18/09/2019

KEWAJIPAN KITA SEBELUM DAN SETELAH TERBIT MATAHARI

Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman

MUQADDIMAH

Imam Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah ada menyebut, sebelum terbit matahari, kita perlu laksanakan empat perkara, iaitu:

1. Membaca Al-Qur’an
2. Berzikir
3. Berdoa
4. Berfikir

Membaca Al-Qur’an

Apa yang dapat difahami daripada satu pesanan Rasulullah SAW bahawa kita perlu khatamkan Al-Qur’an sekali dalam sebulan. Bermakna, jika dibahagikan mengikut hari, satu hari dibaca satu juzuk al-qur’an. Jika kita baca sekali gus satu juzuk, bagi yang cepat bacaannya boleh habiskan sekitar setengah jam, bagi yang lambat bacaannya, mungkin sekitar satu jam. Kita juga boleh mengamalkan bacaan Al-Qur’an harian kita dengan perancangan yang lain, misalnya, setiap kali solah kita baca sikit, sekitar 10 minit. Maka InsyaAllah, kita dapat habiskan satu juzuk Al-Qur’an dalam masa sehari, InsyaAllah.

Di samping kita membaca Al-Quran, kita sebagai mukmin, tidak lupa bahawa tugas kita juga memahami, menyampai dan memperjuangkan serta menegakkannya, dan bersabar dalam usaha memperjuangkannya.

Berzikir

Berkaitan berzikir, kita  boleh amalkan pelbagai zikir yang mudah seperti mengulangi ungkapan syahadah لا اله الا الله, beristighfar, memuji Alllah SWT dan sebagainya. Zikir al-ma’thurat juga termasuk dalam zikir yang boleh diamalkan. Begitu juga selawat atas junjungan nabi Muhammad SAW, boleh diamalkan sebagai zikir. Terdapat pelbagai jenis selawat yang boleh diamalkan.

Namun zikir dalam pengertian yang lebih luas ialah pada setiap masa, tempat dan peristiwa kita sentiasa ingatkan Allah SWT dan berhubung dengan-Nya. Dan, kita bersikap dan bertindak betul mengikut ajaran-Nya dalam  setiap suasana, dalam rangka menjaga kemurnian hubungan dengan-Nya dan pengabdian dengan-Nya.

Berdoa

Mengenai berdoa, terdapat pelbagai doa yang baik. Kita boleh berdoa untuk kebaikan dunia kita dan juga untuk kebaikan akhirat kita. Doa mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kita boleh berdoa kepada Allah SWT pada ketika yang perlu atau ketika yang sesuai, seperti selepas menunaikan solah. Rasulullah SAW dan para sahabat sangat banyak berdoa. Begitu juga ulama terdahulu, mereka banyak berdoa.

Kita perlu makmurkan hidup kita dengan banyak berdoakan kepada Allah SWT, dalam suasana resmi dan juga tidak resmi. Kita berdoa kepada Allah SWT sebelum kita melakukan sesuatu kerja, berdoa semasa melakukannya dan berdoa selepas selesai melakukannya.

Tugas kita sebagai hamba adalah berdoa kepada Allah SWT. Manakala hak Allah SWT jualah untuk memakbulkan. Samada doa itu dimakbulkam oleh Allah SWT atau tidak, doa itu sendiri dikira sebagai ibadah yang mulia dan lambang pergantungan dengan Allah SWT dan juga lambang rasa fakir di hadapan Allah SWT.

Berfikir

Sehubungan dengan berfikir, seorang mukmin perlulah bermula berfikir berkaitan hubungan dengan Allah SWT. Sebelum dia berbuat sesuatu, dia berfikir dahulu adakah perkara itu dipersetujui oleh Allah SWT atau pun tidak. Kta perlu berfikir supaya sentiasa berada di atas landasan syara’. Kita berfikir agar menjadi insan Rabbani sepertimana firman Allah SWT  (Ali-Imran: 79):

كُونُواْ رَبَّٰنِيِّ‍ۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ
Hendaklah kamu menjadi orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

Manusia sering tersasar dalam berfikir, di mana sering berfikir dalam skop memenuhi kehendak hawa nafsu sahaja. Misalnya orang yang tiada wang hanya berfikir untuk mencari wang atau mencari makan. Orang yang ada wang hanya berfikir apa yang mahu dimakan atau di mana tempat untuk dihabiskan. Orang yang berkuasa pula hanya berfikir ‘siapa yang mahu dimakan’ atau siapa yang akan dizalimi.

