DARIPADA Ibn Hisyam dan daripada Ibn Ishaq bahawa pada satu masa ‘Utbah bin Rabi’ah, salah seorang pembesar Quraisy yang bijak dan jauh pandangan, telah menawar kepada Quráisy: “Wahai sekalian umat Quraisy, mahukah kamu sekiranya aku pergi bertemu Muhammad untuk menawarkan beberapa tawaran. Semoga beliau menerimanya. Dengan demikian kita tidak lagi terancam dengan seruan agama baru itu.”
Mereka sebulat suara bersetuju dengan pendapat ‘Utbah. Kata mereka: “Memang tepat dan benar sekali pendapat saudara itu dan jalankan segera”. Dengan tidak membuang masa ‘Utbah pergi di rumah Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam. Beliau disambut baik oleh baginda.
‘Utbah pun membuka hasratnya dan kaumnya: “Wahai anak saudaraku, sebagaimana kita ketahui bersama bahawa engkau adalah sedarah sedaging dengan kami, berasal daripada keturunan dan baka yang mulia. Seperti diketahui ramai, bahawa engkau telah membawa suatu ajaran baru, memecahkan kaum puak kita di samping engkau mengolok-olokkan dan memperbodohkan penyembahan berhala. Mahukah sekiranya aku tawarkan beberapa perkara, semoga engkau dapat menerima sebahagian darinya.”
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda kepadanya: “Katakan ya Abal-Walid, saya cuba mendengarnya.” Maka berkatalah ‘Utbah: “Sekiranya tujuanmu membawa agama baru ini untuk mendapatkan harta kekayaan maka kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk kamu sehingga kamu menjadi seorang yang paling kaya daripada kalangan kami. Sekiranya engkau bermaksud untuk mendapatkan kemuliaan maka kami sekalian bersedia pada bila-bila masa melantik engkau sebagai ketua kami. Sekiranya engkau ingin menjadi raja, yang demikian pun kami bersedia untuk mempertabalkan engkau sebagai raja kami. Sekiranya segala tawaran ini engkau tolak semuanya, maka yang terakhir, kami bersedia membelanjakan harta kekayaan kami untuk mencari tabib bagi merawat engkau sehingga sembuh.”
Setelah itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab dengan sabdanya: “Apakah sudah habis segala hasrat yang hendak dicurahkan itu?” Jawab ‘Utbah: “Ya.” Maka sambung Rasulullah: “Sekiranya sedemikian maka dengarkanlah daripadaku pula (Rasulullah membaca beberapa ayat-ayat al-Qur’an daripada surah Fusilat):
حمٓ ١ تَنزِيلٞ مِّنَ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٢ كِتَٰبٞ فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥ قُرۡءَانًا عَرَبِيّٗا لِّقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ ٣ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا فَأَعۡرَضَ أَكۡثَرُهُمۡ فَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ ٤ وَقَالُواْ قُلُوبُنَا فِيٓ أَكِنَّةٖ مِّمَّا تَدۡعُونَآ إِلَيۡهِ وَفِيٓ ءَاذَانِنَا وَقۡرٞ وَمِنۢ بَيۡنِنَا وَبَيۡنِكَ حِجَابٞ فَٱعۡمَلۡ إِنَّنَا عَٰمِلُونَ ٥ قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞ فَٱسۡتَقِيمُوٓاْ إِلَيۡهِ وَٱسۡتَغۡفِرُوهُۗ وَوَيۡلٞ لِّلۡمُشۡرِكِينَ ٦
حمٓ (Haa Miim).
Diturunkan daripada Rabb Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui.
Yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling, tidak mahu mendengar.
Mereka berkata: “Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan telinga kami ada sumbatan, dan antara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja (pula).”
