BERKHULWAH DI GUA HIRA’
APABILA Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mencapai umur 40 tahun, Baginda gemar mengasingkan diri untuk beribadah dan berkhulwah di Gua Hira’. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam. Kadang-kadang melampaui satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam yang berulang alik di antara rumah Baginda dan Gua Hira’ hinggalah datangnya wahyu pertama.
PENGAJARAN
- Kegemaran Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira’ sebelum diangkat menjadi Rasul, mengandungi makna sangat mendalam bagi umat Islam. Setiap Muslim itu, walaupun sudah baik sifat keislamannya, akhlaknya dan ibadahnya perlu memperuntukkan masa untuk menilai diri sndiri. Perlu terus memperbaiki diri dan bermuhasabah terhadap diri agar semakin tertingkat di sisi Allah Subhanahuwata’ala, terutama bagi penda’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala.
- Penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia sangat banyak seperti sombong, bongkak, hasad-dengki, bermegah-megah dan sukakan dunia. Manusia pada lazimnya diselaputi atau diganggu oleh penyakit-penyakit ini, yang mana memerlukan beliau menghisab diri sendiri dan bersunyi-sunyian seketika dengan Allah Subhanahuwata’ala. InsyaAllah dengan bertaqarub dengan Allah Rabbul-Jalil beliau akan kembali mendapat taufiq, hidayah dan inayah Allah Subhanahuwata’ala.
- Beruzlah pada hari ini, tidaklah perlu seorang muslim itu kembali ke gua dan mengasingkan diri di kawasan pendalaman. Namun beliau boleh lakukan di rumahnya sendiri seperti bangun malam di kala manusia nyenyak tidur dan bersendirian dengan Allah Subhanahuwata’ala. Atau beriktikaf di masjid dan mendekatkan diri dengan Allah Subhanahuwata’ala. Beginilah cara beruzlah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sesudah menerima wahyu dan para sahabat Baginda setelah menerima da’wah Baginda.
- Adalah digalakkan seorang penda’wah sering bersendiri dengan Allah Subhanahuwata’ala sehingga menumbuhkan rasa cintanya dengan Rabbnya. Perasaan cinta inilah merupakan sumber pengorbanan, perjuangan dan asas utama bagi kekuatan da’wah. Satu-satu jalan untuk menguatkan bibik-bibik cinta dengan Allah Subhanahuwata’ala ialah dengan cara mendekatkan diri kepada-Nya, beribadah, bertafakkur, berzikir dan memikirkan keagungan-Nya.
PENERIMAAN WAHYU
Imam Bukhari telah meriwayatkan satu hadith daripada Saidatina ‘Aishah Radiallahu‘anha tentang bagaimana diturunkan wahyu yang pertama:
عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها أنها قالت : أول ما بدئ به رسول الله صلى الله عليه وسلم من الوحي الرؤيا الصالحة في النوم فكان لا يرى رؤيا إلا جاءت مثل فلق الصبح ثم حبب إليه الخلاء وكان يخلو بغار حراء فيتحنث فيه وهو التعبد الليالي ذوات العدد قبل أن ينزع إلى أهله ويتزود لذلك ثم يرجع إلى خديجة فيتزود لمثلها حتى جاءه الحق وهو في غار حراء فجاءه الملك فقال إقراء فقال ما أنا بقارىء قال فأخذني قغطني حتى بلغ من الجهد ثم أرسلني فقال إقرأ فقلت ما أنا بقارىء فأخذني فغطني الثالثة ثم أرسلني فقال إقرأ باسم ربك الذي خلق خلق الإنسان من علق اقرأ وربك الأكرم فرجع بها رسول الله صلى الله عليه وسلم يرجف فؤاده فدخل على خديجة بنت خويلد فقال زملوني زملوني فزملوه حتى ذهب عنه الروع فقال لخديجة وأخبرها الخبر : لقد خشيت على نفسي فقالت خديجة : كلا والله ما يخزيك الله ابدا إنك لتصل الرحم وتحمل الكل وتكسب المعدوم وتقرى الضيف وتعين على نوائب الحق فانطلقت به خديجة حتى أتت به ورقة بن نوفل بن أسد بن عبدالعزى ابن عم خديجة وكان امرأ تنصر في الجاهلية وكان يكتب العبراني فيكتب من الإنجيل بالعبرانية ماشاءالله أن يكتب وكان شيخا كبيرا قدعمى فقالت له خديجة يا ابن عم اسمع من ابن اخيك فقال له ورقة يا ابن أخي ماذا ترى؟ فأخبره رسول الله صلى الله عليه وسلم خبر ما رأى فقال له ورقة هذا الناموس الذي نزل الله على موسى ياليتني فيها جذعا ليتني أكون حيا إذيخرجك قومك فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أو مخرجي هم؟ قال نعم : لم يأت رجل قط بمثل ما جئت به إلاعودى وإن يدركني يومك أنصرك نصرا مؤزرا ثم لم ينشب ورقة أن توفى وفتر الوحى . قال ابن شهاب : وأخبرني أبو سلمة بن عبدالرحمن أن جابر بن عبدالله الأنصاري قال وهو يحدث عن فترة الوحى فقال في حديثه بينا أنا أمثي إذ سمعت صوتا من السماء فرفعت بصرى فإذا الملك الذي جائني بحراء جالس على كرسي بين السماء والأرض فرعبت منع فرجعت فقلت زملوني زملوني فأنزل الله عزوجل – يا أيها المدثر قم فأنذر وربك فكبر وثيابك فطهر والرجز فاهجر- فحمىء الوحى وتتابع.
Daripada ‘Aisyah Ummul Mu’minin Radiallahu‘anha dikhabarkan bahawa ia telah berkata:
“Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ialah mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Junjungan bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan (dikemukakan) kepadanya untuk berkhalwat, mengasingkan diri. Junjungan berkhalwat di Gua Hira’ lalu bertahannuth (beribadah) di dalamnya, iaitu beribadah dalam masa beberapa malam.
Setelah itu Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam kembali kepada ahlinya dan berbekalan untuk menyambung tahannuthnya. Kemudian Junjungan kembali lagi kepada Khadijah dan berbekalan seumpama itu juga hingga datanglah kepadanya kebenaran.”
“Sewaktu Baginda di dalam Gua Hira’ maka datang kepadanya Malaikat, lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Berkata junjungan: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Bercerita junjungan: “Kemudian Jibril mengambil (menarik) akan daku maka dipeluknya kuat-kuat hingga terasa kepadaku kesungguhannya, kemudian dilepaskan aku, lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Maka aku berkata: Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca), kemudian diambilnya aku lalu dipeluknya ketat-ketat kali yang kedua hingga terasa kepada aku kepayahan. Kemudian itu dilepaskan aku dan dia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Maka berkata aku: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Setelah itu mengambil ia akan daku buat kali yang ketiganya lalu dipeluknya sungguh-sungguh sehingga terasa aku eratnya, kemudian dilepaskannya aku, maka ia berkata:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣
Bacalah dengan nama Rabb engkau yang menjadikan, yang menjadikan manusia daripada darah, bacalah demi Rabb engkau yang mulia.” (Al-’Alaq :1-3)
Pulanglah Baginda dengan ayat-ayat itu dan hatinya gementar, lalu datanglah Baginda kepada Khadijah binti Khuwailid seraya berkata: “Selimutkanlah aku! selimutkanlah aku!”. Maka diselimutkan akan dia hingga hilang daripadanya rasa ketakutan. Kemudian berkata Baginda kepada Khadijah setelah menceritakan khabar itu: “Sesungguhnya aku takut (ke atas diriku).” Lalu Khadijah berkata kepadanya: “Tidak sekali! Demi Allah, tiada dihinakan engkau selamanya, kerana engkau sebenarnya menghubungkan silaraturrahim, engkau memikul bebanan, engkau berusaha terhadap orang yang tiada (orang susah), engkau menjamu tetamu dan engkau menolong orang yang ditimpa musibah.”
”Kemudian pergilah Khadijah bersama Baginda menemui Waraqah bin Naufal Ibnu Asad bin ‘Abdul ‘Uzza iaitu anak bapa saudara Khadijah. Waraqah itu adalah seorang yang beragama Nasrani di dalam zaman jahiliyah dan pandai menulis kitab ‘Ibrani. Maka disalinnya daripada kitab Injil itu dengan bahasa ‘Ibram. Apa yang dikehendaki Allah bahawa ia menulis dan adalah ia seorang yang telah berusia tua dan buta.”
