Kompetensi

Tajuk Pilihan Pemantapan Pendakwah (6): Orang Beriman Jua Lebih Kuat, Tahan Dan Sabar

Oleh: DKB Ustaz Dahlan Mohd Zain

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah Ali Imran ayat 200:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Wahai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan­lah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia dan bertak­walah kepada Allah, supaya kamu beruntung. (Ali Imran : 200)

Dalam ayat di atas Allah Subhanahuwata’ala menghendaki kita bersungguh-sungguh dan bersabar di dalam menegakkan kebenaran. Kita hendaklah memiliki kesabaran melebihi kesabaran musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Kesabaran orang mukmin mengatasi kesabaran orang kafir. Orang mukmin tetap kuat, tahan dan sabar dalam apa jua suasana. Walaupun musuh-musuh Allah bersabar dalam perjuangan mereka, tetapi orang mukmin lebih sabar, tahan dan kuat.

ORANG MUKMIN LEBIH MAMPU

Orang mukmin bukan sahaja menentang musuh luaran, tetapi mereka juga menentang musuh di dalam jiwa mereka. Mereka lebih mampu dan  berkeupayaan untuk menentang musuh dalam jiwa yang berupa hawa nafsu. Begitu juga ketika berhadapan dengan musuh daripada kalangan manusia yang memusuhi Islam.

Orang mukmin sentiasa menyeru untuk berjuang. Jika musuh-musuh berjuang dengan sabar maka mereka pun berjuang dengan penuh kesabaran. Sekiranya musuh kuat maka mereka pun kuat. Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’alaitu berazam bersung­guh-sungguh untuk menghapuskan mereka, maka mereka juga berazam bersungguh-sungguh untuk menghapuskan musuh-musuh Allah.

Akhirnya, hanya orang mukmin jua yang tetap lebih bertahan dan sabar daripada orang kafir atau musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Walaupun yang batil itu sabar, kuat dan maju tetapi orang beriman lebih sabar dan lebih berkeupayaan untuk kekal di atas jalan perjuangan. Yang hak itu semestinya mempunyai kesabaran dan kemampuan yang lebih untuk terus bertahan di atas perjuangannya.

BERKERJA DI MANA-MANA SAHAJA

Orang mukmin tetap berjuang, berdakwah dan berkerja. Mereka tetap berkerja melawan kufur melalui dakwah mereka. Mereka berkerja dan berdakwah untuk mengekalkan Islam dan mendedahkan kejahatan dalam zuruf yang munasabah. Mereka terus menerus berkerja di mana-mana sahaja.

Sekiranya ummah Islamiah telah wujud, maka orang mukmin dan pejuang-pejuang Islam akan terus berjuang mempertahan­kan Islam di setiap penjuru yang dimasuki musuh. Di dalam keadaan yang tiada ummah Islam pula, orang beriman  terus berdakwah dan berusaha menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala di mana-mana sahaja mereka berada.

KERJA YANG BERTERUSAN

Kumpulan Islam tidak pernah lalai dan diam. Kumpulan ini tetap bergerak, lebih-lebih lagi dalam suasana Islam dagang yang mana tiada masa untuk berdiam diri. Masa sepenuhnya diguna­kan untuk berkerja melawan musuh. Para pendakwah hendaklah curahkan sepenuh masa untuk berkerja menegakkan Islam dan menentang musuh. Musuh Allah Subhanahuwata’ala tidak pernah membuat ’gencatan senjata’ dengan pendakwah. Mereka menentang pendakwah di mana-mana sahaja dan berterusan. Mereka sentiasa menentang kebenaran di setiap saat dan ketika. Sejak mula seruan menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala lahir di bumi maka sejak itulah musuh Allah Subhanahuwata’ala tidak pernah mengikat ’perjan­jian sementara (berhudnah)’ dengan pendakwah. Pendakwah terus diserang di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu pendakwah Islam pun perlu bersungguh-sungguh dan bertahan dengan penuh keupayaan untuk berjuang di jalan Allah Subhanahuwata’ala hinggalah akhir zaman.

SERUAN DAKWAH YANG LENGKAP

Dakwah Islam menyeru manusia kepada satu sistem hidup yang waki’i (yang benar-benar berlaku dalam realiti) dan menguasai jiwa. Mungkin ada manusia yang berpada dengan Islam menguasai setakat perkara-perkara zahir sahaja. Sesungguhnya yang paling penting ialah sistem Islam dapat menguasai jiwa manusia. Selepas itu menguasai segala peraturan hidup manu­sia.

