Aqidah

Hakikat Beriman Kepada Allah Swt

HAKIKAT  iman kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah satu hakikat besar  yang mencakupi  seluruh  kehidupan manusia. Apabila  iman  bersemi  dalam  hati  seseorang,  maka iman  itu  akan  terus  menjelmakan kesannya  dalam  bentuk amal perbuatan, kegiatan  dan  perjuangan yang mengharapkan Allah Subhanahuwata’ala atau redha-Nya. Dia  ta’at kerana  Allah Subhanahuwata’ala. Dia tunduk dan patuh kepada titah  perintah Allah Subhanahuwata’ala  sama ada dalam hal yang kecil mahupun besar.

Tidak  bersekongkol bersama-sama hakikat Iman itu dengan hawa nafsu  dan syahwat yang sering mengajak manusia menyeleweng daripada  ajaran Allah Subhanahuwata’ala.  Bahkan iman itu akan mengajak nafsu  dan  syahwat untuk  tunduk  mengikut ajaran Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam  yang  didatangkan daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Imanlah   yang  akan  mencernakan  keseluruhan  aspek   kehidupan manusia yang meliputi bisikan jiwa, cetusan hati, keinginan roh, kecenderungan     fitrah,    gerakan     jasmani,     tindak balas pancaindera  dan  semua  perbuatan  sama ada  semasa   bersendirian mahupun di depan orang ramai mengikut kehendak Allah Subhanahuwata’ala.

Sesungguhnya   iman  kepada  Allah Subhanahuwata’ala  dan   Rasul-Nya   itu  merupakan  keyakinan  dan  penyaksian dalam  hati  dengan  segala kesungguhan  yang membuatkan hati menjadi juru bicara  bagi Din  Islam  dan  juru  bicara yang hidup.

Iman  itu akan hidup dalam perasaan dan menjadi roh bagi  tingkah laku.  Alangkah  indahnya iman. Alangkah baik  dan  sucinya iman.

Iman yang betul akan melahirkan contoh ta’at kepada  Allah Subhanahuwata’ala pada diri seseorang. Contoh itu akan memberi  kesan pula   kepada  hati  kawan-kawannya.  Contoh  itu   adalah penyaksian amalan Islam yang akan membekas ke dalam jiwa  manusia lain.  Justeru itu seseorang itu akan menjadi juru  da’wah  Islam kepada  manusia,  setelah ia memberikan keutamaan  dan  kelebihan terlebih dahulu kepada dirinya sendiri.

Iman  adalah  masdar (pemancar) yang melahirkan ma’ruf dan  menolak  mungkar. Iman  adalah asas  yang akan mewujudkan kerajaan Allah Subhanahuwata’ala  di muka  bumi yang berfunngsi di dalamnya hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala. Iman   mencorakkan  kehidupan  Islam  dan   menentang   kehidupan Jahiliah.  Iman akan meletakkan seseorang di atas  jalan  hidup yang sempurna. Jalan hidup yang mengandungi segala perintah Allah Subhanahuwata’ala

Amanah yang dipikul oleh manusia

Amanah  yang  besar telah ditolak oleh langit,  bumi  dan  gunung-ganang.  Amanah itu akhirnya diterima dan diletakkan di atas bahu manusia.  Amanah itu ialah amanah hidayah, amanah untuk  mengenal Allah Subhanahuwata’ala  dan  amanah iman kepada-Nya.  Jiwa  manusia  telah diberikan  persediaan-persediaan  untuk  membolehkannya   memikul amanah  tersebut. Untuk memikul amanah itu, manusia perlu  insaf, sedar,  berkehendak,  bersungguh-sungguh  dan  berkorban.  Itulah amanah   yang sesuai dengan fitrah asal manusia. 

Segala  makhluk  selain daripada manusia  telah  diilhamkan  oleh Allah Subhanahuwata’ala  untuk  beriman,  mendapat  pertunjuk,   mengenal, menyembah  dan  menta’ati-Nya secara fitrah dan terpaksa tanpa  perlu berikhtiar  dan  berusaha. Hanya manusia diberikan  kepada  aqal, ma’rifah, kehendak, kesungguhan dan pengorbanan untuk  berikhtiar dan berusaha untuk sampai kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan izin-Nya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٦٩

Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.  Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang yang berbuat baik.  (Surah  al-Ankabuut : 69)

Itulah amanah yang diterima manusia dan menjadi kewajipan baginya melaksana amanah itu dengan bersungguh-sungguh.

Mandat Allah Subhanahuwata’ala

Allah Subhanahuwata’ala telah berjanji untuk memberikan kepada  orang yang  beriman dan beramal soleh mandat membangunkan sistem  Islam di  bumi.  Allah Subhanahuwata’ala telah berjanji kepada mereka  bahawa  Dia akan  mengangkat mereka sebagai khalifah atau penguasa  di  bumi. Seperti  halnya  diangkatkan  orang  mu’min  soleh  sebelum mereka,   agar  mereka  membangunkan  syari’at  Allah Subhanahuwata’ala.   Dan melaksanakan  keadilan  mengikut  kehendak  Allah Subhanahuwata’ala   serta membawa  umat  manusia  ke jalan  yang  benar.

Kekhalifahan   bukan  semata-mata  kerajaan,  pemerintahan   atau kekuasaan tanpa tanggungjawab.  Kekhalifahan harus dipergunakan untuk  kebaikan  dan membina  kemakmuran  serta menegakkan jalan  Allah Subhanahuwata’ala  agar manusia dapat berjalan di atasnya.

Khilafah bukanlah bertujuan untuk membuat keruntuhan,  kejahatan, kezaliman  dan  perkosaan. Khilafah bertujuan  untuk  meninggikan keperibadian  manusia, bukan merosakkan keperibadian  manusia  ke lembah kebinatangan.

Al-Quran  membimbing  manusia  ke  jalan  tersebut.  Iman  adalah dasarnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ فِي هَٰذَا لَبَلَٰغٗا لِّقَوۡمٍ عَٰبِدِينَ ١٠٦ وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

Sesungguhnya  (apa yang disebutkan) dalam (surat) ini , benar-benar menjadi peringatan bagi kaum yang menyembah (Allah).  Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan  untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.  (Surah  Al-Anbiya’ : 106-107)

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button