WhatsApp Image 2018-10-29 at 11.24.35 AM

Mujahadah

Mujahadah adalah jalan ke arah hidayah dan taqwa

Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada taqwa. Salah satu jalan ialah dengan kita bermujahadah. Berhubung dengan mujahadah ini, Ustaz Sa’id Hawwa menjelaskan:

Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh itu, mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala agar petunjuk itu masuk ke dalam hati kita. Maknanya, untuk mendapat dan memperoleh hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala maka perlu kepada bermujahadah. Mujahadah juga merupakan jalan untuk kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk, kita hendaklah meningkatkan dan menambahkan lagi hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala iaitu dengan cara kita mempertingkat mujahadah.

Hidayah Allah Subhanahuwata’ala merupakan muqaddimah kepada taqwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala hasil daripada bermujahadahnya maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah merupakan muqaddimah kepada taqwa. Muqaddimah untuk dia menjadi seorang yang muttaqin (yakni orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala). Ini bermakna taqwa itu diperolehi hasil daripada anugerah hidayah yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada orang yang bermujahadah. Taqwa bukan boleh kita buat-buat (lakonkan) dalam jiwa kita tetapi ia mestilah dengan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Ini bererti seseorang itu tidak boleh menjadi orang yang bertaqwa dengan akal fikirannya sendiri. Dia tidak boleh berubah menjadi orang yang baik dengan menggunakan akal fikiran sahaja, sebaliknya dia mestilah mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah Subhanahuwata’ala dengan jalan-jalan bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala dan yang diajarkan oleh Islam kepada kita melalui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٦٩

 Dan orang yang berjihad (bermujahadah) untuk mencari keredhaan kami, benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik

(Surah al-‘Ankabut : 69)

Ini merupakan janji-janji Allah Subhanahuwata’ala kepada mereka yang bermujahadah. Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan kepada mereka hidayah. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak pernah memungkiri janji-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar akan berserta dengan orang yang berbuat baik (muhsinin).

Setelah mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala maka bermulalah kita menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Barulah kita menuju ke arah kehidupan orang yang disebut sebagai Al-Muttaqin yakni yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala maka ke arah menjadi orang yang bertaqwa itu tidak akan wujud. Jadi, kalau kita berusaha sekuat mana sekalipun, kalau tidak mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala, maka tidak akan ada muqaddimah, tidak akan ada permulaan ataupun titik-tolak untuk menjadi seorang manusia yang bertaqwa di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh itu, apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita kepada memperolehi hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala manakala hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada taqwa. Itulah hubungan antara ketiga-tiga perkara – mujahadah, hidayah, dan taqwa. Diulangi lagi, mujahadah akan membawa kita kepada hidayah, manakala hidayah pula akan membawa kita kepada taqwa. Kalau kita tidak mengikuti jalan yang pertama ini, yakni tidak bermujahadah, maka tidak akan ada hidayah dan tidak ada taqwa dalam jiwa kita.

Jalan mujahadah yang betul

Satu perkara penting di dalam proses bermujahadah dan mendapatkan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala ialah uslub atau jalan-jalan yang kita lalui semasa bermujahadah  mestilah mendapat taufik atau persetujuan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Maknanya di sini, tidak semestinya orang yang bermujahadah itu akan mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Inilah hikmah dan kebijaksanaan Allah Subhanahuwata’ala, kerana, kemungkinan berlaku kesilapan dalam mujahadah seseorang ataupun dia bermujahadah tidak mengikut cara yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Untuk melaksanakan mujahadah ini, kita perlu mengikuti jalan yang betul. Sebab banyak orang yang berusaha dan bermujahadah tetapi tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Banyak kegiatan-kegiatan dilakukan dan bermati-matian bermujahadah, tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala. Kerana apa? Kerana jalannya tidak betul yakni tidak mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Justeru itu, dalam langkah-langkah kita bermujahadah ke arah untuk mendapat hidayah dan taqwa daripada Allah Subhanahuwata’ala, hendaklah terlebih dahulu pastikan bahawa jalan-jalan yang kita lalui dalam bermujahadah ini mendapat taufik dan persetujuan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Tidak boleh kita reka-reka sendiri cara bermujahadah mengikut akal fikiran atau hawanafsu.

Jihad yang berperingkat-peringkat

Titik-tolak yang betul untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala ialah dengan bermujahadah. Kita perlu berjihad dan berusaha. Sebab itulah ulama muktabar menggariskan bahawa jihad itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah (mengabdikan diri) kepada-Ku.