Bagi kita, kita perlulah banyak berfikir bagaimana hendak mendaulatkan sistem Allah SWT. Inilah perkara penting yang perlu diletakkan dalam hati dan perjalanan hidup kita.

Setelah terbit matahari

Seterusnya Imam Ghazali menyatakan setelah terbit matahari, perlu dilakukan empat perkara, iaitu:

1. Mencari ilmu.
2. Beribadah.
3. Beramal.
4. Mencari rezeki

Mencari ilmu

Berkaitan mencari ilmu, ia adalah perkara yang sangat penting dan utama. Untuk menjadi insan rabbani, seseorang perlulah mencari ilmu sehingga ia boleh mengajar. Apa yang menjadikan Nabi Adam berhak diamanahkan menjadi khalifah di bumi ini adalah kerana ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT (Al-Baqarah : 30-33)

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِ‍ُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣

  1. Ingatlah ketika Rabmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senntiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
  2. Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang yang benar!”
  3. Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
  4. Allah berfirman: “Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?.”

Dengan ilmu manusia memiliki kelebihan tertentu berbanding malaikat. Oleh itu kita perlu meningkatkan ilmu. Inilah antara tugas kita setelah terbit matahari pada setiap hari. Kita pertingkatkan ilmu syara’, ilmu realiti dan segala ilmu yang diperlukan khususnya yang berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab kita.

Beribadah

Perkara seterusnya yang perlu dilakukan setelah terbit matahari ialah beribadah kepada Allah SWT.  Manusia pada hari ini banyak lalai untuk melaksanakan kewajipan beribadah. Sering terjadi, kerana sebok dengan kerjaya, maka solah ditinggalkan. Sering terjadi, kerana sebok dengan mesyuarat, maka terlepas waktu solah. Kita berkewajipan untuk menghidupkan hati, jiwa dan kehidupan masyarakat supaya beribadah kepada Allah SWT dalam semua bidang kehidupan.

Beramal

Kewajipan seterusnya setelah terbit matahari ialah beramal. Yang dimaksudkan dengan beramal bukanlah terbatas dengan amalan zikir dan wirid sahaja. Beramal hendaklah sampai ke peringkat kita boleh memberi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

Seorang penda’wah yang baik ialah penda’wah yang dapat melakukan kerja-kerja kebajikan sehingga masyarakat sayang kepadanya. Fungsi kehidupan kita bukan sahaja berfaedah untuk diri kita sendiri tetapi juga berfaedah untuk keluarga dan masyarakat, supaya kewujudan kita dirasai bermanfaat oleh orang lain. Sebagai pendakwah, kita mestilah berfungsi untuk memberi manfaat kepada organisasi yang kita libatkan diri dan juga kepada masyarakat. Janganlah sekali-kali membawa fungsi yang merosakkan organisasi atau masyarakat.

Jika kadar berlakunya kemungkaran lebih cepat daripada kadar berlakunya ma’ruf, maka dikhuatiri lama kelamaan ma’ruf itu akan lenyap. Justeru itu hendaklah kita pastikan bahawa amal kita boleh memperbaiki suasana masyarakat, di mana saja kita berada. Misalnya kita perlu berfungsi di masjid yang ada di tempat kita. Janganlah sampai terjadi rumah kita berhampiran masjid, tetapi kita tidak berfungsi apa-apa untuk memakmurkan masjid.

