Fiqh Harakah

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 4)

CIRI 4: JALAN DAKWAH (WASAIL DA’WAH) YANG TIDAK BERUBAH

Secara umumnya, jalan untuk mencapai matlamat tidak bertukar dan berubah, biarpun di mana sahaja gerakan organisasi dakwah muncul dan hidup, iaitu:

  1. Iman yang mendalam
  2. Penyusunan yang rapi
  3. Kerja atau jihad yang berterusan

Melalui ketiga-tiga panduan ini akan terbentuklah individu muslim, keluarga muslim dan masyarakat Islam. Semua ini dikira sebagai persediaan yang kuat untuk membangunkan kerajaan Islam yang akan mengendalikan hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala dan  dipimpin oleh khalifah yang menjadi guru kepada alam, dengan izin Allah.[1]

Ketiga-tiga panduan ini berganding bahu antara satu sama lain. Dengan panduan ini, langkah pertama ialah menyediakan individu muslim bagi lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Individu yang diumpamakan sebagai batu-bata yang akan menegakkan binaan Islam. Apabila baik individu-individu maka baiklah keluarga dan seterusnya akan baiklah masyarakat yang akan dibina. Kata Sayyid Qutb:

“…Sesungguhnya (pembinaan) Islam ini tidak akan baik diakhirnya nanti kecuali baik pembinaanya diawal-awal lagi. Kerana itu kita berusaha untuk membentuk individu muslim. Apabila ia telah ada maka ia akan bangun dengan sendirinya untuk mewujudkan sistem Islam…”[2]

Individu Islam yang soleh ini tidak akan sempurna pembinaanya kecuali telah melengkapi empat perkara yang terkandung di dalam surah al-‘Asr iaitu:

“Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan prinsip-prinsip keimanan yang lain (serta meyakini Islam sebagai sistem hidup), beramal soleh, pesan memesan dengan kebenaran dan pesan memesan dengan kesabaran, hidup sebagai perajurit kepada kebenaran (Islam), beriman dan mencintainya serta menyokong dan menyeru kepadanya.[3] Individu yang sanggup bekerja, berkorban dan berjihad untuk menjulang Islam bagi memenuhi tuntutan dakwah itu sendiri sepertimana yang telah dikorbankan oleh generasi Islam pertama demi  meyakinkan dunia terhadap kebaikan dan kebenaran Islam.”[4]

Sa’id Hawwa secara terperinci menjelaskan tentang individu Islam katanya:

“…Individu Islam yang kita kehendaki ialah individu yang kuat tubuh badan, akhlak yang unggul, terpelajar orangnya, mampu bekerja dan berusaha, bersih akidahnya, sahih ibadahnya, mujahadah terhadap dirinya, pandai menjaga waktu, teratur berdisiplin di dalam segala kerja, bermanfaat untuk orang lain, sentiasa membawa ahlinya menghormati fikrahnya, menjaga adab dan tatatertib Islam di dalam kehidupan rumah tangga, baik dan bijak dalam memilih isteri, melaksanakan hak dan tanggungjawab terhadapnya, baik dalam mendidik anak dan orang bawah jagaannya serta membesarkan mereka atas dasar Islam. Berdakwah dan berusaha untuk memperbaiki masyarakat, menentang kemungkaran, berusaha menjadikan seluruh hidup sejajar dengan Islam. Berusaha mengembalikan hak khalifah yang telah hilang dan berusah pula untuk memimpin dunia ini dengan menyebarkan dakwah Islam sehingga tiada lagi fitnah dan menjadikan Din ini hak milik Allah.”[5]

Langkah seterusnya ialah rumah tangga Islam. Rumah tangga yang sentiasa komited (iltizam) dengan Islam, berpakaian menurut syarak, halal makan minum dan tiada di dalamnya perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Rumah tangga yang makmur dengan ketaatan dan terpancar dalamnya cahaya dan keberkatan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Suami isteri yang hidup dalam keadaan sejahtera, reda meredai, serta jauh daripada sebarang tekanan, prasangka, benci dan penipuan antara satu sama lain.

