Fiqh Islam

Pengenalan Ibadah Solat

Pengertian Solat

Dari segi bahasa solat bermaksud doa. Dari segi istilah pula solat ialah: Beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu.

Syarat Wajib Solat

  1. Islam.
  2. Baligh.
  3. Berakal,
  4. Suci daripada haid dan nifas bagi kaum wanita.

Syarat Sah Solat

  1. Beragama Islam.
  2. Suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
  3. Suci seluruh anggota badan, pakaian dan tempat.
  4. Menutup aurat.
    • Lelaki: bermula daripada pusat hingga lutut.
    • Perempuan: seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
  5. Menghadap ke qiblat.
  6. Mengetahui tentang masuknya waktu solat sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

 Lima Solat Fardhu

  1. Solat Subuh.
  2. Solat Zohor.
  3. Solat Asar.
  4. Solat Maghrib.
  5. Solat Isyak.

Rukun Solat

  1. Niat.
  2. Berdiri betul.
  3. Takbiratul ihram.
  4. Membaca al-Fatihah.
  5. Ruku’ berserta thama’ninah.
  6. I’tidal berserta thama’ninah.
  7. Sujud berserta thama’ninah.
  8. Duduk antara dua sujud berserta thama’ninah..
  9. Duduk tahiyat akhir.
  10. Membaca tahiyat akhir.
  11. Membaca selawat ke atas Nabi.
  12. Memberi salam pertama.
  13. Tertib.

 HURAIAN RUKUN SOLAT

  1. Niat

Wajib berniat di dalam hati. Lafaz niat boleh membantu memperelokkan niat. Lafaz-lafaz niat solat fardhu ialah:

  • Lafaz niat Solat Subuh:

أُصَلِّى فَرْضَ الْصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardhu subuh dua rakaat sebagai makmum/imam kerana Allah Ta’ala.

  • Lafaz niat Solat Zohor:

أُصَلِّى فَرْضَ الْظُهْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat fardhu zohor empat rakaat sebagai makmum/imam kerana Allah Ta’ala,

  • Lafaz niat Solat ‘Asar:

أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat fardhu asar empat rakaat sebagai makmum/imam kerana Allah Ta’ala.

  • Lafaz niat Solat Maghrib:

أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat sebagai makmum/imam kerana Allah Ta’ala,

  • Lafaz niat Solat Isya’:

أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُوْمًا / إِمَامًا ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat fardhu isya` empat rakaat sebagai makmum/imam kerana Allah Ta’ala.

  1. Berdiri Betul

Berdiri bagi yang mampu. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu, kerjakanlah dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu lagi, maka kerjakanlah dengan tidur menyamping/mengereng.

(HR Bukhari no. 1117, daripada ‘Imran bin Husain)

  1. Takbiratul Ihram

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Pembuka solat adalah thaharah (bersuci). Yang mengharamkan daripada hal-hal di luar solat ialah ucapan takbir. Sedangkan yang menghalalkannya kembali adalah ucapan salam.

(HR. Abu Daud no. 618, Tirmidzi no. 3 dan Ibnu Majah no. 275)

Yang dimaksud dengan rukun ini ialah ucapan takbir الله الأكبر (Allahu Akbar).

Ketika takbiratul ihram, angkat tangan di mana ibu jari berada pada paras anak telinga. Tapak tangan dan dada dihadapkan ke kiblat. Mata memandang ke tempat sujud.

Kemudian berdiri sambil meletakkan tapak tangan kanan di atas pergelangan tangan kiri atau lengan kirinya. Diriwayatkan:

Baginda meletakkan kedua tangannya di atas dadanya.

(HR Abu Daud, An-Nasa’I dan Ibn Khuzaimah)

Kemudian membaca doa iftitah:

للهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً. إِنِّىْ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَالسَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ. إِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. لاَشَرِيْكَ لَهُ وَبِذلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْ

Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan wajahku kepada Yang Menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku daripada golongan orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah Rabb sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya . Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah daripada golongan orang muslim (berserah diri).

  1. Membaca Al-Fatihah

 بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣  مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Tidak ada solat (ertinya tidak sah) orang yang tidak membaca Al Fatihah.

(HR Bukhari 756 dan Muslim 394, daripada ‘Ubadah b. As-Shamit)

Kemudian, disunatkan membaca ayat-ayat daripada mana-mana surah al-Quran.

Surah Al-Fatihah wajib dibaca pada setiap rakaat.

  1. Ruku’ Dan Thama’ninah

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam pernah mengatakan pada orang yang jelek solatnya (sehingga ia disuruh mengulangi solatnya beberapa kali kerana tidak memenuhi rukun):

ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا

Kemudian ruku’lah dan thama’ninahlah ketika ruku’.

(HR Bukhari no. 793 dan Muslim no. 397)

Keadaan ketika ruku’ ialah membongkokkan badan dan tangan pula berada di lutut. Thama’ninah adalah keadaan tenang di mana setiap sendi dan anggota ikut tenang.

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam juga pernah menjelaskan:

لاَ تَتِمُّ صَلاَةُ أَحَدِكُمْ حَتَّى يُسْبِغَ  … ثُمَّ يُكَبِّرُ فَيَرْكَعُ فَيَضَعُ كَفَّيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ حَتَّى تَطْمَئِنَّ مَفَاصِلُهُ وَتَسْتَرْخِىَ

Solat tidaklah sempurna sehingga salah seorang antara kamu menyempurnakan wudhu’, … kemudian bertakbir, lalu melakukan ruku’ dengan meletakkan telapak tangan di lutut sampai persendian yang ada dalam keadaan thama’ninah dan tenang.

(HR Ad-Darimi no. 1329. Syaikh Husain Salim Asad mengatakan bahawa sanad hadits ini sahih)

Ada ulama mengatakan bahawa thuma’ninah adalah sekadar membaca zikir dalam ruku’. Zikir dalam ruku’:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ

Maha Suci Rabbku Yang Maha Agung dan dengan memuji-Nya

  1. I’tidal Berserta Thama’ninah.

Sallallahu’alaihiwasallam ada mengatakan kepada orang yang ditegur solatnya:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا

Kemudian tegakkanlah badan (i’tidal) dan thama’ninalah.

Setelah selesai ruku’, kemudian i’tidal, iaitu bangkit daripada ruku’ sambil mengangkat kedua tangan sejajar telinga, seraya membaca:

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Allah mendengar orang yang memuji-Nya.

Pada waktu berdiri tegak (i’tidal) dan thama’ninah, maka baca :

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Wahai Rabb kami, hanya untuk-Mu lah segala puji.

  1. Sujud Dan Thama’ninah

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam mengatakan:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Kemudian sujudlah dan thuma’ninalah ketika sujud.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ – وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ – وَالْيَدَيْنِ ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Aku diperintahkan bersujud dengan tujuh bagian anggota badan: [1] Dahi termasuk juga hidung, beliau mengisyaratkan dengan tangannya,

[2,3] telapak tangan kanan dan kiri,

[4,5] lutut kanan dan kiri, dan

[6,7] ujung kaki kanan dan kiri.

Siku diangkat dan semua jari tangan menghala ke kiblat. Bacaan ketika sujud:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Maha Suci Engkau Rabbku Yang Maha Tinggi dan dengan memuji-Nya.

  1. Duduk Antara Dua Sujud Berserta Thama’ninah

Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Kemudian sujudlah dan thuma’ninahlah ketika sujud. Lalu bangkitlah daripada sujud dan thuma’ninalah ketika duduk. Kemudian sujudlah kembali dan thuma’ninalah ketika sujud.

Cara duduk – punggung didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke kiblat (duduk iftirash).

Bacaan ketika duduk antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ

Ya Rabbku, ampunilah aku, rahmatilah aku, tutuplah aibku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, tunjukkanlah aku dan sihatkanlah aku.

  1. Duduk Tahiyat Akhir

 Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

فَإِذَا قَعَدَ أَحَدُكُمْ فِى الصَّلاَةِ فَلْيَقُلِ التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ

Jika salah seorang antara kamu duduk (tasyahud) dalam solat, maka ucapkanlah “at tahiyatu lillah …” .

(HR Bukhari no. 831 dan Muslim no. 402, daripada Ibnu Mas’ud)

Waktu tasyahud awal (tahiyat awal), duduknya adalah duduk iftirash (duduk diatas telapak kaki kiri). Manakala waktu tasyahud akhir (tahiyat akhir), duduknya adalah duduk tawarruk (duduk di atas lantai, kaki kiri dihamparkan di sebelah kaki kanan dan kaki kanan ditegakkan (lihat gambar rajah di halaman berikut).  Walau bagaimanapun waktu tahiyat akhir, duduk secara iftirash pun dibenarkan.

