Fiqh Islam

Bersuci: Wudhuk

Pengertian

1. Wudhuk ertinya membasuh dan menyapu anggota badan yang tertentu dengan niat yang tertentu. Ia adalah salah satu cara bersuci.

2. Dari segi syarak pula bererti beberapa perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat.

Rukun Wudhuk

1. Niat

Niat mengangkat hadas atau niat menunaikan wudhuk atau sebagainya.

Contoh lafaz niat wudhuk:

Lafaz niat 1 : نويت رفع الحدث الأصغر لله تعالى (saya berniat mengangkat hadas kecil kerana Allah Ta’ala).

Lafaz niat 2 : نويت الوضوء لله تعالى (saya niat berwudhuk kerana Allah Ta’ala).

Bagi mereka yang sentiasa berhadas (disebabkan istihadhah – darah yang sentiasa keluar bagi wanita, atau disebabkan salisul baul – kencing yang keluar menitis tanpa henti) hendaklah niat berwudhuk untuk mengharuskan solat (bukan niat untuk mengangkat hadas). Lafaz niat : نويت الوضوء لاستباحة الصلاة لله تعالى  (saya niat berwudhuk agar diperbolehkan solat kerana Allah Ta’ala)

2. Membasuh muka

Sempadan muka yang wajib dibasuh ialah dari tempat tumbuh rambut atas kepala hinggalah ke hujung dagu. Sempadan melintang pula ialah di antara dua anak telinga. Adalah wajib menyampaikan air ke seluruh daerah wudhuk tersebut termasuk bulu mata, misai, janggut dan bulu pipi.

3. Membasuh kedua tangan hingga ke siku

Meratakan air ke seluruh tangan yang meliputi jari, celah jari, kuku, bahagian dalam kuku, lengan dan sehingga lebih sedikit atas siku.

4. Menyapu sedikit air di bahagian kepala

Memadai menyapu sedikit air sehingga sampai ke bahagian kulit kepala, pada mana-mana bahagian kepala.

5. Membasuh kedua-dua kaki sehingga buku lali

Meratakan air ke seluruh kaki sehingga sampai ke bahagian buku lali.

6. Tertib

Iaitu berniat dan membasuh anggota wudhuk mengikut urutan yang telah ditetapkan. Dan, tidak sah wudhuk sekiranya tidak memenuhi keenam-enam rukun ini.

 Sunat-Sunat Wudhuk

1. Membaca بسم الله الرحمن الرحيم di permulaan hendak berwudhuk.

2. Membasuh tangan sehingga ke pergelangan tangan.

3. Berkumur-kumur.

4. Memasukkan air ke dalam hidung. Sebaiknya sedut air ke dalam hidung kemudian hembuskan air itu keluar.

5. Menyapu semua bahagian kepala.

6. Membasuh kedua telinga.

7. Menyelati jari tangan dan kaki serta janggut, sekiranya ada.

8. Mendahului membasuh anggota kanan, kemudian anggota kiri.

9. Membasuh/menyapu setiap anggota wudhuk sebanyak tiga kali.

10. Muwalah – ertinya mengerjakan amalan-amalan dalam berwuduk secara berturut-turut.

11. Menghadap qiblat.

12. Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:

اَشْهَدُ اَنْ لآّاِلَهَ اِلاَّاللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًاعَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللهُمَّ اجْعَلْنِىْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِىْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ

Aku bersaksi bahawa tiada ilah melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan Rasul-Nya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat dan jadikan aku daripada golongan orang yang bersih.

 Perkara-Perkara Yang Membatalkan Wudhuk

1. Keluar sesuatu dari qubul atau dubur samada sesuatu yang keras, cair atau angin seperti tahi, kencing dan kentut.

2. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam atau tidur yang tidak tetap papan punggung. Tidur orang yang berbaring dengan tetap papan punggung akan menyebabkan batal wudhuk. Manakala tidur duduk yang tidak tetap papan punggung tidak membatalkan wudhuk.

3. Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dengan tidak beralas. Bersentuhan rambut, kuku atau gigi tidak membatalkan wudhuk.

4. Menyentuh qubul atau dubur dengan tapak tangan atau perut jari.

Rujukan:

Panduan Fardhu Ain Lengkap, Abu Al-Baqir Ad-Dusuqi

 

 

 

 

 

 

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button