Hadith

Hadith: Rukun Islam

HADITH : Rukun Islam
(Hadith ketiga daripada Himpunan Hadith Arba’in susunan Imam Nawawi)

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: ” بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ”. رواه البخاري ومسلم
Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Islam itu didirikan atas lima (perkara) – Menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.
(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud kalimah

بُنِيَ : Dibina. Maksudnya diasaskan.

عَلَى خَمْسٍ : Di atas lima perkara. Di dalam satu riwayat yang lain di sebut  عَلَى خَمْسة  Maknanya, lima tunggak atau lima rukun.

شَهَادَةِ  : Penyaksian. Maksudnya mengakui (iqrar) dan membenarkan (tasdiq).

إِقَامِ الصَّلَاةِ : Mendirikan solat,berterusan melakukannya. Semua syarat dan rukunnya serta sunnat dan adab-adabnya dilakukan dengan sempurna.

Keterangan hadith

1. Binaan Islam diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran, menjauhkannya dari neraka dan melayakkannya masuk ke dalam syurga. Struktur binaan yang kemas dan kukuh memerlukan asas, rukun atau paksi yang kuat.

2. Bagi rukun-rukun Islam tersebut:

– Orang yang sempurna imannya wajib menerima sepenuhnya kesemua rukun Islam.

– Orang yang menolak semuanya, atau menolak salah satu daripada rukun-rukun tersebut, akan menyebabkan ia terkeluar daripada Islam (kafir).

– Orang yang menerimanya tapi malas mengamalkannya (kecuali syahadah), maka ia termasuk ke dalam golongan orang yang fasiq.

– Orang yang melakukan dan beriqrar secara pura-pura, maka ia termasuk dalam golongan munafiq.

3. Penerangan rukun-rukun Islam:

– Syahadah adalah syarat paling utama agar semua amalan dan ibadah diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala.

– Syahadah mengandungi dua bahagian:

– أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ – Bahawa tiada ilah melainkan Allah. Bermakna, satu-satu ilah yang diperhambakan diri, dita’ati dan dipatuhi ialah Allah Subhanahuwata’ala .

– أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ – Bahawa Muhammad itu utusan Allah. Bermakna, membenarkan kenabian Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan menerima keseluruhan risalah atau ajarannya.

– Di akhirat, solat adalah ibadah pertama yang akan dihisab oleh Allah Subhanahuwata’ala. Di dunia, solat adalah penghubung antara hamba dengan Rabnya.

– Zakat adalah ibadah yang akan menyucikan diri seorang hamba, dan menyubur serta membawa keberkatan kepada hartanya.

– Ibadah haji yang mabrur adalah sebaik-baik jihad. Tidak harus bagi seseorang yang berkemampuan untuk melewatkan pemergian menunaikan haji, bahkan wajib baginya untuk disegerakan.

– Dengan ibadah puasa, syahwat akan dikekang dan maksiat akan terhindar. Puasa akan membawa seseorang hamba kepada ketinggian darjah di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Pengajaran

1. Hadith ini menerangkan rukun lslam (atau prinsip asas Islam) lima perkara. Hadits ini mengumpamakan lslam sebagai sebuah binaan yang tertegak di atas lima tiang yang kukuh. Tanpa lima perkara ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni menunjukkan betapa semua rukun atau tiang ini mesti dibinakan pada diri setiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.

2. Menegakkan rukun-rukun lslam bermakna menyediakan asas yang kuat untuk kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam, sebaliknya mengabaikan rukun-rukun ini (atau mengabaikan salah satu daripadanya) bererti menempah keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan binaan lslam.

3. Rukun yang paling asas ialah syahadah:

أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Bahawa tiada ilah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah.

4. Kesan daripada solat yang didirikan dengan ikhlas dan mematuhi rukun serta syaratnya, akan menghindarkan seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ
Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. (Al-Ankabut : 45)

5. Zakat adalah pembersih harta benda. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta). (Al-Mu’minun : 4)

Dengan zakat akan terlaksana keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan melahirkan kasih sayang sesama manusia.

Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ فِيٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ حَقّٞ مَّعۡلُومٞ ٢٤ لِّلسَّآئِلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ ٢٥
Dan orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu (zakat). Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (Al-Ma’arij : 24-25)

6. Ibadah haji merupakan ibadah berkaitan harta benda, pergerakan fizikal tubuh badan dan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ ٢٧ لِّيَشۡهَدُواْ مَنَٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَٰمِۖ فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآئِسَ ٱلۡفَقِيرَ ٢٨
Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang yang sengsara dan fakir. (Al-Haj : 27,28)

7. Puasa adalah ibadah yang mana tujuan asasnya untuk melahirkan hamba yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah : 183)

8. Dapat difahami daripada hadits ini bahawa Islam adalah aqidah dan amalan. Oleh itu tidak bermanfaat amalan tanpa iman, dan tidak wujud iman yang sebenar tanpa amalan.

 

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button