18/09/2019
WhatsApp Image 2019-04-09 at 1.37.45 PM

KE ARAH PENGHAYATAN ISLAM YANG SYUMUL

FIKRAH kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din yang akan kekal hingga hari akhirat. Din Islamlah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, para sahabat Radhiallahu’anhu dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke hari akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.

Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan mana-mana bahagian ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Pengikut hendaklah berada di belakang.

Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam

Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Jiwa dan hati hendaklah di proses dengan iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli.  Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain.  Kita perlu bersungguh-sungguh memahami tasawwur Islam.

Islam sahaja yang benar

Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah manusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan nama-nama yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja.

Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walaupun satu huruf daripada fikrah Islam sebenar.

Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu daripada sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran, as-Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan huraian-huraian ulama muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.

Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah Subhanahuwata’ala. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ
Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam. (Surah Ali-Imran : 19)

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ
Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. (Surah Ali-Imran : 85)

Apabila Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian daripada kaca mata Allah Subhanahuwata’ala. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia.

Allah Subhanahuwata’ala juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩
Dan katalah al-Haq itu datangnya daripada Rabbmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.(Surah al-Kahfi : 29)

Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.

Perlu kepada tarbiah

Kita perlu sedar bahawa ilmu semata-mata tidak dapat membentuk manusia agar benar-benar bertanggungjawab kepada Islam. Hari ini ramai orang mempunyai ilmu Islam tetapi Islam tidak dapat dilihat dalam praktik hidup mereka. Mereka sebenarnya masih belum beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan sebenar-benar iman. Apabila seseorang itu tidak patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua bidang hidup, maka bermakna imannya dikira masih lemah.

Oleh yang demikian ilmu Islam perlu ditarbiah dengan tarbiah imaniyah hingga lahir kesedaran dan kefahaman yang mendalam.

Kita perlu diproses hingga kita menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dengan melalui proses ini, hati kita akan merasa betul dan tepat dengan tuntutan ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

Berpuas hati hanya dengan Islam

Kita perlu terus menerus mengikut ajaran Islam tanpa berdolak dalih lagi. Islam perlu kita hayati hingga kita merasa nikmat dengannya. Hingga, apabila tidak mengamalkan Islam, kita merasakan tidak senang dan gelisah.

Perasaan tidak berpuas hati dengan Islam tidak disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam Firman-Nya:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥
Maka demi Rabbmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.(Surah an-Nisa’ : 65)

Ayat ini menjelaskan bahawa kita tidak dapat dikatakan benar-benar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya sehinggalah kita kembali kepada ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam semua urusan, sekaligus kita redha pula kepada segala keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Kepatuhan yang berterusan

Kepatuhan kita kepada ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bukanlah sekadar di dalam program-program rasmi sahaja. Jika kepatuhan kita sedemikian, bermakna Islam itu belum lagi lahir dalam bentuk malakah (sebati) pada diri dan dalam jiwa kita.

Kita memerlukan pendidikan Islam secara berterusan agar Islam menjadi sebati dengan kita. Kita perlu dididik dengan iman hingga lahir dalam bentuk tindakan. Kita perlu dididik hingga kita berbuat sesuatu kerana Islam. Hidup dan mati untuk Islam.

Sekiranya kita tidak dididik kemungkinan kita lakukan sesuatu bukan untuk Islam atau kerana yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Apabila melakukan sesuatu tidak kerana Allah maka Allah tidak akan menerima amalan tersebut.

Kerja Islam hanya untuk Allah

Apabila kita melakukan sesuatu kerja Islam, kita perlu benar-benar berniat mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, tanpa mengambil mengira keuntungan duniawi. Kita tidak memerlukan dorongan-dorongan lain untuk melakukan kerja-kerja Islam. Kita hanya mengharap janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Sesiapa yang lebih melakukan amal Islami dengan ikhlas maka dialah yang lebih mendapat pahala.

Bagi mereka yang hidup hanya mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, apa yang ada di sisi mereka seperti harta, tenaga dan jiwa adalah untuk Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Dengan aqidah yang bersih dan amal yang ikhlas, kita akan menjadi pahlawan aqidah dan fikrah. Pahlawan yang benar-benar bersifat perajurit yang dibina atas dasar iman dan Islam.

Dengan penyerahan total kepada Allah Subhanahuwata’ala, barulah lahir perajurit aqidah dan fikrah. Perajurit yang menerima arahan daripada kepimpinan dalam rangka melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah Subhanahuwata’ala. Perajurit yang bekerja kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana yang lain.

Saidina Khalid Ibn al-Walid telah memberikan contoh kita. Ketika dia digantikan oleh Saidina Umar dengan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai panglima tertinggi tentera Islam, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa. Katanya, Aku berperang kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana ‘Umar. Khalid berjuang kerana Allah Subhanahuwata’ala bukan kerana pangkat. Sememangnya kita perlu dilatih untuk mencapai tahap sedemikian. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ
Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Rabb sekelian alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itu diperintahkan bagiku dan akulah yang pertama-tama menyerah diri kepada Allah.
(Surah al-An’am : 162-163)

Melaksanakan Islam keseluruhannya

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud: Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada.

Hadith ini memberi maksud bahawa kita perlu bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam apa saja suasana kerana Islam itu telah sempurna. Kita wajib iltizam kepada Islam secara keseluruhan. Kita tidak boleh mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita perlu mengambil Islam keseluruhan dan melaksanakannya dalam batas kemampuan yang kita miliki. Sememangnya kita ingin melaksanakan keseluruhan Islam, tetapi kerana ketiadaan ummah Islam sebenar pada hari ini menyebabkan kemampuan kita sangat terbatas dan tidak terbela. Kita hanya dapat melaksanakan  Islam mengikut kadar kekuatan yang ada.

Dari segi tanggungjawab, sememangnya tanggungjawab kita berbeza bentuk dan kadarnya. Orang yang telah berkahwin, kadar tanggungjawabnya lebih daripada orang yang belum berkahwin. Begitu juga dalam hal-hal lain. Kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita sedaya yang mungkin. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan berada di dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan sistem yang menolak Islam. Selagimana suasana zalim, fasiq dan kufur wujud, kita tetap tidak berpuas hati. Kita menolak sistem yang bukan Islam kerana ia adalah punca kepada segala bentuk kemungkaran . Sekiranya kita tidak menolak sistem kufur, maka ini menunjukkan iman kita lemah dan sakit. Kita ketiadaan roh Islam sebenar. Roh Islam tidak lagi mengalir dalam jiwa. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahkan dengan lisannya, sekiranya ia tidak mampu hendaklah ia mengubahkan dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Rata-rata manusia hari ini telah membeli kehidupan dunia dan menolak akhirat. Mereka menolak ajaran Islam yang syumul. Mereka mengasing dan mengenepikan Islam dalam realiti kehidupan seharian. Islam terkurung di dalam masjid sahaja. Islam hanya boleh diambil dari segi solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Undang-undang syari’ah tidak diambil sepenuhnya kerana dianggap tidak bersesuaian dengan tuntutan dan kehendak masyarakat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ
Wahai orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.(Surah al-Baqarah : 208)

Ayat di atas menyeru kita agar menerima Islam keseluruhannya.

Keperluan berjama’ah

Suasana yang soleh dalam kehidupan berjama’ah akan membantu pengikut-pengikutnya untuk iltizam dengan ajaran Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada berpesan, yang bermaksud: Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah Islam dan kepimpinan mereka.

Ibn mas’ud menjelaskan tentang jamaah, katanya: Hendaklah kamu berada di atas kebenaran walaupun kamu berada seorang diri.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperingatkan kita dalam sabdanya, yang bermaksud: Seiapa yang keluar daripada garis Islam maka ganjillah ia di dalam neraka.

Hadith ini menganjurkan hidup bersama-sama jama’ah dan imam mereka. Yakni jama’ah yang benar-benar mengambil ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Mughirah bin Syu’bah pernah meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud: Sentiasa akan ada satu kelompok (toifah) di kalangan umatku ini yang sentiasa lahir membawa kebenaran sehingga datang perintah Allah Subhanahuwata’ala, iaitu Hari Qiamat. Kumpulan ini akan ada bila-bila masa sehingga Allah Subhanahuwata’ala memusnahkan alam ini.

Firman Allah SWT:

أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُۖ فَبِهُدَىٰهُمُ ٱقۡتَدِهۡۗ قُل لَّآ أَسۡ‍َٔلُكُمۡ عَلَيۡهِ أَجۡرًاۖ إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرَىٰ لِلۡعَٰلَمِينَ
Mereka itulah orang yang telah diberi pertunjuk oleh Allah, maka ikutilah mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan da’wah ini. Al Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh alam.(Surah al-An’am :  90)

Kita hanya berusaha dan bertawakkal

Generasi Al Qur’an pertama, iaitu para sahabat Radhiallahu’anhu, ada antara mereka yang belum sempat melihat natijah Islam tetapi telah sanggup mengorbankan jiwa raga. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan Islam dan mewujudkan masyarakat yang menepati kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bersabar dalam melaksanakan tuntutan aqidah. Apabila keluarga Yasir telah disiksa, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang melalui tempat dia disiksa berkata: Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah jannah.

Yang paling baik bagi kita ialah terus berusaha, bekerja dan berkorban untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Islam. Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala agar kita digolongkan di dalam kafilah da’wah. Sekiranya kita tidak mahu melakukan kerja-kerja ini maka bermakna kita menolak kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Balasan yang baik hanyalah ketentuan-Nya. Kita perlu sentiasa berdo’a agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.

Print Friendly, PDF & Email

About Ali Ahmad Foudzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *