
TAKRIF AL-QURAN
Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah Subhanahuwata’ala yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, dipindahkan daripada baginda Sallallahu’alaihiwasallam dengan riwayat yang mutawatir dan ditulis dalam beberapa naskhah mashaf. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan bahasa.
HUBUNGAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Kebanyakkan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya: “Ketika wahyu turun kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah Subhanahuwata’ala jua.
Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣ إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤
Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya. (Surah an-Najm : 3-4)
Kehidupan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya: “Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran. ”
SUMBER PEMBENTUKAN UMMAH
Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti atau pun arahan-arahan.
DIDIKAN AL QURAN SERTA NATIJAHNYA
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengkagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan Allah Subhanahuwata’ala) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠
Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, maka tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasiq. (Surah ‘Ali Imran : 110)
PROSES PEMBENTUKAN ADALAH IRADAH ALLAH
Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdasarkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala. Tarbiah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berjalan selama 23 tahun – 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyarakat dan daulah Islamiah yang dibentuk Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah Subhanahuwata’ala. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu, Allah Subhanahuwata’ala boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah Subhanahuwata’ala tidak sedemikian. Allah Subhanahuwata’ala menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembinaan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematangan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Qur’an yang beransur-ansur. Allah Subhanahuwata’ala menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.
Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh dipandang sepi.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَقُرۡءَانٗا فَرَقۡنَٰهُ لِتَقۡرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكۡثٖ وَنَزَّلۡنَٰهُ تَنزِيلٗا ١٠٦
Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit. (Surah al-Isra’ : 106)
Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah Subhanahuwata’ala dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.
KEMUNCAK NATIJAH
Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Qur’an telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berjiwa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliah tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah Subhanahuwata’ala.
Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Perhatikanlah sikap Mu’az bin Jabal Radhiallahu’anhu yang menjadi wakil Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud:
“Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemukakan sesuatu masalah kepadamu?”
Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.”
Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?”
Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.”
Baginda bertanya lagi, ” Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam?”
Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan.”
Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berkata, “Alhamdulillah, Allah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasulullah mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah.”
Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah syariat Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakr as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.
AT-TASYRI’ AL KAMIL
At-Tasyri’ al-Kamil membawa maksud suatu perundangan yang telah sempurna disyariatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلۡمُنۡخَنِقَةُ وَٱلۡمَوۡقُوذَةُ وَٱلۡمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيۡتُمۡ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسۡتَقۡسِمُواْ بِٱلۡأَزۡلَٰمِۚ ذَٰلِكُمۡ فِسۡقٌۗ ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasih dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Ku. Pada hari ini (hari ‘Arafah, 10 Hijrah) Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku ke atas dan Aku redha Islam sebagai Din kamu. (Surah al-Maidah : 3)
Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam secara beransur-ansur melalui dua tahap, iaitu Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Kewujudan tahap-tahap itu menunjukkan adanya pemeringkatan syari’a mulai awal kerasulan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam hingga saat hampir kewafatan baginda.
Syari’at Islam kini telah lengkap dan sempurna. Oleh itu dalam konteks pembangunan semula Ummah Islamiyyah kini, syari’at itu tidak boleh dibataskan berasaskan Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Hukum-hukum dan undang-undang Islam sudah lengkap dan sempurna dengan tamatnya wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
PERLAKSANAAN SYARIAT DALAM JAMAAH KINI
Bagaimanakah syariat Islam yang lengkap hendak dilaksanakan oleh jamaah Islam dalam suasana atau realiti kini ? Iaitu realiti yang tidak membolehkan jama’ah melaksanakan semua tuntutan syariat Islam.
Dalam hal ini, perlaksanaannya adalah terhenti kepada suasana kelemahan (ad-Da’if) dan suasana kekuatan (al-Quwwah) jama’ah atau Ummah Islamiah yang dibentuk. Suasana kelemahan umat Islam yang tidak melaksanakan semua tuntutan syariat mengharuskan jamaah Islam mengambil rukhsah dalam erti kata melaksanakan tuntutan syariat sekadar kemampuan yang dimiliki oleh jamaah. Namun penentuan mampu atau tidak mampu itu adalah di bawah tanggungjawab barisan kepimpinan (as-Saf al-Qiyadi) yang mengendalikan jamaah Islam.
