PENGERTIAN AMAL SOLEH
AMAL soleh ialah segala amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala, yang memenuhi dua syarat:
1. Amalan itu hendaknya sesuai dengan ajaran Islam.
2. Amalan itu bertujuan untuk mencapai keredhaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata‘ala.
Apabila sesuatu amalan tidak memenuhi kedua syarat di atas, atau hanya dapat memenuhi salah satu daripada dua syarat tersebut, maka ia tidaklah termasuk amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala dan tidak akan mendapat pahala atau ganjaran daripada Allah Subhanahuwata‘ala.
Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا
Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabnya. (Surah Al-Kahfi: 110)
Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa amal soleh itu ialah amalan benar yang sesuai dengan ajaran Islam dan niat dalam melakukannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.
Kedudukan amal soleh dalam Islam
Kedudukan amal soleh dalam Islam sangat penting. Amal soleh adalah buah keimanan kepada Allah Subhanahuwata‘ala, hari kiamat dan Rasul-Nya. Amal soleh adalah menifestasi dari kandungan syahadah dalam bentuk amal perbuatan.
Kita temui banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menerangkan pentingnya amal soleh. Kadang-kadang amal soleh dihubungkan dengan keimanan dan diterangkan ganjaran serta pahalanya. Kadang-kadang diterangkan amal soleh bermanfaat bagi manusia pada hari akhirat dan Allah Subhanahuwata‘ala tidak melupakan pahala serta ganjaran amal soleh seseorang.
Di samping itu kita temui juga ayat-ayat yang menerangkan amal soleh itu sebagai penghapus sesuatu dosa. Dosa akan membawa manusia kepada kerugian.
Oleh itu, tidak ada jalan yang lain bagi manusia dan tidak ada jalan yang perlu ditempuh oleh manusia kecuali beramal soleh.
Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَأَجۡرٌ عَظِيمٞ
Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Maidah: 9)
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ طُوبَىٰ لَهُمۡ وَحُسۡنُ مََٔابٖ
Orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik. (Surah Ar-Ra’d: 29)
مَنۡ عَمِلَ صَٰلِحٗا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنٞ فَلَنُحۡيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةٗ طَيِّبَةٗۖ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (Surah An-Nahl: 97)
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ مَنۡ أَحۡسَنَ عَمَلًا
Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah kami tidak akan mempersia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik. (Surah Al-Kahfi: 30)
وَيَزِيدُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ هُدٗىۗ وَٱلۡبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابٗا وَخَيۡرٞ مَّرَدًّا ٧٦
Dan Allah akan menambah petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjuk, dan amal-amal soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Rabmu dan lebih baik kesudahannya. (Surah Maryam: 76)
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنۡهُمۡ سَئَِّاتِهِمۡ وَلَنَجۡزِيَنَّهُمۡ أَحۡسَنَ ٱلَّذِي كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٧
Dan orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan. (Surah Al-Ankabut: 7)
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُدۡخِلَنَّهُمۡ فِي ٱلصَّٰلِحِينَ ٩
Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh benar-benar akan kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang yang soleh. (Surah Al-Ankabut: 9)
وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali, orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (Surah Al-‘Asr: 1-3)
Menganut Islam sebagai syarat penerimaan amal
Amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala, seperti yang diterangkan di atas, disyaratkan orang yang beramal itu adalah orang yang beriman kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Kerana itulah Allah Subhanahuwata‘ala selalu menghubungkan amal soleh dengan iman.
Syarat penerimaan sesuatu amalan hendaklah orang yang melakukannya menganut din Islam, iaitu din yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam.
Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ
Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi. (Surah Ali-Imran: 85)
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa jika seseorang itu beramal dengan amalan yang sesuai dengan ajaran Islam, dari segi bentuknya dan juga zahirnya telah sempurna menurut ajaran Islam, serta niat dalam melakukannya adalah untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala, akan tetapi jika pelakunya tidak menganut Islam dan tidak mempercayai Muhammad sebagai Rasul dan Nabi, maka amalan yang dilakukannya itu tidak akan diterima dan tidak akan mendapat pahala.
Islam sangat melarang bid’ah
Amalan soleh adalah amalan yang sesuai dengan ketentuan syari’at Islam dan dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.