Katakanlah: “Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Ilah kamu adalah Ilah yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepada-Nya dan mohonlah ampun kepada-Nya. Dan kecelakaan besarlah bagi orang yang mempersekutukan-Nya. (Fushilat : 1-6)
Utbah pun mengikuti (mendengar) bacaan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu sehingga sampai pada ayat:
فَإِنۡ أَعۡرَضُواْ فَقُلۡ أَنذَرۡتُكُمۡ صَٰعِقَةٗ مِّثۡلَ صَٰعِقَةِ عَادٖ وَثَمُودَ ١٣
“Jika mereka berpaling maka katakanlah, Aku telah memperingatkan kamu dengan petir seperti yang menimpa kaum ‘Ad dan Tsamud.” (Fusilat : 13)
‘Utbah lalu menutup mulut Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam dengan tangannya dan memohon supaya baginda berhenti bercakap kerana terpaku dengan ayat yang penuh ugutan itu.
‘Utbah kemudiannya kembali kepada sahabat-sahabatnya, lalu ia ditanya: “Apakah pengkhabarannya?” Jawab ‘Utbah: “Demi sesungguhnya belum pernah aku mendengar barang sesuatu sepertimana aku dengar pada hari ini. Ianya bukan sya’ir, bukan jampi, seloka, sihir dan bukan gurindam biarawan. Wahai kaum Quraisy sekalian, dengarlah cakapku ini, berilah peluang kepada Muhammad, biarkanlah ia dengan usahanya itu. Demi Tuhan sesungguhnya apa yang aku dengar tadi adalah suatu berita yang teristimewa. Andaikata apa yang digambarkan oleh Muhammad terhempap ke atas kamu maka tidak ada orang lain hanya Muhammad saja yang boleh melepaskan kamu. Dan andaikata Muhammad boleh menonjol diri di kalangan bangsa Arab maka percayalah bahawa kekuasaan kamu dan kemegahannya adalah kemegahan kamu jua.” Jawab mereka: “Demi sesungguhnya engkau juga telah diperdaya oleh Muhammad dengan kelancaran lidahnya.” Jawab ‘Utbah: “Apa yang aku katakan tadi adalah pendapatku tentang Muhammad dan pendapat kamu terserahlah kepada kamu sekalian.”
Al-Tabari, lbn Katsir dan periwayat lain menceritakan: Beberapa orang musyrikin termasuk antaranya Al-Walid Bin Al-Mughirah dan Al-’As bin Wail telah datang menemui Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam di rumahnya. Mereka menawar kepada baginda wang kekayaan sehingga menjadikan baginda manusia paling kaya di kalangan mereka. Dan menawarkan juga untuk mengahwinkan baginda dengan gadis jelitawan Arab. Mereka meminta agar kedua tawaran itu ditukarkan dengan syarat iaitu memberhentikan sikap penentangan baginda terhadap orang Arab dan penyembahan berhala, serta memberhentikan kecaman baginda terhadap adat tradisi yang mereka warisi daripada datuk nenek terdahulu. Tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam.
Usaha diplomatik mereka seterusnya ialah menawarkan supaya Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam bertolak ansur, sehari menyembah berhala dan di hari yang lain mereka beramai-ramai menyembah Tuhan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam. Tawaran ini langsung ditolak oleh Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam. Allah Subhanahuwata’ala menegaskan:
قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦
“Katakanlah “Wahai orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu (pula) tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu dinmu dan untukku dinku.”
(Al-Kafirun : 1-6)
Pembesar-pembesar Quraisy tidak berputus asa dengan usaha mereka. Sekali lagi mereka datang beramai-ramai menemui Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mengemukakan kepada baginda apa yang pernah ditawarkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah sebelumnya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tetap menjawab dengan tegas:
“Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi. Segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan, pangkat dan kekuasaan. Tetapi Rabbku telah mengutuskan aku untuk kamu sekalian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku dan Rabbku telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan berita mengembirakan. Kewajipanku semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasku. Sekiranya kamu menerimanya, maka itu adalah habuan kamu untuk dunia dan akhirat. Jika kamu menolak, tidak ada yang lain, melainkan bersabarlah sahaja sehingga Rabbku menjatuhkan hukuman-Nya di antara aku dan kamu sekalian.”
