Nasab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, keputeraan dan penyusuan Baginda
Adapun nasab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, ialah Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Mutalib. ‘Abdul Mutalib dipanggil dengan nama Syaibah Al-Hamd bin Hashim bin ‘Abdul Manaf. Nama Abdul Manaf ialah Al Mughirah bin Khusai, dinamakan Zaidan bin Khilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalif bin Fihri bin Malik bin Nadri bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Mu’ad bin Adnan.
Adnan adalah di antara anak cucu Nabi Ismail ‘Alaihissalam anak kepada Ibrahim ‘Alaihissalam. Allah Subhanahuwata’ala telah memilihnya daripada sebaik-baik kabilah dan suku. Tidak pernah diresapkan sesuatu daripada kecemaran jahiliyah dalam nasabnya.
Diriwayatkan oleh Muslim, Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ اللَّيْثِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ ، وَاصْطَفَى مِنْ كِنَانَةَ قُرَيْشًا ، وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ ، وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ ” . أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ .
“Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah di antara anak-anak Ismail, dan dipilihnya Quraisy dan Kinanah, dan dipilihnya Hashim dan Quraisy dan dipilihnya saya daripada Bani Hashim”.
Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dilahirkan pada Tahun Gajah, iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Mekah dalam rangka percubaannya menawan dan memusnahkan Al-Ka’bah. Namun percubaannya telah menemui kegagalan yang amat pahit di mana Allah Subhanahuwata’ala telah mengutuskan sekumpulan burung Ababil mencedera dan memusnahkan angkatannya itu. Kejadian ini telah diterangkan di dalam Al-Qur’an dengan jelas sekali.
Mengikut pendapat yang paling hampir dengan kenyataan, Baginda telah dilahirkan pada hari Isnin tanggal 12 Rabi’ul Awal. Baginda adalah yatim ketika dilahirkan. Ayahandanya wafat ketika Baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah lahir Baginda dipelihara oleh datuknya ‘Abdul Muttalib yang kemudian disusukan kepada seorang perempuan daripada puak Sa’d Bakr yang bernama Halimah binti Abi Zuwaib. Ini mengikut adat resam orang ‘Arab di kala itu. Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung Bani Sa’d ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam ke rumah Halimah dan menyusu darinya, maka keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan mendapat makanan, Ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susu ternakan penuh dengan susu.
Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah dibedah perutnya semasa bersama anak-anak Bani Sa’d. Ketika itu Baginda baru berusia lima tahun. Selepas itu dihantar kembali ke pangkuan ibunya.
Bonda Baginda telah wafat ketika Baginda berusia enam tahun. Maka Baginda menjadi seorang yatim piatu. Datuknya pula yang mengambil peranan mendidik Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, tetapi tidak berapa lama datuknya pula berpindah ke alam baqa’. Ketika itu Baginda berusia lapan tahun, kemudian Baginda dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
PENGAJARAN
- Berasaskan nasab keturunan Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam, terbukti bangsa Arab yang telah dipilih oleh Allah Subhanahuwata’ala. Daripada semua bangsa Arab, qabilah Quraisy pula dipilihnya. Hadits riwayat Tirmizi:
عَنْ الْمُطَّلِبِ بْنِ أَبِي وَدَاعَةَ قَالَ جَاءَ الْعَبَّاسُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَأَنَّهُ سَمِعَ شَيْئًا فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ مَنْ أَنَا فَقَالُوا أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْكَ السَّلَامُ قَالَ أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الْخَلْقَ فَجَعَلَنِي فِي خَيْرِهِمْ ثُمَّ جَعَلَهُمْ فِرْقَتَيْنِ فَجَعَلَنِي فِي خَيْرِهِمْ فِرْقَةً ثُمَّ جَعَلَهُمْ قَبَائِلَ فَجَعَلَنِي فِي خَيْرِهِمْ قَبِيلَةً ثُمَّ جَعَلَهُمْ بُيُوتًا فَجَعَلَنِي فِي خَيْرِهِمْ بَيْتًا وَخَيْرِهِمْ نَفْسًا
“Bahawa Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam berdiri di atas mimbar lantas berkata: “Siapakah saya ini?” Para sahabat menjawab: “Engkau utusan Allah, selamat atas engkau”. Ujar Baginda lagi: “Saya Muhammad anak Abdullah anak Abdul Muttalib, sesungguhnya Allah telah jadikan makhluk (manusia), kemudian Dia jadikan mereka dua golongan, maka ia jadikan saya dalam golongan mereka yang paling baik, kemudian Dia jadikan mereka beberapa qabilah, maka Dia jadikan dalam qabilah mereka yang paling baik, kemudian Dia jadikan beberapa rumah (rumahtangga) maka Dia jadikan saya dalam rumah yang paling baik, dan saya adalah orang yang paling baik di antara mereka”.
