Ramadhan adalah bulan barakah, rahmat, dan kebahagiaan. Betapa perlunya manusia merenung sejenak untuk bersiap-siap menyambutnya berikutan banyaknya kebaikan-kebaikan yang terkandung di dalamnya. Ia merupakan bulan yang dihormati di masa jahiliyah, dan semakin dihormati dan dimuliakan ketika Islam datang. Pada bulan ini Allah Subhanaahuwata’ala menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia. Betapa perlunya kita mengenangkan dan menyedarkan jiwa tentang hak ramadhan sebelum menemuinya.
Allah Subhanahuwata’ala menjadikan bulan ini sebagai bulan yang agung. Bulan yang memberikan keistimewaan yang banyak dan menjadikannya sebagai salah satu fasa kehidupan yang paling berharga serta salah satu stesen perjalanan di atas jalan hidup yang lurus. Pada bulan itu, seorang muslim mencurahkan sebahagian besar perhatiannya kepada Allah Subhanahuwata’ala, hari Akhirat dan peningkatan rohani sebelum peningkatan material. Ia adalah bulan rohani, bulan kebersihan jiwa, bulan munajat, serta waktu untuk mengadap yang Maha Esa. Memohon pertolongan daripada Yang Maha Besar dan menjalinkan hubungan dengan Al-Mala’ul A’la. Ia adalah bulan yang mempunyai penuh keistimewaan.
Firman Allah Subhanahuwata’ala :
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥
Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kalian hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kalian mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kalian, supaya kalian bersyukur.(Surah Al-Baqarah :185)
Ada penarik perhatian yang indah dan kenikmatan yang luar biasa, iaitu apabila dihubungkan kandungan ayat ini dengan ayat yang lain. Firman Allah Subhanahuwata’ala :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ ١٨٦
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah Al-Baqarah :186)
Hakikat agung yang terkandung di dalamnya ialah bahawa Allah Subhanahuwata’ala mendorong kita untuk bermunajat dan memohon kepada-Nya pada saat jiwa dalam keadaan paling dekat dengan Rabb-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala :
لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ ١٨٦
Agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah Al-Baqarah :186)
Bulan Ramadhan ialah bulan permohonan, munajat, hidayah, dan petunjuk kebenaran. Hendaklah orang yang berpuasa mengemblengkan diri di dalamnya dan menjauhkannya daripada urusan dunia agar keimanannya meningkat dan bersambung dengan Rabb-nya.
Banyak hadits yang menyeru manusia agar memperhatikan keutamaan bulan ini, ketinggian kedudukannya, kemuliaan hari-harinya, dan besarnya nilai taubat di dalamnya sehingga memacu kaum muslimin untuk menyiapkan diri untuk berjumpa dengan-Nya serta menyedari bahawa perniagaaan di dalamnya pasti mendatangkan keuntungan. Waktu-waktu yang akan berlalu di dalamnya adalah sangat berharga. Kesempatan yang ada merupakan kesempatan yang lumayan.
Hendaklah seseorang itu benar-benar berusaha agar tidak ada waktu yang berlalu tanpa adanya amal soleh. Jika lalai maka hendaklah seseorang itu segera menyedari kelalaiannya. Terapi atas kelengahan adalah ingat-mengingati, introspeksi diri, dan sentiasa menjalin hubungan dengan Allah Taala. Firman Allah Subhanhauwata’ala :
إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّهُمۡ طَٰٓئِفٞ مِّنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ ٢٠١
Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat akan Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. (Surah Al-A’raf :201)
Apabila syaitan berhasil menimpakan kelalaian pada hati kita dan menjauhkan kita daripada sebahagian kebaikan maka hendaklah kita lebih serius dalam perjalanan, mengerahkan segenap upaya, dan mengadap kepada Allah Taala. Firman Allah Subhanahuwata’ala :
وَهُوَ ٱلَّذِي يَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ ٢٥
Dan Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya. (Surah Asy-Syura : 25)
Hendaklah manusia melakukan persiapan dengan sentiasa bertaubat, memohon ampun, dan meninjau lembaran-lembaran masa lalu. Apabila kita mendapati kebaikan, kita memuji Allah Taala dan apabila kita mendapati keburukan maka kita akan meninggalkannya lalu bertaubat kepada-Nya.
Jika di dalam sehari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bertaubat seratus kali, sedangkan sebagaimana anda tahu Allah Taala telah mengampuni segala dosa baginda yang telah lalu mahupun yang akan datang. Maka bagaimana pendapat anda tentang orang yang diliputi oleh perbuatan maksiat dari segala penjuru serta tenggelam dalam kesenangan dan syahwatnya. Maka kewajiban kita adalah untuk memperbanyak istighfar apatah lagi kita berada dalam bulan suci. Kita menghadap kepada Allah Taala dengan keimanan sempurna dan keikhlasan yang tulus seraya memohon agar Allah Taala memberi kita kemampuan untuk menempuh sebab-sebab. Firman Allah Subhanahuwata’ala :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةٗ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَئَِّاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَكُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ
Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kalian akan menutupi kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (Surah At-Tahrim : 8)
Maka mulai sekarang hendaklah kita bersungguh-sungguh menyucikan diri dari kotoran-kotoran dosa dan maksiat kerana kita semua sedang menghadapi bulan Ramadhan. Kurnia Allah Taala pada bulan Ramadhan lebih luas daripada waktu lain. Maka perkemaskan diri anda semua untuk menghadapi kewajipan agung ini dengan mengingatkan diri tentang keutamaan bulan ini dan mempersiapkan diri untuk beramal.
Berusahalah agar mempunyai amalan yang tidak akan kita tinggalkan sepanjang bulan Ramadhan ini. Bersemangatlah dalam melaksanakan solat terawih. Solat terawih merupakan salah satu sunnah muakkadah serta syiar dan kekhususan bulan Ramadhan. Ia adalah wadah tempat hati seorang Muslim berhubung dengan Tuhannya dan Kitabullah. Jumlah rakaat dalam solat terawikh adalah lapan. Itulah yang dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Boleh juga dilakukan dua puluh rakaat sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar r.a. Ada pula yang melaksanakan tiga puluh enam rakaat dan ini sebagaimana yang dilaksanakan oleh penduduk Madinah. Masing-masing mempunyai dasar daripada sunnah.
Rujukan: Ceramah-ceramah Hasan Al-Banna