Kompetensi

Tajuk Pilihan Pemantapan Pendakwah (3) : Hubungan Yang Intim Dengan Allah Swt

MAKSUD dan Kesannya

Apa yang dimaksudkan dengan hubungan yang intim ialah seorang penda’wah muslim mestilah berhubung dan bertawakal dalam apa jua keadaan, kerana keyakinannya bahawa hanya Allah sahaja yang menguasai dan mentadbir makhluk ini. Hanya Allah sahaja yang menentukan baik buruk dan susah senang makhluk ini. Segala yang diingni oleh Allah pasti akan berlaku dan segala yang tidak diingini-Nya pasti tidak akan berlaku. Allah akan membantu orang yang bertawakal dan menyerahkan segala urusan mereka kepada-Nya.

وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا
“Dan ingatlah, sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”  (At-Thalaq: 3)

Apatah lagi, jika orang bertawakal ini ialah orang yang melaksanakan da’wah mengajak manusia kepada Allah, membantu Allah, memartabatkan kalimah Allah dan menentang musuh-musuh Allah. Allah berfirman mengenai Nabi Musa dan Harun:

قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفۡرُطَ عَلَيۡنَآ أَوۡ أَن يَطۡغَىٰ . قَالَ لَا تَخَافَآۖ إِنَّنِي مَعَكُمَآ أَسۡمَعُ وَأَرَىٰ
“Mereka berdua berkata: ‘Wahai Rab kami, sesungguhnya kami takut bahawa  ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampaui batas.’ Allah berfirman : ‘Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu, aku mendengar dan melihat segala-galanya.’”  (Thaha: 45-46)

Kebersamaan Allah, bantuan dan sokongan-Nya bukan hanya untuk para nabi atau rasul yang bertawakal menyampaikan risalah Allah. Kebersamaan, bantuan dan sokongan Allah ini juga adalah untuk hamba-hamba Allah yang bertakwa, terutama para penda’wah yang mengajak manusia kepada agama-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ
“Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa, dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(Al-Nahl: 128)

Tawakal dan hubungan seorang penda’wah Islam dengan Allah mestilah umpama hubungan seorang anak kecil dengan ibunya. Anak kecil ini hanya mengenali dan bergantung kepada ibunya. Jika berlaku sesuatu, dia akan menjeritkan nama ibunya. Namun ini tidak bermakna tidak berusaha sama sekali. Apa yang dimaksudkan di sini ialah tidak bergantung kepada usaha tersebut sebaliknya kebergantungan diserahkan kepada penentu segala hasil (natijah), iaitu Allah Yang Maha Kuat dan Maha Mulia.

Hubungan ini akan semakin intim, jika penda’wah sentiasa mengingati apa yang diketahuinya bahawa makhluk tidak mampu untuk menentukan baik buruk dirinya mahupun orang lain. Segala-galanya terserah kepada kuasa Allah Yang Maha Kuat dan Maha Mulia. Jika nilai ini sentiasa hadir di dalam hatinya sudah pasti ia tidak akan mengharapkan atau bergantung kepada mana-mana makhluk. Sebaliknya dia akan menyerahkan segala-galanya kepada Maha Pencipta, Rab yang memiliki dan membantunya.

بَلِ ٱللَّهُ مَوۡلَىٰكُمۡۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلنَّٰصِرِينَ
(Janganlah kamu taatkan mereka) (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dialah sebik-baik Penolong.
(Ali ‘Imran: 150)

ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang yang beriman, ia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman).”  (Al-Baqarah: 257)

Selain kebergantungannya kepada Allah dalam apa jua keadaan, penda’wah muslim juga mesti yakin sepenuhnya bahawa Allah akan memelihara, membantu dan menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang tidak baik. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ
“Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman…”  (Al-Haj: 38)