(Surah Adz-Dzariyat : 56)

Matlamat kita untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah, tidak akan tercapai melainkan dengan adanya jihad, seperti berjihad melawan hawanafsu. Oleh itu jihad juga adalah matlamat hidup kita.

Kita perlu berjihad menegakkan kalimah syahadah dan din Allah Subhanahuwata’ala di atas muka bumi ini. Sebelum kita berjihad hendaklah kita fahami jihad ini dengan betul kerana jihad ini ada bermacam-macam jenis dan tertibnya. Jenis-jenis jihad, antara lain, ialah jihad melawan hawa nafsu, melawan orang kafir, melawan orang munafiq dan melawan orang zalim.

Jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad yang berterusan dan perlu diutamakan kerana hal ini telahpun dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap hawa nafsunya dalam mentaati Allah ‘Azzawajalla.

Jihad melawan hawanafsu terbahagi kepada empat bahagian:

  1. Berjihad melawan hawanafsu untuk mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah Subhanahuwata’ala – yakni berusaha dan berikhtiar untuk mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala (petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).
  2. Berjihad melawan hawanafsu untuk melaksanakan ajaran Islam atau petunjuk Allah Subhanahuwata’ala di dalam kehidupan kita pada setiap hari dalam pelbagai aspek.
  3. Berjihad melawan hawanfsu untuk menyampaikan Islam yang telah kita laksanakan itu kepada orang lain.
  4. Berjihad melawan hawanafsu untuk bersabar dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.

Jadi empat peringkat jihad ini adalah jihad melawan hawa nafsu. Apabila kita memperlengkapkan diri dengan keempat-empat peringkat jihad ini maka barulah sempurna proses jihad kita melawan hawa nafsu.

Ini bermakna dalam hidup kita, pada setiap masa berkehendakkan kepada jihad, lebih-lebih lagi apabila kita hendak melahirkan dan melaksanakan Islam. Bila kita memperkatakan Islam maka di situlah jihad kita, sama ada secara individu mahupun secara kolektif. Dengan kata lain, jika kita berseorangan, memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam dan jika kita berkolektif juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

Pengertian mujahadah yang luas

Mujahadah itu sebenarnya mempunyai makna yang cukup luas. Kita datang ke program tarbiah atau pendidikan merupakan satu bentuk mujahadah, kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada sumber-sumber tarbiah yang betul seperti Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam serta buku-buku yang dikarang oleh ulama muktabar, semua itu termasuk dalam ertikata mujahadah. Kita hadir dalam program-program Islam yang dirancang, dikira mujahadah. Kita pergi menziarahi saudara-saudara dan sanak-saudara kita dalam rangka menyebarkan kefahaman Islam,   dikira sebagai mujahadah.  Pendek kata – mujahadah diperlukan untuk mendapat petunjuk Allah Subhanahuwata’ala atau  mengembangkan petunjuk-Nya.

Kita mendampingi orang tertentu untuk membimbing ke jalan yang haq (benar), dikira sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada gangguan maksiat, menjauhkan diri, anak, isteri, keluarga dan sahabat-sahabat kita daripada suasana-suasana tidak Islam dan dorongan-dorongan hawa nafsu yang menyesatkan, semua itu termasuk dalam ertikata bermujahadah.

Alangkah luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka untuk kita mendapat hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Semua kerja-kerja mujahadah yang dilakukan sekiranya dibuat dengan penuh keikhlasan kerana Allah Subhanahuwata’ala maka itulah  titik-tolak yang betul ke arah mendapatkan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala, insya-Allah

Mujahadah dengan niat  lillahi Ta’ala itulah jalan yang menyampaikan kita kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada maqam (kedudukan) al-muttaqin ataupun orang yang bertaqwa.

Mujahadah yang tidak betul tidak akan membawa kepada hidayah, walaupun bersungguh-sungguh

Kita tidak boleh tergesa-gesa membuat kesimpulan bahawa apabila kita hendak bermujahadah kita boleh buat menurut cara kita sendiri atau pun taktik kita sendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub (cara) mujahadah yang sebenar yakni uslub Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita tidak boleh buat atau pun fikir dengan cara kita sendiri di dalam bermujahadah. Kekeliruan kefahaman mengenai jalan-jalan mujahadah sering berlaku akibat daripada kejahilan seseorang tentang konsep mujahadah yang sebenar. Kejahilan seseorang terhadap jalan mujahadah yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  menyebabkan berlakunya kesalahan-kesalahan, ketidakfahaman dan kekeliruan-kekeliruan di dalam melaksanakan mujahadah tersebut.

