MATLAMAT utama tarbiah Islamiah ialah untuk melahirkan individu yang memenuhi syarat-syarat sebagai mu’min. Dalam masa yang sama memenuhi syarat-syarat keanggotaan haraki. Teras utama tarbiah Islamiah ini ialah iman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Iman inilah yang akan mampu untuk melahirkan sifat-sifat Rabbani pada individu muslim.
Iman bukanlah sekadar laungan atau semboyan, tetapi ia adalah satu hakikat yang meresap ke dalam perasaan dan menggerakkan kemahuan. Iman adalah keyakinan yang bersemadi dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ ١٥
Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang yang benar
(Surah al-Hujuraat : 15)
Sifat-sifat Rabbani dalam manhaj tarbiah, antara lain ialah:
- Mengajak kepada Allah Subhanahuwata’ala mendahului segala sesuatu yang lain.
Tarbiah kita mengajak kepada Allah Subhanahuwata’ala sebelum sesuatu yang lain mengambil tempat. Ia sentiasa mengarah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Matlamat agungnya ialah memenangi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
Allah Subhanahuwata’ala hanya menerima amalan yang berdasarkan keikhlasan hati kepada-Nya. Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima amalan meskipun banyak jika tidak didasari keikhlasan sebenar. Dialah yang paling tidak menerima syirik seperti riya’. Riya’ adalah syirik yang paling tersembunyi. Amalan yang berbau syirik daripada hati yang riya’ adalah tertolak. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠
Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah Yang Maha Esa. Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabbnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabbnya
(Surah al-Kahfi : 110)
Mengajak kepada Allah Subhanahuwata’ala juga bermakna mengajak hati menusia supaya beriman kepada-Nya. Imanlah masdar (pancaran) utama yang melahirkan natijah perhambaan sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Imanlah yang mewarnai kehidupan manusia yang memilikinya ketika di masjid, rumah, pasar , padang bola, medan peperangan, khalayak ramai, waktu bersendirian dan sebagainya.
Imanlah juga yang melahirkan ukhuwah dan membentuk ummah contoh di tengah-tengah masyarakat jahiliah sepertimana generasi pertama Islam dahulu.
Generasi kini telah kehilangan iman sebenar. Iman yang ada malap, mandul dan tidak berfungsi. Kerana itulah generasi kini hidup dalam keadaan hanyut di tengah-tengah arus jahiliah.
- Sumber Rabbani
Sumber tarbiah ialah sumber wahyu, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Ummah mithali generasi pertama Islam dibentuk dengan sumber ini. Manakala kitab-kitab dan hasilan ulama’ muktabar adalah huraian atau penjelasan lanjut bagi al-Quran dan as-Sunnah
- Wasilah Rabbani
Wasilah tarbiah adalah wasilah yang diharuskan oleh syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu segala bentuk program dan latihan yang tidak bertentangan dengan syara’ boleh dimanfa’atkan atau dilaksanakan sebagai wasilah tarbiah.
- Matlamat Rabbani
Matlamat tarbiah ialah untuk melahirkan manusia muslim mukmin yang meningkat secara seimbang dalam aspek ruhi, aqli, jasadi dan akhlak. Juga sebagai mujahid dalam gerakan Islam yang sentiasa mengejar keredhaan Allah Subhanuhawata’ala di dunia dan di akhirat.
Matlamat tarbiah juga ialah untuk membentuk ummah yang mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dan menjalankan syari’at-Nya yang sempurna.
- Tarbiah mengetuk pintu hati
Teras bagi tarbiah Rabbaniyyah ini ialah hati yang hidup dan sentiasa berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala, meyakini pertemuan dengan-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takutkan azab-Nya. Teras inilah yang hendak dibina dalam hati kita dan hati masyarakat. Sebab itulah tarbiah Rabbaniyyah sentiasa mengetuk pintu hati. Tarbiah ditubikan kepada hati kerana nilai dan hakikat kewujudan manusia terletak pada segumpal darah. Sekiranya ia baik, maka baiklah seluruh tubuh badannya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh badannya. Inilah hati.
Hati adalah suatu yang sedar dan mampu menghubungkan manusia dengan rahsia kewujudan atau kehidupan, dan mengangkat manusia ke alam yang tinggi untuk berhubung dengan Penciptanya.
Hanya hati yang hidup dan sedar sahaja yang mendapat penilaian Allah Subhanahuwata’ala, menjadi tajalli-Nya dan pancaran nur-Nya. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (bernaksud):
Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa (tubuh) kamu, tetapi Ia melihat kepada hati kamu .
Keyakinan dan pegangan hatilah yang akan dikemukakan oleh seorang hamba kepada Rabbnya di hari Kiamat kelak. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ ٨٨ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ ٨٩
(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang salim (bersih dan sejahtera).
(Surah asy-Syu’araa’ : 88-89)
Sekali lagi ditegaskan bahawa tarbiah kita ialah tarbiah yang sentiasa mengetuk pintu hati manusia sehingga terbuka untuk mengenali Allah Subhanahuwata’ala, mengharapkan rahmat-Nya dan takutkan ‘azab-Nya. Juga bertaubat, bertawakkal, cinta dan mengharapkan redha-Nya. Juga merasa tenteram dengan mendekatkan diri kepada-Nya dan merasa tenang dengan mengingati-Nya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨
(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram
(Surah ar Ra’d : 28)
Dengan hubungan hati yang sedemikian, maka barulah seorang mu’min itu akan menganggap mudah segala kesulitan, memandang manis segala kepahitan dan menganggap enteng segala penderitaan. Bahkan semua ujian adalah suatu kelazatan bagi pejuang-pejuang di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Hanya hati yang sebegini tidak akan terkulai oleh ujian-ujian sama ada ujian kesusahan mahupun ujian kesenangan.