(Tirmizi: J. 9. H. 236. Kitabul Muflaqib)
- Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam dilahirkan dengan keadaan yatim piatu. Sesudah itu datuknya pula meninggal. Peristiwa ini menyebabkan Baginda hidup di peringkat kecilnya tanpa mendapat kasih sayang daripada ibu dan jagaan daripada bapa. Ini mengikut apa yang telah digariskan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk masa depan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Ini adalah sebahagian hikmat Ilahi agar tidak ada sesiapa pun menaruh sangkaan buruk bahawa seruan Nabi Muhammad ini adalah daripada ilham dan latihan ibunya atau bapanya atau neneknya (‘Abdul Muttalib sebagai manusia terkemuka di kalangan kaumnya).
- Setelah Baginda menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul, Abu Talib enggan memeluk Islam. Hikmah Ilahi di sini, agar tidak disyaki orang bahawa Abu Talib sedikit sebanyak memain peranan penting dalam usaha mengasuh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ke arah da’wah Baginda.
- Hikmah Ilahi mahukan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam hidup dengan keadaan yatim piatu. Arahan dan jagaan Ilahi menjauhkan tangan-tangan manusia yang cuba memanjanya. Juga menjauhkan Baginda daripada wang, harta kekayaan dan hidup mewah. Ini berlaku supaya jangan timbul di jiwanya semangat kebendaan dan gilakan pangkat.
- Rumah dan perkampungan Halimah As-Sa’diyyah telah dilanda kemarau dahsyat. Tetapi kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam telah merombak segala-galanya. Tanaman kembali subur menghijau. Biri-biri dan unta yang kurus kering berubah menjadi sihat dan gemuk berlemak. Kesemua ini menunjukkan kedudukan martabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam di sisi Allah Subhanahuwata’ala semasa Baginda masih bayi lagi.
- Manusia sering berdoa supaya Allah Subhanahuwata’ala menurunkan hujan di sesuatu musim kemarau. Dengan berkat doa para salihin, maka doa itu dikabulkan Allah Subhanahuwata’ala. Bagaimana pula bagi suatu perkampungan di mana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berada di dalamnya, maka perkampungan itu wajar menerima ganjaran dan rahmat Ilahi kerana telah sanggup menerima, memelihara dan menyusu Rasulullah Subhanahuwata’ala.
- Jelas, Rasulullah Subhanahuwata’ala adalah rahmat Allah Subhanahuwata’ala untuk manusia sejagat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ
“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk alam sejagat”.
(Al-Anbiya’: 107)
- Peristiwa pembedahan perut Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam semasa Baginda tinggal bersama Halimah Al Sa’diyyah merupakan salah satu tanda kenabian.
عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه، “أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَاهُ جِبْرِيلُ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ، فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ فَشَقَّ قَلْبَهُ فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً، قَالَ : هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لأَمَهُ ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ، وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ (يَعْنِي ظِئْرَهُ) فَقَالُوا: إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ، فَاسْتَقْبَلَتْ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ، قَالَ أَنَسٌ: قَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ الْمَخِيطِ فِي صَدْرِهِ”. أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ، عَنْ شَيْبَانَ .
Anas bin Malik Radiallahu’anhu, dalam kitab Hadits Muslim, berkata:
Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah didatangi Jibril ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jibril ‘Alaihisallam telah merebah dan membelah betul-betul hati dan mengeluarkannya seketul darah sambil berkata: Inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam bekas daripada emas dengan air zam-zam, kemudian dimasukkan semula ke tempat asalnya. Kanak-kanak yang lain berkejaran menemui ibu penyusunya, Halimah, dengan melaung-laung: Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muhammad dan didapati Baginda pucat lesu. Anas ra berkata, “Sesungguhnya aku Nampak kesan jahitan pada dadanya.”
Hikmat llahi di sini bukanlah membuang ketulan kejahatan itu. Allah Subhanahuwata’ala sahaja lebih mengetahui perihal tubuh badan Baginda. Kalaulah di sana terdapat ketulan kejahatan yang merupakan sumber kejahatan, maka sudah tentu boleh diubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan.
Hikmat Ilahi di sini ialah untuk mengilklan dan mengisytiharkan keRasulan Baginda dan menjadikannya ma’sum. Dan, mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu. Pembedahan itu adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dilihat oleh pancaindera manusia ketika itu sebagai penjelasan Ilahi akan keRasulan Baginda.
- Pengiktibaran untuk penda’wah:
- Penda’wah perlu merancang generasi penda’wah masa depan daripada zuriat yang baik. Pembentukan rumahtangga yang terbentuk daripada aturan nikah kahwin yang baik akan membolehkan lahirnya generasi yang baik.
- Sumber risalah da’wah hendaklah sentiasa dipelihara daripada sumber Ilahi atau sumber Rabbani. Da’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala mestilah mengambil sumber daripada Allah Subhanahuwata’ala jua.
- Penda’wah perlu membersihkan diri daripada noda-noda syaitan sebagai persiapan asas penda’wah. Jalan pembersihan diri ialah dengan cara yang disyari’atkan seperti banyak bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala
Rujukan:
- Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
- Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
terima kasih kongsi ea