“Khadijah pun berkata kepadanya: “Ya anak bapa saudara! Cuba dengarkan kepada anak saudara engkau ini.”. Kemudian bertanya kepadanya Waraqah: “Wahai anak saudara ku! Apakah dia yang engkau lihat itu?.” Lalu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menceritakan apa yang (dialami dan) dilihatnya. Setelah itu Waraqah pun berkata kepadanya: “Inilah Jibril yang pernah diturunkan Allah ke atas Nabi Musa. Sekiranya aku masih muda remaja dan aku masih pula hidup ketika dikeluarkan (diusir) engkau oleh kaum engkau… “Segera bertanya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam: “Apakah mereka hendak aku?”. Jawabnya: “Ya! kerana tidak pernah datang seorang pun yang membawa risalah seumpama yang engkau bawa itu melainkan dia akan dimusuhi. Dan sekiranya aku dapatilah hari engkau itu, tentulah aku akan menolong engkau dengan pertolongan yang sungguh-sungguh.” Kemudian tidak berapa lama sesudah itu Waraqah pun meninggal dunia dan wahyu pun berhenti.”
Para ulama telah berselisih pendapat tentang masa waktu wahyu dibekukan atau diberhentikan sementara waktu. Ada yang mengatakan tiga tahun, ada yang mengatakan kurang dari itu dan yang paling hampir sepertimana yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi iaitu enam bulan.
“Berkata Ibnu Syihab: Dan telah dikhabarkan kepada aku oleh Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman bahawa Jabir Ibnu ‘Abdullah Al Ansari telah berkata, semasa bercerita tentang terputusnya wahyu: Seterusnya junjungan bersabda di dalam percakapannya itu: “Sedang aku masih berjalan-jalan, tiba-tiba kedengaran olehku suara dari langit. Lalu aku angkatkan pandanganku. Tiba-tiba malaikat yang datang kepada aku di Gua Hira’ itu sedang duduk di atas kerusi yang terletak di antara langit dan bumi menyebabkan aku pun terperanjat melihatnya lalu aku pun balik, maka aku katakan: “Selimutkanlah aku, selimutkanlah aku.” Maka diturunkan oleh Allah ‘Azzawajaila:
يَٰٓأَيُّهَاٱلۡمُدَّثِّرُ ١ قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢ وَرَبَّكَ فَكَبِّرۡ ٣ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرۡ ٤ وَٱلرُّجۡزَ فَٱهۡجُرۡ ٥
“Wahai orang yang berselimut! bangunlah, maka berikanlah peringatan, dan Rabbmu, hendaklah engkau agungkan dan pakaianmu engkau bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah.” (Al-Muddaththir : 1-5)
Dengan itu wahyu pun mula diturunkan dan secara berturut-turut.
PENGAJARAN
- Apabila Allah Subhanahuwata’ala ingin mendorong seseorang hamba agar berda’wah kepada kebaikan dan pengislahan, maka Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya rasa benci kepada kesesatan dan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat.
- Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak pernah mengimpikannya. Apa yang Allah Subhanahuwata’ala ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta untuk berkhulwah melakukan ibadah. Allah Subhanahuwata’ala mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan.
- Rasul Sallallahu’alaihiwasallam mendapat kepastian bahawa Baginda adalah Rasul, hanya setelah melihat Jibril dan setelah Waraqah bin Naufal menegaskan hal itu kepada Baginda. Waraqah memberitahu Baginda, apa yang dialami oleh Baginda di dalam gua tersebut adalah penurunan wahyu yang juga pernah dialami oleh nabi Musa ‘Alaihissalam.
- Oleh itu penurunan wahyu pertama di Gua Hira’ kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah merupakan pengangkatan rasmi Baginda sebagai Rasul atas kehendak dan perancangan Allah Subhanahuwata’ala sendiri, dan bermulalah semula da’wah tauhid dengan bimbingan Allah Subhanahuwata’ala, setelah sekian lama terputus sebelumnya.
- Peranan zaujah yang soleh adalah penting untuk menguatkan semangat dan keazaman suami serta mengukuhkan da’wah suami.
- Adalah penting untuk merujuk kepada orang berilmu dalam sesuatu perkara bagi menghasilkan keputusan yang tepat.
Rujukan:
- Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
- Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.