KEBATILAN SENTIASA MEMERANGI

Sistem Islam adalah sistem terbaik, adil dan saksama tetapi kebatilan/kejahatan tidak senang melihat sistem ini tertegak. Kebatilan tidak suka kepada kebaikan, keadilan serta kejuju­ran. Begitu juga kezaliman tidak pernah menyerah kepada keadilan dan kemuliaan Islam.

Justeru itu kejahatan, kebatilan dan kezaliman sentiasa memerangi dan memusuhi dakwah yang benar ini. Dakwah yang benar ini sentiasa ada musuhnya.

Mereka yang mencari kepentingan atau maslahat diri sudah tentu akan menentang sistem Allah Subhanahuwata’ala. Begitu juga akan menen­tang sistem Allah Subhanahuwata’ala ini orang yang menyeleweng kerana mereka tidak mahu menjauhkan diri daripada sifat-sifat penyelewengan itu.

Oleh itu orang beriman mestilah berkerja bersungguh-sungguh menentang musuh-musuh Allah. Mereka perlu lebih bersabar dan tahan. Mereka perlu berusaha supaya umat Islam  tidak dikuasai oleh musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Penyerangan musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala bermula terhadap jiwa umat Islam. Orang beriman perlu bersungguh-sungguh melepaskan diri daripada penguasaan musuh terhadap jiwa.  Manakala orang beriman bebas daripada penguasaan musuh terhadap jiwa mereka, maka barulah mereka boleh berjuang membebaskan manusia lain daripada musuh-musuh yang berupa manusia dan jin. Sekiranya dari awal-awal lagi orang beriman tidak dapat membebaskan jiwa daripada penguasaan musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala, maka tak usahlah diharapkan mereka akan dapat berjuang untuk melawan musuh-musuh daripada kalangan manusia dan jin. Inilah tabi’at dakwah Islamiyah.

PRINSIP ASAL DAKWAH

Prinsip dakwah ini bukanlah untuk memusuhi atau mencerobohi manusia. Tetapi prinsipnya adalah untuk membangunkan satu sistem yang betul dan adil di kalangan manusia. Bukan prin­sip asal dakwah untuk mengkafir atau menghina sesiapa. Dakwah ini ingin mengikuti apa yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. Allah matlamat bagi dakwah ini dan Rasul sebagai ikutannya. Para pendakwah berdakwah dengan tujuan untuk menegakkan sistem Allah Subhanahuwata’ala di kalangan manusia.

Namun begitu dakwah ini sentiasa dibenci oleh golongan yang mencari kepentingan. Sistem yang seperti ini sentiasa ada yang menentangnya dengan segala kekuatan. Kekuatan zahir yang ada pada musuh-musuh Islam digunakan sepenuhnya menentang Islam. Apabila pendakwah dapat membebaskan jiwa daripada penguasaan musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala itu maka InsyaAllah barisan pendakwah akan dapat membina satu kumpulan yang mampu menghadapi tentangan siapa sahaja.

KEKUATAN ISLAM MELAWAN KEKUATAN MUSUH DALAM PELBAGAI BENTUK

Musuh-musuh menentang sistem Islam dan dakwah yang benar ini dari berbagai arah. Dengan menggunakan kekua­tan lisan dan di‘ayah, sistem Islam diganyang. Kebe­naran Islam dipusing-pusingkan atau diselewengkan dengan bermacam-macam alat untuk memesongkan kefahaman umat. Oleh itu dakwah Islam mestilah berusaha membebaskan diri dari­pada musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala.

Pendakwah perlu berjuang sedaya upaya dengan memanfaatkan semua jenis kekuatan dan persediaan yang ada seperti kekuatan jiwa, kekuatan peralatan, kekuatan penyusunan dan kekuatan pembentukan yang dijalankan berdasarkan Al Quran dan as Sunnah.

BEKALAN YANG BERKEKALAN

Orang beriman sekali-kali tidak boleh lalai atau tidur. Masa berehat-rehat atau tidur telah berlalu. Masa untuk berse­nang-senang dan berfoya-foya telah berangkat pergi.

Bekalan paling kekal dan terbaik yang diperlukan, seperti yang tersebut dalam ayat di atas, ialah taqwa. Taqwa mestilah sentiasa bersama-sama dengan dakwah, dengan sistem Islam dan dengan jihad yang dilakukan. Jika tiada taqwa maka akan tersesatlah para pendakwah. Ini kerana taqwa sentiasa menjaga hati. Kalau tiada taqwa maka hati manusia akan dikongkong kembali oleh musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu pendakwah perlu sentiasa memelihara taqwa yang mengawasi diri daripada lalai.

