Kita perlulah memahami bahawa kewajipan hamba kepada Allah Subhanahuwata‘ala adalah ber’ubudiyyah (عبودية) atau beribadah, takut (خشية), bertaqwa, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya semata-mata. Maka, selaku hamba Allah Subhanahuwata‘ala, hadapkanlah sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata, tidak kepada makhluk.
Kewajipan hamba Allah Subhanahuwata‘ala adalah:
1. Ber’ubudiyyah (عبودية) atau beribadah kepada Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata
Firman-Nya:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(Surah ad-Dzariyat: 56)
2. Takut hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala.
Firman-Nya:
فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَوۡهُ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
Padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Surah at-Taubah: 13)
3. Bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata.
Firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati (kembali kepada Allah) melainkan dalam keadaan kamu semua benar-benar muslim (beragama Islam).
(Surah ali-Imran: 102)
4. Segala permohonan dan doa hanya ditujukan kepada Allah Subhanahuwata‘ala
Allah Subhanahuwata‘ala telah memerintahkan orang yang beriman supaya memohon dan berdoa kepada-Nya sahaja. Firman-Nya:
ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
Berdoalah kepada-Ku (Allah), nescaya akan Ku (Allah) perkenankan bagimu (doa kamu semua).
(Surah Ghafir: 60)
Sesungguhnya Allah Subhanahuwata‘ala telah menyatakankan ikrar orang yang beriman di dalam ayat 5 surah al Fatihah:
إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
Hanya kepada Engkaulah ( Allah) kami perhambakan diri (menyembah) dan hanya kepada Engkaulah (Ya Allah) kami mohon pertolongan
(Surah Al-Fatihah: 5)
5. Bertawakkal hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala di dalam usaha dan urusan hidup seluruhnya.
Firman-Nya:
وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Surah al-Ma’idah: 23)
Ringkasnya ibadah, takut, taqwa, doa dan tawakkal kita hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala semata-mata tanpa sebarang sekutu atau syirik dengan mana-mana makhluk. Ini kerana semua perkara tersebut adalah haq Allah Subhanahuwata‘ala yang tidak diberikan kepada mana-mana makhluk, termasuklah Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam. Bahkan baginda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah hamba Allah Subhanahuwata‘ala yang paling teguh beribadah, paling takut, paling bertaqwa, sentiasa berdoa dan bertawakkal sepenuhnya kepada-Nya.
Hak Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan tanggungjawab umat Islam kepada baginda
Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, selaku Rasul Allah, dalam beberapa aspek diberikan hak-hak tertentu oleh Allah Subhanahuwata‘ala. Baginda diberikan hak ketaatan, hak kecintaan, hak اتباع (ikutan) dan hak qudwah (hak bercontoh) oleh umat baginda. Bahkan ketaatan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dianggap ketaatan kepada Allah Subhanahuwata‘ala jua. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَۖ
Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.
(Surah an-Nisa’: 80)
Demikian juga hak kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, sehingga ia menjadi suatu syarat keimanan. Hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam di dalam haditsnya:
عن انس بن مالك رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:لا يُؤمِنُ أحدُكم حتى أكونَ أحبَّ إليهِ من والدِه وولدِه والناسِ أجمعينَ
Daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu katanya, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam) lebih ia cintai daripada bapanya, anak-anaknya dan sekelian manusia
(Riwayat Bukhari)[1]
Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ
Katakanlah(wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri (suami-suami kamu), kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (hingga semua itu ) adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab-Nya).
(Surah at Taubah: 24)
Demikian juga Allah Subhanahuwata‘ala telah memberi hak mengikut dan bercontoh kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Firman-Nya:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut/mengingati Allah.
(Surah al Ahzab: 21)
Semua orang yang beriman dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, pejuang, pendidik, ibubapa, pekerja, orang atasan, orang bawahan dan sebagainya) adalah dituntut untuk mencontohi Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam – kecuali di dalam perkara-perkara خصوصيات (perkara-perkara khas yang diberi keistimewaan kepada RasulullahSallallahu‘alaihiwasallam sahaja).
Firman Allah Subhanahuwata‘ala:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah ali Imran: 31)
Sifat-sifat utama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam untuk dicontohi
Kita telah sedia maklum bahawa pada diri Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallamada sifat-sifat utama (asasi) untuk dicontohi, iaitu:
الصدق | : | Sifat benar dalam semua hal dan tidak berdusta sama sekali.
|
الآمانة | : | Sifat amanah, jujur, ikhlas dan tidak berkhianat sama sekali.
|
الفطانة | : | Sifat cerdik, bijaksana dan tajam aqal.
|
التبليغ | : | Sifat menyampaikan kebenaran dan apa jua yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala sama ada dipersetujui atau ditentang oleh manusia. |
Semua sifat ini sepatutnya dicontohi oleh setiap orang mu’min dan mu’minah sekiranya kita ingin melihat lahirnya masyarakat yang bersih, pengurusan institusi yang beramanah dan pentadbiran negara yang baik. Yakni bersih daripada sebarang skandal, perilaku yang salah, pecah amanah, rasuah dan sebagainya.
Rujukan:
Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (24 Rabiulawal 1425H, 14 Mei 2004), (beliau mengesyorkan rujukan lanjut kepada penulisan Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya أصول الدعوة dan Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya جند الله ثقافة وأخلاقا.)
[1] Sahih Al-Bukhari, no.hadits: 15