- Tarbiah dalam suasana ta’at kepada Allah (bi’ah solehah)
Agar hati tetap subur dan kuat berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala (seperti yang dihuraikan di atas), maka hati manusia memerlukan bi’ah solehah (suaasana yang solah). Bi’ah solehah ialah suasana kehidupan orang mu’min yang ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala. Suasana ini mendidik dan memelihara hati agar sentiasa selamat dan tertingkat. Ini selaras dengan hakikat fitrah manusia yang mudah terdorong untuk mengikuti apa yang dipermudahkan baginya.
Oleh itu, tarbiah Islamiah memerlukan wujudnya bi’ah solehah yang menghidupkan hati supaya tidak mati, memperbaiki ketika ia rosak, mengubati ketika ia sakit dan melembutkannya ketika ia keras.
- Menjauhi fitnah dunia, hawa nafsu dan penyakit-penyakit yang berkaitan.
Untuk memelihara istimrariyyah (kekekalan atau berterusan) seseorang berada dalam manhaj tarbiah, faktor utama yang perlu diawasi ialah rasa cinta kepada dunia dan nilai-nilainya. Hampir tiada yang merosakkan hati melainkan rasa terikat dengan dunia dan nilai-nilainya yang rendah. Inilah pokok bagi setiap kesalahan dan punca setiap penyakit.
Hanya keyakinan yang padu kepada Allah Subhanahuwata’ala, rasul-Nya dan hari akhirat yang akan dapat merungkaikan dan melekangkan tambatan hati manusia kepada dunia yang fana ini.
Di sebalik kecintaan kepada dunia, yang merangkumi keinginan kepada harta, makanan, hiburan, seks, pangkat, anak-anak dan sebagainya, ada lagi yang merbahaya kepada hati iaitu desakan hawa nafsu. Hawa nafsu adalah seburuk-buruk ilah yang disembah manusia di muka bumi.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
فَإِن لَّمۡ يَسۡتَجِيبُواْ لَكَ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيۡرِ هُدٗى مِّنَ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٥٠
Maka jika mereka tidak menjawab (tentanganmu), ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka (belaka), dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim
(Surah al-Qashash : 50)
Keinginan-keinginan hawa nafsu seperti keinginan-keinginan kepada kemegahan, kekuasaan, sanjungan orang ramai dan pujian daripada kepimpinan adalah racun-racun yang akan merosakkan hubungan penda’wah dengan Allah Subhanahuwata’ala. Keinginan-keinginan ini akan membutakan perasaan, membunuh keikhlasan dan merosakkan hati.
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwassalam, yang bermaksud :
Tiga perkara yang mencelakakan – kekeliruan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kekaguman seseorang kepada dirinya
Atas kesedaran ini, manhaj tarbiah memberikan penekanan dan perhatian yang berat terhadap qadhiyyah (permasalahan) Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Inilah sunnah pembentukan generasi awal.
Jiwa-jiwa yang dididik dalam manhaj Rabbani dapat mengenali penyakit-penyakit hati ini. Mereka sedar bahawa bahaya yang paling besar bagi seseorang da’i ialah apabila terpengaruh dengan hawa nafsu, menonjol-nonjolkan diri, mengharap untuk berada di barisan hadapan, menginginkan populariti, menginginkan keharuman nama dan ghairah kepada kepimpinan. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwassalam :
Orang yang baik, yang bertaqwa dan yang tidak dikenali, apabila mereka tidak hadir, mereka tidak dicari dan apabila mereka hadir orang tidak menyangka kehadiran mereka.
(Riwayat Tirmizi)
Satu lagi dorongan hawa nafsu yang merosakkan hati, melambatkan peningkatan dan membawa kepada pecah belah ialah perasaan syak (ragu-ragu) dan su’udz-dzan (buruk sangka ) terhadap sesama saudara dalam jama’ah. Su’udz-dzan ialah perasaan keji dan kesat yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Ia merupakan salah satu ciri jahiliah yang boleh membawa fitnah dalam jama’ah.
Penyakit ini tidak harus sama sekali wujud dalam jama’ah yang ingin dibina dengan sifat-sifat Rabbani. Jama’ah yang bersifat Rabbani ialah jama’ah yang penuh dengan kejernihan hati, saling percaya mempercayai dan thiqah di kalangan anggota-anggotanya.
Dalam rangka untuk memperbaiki dan mempertingkatkan usbah mu’minah generasi awal, Allah Subhanahuwata’ala telah mentanzilkan firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢
Hai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang
(Surah al-Hujuraat : 12)
Inilah beberapa saranan awal untuk memelihara hati agar sentiasa subur dan terus berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala dengan hubungan yang betul dalam jama’ah. Hubungan inilah yang berperanan melahirkan para rijal Rabbani dalam jama’ah yang bersifat Rabbani.
Wallahu ‘a’lam.