Kita juga boleh berfungsi dan berkhidmat membantu manusia yang memerlukan bantuan. Allah SWT memberikan amaran dalam firmankan (Surah Al-Ma’un: 1-3)

أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ ١  فَذَٰلِكَ ٱلَّذِي يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ ٢  وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan din (agama)? Itulah orang yang mengherdik anak yatim.  Dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin.

Meskipun kita solah dan puasa, jika kita tidak memenuhi keperluan anak yatim dan orang miskin, maka dibimbangi kita tergolong dalam golongan mereka yang mendustakan din atau berbohong dalam din. Kata Syed Qutub (dalam tafsir Fizilil Qur’an): Inilah garis pemisah antara iman dan kufur. Ini bermakna orang beriman sebenarnya adalah orang yang prihatin kepada anak-anak yatim dan orang miskin. Orang yang berbohong dalam din ialah orang yang tidak menjaga kepentingan anak-anak yatim dan tidak menjaga orang miskin. Islam bukan sekadar din bersifat spiritual, tetapi Islam juga adalah din bersifat kemasyarakatan. Amal-amal kita perlu dibuka agar ia meliputi semua aspek kehidupan. Kata Syed Qutub lagi: Sehinggakan Allah SWT tidak nyatakan secara jelas samada anak yatim dan orang miskin itu samada perlu mereka orang Islam atau tidak. Ini bermakna, apabila wujud anak yatim dan orang miskin, tidak kira apa agamanya, maka mereka berhak ke atas orang mukmin untuk membantu mereka. Negara-negara Islam pada hari ini memiliki bilangan penduduk miskin yang sangat ramai.

Mencari rezeki

Perkara seterusnya yang perlu kita lakukan setelah terbit matahari ialah mencari rezeki. Betapa ulama besar, Imam Ghazali, membahagikan masa dalam kehidupan harian kita dengan baik. Setelah terbit matahari, kita dianjurkan melakukan empat perkara, iaitu mencari ilmu, beribadah, beramal dan mencari rezeki.

Apa yang berlaku hari ini, ada di kalangan anggota masyarakat, sebelum terbit matahari sudah keluar cari makan dan setelah terbenam matahari barulah pulang daripada cari makan. Sehingga tenggelam tiga perkara yang lain. Sehingga tidak sempat menghadiri progarm/aktiviti Islam.

0Imam Ghazali telah menggariskan empat perkara yang perlu dilakukan, sedangkan kerjaya hanyalah satu per empat sahaja. Oleh itu kita perlu susun semula masa kita. Jangan kita berikan keutamaan pada perkara yang tidak utama.

Ada manusia hari ini terlalu sebok sehingga seperti tidak ada kesempatan masa baginya pada hari hujung minggu. Sehingga akhirnya seluruh hidup kita dihabiskan kepada kerjaya. Jika kerjaya itu mendaulatkan sistem Allah SWT, bolehlah juga kita terima. Tetapi sayangnya kerjaya itu semata-mata mendaulatkan pihak lain. Justeru itu hendaklah kita susun masa kita dengan baik kerana kita semua akan kembali kepada Allah SWT. Allah SWT memperingatkan kita (Al-Mu’minun : 15,16):

ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ ١٥  ثُمَّ إِنَّكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ تُبۡعَثُونَ ١٦
Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan di hari kiamat.

Sesungguh-Nya mati dan hidup kita, semuanya bertujuan, bagi Allah SWT, untuk menilai antara kita siapakah yang lebih baik amalannya. Firman-Nya (Al-Mulk : 2): 

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُو٢
(Dialah Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Penutup

Pengurusan hidup kita pada setiap hari, hendaklah dari awal-awal lagi kita fikirkan dan laksanakan dengan baik. Sebelum terbit matahari lakukan empat perkara, membaca Al-Qur’an, berzikir, berdoa dan berfikir. Dan setelah terbit matahari lakukan empat perkara pula, mencari ilmu, beribadah, beramal dan mencari rezeki. Ini penting supaya seluruh kehidupan kita berada dalam kerangka Islam yang betul. Semoga kita semua menjadi insan rabbani.

 

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *