Aqidah

Kewajipan Asasi Terhadap Rasulullah Saw

BERIMAN kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bermakna yakin bahawa Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam adalah nabi dan pesuruh Allah Subhanahuwata’ala, serta menerima dan mematuhi segala ajaran baginda.

Beriman  dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menuntut kita  supaya menyerahkan hidup kepada arahan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam erti kata mentaati apa  yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang baginda.

Untuk memampukan kita melaksanakan tuntutan itu, memerlukan  tarbiah. Untuk  sentiasa meredhai  dan mentaati segala perintah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  dengan  senang  hati, memerlukan  tarbiah yang berterusan.

Ketaatan kita  kepada  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  sebenarnya  adalah untuk kebaikan kita jua. Kita akan mendapat rahmat dan diampuni segala dosa-dosa kita. Firman  Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Hendaklah  kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya, mudah-mudahan  kamu mendapat rahmat. (Surah ali-Imran : 132)

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ

Katakanlah: Jika kamu kasihkan Allah  ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah  ali-Imran : 31  )

Kita hendaklah segera mengikuti  apa  yang Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam redha dan segera menjauhi apa yang  baginda benci, walaupun kita tidak pernah berjumpa baginda. Sabda baginda:

طوبى لِمَن رآني وآمَن بي وطوبى ـ سبعَ مرَّاتٍ ـ لِمَن آمَن بي ولَمْ يَرَني

Beruntunglah orang yang melihatku kemudian beriman denganku, tetapi yang lebih beruntung ialah mereka yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku. Sabda Nabi yang baginda ulang sebanyak 7 kali. (Riwayat Ibn Hibban)[1]

Kewajipan Asasi Terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Kewajipan asasi seorang muslim terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ialah:

  1. Membenarkan Semua Yang Dibawa Oleh Baginda

Apa yang dikatakan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bukan didasarkan pada nafsu, melainkan ia adalah wahyu  Allah Subhanahuwata‘ala. Justeru itu mengikuti baginda bermakna mengikuti kehendak Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣  إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤

Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (Surah An-Najm : 3-4)  

Seseorang muslim hendaklah menerima semua ajaran baginda dengan sempurna, ikhlas dan rela.

  1. Mematuhi Segala Perintah Baginda

Apa yang diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pasti benar dan baik, sama ada untuk individu mahupun untuk masyarakat, sama ada untuk kebahagiaan di dunia mahupun untuk kebahagiaan di akhirat.

Sikap para sahabat radiallahuanhum apabila mendengar perintah Allah dan Rasul-Nya, meskipun mereka terasa berat untuk memikulnya, ialah: سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا (kami dengar dan kami patuh). Ini dirakamkan dalam Al-Quran:

إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Sesungguhnya jawapan orang mu’min, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “kamidengar dan kami patuh”. dan mereka itulah orang yang beruntung. (Surah An-Nur : 51)

Bagi mereka yang tidak mahu mengikuti baginda maka Allah Subhanahuwata‘ala mengancam dengan ancaman yang keras. Firman-Nya:

وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلۡهُدَىٰ وَيَتَّبِعۡ غَيۡرَ سَبِيلِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصۡلِهِۦ جَهَنَّمَۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا

Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mu’min, Kami biarkan ia berwenang (bergelumang) terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam jahanam, dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. (Surah An-Nisa’ : 115)

  1. Meninggalkan Segala Larangan Baginda

Larangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam hendaklah ditinggalkan. Bahkan dijauhi (jangan mendekati) supaya tidak cenderung kepada maksiat atau terjerumus ke dalam dosa.

Setiap larangan baginda pasti membawa kemudaratan kepada manusia seperti berzina, mencuri, membunuh, merampas hak orang lain dan berhasad dengki.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya. (Surah Al-Hasyr : 7)

  1. Tidak Beribadah Kecuali Dengan Apa Yang Disyari’atkan Oleh Baginda

Sesungguhnya semua peribadatan adalah haram, kecuali apa yang disyari’atkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Amalan yang mubah atau harus, boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas lillahi ta‘ala dan tidak bertentangan dengan syari’at yang dibawa baginda.

Terdapat dua syarat penting bagi sesuatu amalan agar diterima sebagai ibadah:

a. Ikhlas, bagi merealisasikan tuntutan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

b. Mengikut syari’at yang dibawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bagi merealisasikan tuntutan محمد رسول الله

Ketika menafsirkan ayat 2 surah Al-Mulk, iaitu: أَحْسَنُ عَمَلًا(yang lebih baik amalnya), Fudhail bin ‘Iyadh berkata:أَخْلَصُهُ وَأَصْوَبُهُ(yang paling ikhlas dan paling sesuai dengan syari’at/sunnah)

 Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ada bersabda:

 صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّى

Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat. (Riwayat al-Bukhari)[2]

Rujukan:

  1. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da’wah.
  2. Risalah At-Ta’rif jilid 2
  3. Rasm Bayan dan ulasannya

[1] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 7232

[2] Sahih al-Bukhari, hakaman  : 631

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button