Perbuatan bid’ah di dalam agama, baik dengan menambah atau mengurangi ajarannya adalah dilarang. Orang yang melakukan bid’ah tidak diberikan pahala meskipun dengan niat untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
من أحدثَ في أمْرِنَا هذا ما ليسَ منه فهو رَدٌّ
Barangsiapa mengadakan suatu amalan baru dalam urusan kami ini, yang tidak ada darinya (ajaran Islam), maka ia (amalan itu) tertolak. (Riwayat Muslim)[1]
Bid’ah bermakna merubah ajaran Islam dan ketentuan-ketentuan syari’at Islam dengan perkiraan ia kurang lengkap atau masih memerlukan tambahan untuk menyempurnakannya. Bid’ah termasuk perbuatan maksiat.
Amalan bid’ah tidak boleh dilakukan dan akan mendatangkan dosa yang besar. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memperingatkan:
إياكم ومحدثاتِ الأمورِ فإن َّكلَّ محدثةٍ بدعةٌ وكلَّ بدعةٍ ضلالةٌ
Jauhilah oleh kamu akan menambah-nambah perkara agama, kerana sesunnguhnya setiap penambahan (dalam agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat. (Riwayat Abu Daud)[2]
Oleh itu, sebaik-baik amalan adalah amalan yang sesuai bentuknya dengan perintah syari’at Islam dan mengikut ketentuan Islam sepenuhnya.
Jenis-jenis amalan soleh
Amalan soleh beraneka jenis. Ia mencakup segala perintah Allah Subhanahuwata‘ala sama ada yang wajib ataupun yang sunat, sama ada dalam bidang ibadah ataupun dalam bidang mu’amalah. Maka, apabila seseorang muslim beramal kerana Allah Subhanahuwata‘ala dan mengikuti petunjuk din Islam, maka beliau dianggap beramal soleh.
Amalan soleh yang paling penting ialah ibadah. Antara ibadah yang terpenting ialah solah, puasa, zakat dan haji. Ibadah-ibadah ini termasuk dalam rukun Islam, yang sama sekali tidak boleh diabaikan dan tidak boleh diremehkan.
Pentingnya ibadah dalam Islam
Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Ibadah menjadi bukti pengakuan sebagai hamba terhadap Allah Subhanahuwata‘ala. Ibadah adalah hak Allah Subhanahuwat’ala ke atas hamba-Nya. Ibadah yang terpenting ialah solat.
Ibadah harus dipelihara sebaik-baiknya. Ibadah tidak boleh dianggap remeh. Ibadah, secara umumnya, untuk menanam dan memperkuatkan iman ke dalam setiap jiwa muslim.
Ibadah sangat penting bagi manusia sepertimana pentingnya air bagi tumbuh-tumbuhan. Iman seseorang akan bertambah apabila ibadah dilaksanakan.
Pentingnya ibadah solat
Untuk memperlihatkan betapa pentingnya solat, maka ia telah difirmankan Allah Subhanahuwata‘ala dalam berpuluh-puluh ayat dan diiringi pula dengan banyak hadits-hadits Rasulullah. Solat dinyatakan sebagai pemisah antara muslim dan bukan muslim. Solat adalah sifat bagi orang beriman dan bertaqwa. Solat sekali-kali tidak boleh ditinggalkan, baik semasa berada di kampung halaman sendiri mahupun semasa bermusafir, baik dalam keadaan damai mahu pun dalam keadaan perang, baik dalam keadaaan sihat mahu pun dalam keadaan sakit. Orang yang mengabaikan atau meninggalkan solat di anggap sebagai munafik.
Wasiat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada umatnya di kala beliau hampir wafat ialah agar memelihara solat. Solat adalah amalan pertama yang akan dipersoalkan ke atas umat manusia pada hari kiamat di hadapan Rab. Solat membersihkan jiwa manusia, sebagai tali penghubung antara hamba dan Rab, dan sebagai peringatan berterusan untuk menyedarkan jiwa manusia akan dirinya sebagai hamba kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Solat pembersih rohani dan penyuci jiwa daripada kekotoran maksiat. Solat adalah amalan yang paling disenangi oleh setiap muslim yang khusyu’.
Apabila seorang muslim menghadapi kerumitan dan kesulitan dalam hidupnya, maka hendaklah beliau mendirikan solat.
Solat juga mencegah pengamalnya daripada kejahatan dan kemungkaran.
Bacaan dalam solat, sama ada ayat-ayat Al-Quran, tasbih, doa mahu pun zikir, semuanya adalah peringatan bagi setiap muslim dan perisai daripada kejahatan dan kemungkaran.
[1] Sahih Muslim, no.hadits: 1718
[2] Sunan Abu Daud, no.hadits: 4607