kecergasan.
  1. Mengadakan program-program tarbawi demi menyelamatkan pemuda-pemudi daripada berpeleseran dan mambuang masa secara sia-sia seperti mengadakan perkhemahan, rekreasi, ekspedisi, sukan, kesenian Islam, lawatan, pameran dan pertandingan-pertandingan.
  1. Menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma, terutama kepada golongan miskin.
  1. Menyediakan khidmat nasihat undang-undang percuma untuk mereka yang memerlukan.
  1. Menyediakan khidmat bimbingan kaunseling percuma untuk mereka yang memerlukan.
  1. Membina institusi-institusi kebajikan seperti rumah jagaan anak yatim dan miskin, dan pusat membela golongan muallaf.
  1. Membina institusi pendidikan untuk mendidik golongan miskin dan golongan yang memerlukan pembelaan.

Penutup

Para sekarelawan perlu menghayati pesanan-pesanan Rasulullah Sallallahu‘alaihuisallam:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat Ibn Hibban)[1]

مَنِ استطاع منكم أنْ ينفعَ أخاهُ فَلْيَنْفَعْهُ

Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.

(Riwayat Muslim)[2]

 

Rujukan:

  1. Kertas kerja “Gerakan Kesukarelaan – Menjana Perubahan Bermakna”, Saifuddin Abdullah.
  2. Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.

[1] Al-Majruhin, no.hadits : 2/48

[2] Sahih Muslim, no.hadits : 2199

Print Friendly, PDF & Email

2 Comments

  1. Assalamualaikum ustaz,,
    saya ingin memohon izin untuk menggunakan tulisan ustaz ini sebagai rujukan saya dalam kerja saya.
    terima kasih.

  2. In response to: Kesukarelaan Dan Sukarelawan Islam:
    Assalamualaikum wrwb
    Ustaz
    Saya minta izin untuk menukil beberapa bahagian penulisan ustaz untuk kegunaan saya.
    Terima kasih.
    Editorial: Wsalam wrm wbth. Silakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button