Fiqh Dakwah

Meneruskan Kerja Da’wah Dan Tarbiah

Dunia pada hari ini telah berubah kepada suatu zaman yang moden dan maju, sejajar dengan peredaran masa. Kemajuan dan pembangunan ini banyak memberikan keselesaan serta kesenangan kepada kehidupan manusia. Namun, perkembangan yang pesat ini jika tidak berlaku mengikut acuan yang sebenarnya, maka ia akan memberikan kesan kemudaratan dan kepincangan kepada manusia sejagat.

Jika dianalisis dari segi sejarah, kehidupan masyarakat kini sudah kembali kepada suatu keadaan seperti zaman sebelum kedatangan  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Zaman yang diselubungi kejahilan dan berlakunya krisis ketamadunan. Boleh kita nyatakan di sini, bahawa kehidupan Islam yang pernah diajarkan oleh baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah kembali dagang dan asing. Ini bertepatan dengan hadis  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

إنَّ الإسلامَ بدأَ غريبًا ، وسيعودُ غريبًا كما بدَأ  فطُوبَى للغُرَباءِ

Sesungguhnya Islam telah bermula dalam keadaan dagang dan ia akan kembali dagang seperti mulanya, maka berbahagialah mereka yang bersama Islam di waktu ia dagang.

(Riwayat Al-Bukhari)[1]

Marilah kita melihat, memperbetul dan bermuhasabah terhadap diri kita dan keadaan masyarakat kita. Bagaimanakah sebenarnya keadaan masyarakat Islam dari pelbagai aspek kehidupan, terutamanya daripada tiga aspek yang akan difokuskan iaitu pendidikan, kemasyarakatan dan politik. Dan bagaimanakah kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ummah ini.

Pendidikan

Bidang pendidikan merupakan perkara asas dalam proses pembangunan ketamadunan manusia. Matlamat dan kaedah sistem pendidikan harus bertitik tolak daripada nilai serta ‘core value‘ yang jelas, nyata dan berasas. Dari segi aspek teorinya, pendidikan itu merangkumi seluruh aspek fakulti keinsanan manusia iaitu kerohanian, keintelektualan dan fizikal. Pendidikan yang syumul (menyeluruh) menyentuh seluruh kehidupan tanpa wujudnya pemisahan dan kelonggaran terhadap sesuatu aspek.

Namun, timbul permasalahan apabila pencapaian pendidikan seseorang pelajar hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata sehingga berlakunya pengabaian dalam pendidikan akhlak dan kerohanian. Kesannya, lahirlah generasi yang bijak dari segi keintelektualan tetapi miskin akhlak. Perkara ini pernah disebut oleh seorang ilmuan Islam: Sistem pendidikan hari ini mampu melahirkan golongan yang cerdik pandai, tetapi gagal untuk melahirkan seorang pemuda yang khusyuk dalam solat dan menangis menyesali dosa yang dilakukannya.

Kemasyarakatan

Jika dilihat dari aspek sosial pula, banyak gejala yang tidak bermoral kian menular ke dalam masyarakat dan keadaan ini semakin meruncing dari semasa ke semasa. Satu fenomena biasa pada hari ini apabila masalah keruntuhan akhlak dan kerosakan generasi muda terpapar di dada akhbar perdana setiap hari seolah-olah tiada tindakan penyelesaian yang dapat dilakukan.

Permasalahan seperti gejala pembuangan bayi, kes jenayah juvana, kes pembulian, kecurian dan sebagainya adalah tanda-tanda kepada kerosakan yang berlaku di dalam masyarakat. Hari ini, kebanyakan kaedah dan usaha menangani permasalahan ini hanyalah percubaan merawat petanda-petanda dan belum lagi ke arah menangani punca utama mengapa permasalahan itu berlaku.

Politik

Dari aspek politik pula, dunia berada dalam keadaan yang tidak stabil. Krisis demi krisis yang melanda mendedahkan pelbagai penyelewengan dalam pemerintah negara-negara di seluruh dunia. Suasana sebegini akan merencatkan suasana keamanan dan keharmonian negara. Sebagai contoh, keadaan politik negara-negara Islam seperti Afganistan, Iraq, Palestin, Yaman dan sebagainya mengalami perubahan politik akibat peperangan, pemberontakan dan persengketaan.

Dan lebih memburukkan keadaan, banyak kepincangan pemerintahan dan politik berlaku disebabkan keperibadian dan akhlak pemimpin yang rosak. Pemimpin yang tidak berakhlak akan menyebabkan berlaku banyak penyelewengan, pecah amanah dan mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Penyelesaian pembangunan ummah

Sebenarnya, penyelesaian utama kepada permasalahan yang berlaku pada hari ini ialah kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala dan ajaran Islam. Sesungguhnya, ajaran Islam adalah ajaran yang akan membawa kerahmatan dan keamanan kepada seluruh alam ini. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ

Tidak diutuskan engkau (Muhammad), kecuali untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.

(Surah al-Anbiya’ :107)

Transformasi holistik

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah melakukan satu transformasi yang menyeluruh. Dasar utamanya ialah kembali kepada proses pembentukan tauhid dan pembinaan akidah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Akidah Islamiyah menjadi tunjang perubahan. Inilah formula utama kejayaan baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Oleh yang demikian, melihat semula apa yang telah digariskan oleh Islam dan melaksanakan apa yang telah dilakukan oleh baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat adalah sesuatu yang perlu diikuti dan dicontohi.

Baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah melaksanakan proses tarbiah (pendidikan) dan da’wah (penyeruan) dalam mengislah (memperbaiki) masyarakat jahiliyah pada ketika itu.

Proses pendidikan diri dan pemulihan semula konsep kehidupan telah memberi kesan yang sangat mendalam pada generasi yang dididik oleh  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Hakikatnya, mereka telah melalui suatu proses pendidikan yang menghidupkan semula jiwa dan hati mereka sehingga ada yang memberi gambaran seolah-olah mereka menjadi manusia yang baru.

Inilah rahsia kejayaan proses perubahan yang membentuk sekelompok manusia yang terbaik dalam sejarah dunia. Pembentukan jiwa yang berteraskan akidah Islamiyah inilah yang akhirnya menentukan sikap dan nilai yang betul di dalam diri para sahabat  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Dan barang siapa yang mencari din selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

(Surah Ali-Imran : 85)

Para sahabat generasi awal adalah mereka yang dididik untuk melaksanakan Islam di dalam kehidupan. Mereka adalah generasi Al-Quran yang melaksanakan Al-Quran di dalam hidup mereka. Mereka adalah generasi da’wah. Segala permasalahan yang dihadapi oleh mereka akan diselesaikan dengan cara kembali melihat neraca iman dan panduan daripada Al-Quran dan sunnah.

Mereka menjadi generasi terbaik kerana melaksanakan tuntutan ajaran Islam secara komprehesif dan menyeluruh yang terlaksana secara nyata dalam kehidupan dengan rela tanpa paksaan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah.

(Surah Ali-Imran  : 110)

Usaha da’wah yang meluas

Di samping itu juga,  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda begitu gigih menegakkan din Islam serta bersungguh-sungguh berusaha menyebarluaskan da’wah kepada seluruh manusia di serata pelusuk dunia. Dengan keyakinan dan kepercayaan yang mendalam, para sahabat giat merancang strategi, berbincang, melaksanakan perancangan da’wah serta menilai semula gerak kerja mereka bagi memastikan ajaran Islam tersebar ke seluruh dunia. Misi mereka ialah agar seluruh manusia berada dalam naungan kebahagiaan Islam dan hidup secara harmoni di bawah payung pemerintahan Islam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.

(Surah Ali-Imran : 104)

Bekalan terbaik menuju akhirat

Oleh yang demikian, segala kerja da’wah dan tarbiah harus dilaksanakan dengan berpandukan sumber yang muktabar iaitu Al-Quran dan sunnah. Segala gerak kerja harus dirancang, dilaksana, dipantau dan dinilai agar kerja ini benar-benar berjalan secara sistematik dan tersusun.

Para aktivis da’wah perlu berterusan melakukan kerja-kerja pembaikan masyarakat dan penyeruan ke arah cara hidup Islam yang syumul dan menyeluruh. Kerja-kerja ini haruslah dilaksanakan secara sukarela, kolektif, proaktif dan dinamik. Kerja-kerja inilah yang diwariskan oleh baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada umat Islam dan ia diteruskan zaman berzaman oleh mereka yang ikhlas  memperjuangkan din Allah Subhanahuwata’ala.

Kerja da’wah adalah bekalan yang terbaik untuk kita persembahkan kepada Allah Subhanahuwata’ala pada hari pertemuan dengan-Nya. Inilah warisan yang ditinggalkan oleh baginda  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk kita laksanakan dan seharusnya kita merasai masuliyah (tanggungjawab) ini dengan penuh kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang mendalam kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Justeru itu, masuliah da’wah dan kerja-kerja tarbiah ini wajib dilaksanakan dengan penuh ketelitian, kesungguhan dan keizzahan dengan bekerjasama dengan semua pihak yang menyokong dan mendokong kerja-kerja ini. Insya-Allah.

 

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

[1] Sahih Bukhari, no.hadits : 338

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button