PENDAHULUAN
عَنْ عَبْدِ اللّه بن مَسْعُودٍ رضي اللّه عنه قال: ” سَأَلْتُ رَسُولَ اللّه صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسلَّمَ: أَي الْعَمَلِ أَحَبُّ إلى اللّه؟ قال: ” الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” بِرُّ الْوالِدَيْنِ “. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” الجِهَادُ في سَبِيلِ اللّه ” – رواه البخاري
Daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, “Solat pada waktunya”. ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’. Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah.” (Diriwayatkan oleh Bukhari)
PERAWI HADITH
Nama beliau ialah Abdullah bin Mas’ud Al-Hudzaliy. Beliatu tergolong dalam kalangan orang terawal yang memeluk Islam dan merupakan antara sahabat yang tinggi ilmunya. Beliau seorang yang kaya, bersopan santun, bijak dan sukakan kepada wangi-wangian.
Beliau berhijrah sebanyak dua kali. Beliau merupakan orang yang paling fasih dalam pembacaan Al-Quran di Mekah selepas Rasulullah SAW. Beliau bersma dengan Rasulullah SAW dalam kebanyakan waktu. Beliau banyak mendampingi baginda sehinggalah sebahagian orang yang terkemudian meletakkan beliau sebagai ‘Ahlul Bait’ (tergolong dalam kalangan keluarga Rasulullah SAW). Rasulullah SAW bersabda mengenai perihal beliau :
مَنْ أحبَّ أَنْ يَقْرَأَ القرآنَ غَضّاً كما نَزَلَ فليقرأْ على قراءةِ ابنِ أمِّ عَبْدٍ – أخرجه ابن ماجة
Bermaksud, “Sesiapa yang suka untuk membaca Al-Quran dengan benar, sebagaimana ia diturunkan, maka hendaklah membacanya seperti bacaan Ibnu Ummi Abd (Abdullah bin Mas’ud).” (Dikeluarkan hadits ini oleh Ibn Majah).
Abdullah bin Mas’ud wafat di Madinah dan dikebumikan di sana pada tahun 32 Hijrah.
KOSA KATA
بِرُّ الْوالِدَيْنِ : berbuat baik (berlaku ihsan) kepada kedua ibu bapa.
SYARAH HADITH
Para sahabat Nabi SAW sangat memberi perhatian terhadap amalan yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Oleh sebab itu mereka sering bertanyakan soalan-soalan berkaitan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Kemudian mereka akan saling berlumba untuk melaksanakan amalan itu dan melakukan perkara yang menjurus ke arah amalan tersebut.
Dalam hadith ini, seorang sahabat nabi yang mulia iaitu Abdullah bin Mas’ud bertanya tentang amalan yang paling Allah sukai. Maka Rasulullah SAW menunjukkan kepada 3 amalan kebaikan yang penting bagi kehidupan seorang muslim. Rasulullah SAW menyebutkan amalan-amalan yang disukai oleh Allah SWT, iaitu:
Pertama: Solat pada waktunya
Solat ialah tiang din (agama) dan merupakan ibadah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Solat menjadikan seseorang itu sentiasa terhubung dengan Allah Ta’ala secara berterusan. Seorang muslim itu akan menyebut dan memuji Allah Ta’ala dalam solatnya.
Rasulullah SAW menerangkan kepentingan solat dengan sabda baginda:
“إِنَّ أوَّلَ مَا يُحاَسَبَ به العبدُ يومَ القيامةِ مِنْ عملِهِ صلاتُهُ، فإنْ صَلُحَتْ فقدْ أفلحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فقدْ خَابَ وَخَسَرَ” -رواه الترمذي
Bermaksud, “Sesungguhnya perkara yang pertama dihisab bagi seseorang hamba itu pada hari kiamat ialah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung. Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang yang kecewa dan rugi.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi)
Kesungguhan yang diambil oleh seseorang muslim untuk menunaikan solat dan mengutamakan solat melebihi segala perkara, merupakan kayu ukur tahap iman yang ada di dalam hatinya. Saat mu’azzin melaungkan “حي على الصلاة” dan dia mendengarnya, adakah dia menyahut atau melambatkan solat? Pada ketika ini seseorang muslim itu pasti akan menimbantara antara perkara yang sedang dilakukan ataupun menunaikan perintah Allah dengan segera. Yang manakah seorang muslim akan pilih?