Justeru itu setiap individu mestilah mencari pasangan atau isteri yang solehah. Sebaik-baiknya keutamaan diberikan kepada pendakwah wanita yang sama-sama melalui jalan dakwah[6], yang akan menjadi sebaik-baik pembantu dalam meneruskan usaha dakwah. Membantu dan memperingati ketika lemah dan lalai. Menjaga diri ketika ketiadaan suami biarpun lama masanya. Demikian juga bagi pihak wanita apabila memilih bakal suami, maka carilah lelaki yang mendukung akidah dan melalui jalan dakwah, supaya anak-anak membesar nanti dalam suasana Islam. Cinta kepada Allah dan Rasulnya, kasih dan sayang terhadap ibu bapa, mengasihi dan menghormati orang yang beriman, menggemari kebaikan untuk umat Islam yang akhirnya nanti akan melahirkan satu generasi yang kuat imannya dan akhlaknya. Selain itu berusaha untuk mengembalikan kekuatan umat Islam dan kemuliaannya[7] – “kanak-kanak dilahirkan di atas fitrah, ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani dan Majusi.”[8]

Langkah akhir ialah mewujudkan masyarakat Islam, yang mana individu dan keluarganya terikat dengan ikatan akidah dan menjadikan Islam sebagai ideologi hidup mereka. Jauh daripada sebarang sifat perkauman dan perasaan kedaerahan biarpun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa serta taraf kedudukan. Masyarakat ini berbeza daripada masyarakat lain.[9] Masyarakat ini dinamakan dengan masyarakat beriman. Anggota-anggota masyarakat hidup dengan penuh kasih sayang dan bersaudara. Sentiasa menyeru kepada kebaikan,  memerangi kemungkaran, menjauhi dosa dan memiliki akhlak yang terpuji. Seluruh kehidupan zahir dan batin dicelup dengan celupan Islam samada pemikiran, hati mahupun perasaan, serta sentiasa mengharapkan balasan di akhirat seperti yang disifatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala:

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤ أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥

“Orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, mendirikan solat dan daripada apa yang direzekikan, mereka belanjakan. Orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang diturunkan sebelum engkau, dan dengan Hari Kiamat mereka yakin. Mereka itulah orang yang mendapat petunjuk daripada Rabb mereka dan mereka itulah orang yang berjaya.”

 (Surah al-Baqarah : 3-5)

Sewaktu bergerak, menjalankan dan menyampaikan dakwah, tidaklah boleh mana-mana pendakwah mengambil ringan terhadap salah satu daripada tiga panduan tersebut. Sebenarnya tiadalah iman tanpa adanya amal dan pembentukan. Tiadanya masyarakat Islam tanpa individu dan keluarga Islam yang menjadi asas bagi menegakkan ummah Islam dan seterusnya pemerintahan Islam.

Andai kata berlaku kecuaian dalam menggunakan panduan tersebut atau terlalu ghairah untuk mencapai hasil tanpa menghiraukan panduan ini maka sebenarnya kita telah mempertarungkan tenaga tanpa perhitungan terperinci dan akhirnya akan membawa kepada kemusnahan.

Apabila bangunan yang ingin dibina itu besar maka tenaga dan waktu yang dicurahkan perlu banyak dan besar. Tiada bangunan yang lebih besar daripada bangunan Islam yang bersifat universal. Islam akan memimpin dunia dam membawa manusia kepada petunjuk Allah Subhanahuwataala.


[1] Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 13

[2] Qutb, Sayyid, Dirasat Islamiyah, h. 74

[3] Lihat Qardhawi, Yusuf, al-Karais al-‘Ammah Li al-Islam, h. 187-189

[4] Qutb, Muhammad, Syubhat Haula al-Islam, cetakan 5, (Maktabah Wahbiyah Bi ‘Abidin, tanpa tarikh), h. 52

[5] Hawwa, Sa’id, Fi Af’al al-Ta’lim, h. 28-29

[6] Lihat Hawwa, Sa’id, Fi Afaq al-Ta’lim, h. 48. Lihat juga Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 121-122

[7] Lihat Mahmud Muhammad al-Jauhari, dan Muhammad Abdul Halim Khayal, Al-Akhawat al-Muslimat wa Bina al-Usrah al-Quraniyah, cetakan 1, (Iskandariah, Dar al-Da’wah Li al-Tab’i wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1400H), h. 414

[8] Lihat Muslim, al-Jami’ al-Sahih, Jilid 4, J. 8, h. 52

[9] Lihat al-Qardhawi, Yusuf, Al-Khasais al-‘Ammah Li al-Islam, h. 187-189

 

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button