Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
من استطاع منكم أن ينفعَ أخاه فلْيَنْفَعْه
Barangsiapa diantara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.
(Riwayat Muslim)[1]
SEKILAS PENJELASAN
Pada dasarnya kita semua memiliki kemampuan memberikan manfaat kepada orang lain. Malangnya, seringkali kita tiada kemahuan untuk melakukannya kerana sifat kikir dan ego.
Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menyerukan agar kita menjadi orang yang memiliki kemahuan untuk memberikan manfaat kepada orang lain dan bersegera melakukannya sebaik mungkin.
HIKMAH TARBAWIYAH
Kemampuan memberikan manfaat kepada orang lain.
Pada dasarnya ajaran Islam tidak pernah memerintahkan sesuatu yang berada diluar batas-batas kemampuan manusia.
Hendaknya kita berusaha membantu orang yang memerlukan bantuan dengan sunguh-sunguh dan semaksimum kemampuan yang ada. Kita harus membantu dengan apayang mampu diberikan. Jangan sampai orang yang memerlukan bantuan, pulang dengan tangan kosong.
Sekiranya kita tidak dapat juga memberikan bantuan kepada seseorang yang meminta bantuan, misalnya kerana kitatelah lokasikanbantuan kepada tempat yang lebih penting, maka hendaklah kita memberikan jawapan yang penuh bijaksana.Jangan sekali-kali melukakan hati orang yang meminta.
Bersegera dalam memberikan manfaat
Mengapa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menyerukan kita agar bersegera memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan? Antara jawapannya ialah:
- Kita hendaklah memberi bantuan kepada orang yang memerlukan, kerana Allah Subhanahuwata’ala menyeru hamba-hamba-Nya berlumba-lumba berbuat kebajikan. Firman-Nya:
فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِ
Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbagai kebajikan.
(Surah Al-Baqarah:148)
- Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam telah memperlihatkan contoh. Ketika mendapatkan harta, baginda terus sedekahkan kepada orang yang memerlukan. Ketika baginda lupa ada sebahagian harta yang masih tersimpan, baginda terus keluar dari masjid selepas solat berjama’ah dan segera memberikannya kepada orang yang memerlukan. Digambarkan pada bulan ramadhan, baginda bersedeqah kepada orang yang memerlukan lebih pantas daripada angin yang bertiup.
- Peluang untuk beramal selalunya tidak datang dua kali.Jika kita menunda-nunda memberi bantuan kepada orang lain, apabila ada kesempatan, mungkin peluang yang berharga akan terlepas.
LANGKAH-LANGKAH AMALIAH
Membangunkan kesedaran bahawa pada diri kita ada berkemampuan.
- Menyedari kita memiliki sesuatu yang boleh diberikan kepada orang lain.
Sebagaimana yang dilakukan ulama’ salaf ketika ada seseorang datang meminta bantuan,mereka langsung memberikan harta yang diperlukan. Jika tiada harta,mereka menyumbangkan tenaga dengan bekerja untuknya.Jika tidak mampu bekerja, mereka meminta bantuan teman-teman agar memberi bantuan kepada orang yang memerlukan.Bahkan ada yang meminta kepada penguasa agar memberikan bantuan. Jika tidak mampu juga, mereka berdoa kepada Allah Subanahuwata‘ala dengan bersungguh-sungguhagar memberikan pertolongan kepada orang yang sedang berada dalam kesusahan. Jadi mereka sentiasa rasa memiliki sesuatu untuk meringankan beban penderitaan saudara yang datang mengharapkan pertolongan.
- Melihat orang lainyang lebih rendah daripada kita dalam urusan keduniaan.
Dalam sebuah hadits, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
انظروا إلى من هو أسفلَ منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقَكم ، فإنه أجدَرُ أن لا تزدَروا نعمةَ اللهِ عليكم
Lihatlah orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan lihat orang yang lebih tinggi daripadamu.Hal itu lebih mampu membuatmu bersyukur atas nikmat Allah yang diberikan kepadamu.
(Riwayat Tirmizi)[2]
Rasa syukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata‘ala akan membuat kita melihat bahawa pada diri kita terdapat banyak kelebihan dan kemampuan yang boleh diberikan kepada orang yang memerlukan.
- Memelihara hubungan dengan sahabat-sahabat.
Disebut dalam sebuah atsar:
مَثلُ المؤمنين في توادِّهم وتراحُمِهم وتعاطُفِهم ، مَثلُ الجسدِ . إذا اشتكَى منه عضوٌ ، تداعَى له سائرُ الجسدِ بالسَّهرِ والحُمَّى
Perbandingan orang-orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati mereka adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka bersahut-sahutanlah yang lain-lain anggota kepadanya dengan berjaga(tidak dapat tidur) dan demam.