JIKA JIWA YANG SUDAH DITAWAN

Kalau ada di kalangan manusia, termasuklah ulama, yang berdiam diri tanpa berdakwah, suka berfoya-foya dan gemar bersenang lenang, maka  ini menunjukkan jiwa sudah ditawan oleh ghaflah atau lalai. Amal seperti itu tidak dianggap amal yang berfaedah. Mereka sudah kehilangan taqwa yang menjaga jiwa daripada lalai dan lemah. Samada sedar atau tidak, jiwa mereka telah ditawan oleh musuh.

PERANAN TAQWA

Sistem Allah Subhanahuwata’ala sentiasa berjalan bersama dengan jiwa yang bertaqwa. Taqwa menjaga hamba-hamba supaya tidak menceroboh. Taqwa ialah suatu kekuatan yang mengawas dan mengekalkan sistem Allah Subhanahuwata’ala. Takwa mengawasi perjalanan hidup seo­rang pendakwah.

Saidina Umar Radhiallahu ’anhu  pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab Radhiallahu’anhu ten­tang taqwa: Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai?. Jawab Ubai: Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?. Jawab Umar: Ya, saya pernah. Kata Ubai: Apakah yang kamu lakukan?. Kata Umar: Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah. Kata Ubai: Itulah taqwa.

Seseorang yang tidak mengawasi diri, maka akan terpijaklah duri  dan akan semakin jauh dari petunjuk Allah Subhanahuwata’ala.

Taqwa  adalah suatu pengawasan. Untuk memiliki taqwa seperti ini, maka seseorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami Islam terutama dalam perkara-perkara yang fardhu dan wajib. Kalau tidak melalui jalan ini maka seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenar.

Justeru itu seseo­rang mestilah terlebih duhulu beriman pada Allah Subhanahuwata’ala dan Islam sepenuhnya untuk menjadi orang benar-benar bertaqwa.

ORGANISASI YANG MENJAGA TAQWA

Organisasi Islam wajib memahami kepentingan taqwa.  Kalau tidak, ia akan mudah terjatuh ke dalam ranjau-ranjau dan duri-duri dalam perjalanannya.

Sifat dakwah ini ditentukan Allah Subhanahuwata’ala. Manusia tidak boleh menciptanya sendiri. Oleh itu para pendakwah hendaklah menja­di orang yang bertaqwa dalam setiap kerja. Letakkan neraca taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam setiap penilaian.

Taqwa meliputi iman dan Islam. Taqwa itulah yang menen­tukan amalan-amalan pendakwah betul-betul berdasarkan ima­n dan Islam. Taqwalah yang mengawas peribadi, kumpulan, organisasi dan negara Islam. Tidak akan lahir amalan Islam yang sebenarnya tanpa taqwa. Oleh itu taqwa mestilah sentia­sa bersama-sama dengan sistem Allah. Kalau sistem Islam tidak diawasi oleh kekuatan taqwa maka para pendokongnya akan mudah lemah, lalai, dicerobohi dan terdedah kepada penyelewengan-penyelewengan.

Biarlah taqwa itu berasaskan iman dan Islam. Kerana itu pendakwah perlu meningkatkan keimanan dan kefahaman terha­dap Islam.

TIDAK DIRASAI PERLUNYA TAQWA MELAINKAN PENDAKWAH YANG BANYAK BERKERJA/BERJIHAD

Tidak dirasai perlunya kepada pengawasan taqwa ini kecuali pendakwah yang telah banyak berkerja dan berjihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala, dan  yang banyak menderita dalam berkerja menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala. Mereka ini merasakan amat perlu pada pengawasan ini. Dalam perjalanan nanti mereka akan berjumpa dengan daya penarik yang banyak seperti pangkat, kebesaran, wang, keme­wahan dan kedudukan. Tanpa taqwa mereka akan mudah tercicir, tidak tahan dan (tanpa disedari) akan diperalatkan oleh musuh-musuh.

Orang yang tidak biasa bersusah payah berjalan di atas jalan dakwah ini, tidak akan berhajat kepada taqwa yang hakiki. Orang yang tidak pernah menderita dalam menegakkan Islam tidak akan berhajat kepada taqwa.

Dari awal-awal lagi para pendakwah perlu berusaha untuk memiliki taqwa. Apabila seseorang itu baligh atau masuk Islam, maka taqwa perlu dibentuk sebagai pengawas yang bersama-samanya. Kalau tidak, mungkin dia akan mensia-siakan hidupnya dan akan jatuh ke bawah penguasaan musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala.

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button