وَلَقَدۡ سَبَقَتۡ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا ٱلۡمُرۡسَلِينَ ١٧١  إِنَّهُمۡ لَهُمُ ٱلۡمَنصُورُونَ ١٧٢ وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ١٧٣
“Dan demi sesungguhnya, telah ada semenjak dahulu lagi, ketepatan Kami bagi hamba-hamba Kami yang diutus sebagai Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera kami (pengikut–pengikut Rasul), merekalah orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).”  (Ash-Shaaffaat: 171-173)

Namun demikian sebagai seorang penda’wah Islam dia tidak sepatutnya memberi tempoh tertentu kepada Allah untuk membantu dia menghadapi musuh-musuhnya atau menentukan bagaimana cara bantuan ini diberikan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡأَشۡهَٰدُ
“Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang yang beriman dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).”  (Al-Mu’min: 51)

Menurut Ibnu Kathir ketika mentafsir ayat ini: “Maksud kemenangan di sini ialah Allah membantu mereka menghadapi orang yang menyakiti mereka, sama ada ia dilakukan ketika mereka wujud atau ketika mereka telah mati sepertimana yang dilakukan ke atas pembunuh Nabi Yahya, Nabi Zakaria dan Nabi Syu’aib. Allah telah meletakkan mereka di bawah kekuasaan musuh mereka yang akan menghina dan membunuh mereka. Allah telah meletakkan kaum Yahudi yang ingin membunuh nabi Isa di bawah kuasa kerajaan Rom yang seterusnya mengalahkan dan menghina mereka.”

As-Suddi berkata: “Para nabi dan orang yang beriman dibunuh ketika di dunia ini. Namun akan tetap dibantu ketika di dunia ini juga. Demikianlah juga dengan Rasul-Nya. Allah memerintahkan agar baginda berhijrah dan akhirnya baginda kembali ke sana sebagai penakluk dan orang beriman yang beroleh kemenangan.’”

Selama mana penda’wah Islam membantu Allah Subhanahuwata’ala, iaitu membantu din-Nya dengan cara mengajak manusia kepada ajaran din-Nya, maka Allah akan membantunya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“…Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa.”  (Al-Hajj: 40)

Penda’wah mesti yakin dan tidak meragui hakikat ini. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda ketika baginda pulang dari Thaif, di mana baginda menerima layanan yang paling buruk daripada kaum Thaif. Turut bersama baginda ialah Zaid. Baginda bersabda kepada Zaid: “Sesungguhnya Allah akan berikan penyelesaian dan jalan keluar bagi apa yang engkau lihat ini dan Allah akan membantu din-Nya dan akan memberikan kemenangan kepada Nabi-Nya.’’

Penda’wah tidak boleh sama sekali berputus asa. Perasaan  berputus asas tidak boleh berada dalam hati yang sentiasa berhubung dengan Allah. Sifat putus asa hanya ada di dalam hati orang kafir yang sememangnya terputus hubungan dengan Allah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَلَا تَاْيۡ‍َٔسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡ‍َٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ
“…Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”  (Yusuf: 87)

Hubungan dengan Allah ini adalah suatu perkara asasi bagi seorang penda’wah. Hubungan ini akan memudahkan mereka menghadapi rintangan, mengurangkan kesusahan dan membuangkan rasa takut dengan manusia. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ
“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang (pembawa berita) kepada mereka: ‘Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya.’ Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: ‘Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).’” (Ali ‘Imran:1 73)

Penda’wah akan merasa bangga dengan keimanannya kerana dia mempunyai hubungan dengan Rab Yang Maha Kuat dan Maha Mulia. Firman-Nya:

وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَعۡلَمُونَ
“…Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuataan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang yang beriman, akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Munafiqun: 8)

Penda’wah akan sentiasa memandang hina kepada kesesatan kerana baginya orang yang sesat tidak nilai dan hina. Orang yang sesat tidak akan dipandang hebat pada pandangan orang yang beriman.

Rujukan: Usul Ad-Da’wah, Dr. ‘Abdul Karim Zaidan.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button