Sekiranya jalan yang diikuti seseorang dalam bermujahadah itu tidak betul, walaupun bersungguh-sungguh, mencurahkan masa dan tenaga, wang ringgit dan harta benda yang banyak maka semuanya itu akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dan, tidak akan sampai kepada petunjuk dan taqwa yang sebenar.

Titik tolak mujahadah

Di dalam hal bermujahadah ini, Ustaz Sa’id Hawwa ada menjelaskan:

Kita mestilah bermula daripada noktah iman kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bermula dengan noktah mentauhidkan (mengesakan) Allah Subhanahuwata’ala.

Mujahadah yang betul itu mestilah bermula dengan beriman kepada Allah dan beriman kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain. Atau dengan kata yang lain, bermula dengan mentauhid dan mengesakan Allah Subhanahuwata’ala. Mujahadah mestilah bertitik-tolak dengan beriman kepada Allah dan beriman kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain seperti beriman kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, malaikat, kitabullah dan hari akhirat. Hakikat ini mestilah diterima secara sedar.

Titik tolak mujahadah bagi setiap generasi

Tuntutan mujahadah yang betul tidak boleh dialpakan ataupun dilalaikan oleh seseorang muslim. Ini kerana mungkin seseorang muslim yang lahir di dalam suasana Islam atau pun lahir di tengah-tengah masyarakat Islam, tidak merasai bahawa perkara ini disuruh dan dituntut yakni ia dituntut bermujahadah bermula dengan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila sudah ada bi’ah solehah (suasana yang Islami), maka mungkin boleh berlaku di mana seseorang muslim yang lahir di dalam biah seperti ini, tidak merasa mujahadah ini  dituntut – yakni  dia dituntut untuk bermujahadah bermula dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Inilah satu kesilapan besar yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Apabila wujudnya Daulah Islamiah dalam waktu yang agak panjang maka telah lahir umat,  yakni generasi-generasi yang baru di dalam daulah tadi, yang tidak diingatkan kepada mereka tentang perlunya mereka bermujahadah bermula dengan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenarnya. Akibatnya timbullah berbagai-bagai masalah dalam perkembangan daulah Islam.

Inilah kesalahan yang telah berlaku di dalam masyarakat Islam beberapa masa yang lalu. Apabila sudah ramai umat Islam (yang terdiri daripada individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam dan daulah Islam), maka generasi baru ini tidak disedarkan untuk  merasai apa yang pernah dirasai oleh generasi yang awal (para sahabat Radhiallahu‘anhum) bahawa bermujahadah adalah bertitik-tolakkan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala  atau mentauhidkan serta mengesakan-Nya.

Dalam realiti kini, kalau seseorang itu tidak mengambil berat ataupun tidak mempedulikan perkara ini, maka ini boleh membawa kepada kepincangan perkembangan organisasi Islam yang didokonginya. Sekiranya mujahadah yang sebenar tidak berlaku dalam organisasi Islam, atau organisasi itu terlupa untuk mengajak individu di dalamnya bermujahadah bermula dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala maka kemungkinan individu itu akan larut dalam pelbagai suasana yang tidak Islamik boleh berlaku.

Oleh itu, jika perkara ini tidak diperkenalkan atau ditekankan betul-betul di dalam proses tarbiah kepada generasi baru, maka itu merupakan satu kesalahan yang besar dalam kerja-kerja amal Islami yang dilakukan. 

Kalau kita tidak tegaskan kepada generasi baru bahawa mujahadah mesti bermula dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala, walaupun mungkin kita dapat melahirkan satu rupa bentuk generasi di tengah-tengah masyarakat Islam, maka dikhuatiri kita akhirnya akan kehilangan mereka. Mereka akan ‘diambil’ oleh sistem yang tidak melaksanakan Islam sepenuhnya.

Bagi sebuah organisasi Islam, ia sentiasa menyusun ke arah perkembangannya. Walaupun organisasi itu menyusun banyak perancangan baru dan projek baru dalam rangka memperkuatkan struktur dan perkembangannya, namun bagi anggota-anggota barunya janganlah lupa untuk dijelaskan kepada mereka bahawa mujahadah mestilah bermula dengan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Mestilah bermula dengan mentauhid atau mengesakan Allah Subhanahuwata’ala. Ini bermakna, pada setiap masa, setiap peringkat, setiap perkembangan dan setiap suasana bagi mana-mana individu, organisasi atau sesiapa sahaja yang berhajatkan kepada Islam maka mujahadahnya mestilah bermula dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Bagi mana-mana pihak, apabila ia bermujahadah maka mujahadahnya mestilah bermula dengan menyelesaikan permasalahan awal iaitu beriman dan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’alatanpa mengira waktu,  tempat atau suasana. Itulah jalan mujahadah yang sebenar.