PENGAJARAN
- Da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bukanlah batu loncatan untuk mendapatkan kekuasaan, kekayaan dan kemahsyuran. Andaikata Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ingin menjadikan da’wahnya sebagai batu loncatan ke arah kekuasaan, kekayaan dan kemahsyuran maka sudah tentu baginda akan menerima tawaran-tawaran yang dikemukakan oleh puak Quraisy seperti dalam kisah di atas. Kisah ini adalah pengajaran dan bekalan bagi penda’wah supaya berda’wah dengan ikhlas dan tidak mengharapkan habuan duniawi. Ia adalah pelindung bagi penda’wah daripada pelbagai tawaran dan tipu helah musuh.
- Pihak Quraisy datang berjumpa dengan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam dan menawar kepada baginda pelbagai keistimewaan. Tawaran ini sedikit pun tidak menggerak hati kecil baginda agar menggadai da’wah baginda, malah sanggup pula menahan siksaan kaum Quraisy. Baginda menyatakan dengan tegas:
“Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi. Segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan, pangkat dan kekuasaan. Tetapi Rabbku telah mengutuskan aku untuk kamu sekalian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku dan Rabbku telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan berita mengembirakan. Kewajipanku semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasku. Sekiranya kamu menerimanya, maka itu adalah habuan kamu untuk dunia dan akhirat. Jika kamu menolak, tidak ada yang lain, melainkan bersabarlah sahaja sehingga Rabbku menjatuhkan hukuman-Nya di antara aku dan kamu sekalian.”
- Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menolak pelbagai tawaran keistimewaan dan sanggup memilih jalan da’wah yang susah demi memelihara keaslian da’wah baginda. ‘Aisyah Radhiallahu‘anha pernah meriwayatkan dalam riwayat Al-Bukhari, katanya: “Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat dan tidak ada suatu pun yang boleh dimakan oleh mereka yang hidup, melainkan hanya sebahagian roti. Aku makan separuh daripadanya sehingga tertinggal begitu lama.”
Dalam hadits yang lain, Anas Radiallahu‘anh menceritakan seperti diriwayatkan oleh Al-Bukhari:
“Belum pernah Rasulullah memakan di dalam hidangan talam hinggalah baginda wafat, dan tidak pernah memakan roti yang baik hinggalah baginda wafat.”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memilih cara hidup yang mudah dan sederhana, samada dalam aspek pakaian, makanan ataupun alat kelengkapan rumah. Baginda hanya tidur di atas tikar anyaman sahaja dan tidak pernah meletak tubuhnya ke atas hamparan yang lembut-lembut.
- Syariat Islam telah menyediakan jalan yang bersih dan matlamat yang bersih. Sering berlaku dalam sejarah manusia, manusia yang inginkan kekuasaan menempuh jalan yang penuh dengan kezaliman, penipuan dan penindasan untuk menuju kepada suatu matlamat. Apabila ia berkuasa, maka berlakulah kezaliman yang berikutnya. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tidak rela melalui jalan seumpama itu. Jalan-jalan yang tidak bersih adalah bertentangan dengan konsep da’wah Islamiah yang sebenar.
Penda’wah di setiap zaman berkewajipan memelihara matlamat yang benar dan mulia. Penda’wah juga berkewajipan memelihara jalan, saranan dan wasilah agar berteraskan kebenaran dan kemuliaan.
- Jalan da’wah memerlukan pengorbanan dan jihad. Justeru itu penda’wah perlu memiliki persediaan untuk mengorbankan masa, tenaga, harta dan jiwa raga untuk mencapai tujuan da’wah. Semangat untuk berkorban perlulah tinggi sepertimana yang dipersaksikan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
- Allah Subhanahuwata’ala menghendaki bahawa seluruh ibadah dan penyembahan ditumpukan kepada-Nya. Tidak dibenarkan manusia menyembah Allah Subhanahuwata’ala pada satu ketika, dan pada ketika yang lain menyembah sembahan-sembahan yang lain. Atau di satu ketika mengamalkan ajaran Islam, dan pada ketika yang lain mengamalkan ajaran agama lain.
Rujukan:
- Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
- Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 8: Rundingan Dan Tawaran: Subhanallah