Rasulullah SAW bersabda dalam hadith:
سَيَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يُمِيتُونَ الصَّلَاةَ ، فَصَلِّ الصَّلَاةَ لِوَقْتِهَا ، فَإِنْ صَلَّيْتَ لِوَقْتِهَا كَانَتْ لَكَ نَافِلَةً ، وَإِلَّا كُنْتَ قَدْ أَحْرَزْتَ صَلَاتَكَ – رواه البخاري
Bermaksud, “Akan berlaku selepas ketiadaanku pemimpin-pemimpin melambatkan solat, maka solatlah pada waktunya. Sekiranya kamu telah solat pada waktunya, kamu mendapat pahala sunat pada solat kamu yang kedua bersama mereka.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari.
Kedua: Berbuat baik kepada kedua ibu bapa
Islam amat mengambil berat akan pembentukan masyarakat yang saling berkasih sayang dan bersatu padu. Islam menekankan agar setiap unit daripada masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya. Antara peranan seorang muslim dalam masyarakat ialah berbuat baik kepada ibu bapa.
Banyak ayat di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang kewajipan berbuat baik dan bersikap ihsan kepada kedua ibu bapa bagi setiap muslim dan muslimah. Rasulullah SAW juga mengulangkannya sebagai amalan yang amat disukai oleh Allah. Al-Quran menggesa agar berlaku baik dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kerana pengorbanan mereka. Di samping itu, Al-Quran turut meminta agar menjauhkan diri daripada menengking, membentak, mengeluarkan kata kasar dan mengeluarkan pengucapan yang rendah nilainya. Iaitu pengucapan yang menunjukkan sikap tidak acuh, tidak peduli dan tidak suka semasa berkomunikasi dengan mereka. Allah Taala berfirman:
فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ
Bermaksud: “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah !”…” (Surah Al-Isra’ (17): 32)
Juga dilarang untuk meninggikan suara semasa bercakap dengan mereka kerana ianya dianggap perbuatan yang buruk. Islam menyarankan agar berkasih sayang kepada kedua mereka dan merendah diri serta berdoa kepada mereka seperti termaktub dalam Al-Quran : .
وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Rabbku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra’ (17): 24)
Demikian juga diseru agar anak-anak menghulurkan bantuan kepada mereka dalam setiap perkara. Di samping menjaga hubungan baik dengan saudara mara, tetangga dan sahabat-sahabat kepada kedua ibu bapa. Rasulullah SAW menyebut:
إِنَّ أَبّرَّ البِرِّ صِلَةُ الولدِ أَهلَ وُدِّ أبيهِ _ رواه المسلم
Bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik bentuk bakti (kepada orang tua) ialah seseorang anak itu menyambungkan tali persaudaraan keluarga sahabat karib ayahnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim).
Islam telah meletakkan bahawa menderhakai kedua ibu bapa tergolong dalam perbuatan berdosa besar. Rasulullah SAW bersabda :
“أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ ثلاثاً : الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ…”
رواه مسلم
Maksudnya: “Mahukah kamu aku sampaikan tentang sesuatu yang termasuk daripada dosa-dosa besar?” – baginda mengulangi pertanyaan sehingga tiga kali (lalu berkata) : menyekutukan Allah, derhaka terhadap kedua orang tua dan kesaksian palsu…” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Ketiga: Berjihad di jalan Allah
Jihad ialah perbuatan yang wajib dan Islam amat mengambil berat tentang pelaksanaanya. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kelebihan dan kewajipan berjihad. Antara firman Allah Taala:
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمً
Maksudnya: “Oleh itu, orang (beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah An-Nisa (4): 74)
Jihad mempunyai pengertian yang luas:
1. Jihad dengan diri : Iaitu seorang muslim menyertakan dirinya dalam medan pertempuran melawan musuh. Jihad ini ialah jihad di tahap paling tinggi.
2. Jihad dengan harta : Iaitu seorang muslim yang memberi sokongan kepada para pejuang dengan hartanya untuk memenuhi segala persiapan yang diperlukan.
Allah Ta’ala berfirman:
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Bermaksud: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)” (Surah At-Taubah (9): 41)
Sebaik-baik jihad ialah seorang muslim itu melakukan kedua-dua perkara di atas.
Berjihad di jalan Allah Taala merupakan antara amalan yang utama untuk menjadikan seseorang muslim itu dekat kepada Allah Taala. Jihad membuktikan seseorang muslim itu mempunyai sikap ambil berat menjaga din (agama) dan sanggup berkorban demi kebaikan din.
سُئِلَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّجلِ يُقَاتِلُ شجاعةً ويقاتِلُ حميَّةً أو يقاتل للغُنْمِ، أي ذلك في سبيل الله ؟ فقال عليه السلام : من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا ، فهو في سبيل الله”. – رواه بخاري
Rasulullah SAW ditanya tentang perihal seseorang yang berjihad kerana ingin mempamerkan keberaniannya, atau kerana ingin mempertahankan kaumnya/tanah airnya, atau kerana mengharapkan harta rampasan perang. Apakah ianya dikira berjihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW menjawab: Sesiapa yang berjihad untuk menegakkan din Allah yang tinggi ini, maka jihadnya itu di jalan Allah. (Diriwayatkan oleh Bukhari).
PENGAJARAN DARIPADA HADITH
1. Seseorang muslim mestilah menjaga perkara-perkara yang dapat membuatkan dirinya memperoleh kasih sayang dan redha Allah SWT.
2. Seseorang muslim mestilah memelihara solatnya dan setiasa bersegera menunaikannya.
3. Seseorang Muslim itu mestilah berbakti kepada kedua ibu bapa mereka dan sentiasa melakukan perkara yang dapat menyenangkan hati mereka.
4. Kewajipan jihad dalam Islam dilakukan dengan kudrat diri sendiri dan harta.
JIHAD BERDAKWAH
Dalam suasana umat yang jauh ketinggalan daripada ajaran Islam sebenar dan musuh-musuh pula telah merosakkan kefahaman umat terhadap Islam, maka bagi pendakwah-pendakwah yang bersungguh-sungguh berdakwah untuk menyampaikan kesedaran dan kefahaman sebenar kepada umat juga dikira sebagai jihad. Pendakwah yang mati di jalan dakwah seumpama ini juga di memperolehi kematian yang mulia. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 157 dan 158:
لَئِن قُتِلۡتُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوۡ مُتُّمۡ لَمَغۡفِرَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَحۡمَةٌ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ
وَلَئِن مُّتُّمۡ أَوۡ قُتِلۡتُمۡ لَإِلَى ٱللَّهِ تُحۡشَرُونَ
Dan sungguh jika kamu terbunuh di jalan Allah atau mati, tentulah ampunan Allah dan kasihsayang-Nya lebih baik (bagimu) daripada harta yang mereka kumpulkan. Dan sungguh jika kamu mati atau terbunuh, tentulah kepada Allah-lah kamu dikumpulkan.
1. Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, terbunuh atau syahid di jalan Allah bermakna terbunuh di tangan musuh Allah SWT ketika berada di medan jihad di jalan-Nya.
2. Manakala, mati di jalan Allah bermakna seorang muslim itu mati ketika sedang melakukan amal Islami yang diredhai Allah SWT, seperti berdakwah di jalan-Nya dan melakukan pelbagai kerja-kerja Islam bertujuan untuk memperkuat atau mengukuhkan Islam.
Samada seseorang itu syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah, maka kedua-dua jenis kematian itu adalah kematian yang sangat mulia. Kedua-keduannya akan mendapat kasih sayang Allah dan keampunan Allah daripada segala dosanya.
AKTIVITI
1. Apakah kedudukan solat di dalam Islam?
2. Nyatakan 2 kesan yang positif yang berlaku kepada peribadi seorang muslim yang solat pada waktunya?
3. Bagaimanakah cara berbuat baik kepada ibu bapa?
4. Jelaskan jihad yang diberikan ganjaran pahala bagi seseorang Muslim.
5. Nyatakan amalan-amalan yang disukai Allah Taala mengikut urutannya di dalam pelajaran ini?
6. Bulatkan pada jawapan yang betul:
Hukum Syar’ie yang dapat diperoleh daripada firman Allah Taala: فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا
- Larangan menunjukkan sikap tidak senang pada ibu bapa.
- Larangan menyakiti ibu bapa.
- Larangan menengking dan membentak ibu bapa.
- Kesemua perkara yang disebutkan.
Antara dosa-dosa besar dalam Islam ialah:
- Derhaka pada kedua ibu bapa.
- Menjadi saksi palsu.
- Syirik pada Allah SWT
- Kesemua yang dinyatakan.
Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Hadith Al-Sharif,
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est)
Terima kasih diatas perkongsian ini..sangat membantu ilmu yang sangat bermanfaat..semoga kita mendapat rahmat dari Allah SWT hendaknya