Bagaimanapun jamaah Islam tidak boleh berpuas hati dengan mengambil rukhsah selama-lamanya. Bahkan sewajibnya kemampuan jamaah Islam itu dipertingkatkan kerana matlamat besarnya ialah untuk menegakkan Khilafah Islamiah. Khilafah dalam pengertian mengurus semua urusan dan memimpin semua makhluk berpandukan syariat Islam serta melaksanakan semua tuntutan syara’ demi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
JAMAAH ADALAH ‘JALAN ‘
Jamaah adalah ‘jalan’ yang mesti dilalui untuk menegakkan Khilafah Islamiah. Oleh itu pembentukannya adalah wajib. Tahap kekuatan (al-Quwwah) jamaah Islam perlu ditingkatkan sehingga ia boleh mengambil ‘azimah, bukan rukhsah. Yakni ‘azimah dalam melaksanakan semua hukum yang dituntut oleh syariat Islam, kecuali dalam keadaan dharurah yang datang kemudian.
Khilafah merupakan natijah (hasil) daripada pembentukan jama’ah atau ummah yang berasaskan didikan iman. Inilah sunnah Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
Allah menjadikan bagi orang-orang yang beriman antara kamu serta melaksanakan amalan-amalan yang saleh bahawa mereka akan menjadi khalifah di muka bumi sebagai mana orang-orang terdahulu telah menjadi khalifah. Juga Allah telah menetapkan Din mereka yang Allah telah redha bagi mereka dan Allah akan tukarkan suasana ketakutan dengan keamanan; mereka memperhambakan diri kepada Aku (Allah) tanpa syirik sedikitpun dengan Aku. Barang siapa yang kufur selepas itu maka mereka itu sebenarnya orang-orang yang fasiq.
(Surah an-Nur : 55)
ALLAH TERTINGGI
Khilafah yang dimaksudkan oleh Islam bukanlah orang perseorangan, keluarga atau kelas-kelas tertentu akan tetapi jamaah ummah yang ada kepimpinan. Setiap anggotanya pula yakin dan menyerah kepada peraturan-peraturan yang Allah Subhanahuwata’ala turunkan. Khalifah pula bertanggungjawab mengurus daulah dan semua urusan berdasarkan syariat Allah Subhanahuwata’ala. Khalifah adalah wakil Allah Subhanahuwata’ala di bumi, bukannya penggubal undang-undang berdasarkan kehendak sendiri. Sesungguhnya Pencipta undang-undang hanyalah Allah Subhanahuwata’ala.
Hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah hukum-hukum tertinggi. Orang mukmin tiada pilihan lain melainkan mematuhinya. Tiada sebarang hak bagi seseorang muslim atau mukmin untuk membuat hukum sendiri dalam perkara-perkara yang telah ditentukan Allah Subhanahuwata’ala dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sebarang penyelewengan daripada hukum Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya adalah berlawanan dengan aqidah atau iman. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
Apabila Allah dan Rasul-Nya menghukum mengenai sesuatu urusan maka tidak boleh lagi bagi orang mukmin lelaki dan perempuan memilih berbuat mengikut kemahuannya. Barang siapa yang durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia benar-benar sesat . (Surah al-Ahzab : 36)
وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلرَّسُولِ وَأَطَعۡنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٞ مِّنۡهُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۚ وَمَآ أُوْلَٰٓئِكَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٤٧ وَإِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ إِذَا فَرِيقٞ مِّنۡهُم مُّعۡرِضُونَ ٤٨
Mereka berkata, “Kami telah beriman dengan Allah dan Rasul dan kami telah taat”, kemudian satu puak di kalangan mereka berpaling lagi selepas itu, maka mereka bukan lagi orang mukmin. Apabila mereka diajak kepada hukum Allah dan Rasulnya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka tiba-tiba satu puak daripada mereka enggan menurutnya.
(Surah an-Nur : 47-48)
إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥١
Sesungguhnya perkataan orang yang beriman itu apabila diajak kepada hukum Allah dan Rasul-Nya supaya berjalan hukuman di kalangan mereka, mereka berkata: “Kami dengar dan kami patuh” dan mereka itulah orang yang berjaya. (Surah an-Nur : 51)