ALLAH Subhanahuwata’ala telah menciptakan manusia mengikut fitrah-Nya. Hal ini termaktub dalam kitab suci-Nya:
فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ
(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Surah Ar-Rum: 30)
Sabda Rasul-Nya Sallallahu’alaihiwasallam:
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
Sesungguhnya setiap anak dilahirkan dengan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi. (Riwayat al-Bukhari)[1]
Maksudnya, Allah Subhanahuwata’ala menciptakan manusia dalam keadaan fitrah dengan sifat–sifat dan ciri-ciri asalnya. Secara fitrah dan asalnya, manusia mengakui keberadaan Al-Khaliq (Allah Subhanahuwata’ala). Hal ini telah dinyatakan Allah Subhanahuwata’ala dalam wahyu-Nya.
Al-Quran telah menerangkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala telah mengambil sumpah daripada anak Adam ketika ia berada dalam tulang sulbi ayahnya (yakni ketika di alam ghaib). Firman-Nya:
أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰ شَهِدۡنَآۚ
Bukankah Aku ini Rab kamu? Mereka menjawab: Benar (Engkau Rab kami), kami menjadi saksi.(Surah Al-A’raf : 172)
Allah Subhanahuwata’ala mengambil perjanjian itu, agar kelak di kemudian hari manusia tidak memungkirinya.
Sehingga saat ini, tidak ada manusia yang berani mendakwa telah mencipta alam semesta. Sebenarnya, semua manusia mengakui bahawa Rab-lah yang telah mencipta alam ini. Bahkan, kaum atheis pun tidak dapat membuktikan bahawa alam ini terjadi tanpa pencipta pertama yang mencipta segala sebab dan akibat.
Oleh kerana manusia mengakui kewujudan Al-Khaliq, maka secara fitrah manusia juga memiliki kecenderungan untuk menyembah Allah Subhanahuwata‘ala, sebagai tanda syukur atas nikmat hidup, rezeki dan penjagaan-Nya.
Penyembahan manusia kepada sesuatu yang tidak pernah menciptanya merupakan penyelewengan daripada fitrahnya. Penyelewengan ini terjadi adalah kerana godaan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia agar menyembah sesama makhluk.
Secara fitrah, manusia juga berhajatkan kehidupan yang teratur dan harmoni. Manusia tidak menginginkan kerosakan dan kekacauan. Manusia ingin hidup tenang dan damai dalam naungan kasih sayang dan cinta. Manusia tidak ingin hidup dalam keadaan diri terancam. Namun, syaitan sentiasa berusaha menimbulkan kekacauan antara manusia sehingga mereka saling bermusuhan dan bunuh membunuh.
Fitrah yang suci apabila terpelihara dengan baik dan mendapat bimbingan yang benar akan melahirkan kebaikan bagi diri manusia sendiri dan alam semesta. Namun, syaitan merosakkan manusia hingga mereka berbuat syirik, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Untuk menjaga fitrah, melawan nafsu, dan memerangi syaitan, manusia memerlukan petunjuk dan bimbingan Allah Subhanahuwata‘ala. Maka Allah Subhanahuwata‘ala mengutuskan para rasul-Nya daripada kalangan manusia yang terpilih untuk memberi petunjuk dan bimbingan. Para rasul diberikan bimbingan wahyu-Nya. Dengan bimbingan wahyu ini, para rasul mengajar manusia untuk mengenali Pencipta (Allah Subhanahuwata‘ala) dan menjalani kehidupan mengikut manhaj (sistem) atau din-Nya.
Contoh ayat al-Quran, bagaimana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memperkenalkan Allah Subhanahuwata‘ala kepada manusia:
خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيۡرِ عَمَدٖ تَرَوۡنَهَاۖ وَأَلۡقَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ رَوَٰسِيَ أَن تَمِيدَ بِكُمۡ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖۚ وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَنۢبَتۡنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوۡجٖ كَرِيمٍ
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu, dan mengembang-biakkan padanya segala macam jenis binatang, dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik. (Surah Luqman: 10)
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam juga telah membentangkan Islam sebagai satu-satunya manhaj (sistem) kehidupan yang diredhai-Nya.
Firman-Nya:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ
Sesungguhnya din (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam. (Surah Ali-Imran : 19)
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ
Barangsiapa mencari din selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (din itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi. (Surah Ali-Imran: 85)
Apabila manusia mengenali Penciptanya (yakni Allah Subhanahuwata‘ala) dan menjalani kehidupan mengikut sistem atau din-Nya, maka akan terwujudlah penyembahan atau peribadatan manusia yang betul kepada-Nya. Firman-Nya:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِيٓ إِلَيۡهِ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعۡبُدُونِ
Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahwasanya tidak ada ilah (tuhan yang disembah) melainkan Aku (Allah), maka sembahlah olehmu sekelian akan Aku. (Surah Al-Anbiya’ : 25)
Rujukan:
Syarah Rasmul Bayan Tarbiah, Jasiman Lc, Auliya Press Solo 2005.
[1] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 1385