(Riwayat Muslim)[3]
Untuk menumbuhkan rasa berkemampuan dalam diri kita dalam membantu orang lain, kita perlulah memelihara hubungan yang erat dengan sahabat-sahabat yang suka menolong dan membantu.
- Membina sifat qana’ah dengan apa yang ada
Bersifat qana‘ah (merasa cukup dengan pemberian Allah Subhanahuwata‘ala) akan menyebabkan seseorang itu memiliki kekayaan jiwa dan merasai berkecukupan. Oleh ituia tidak akan kedekut untuk menyedekahkan hartanya.
Diriwayatkan dalam sebuah atsar:
قد أفلحَ من أسلمَ ، ورُزِقَ كفافًا ، وقنَّعَه اللهُ بما آتاهُ
Sungguh beruntung orang yang masuk islam dan rezekinya mencukupi dan berasa cukup dengan apa sahaja daripada pemberian-Nya
(Riwayat Muslim)[4]
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَن أصبَح مُعافًى في بدنِه آمنًا في سِربِه عندَه قوتُ يومِه فكأنَّما حِيزَتْ له الدُّنيا
Barang siapa di pagi hari merasa sihat badannya, aman dengan keluarganya, menjumpai makanan untuk sehari semalam, seakan-akan ia dianugerahi dunia dengan segala kenikmatannya
(Riwayat Ibn Hibban)[5]
- Membina sifat itsar
Iaitu sifat mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri sebagaimana sifat sahabat-sahabat Ansar. Mereka memperlakukan kaum muhajirin melebihi saudara-saudara kandung mereka.Bahkan ada daripada kalangan mereka bersedia memberikan separuh harta kekayaan danmenceraikan isteri agar boleh dinikahi oleh saudara muhajirin.Allah Subhanahuwata‘ala memuji mereka dalam firman-Nya:
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Dan orang yang telah menempati kotaMadinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.
(Surah Al-Hasyr:9)
Membangunkan semangat bersegera melakukan kebajikan.
- Membersihkan hati daripada bergantung kepada dunia
Seseorang yang terlalu mencintai dunia akan bersikap tamak mengaut kekayaan dunia, menyombongkan diri dan bakhil. Apabila ketamakan dan kebakhilan berkumpul dalam diri seseorang, maka iaakan menjadi orang yang zalim dan jahat. Seluruh hidupnya akan digunakan untuk meraih kekayaan dunia walaupun dengan menindas dan menzalimi orang lain. Ia lupa akan tuntutan agama, apatah lagi berlumba-lumba untuk melaksanakan tuntutan agama.
Diriwayatkan dalam sebuah atsar:
حبُّ الدُّنيا رَأسُ كلِّ خطيئةٍ
Cinta dunia adalah pangkal kepada segala keburukan.
(Riwayat as-Sakhawi)[6]
Oleh kerana itu hendaklah kita sentiasa membersihkan hati daripada mencintai dunia. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Ambillah sadaqah daripada sebahagian harta mereka, dengan sadaqah itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka.
(Surah At-Taubah :103)
- Menyedari bahawa kematian boleh datang bila-bila masa
Orang yang lupakan kematian akan dipenuhi dengan sifat panjang angan-angan dan bergelumang dengan maksiat. Ia mengira bahawa kematian itu sangat jauh daripada dirinya. Ia sama sekali tidak mempersiapkan diri untuk menghadapikematian. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
الكَيِّسُ مَن دان نفسَه وعمِل لما بعدَ المَوتِ والعاجِزُ مَن أتبَعَ نفسَه هواها وتمنَّى على اللهِ
Orang yang cerdas adalah orang yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah matinya.Dan orang yang bodoh adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah.
(Riwayat Tirmizi)[7]
Kita harus menyedari bahawa kematian itu sangat dekat dan bersemangat dalam mempersiapkan bekalan untuk akhirat kita. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
أكثِروا ذِكْرَ هاذمِ اللَّذاتِ الموتِ
Perbanyakkanlah mengingati pemutus kenikmatan (kematian).
(Riwayat Ibn Hibban)[8]
- Hidup dalam lingkungan orang yang mendorong berbuat kebajikan
Manusia adalah anak lingkungannya. Kalau lingkungannya adalah orang yang soleh dan sentiasa melakukan kebajikan, maka ia pun akan bersemangat melakukan kebajikan.
Satu kisah, ketika seorang pembunuh seratus nyawa ingin bertaubat, maka salah seorang ulama’ meyuruhnya berpindah daripada daerah yang buruk menuju kepada daerah yang baik. Ini kerana suasana lingkungan akan merawat dan menumbuhkan kesedaran imannya.
Rujukan utama:
Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.
[1] Sahih Muslim, no.hadits : 2199
[2] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2513
[3] Sahih Muslim, no.hadits : 2586
[4] Sahih Muslim, no.hadits : 1054
[5] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 671
[6] Al-Maqasidul Hasanah, no.hadits : 218
[7] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2459
[8] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 2992