  1. Membaca Tahiyat Akhir DAN 11. Membaca Selawat Ke Atas Nabi

 Bacaannya ialah:

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ، أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهُ، اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَرَكْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

 Salam penghormatan yang berkat, solat yang baik adalah untuk Allah. Salam sejahtera atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tidak ada ilah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ya Allah, selawatkanlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau selawatkan ke atas  Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim di alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

  1. Memberi salam.

Salam yang diwajibkan ialah salam yang pertama. Adapun salam yang kedua hukumnya adalah sunat. Lafaz salam ialah:

السلام عليكم ورحمةُ الله
Selamat sejahtera ke atas kamu sekalian berserta rahmat Allah.

Lafaz salam ini berpandukan hadits daripada Abdullah bin Mas’ud RA yang menceritakan: Adalah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memberi salam ke kanan dan ke kiri dengan menyebutkan:

السلام عليكم ورحمةُ الله
Selamat sejahtera ke atas kamu sekalian berserta rahmat Allah.

(HR Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih).

  1. Tertib.

Maksud tertib ialah memelihara urutan rukun-rukun solat.

 

PERKARA SUNAT DALAM SOLAT:

Perkara sunat ketika melakukan solat ada dua jenis iaitu sunat ab’adh (أبعاض) dan sunat hai-ah (هيئات). Sunat ab’adh ialah setiap perkara yang sangat dituntut untuk dilaksanakan di mana jika ditinggalkan maka sunat diganti dengan sujud sahwi pada akhir solat (sebelum memberi salam). Manakala sunat hai-ah pula ialah setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak diperlukan sujud sahwi.

  1. Sunat Ab‘adh

Sunat ab’adh ialah perkara sunat apabila ditinggalkan, boleh diganti dengan sujud sahwi, iaitu:

  • Membaca tasyahud awal.
  • Duduk untuk tasyahud awal.
  • Selawat atas Nabi selepas tasyahud awal.
  • Selawat atas kaum keluarga Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam selepas tasyahud akhir
  • Qunut dalam solat Subuh dan solat witir pada pertengahan Ramadhan.
  • Berdiri untuk qunut.
  • Selawat atas Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dalam qunut.
  • Selawat ke atas kaum keluarga Nabi Sallallahu’alaihiwasallam selepas qunut.

(Fiqh Al-Islami, 680).

  1. Sunat Hai-at

Sunat hai’at ialah perkara sunat jika ditinggalkan tidak memerlukan sujud sahwi, iaitu:

  • Mengangkat kedua tangan semasa takbiratul ihram.
  • Melafazkan takbir selepas imam mengucapnya.
  • Meletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika berdiri selepas takbiratul ihram.
  • Melihat ke arah tempat sujud.
  • Membaca doa iftitah.
  • Memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada syaitan (al-isti’azah) sebelum membaca surah al-fatihah.
  • Membaca amin selepas membaca al-fatihah.
  • Menjarakkan kedua-dua tapak kaki ketika berdiri (satu jengkal).
  • Membaca ayat-ayat daripada surah selepas al-fatihah.
  • Membaca takbir semasa ruku’, sujud, bangun daripada sujud dan semasa qiyam.
  • Tasmi’ dan tahmid semasa i’tidal: sami’allah… dan rabbana lakalhamdu…
  • Mendahulukan letak kedua lutut, kemudian kedua tangan dan kemudian wajah ketika sujud.
  • Membaca doa antara dua sujud.
  • Duduk istirahah (duduk istirahah adalah duduk sejenak ketika hendak bangkit dari satu rakaat ke rakaat berikutnya, yang tidak dipisahkan dengan tasyahud awal).
  • Do’a selepas selawat atas Nabi Sallallahu’alaihiwasallam di tasyahud akhir.
  • Khusyu’ semasa membaca zikir-zikir solat dan di sepanjang solat.

(Fiqh Al-Islami, 1/683)

Rujukan:

  1. Modul PESAT KTD
  2. https://muslim.or.id/6361-rukun-rukun-shalat.html
  3. http://sahutanindah.blogspot.my/2010/09/syarat-sah-dan-perkara-perkara-sunat.html
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button