Mujahadah ke arah keperibadian yang sempurna

Mujahadah seseorang mestilah membawa kepada keperibadian Islam sebenar atau sahsiah Islam yang sempurna. Jika kita kembali melihat kepada sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda, maka kita dapati telah berlaku perubahan dan peralihan yang sungguh besar dalam diri generasi para sahabat atau masyarakat Islam ketika itu. Telah lahir betul-betul generasi atau masyarakat yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Proses mujahadah yang mereka lakukan benar-benar telah menampakkan perubahan dan peralihan yang menyeluruh.  Yakni daripada kekufuran kepada keimanan sepenuhnya atau daripada jahiliah kepada Islam sepenuhnya.

Peringkat mujahadah yang kedua

Setelah terlaksana proses mujahadah yang bermula dengan beriman, mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dan berakidah dengan akidah yang betul, maka kita mantapkan mujahadah di  peringkat kedua  iaitu memperkukuhkan tugas-tugas yang diwajibkan atau difardukan oleh Islam dan mujahadah  meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam.

Dengan kata lain, dengan kuatnya mujahadah untuk beriman dan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala, maka barulah seseorang itu boleh sampai kepada hakikat kesempurnaan Islam yang minimum iaitu mengerjakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan. Di peringkat ini barulah seseorang itu dapat melakukan ibadahnya dengan betul (dalam pengertian sebenar) – mendirikan solat lima waktu dengan khusyu’, berpuasa pada bulan Ramadan dengan taqwa, memberi zakat, menunaikan haji dan melaksanakan segala amal Islami (kerja-kerja Islam) dalam ertikata sebenar.

Menyelamatkan diri daripada amalan-amalan tradisi semata-mata

Anggota-anggota bagi organisasi Islam, mestilah terlebih dahulu mengikatkan hati dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sekiranya hati tidak diikatkan dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu, maka kemungkinan segala mujahadah yang lain akan menjadi amalan tradisi sahaja. Solat menjadi amalan tradisi dan puasa pun amalan tradisi sahaja.

Begitu juga, jika anggota organisasi Islam tidak jelas mujahadah pertama atau tidak melalui proses mujahadah pertama, maka amalan-amalan anggota yang berulang-alik menghadiri program-program Islam dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, akan menjadi amalan-amalan tradisi sahaja. Tidak lahir keberkesanan yang sebenar.

Justeru itu anggota-anggota bagi organisasi Islam, hendaklah membawa hati-hati dan jiwa-jiwa mereka untuk merasai betul-betul akan hakikat keimanan dan hakikat mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Hati-hati hendaklah diikatkan dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam menjalani pelbagai program/aktiviti, bukan diikatkan dengan tradisi atau rutin semata-mata. Jika seseorang anggota organisasi Islam  hadir berterusan dalam sesuatu aktiviti, maka kehadiranya itu bukanlah atas dasar terikat dengan amalan rutin mingguan atau bulanan, tetapi benar-benar berdasarkan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Kehadiran anggota organisasi Islam dalam aktiviti-aktiviti Islam adalah dalam rangka untuk merasai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala atau dalam rangka membawa hati berhubung dengan pencipta-Nya yakni Allah Subhanahuwata’ala.

Penutup

Apabila mujahadah seseorang telah sampai ke peringkat kedua dengan sebenarnya, iaitu melaksanakan yang fardu dan meninggalkan yang haram berdasarkan iman, bukan berdasarkan tradisi, maka insya-Allah peningkatan dirinya akan menjadi suatu yang cukup soleh.

Dengan bertambahnya hidayah Allah Subhanahuwata’ala kepada seseorang, maka akan bertambahlah taqwanya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Apabila seseorang itu terus bermujahadah melaksanakan amalan-amalan yang sunat pula, maka peningkatannya akan semakin baik. Ia semakin mulia di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Itulah antara beberapa panduan mengenai jalan-jalan mujahadah yang perlu kita lalui. Insan yang bermujahadah, seterusnya, tidak lupa untuk mengajak orang lain – isteri, anak, keluarga, saudara-mara dan masyarakat – untuk melalui jalan-jalan mujahadah yang betul. Dengan itu, Insyaallah akan sampailah kepada hakikat taqwa dalam ertikata sebenar. Umat Islam akan kuat dengan kuatnya taqwa umat. Begitu juga bagi organisasi Islam, ia akan kuat dengan kuatnya taqwa anggota-anggotanya. Kekuatan taqwa hendaklah dipelihara melalui proses mujahadah yang membawa kepada hidayah Allah Subhanahuwata'ala.

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Kegembiraan Dan Kesedihan Sebagai Ukuran Iman

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّأَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *