ASAS 4 : CARA-CARA MENYAMPAIKAN DAKWAH
Berbagai-bagai cara boleh digunakan oleh gerakan organisasi di dalam menyampaikan dakwah. Semuanya bertujuan untuk menyebarkan keyakinan, kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat, supaya jelas kepada mereka tentang ajaran Islam yang mereka anuti, sehingga mereka menerima dan mempertahankannya serta merasa perlu Islam dilaksanakan di dalam kehidupan. Serta, menentang terhadap orang yang menyelewengkan ajaran Islam dan mempertahankan orang yang berdakwah kepadanya.
Apabila suasana sebegini telah wujud maka adalah lebih mudah kepada para da’i untuk melaksanakan dakwah dan seterusnya dapat mewujudkan unit-unit organisasi di seluruh kawasan bagi memesatkan lagi kefahaman dan kesedaran Islam. Segala kesempatan yang ada yang amat berharga itu dipergunakan dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan setiap usaha akan beroleh kejayaan insya-Allah.
Cara-cara menyampaikan dakwah, antaranya, ialah:
1. Kontak Individu (Ittisal Fardi)
Apa yang dimaksudkan dengan kontak individu ialah setiap individu yang menganggotai Gerakan Organisasi Dakwah berusaha untuk menghubungi dan menarik orang baru yang ada hubungan dan pertalian dengan mereka ke dalam organisasi.
Segala bentuk hubungan yang wujud itu sama ada kaum kerabat, teman-teman sekerja, teman-teman yang sama tempat tinggal yang terdiri daripada berbagai status atau teman-teman yang mungkin selalu bertemu di perjalanan dapat dimanfaatkan oleh para da’i untuk menyampaikan (fikrah) kefahaman Islam dan berusaha untuk meyakinkan mereka.
Setelah ada hubungan dan kelihatan mereka dapat menerima fikrah dan jelas keinginannya, maka mereka dijemput bersama-sama untuk melibatkan diri ke dalam aktiviti organisasi. Oleh itu para da’i sendiri hendaklah di awal-awal lagi jelas tentang tasawwur Islami dan komited dengan ajaran Islam. Ini ialah kerana mereka adalah contoh bagi organisasi untuk mad’u (orang yang didakwahkan) menyertainya.[1]
Kontak individu ini adalah cara yang amat baik dan telah pernah menghasilkan natijah yang menggalakkan di dalam sirah perjalanan dan perkembangan dakwah Islamiah. Islamnya sahabat-sahabat besar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (al-Sabiqunal Awwalun) adalah melalui metod ini.
Islamnya Sayidina Abu Bakar al-Siddiq RA adalah melalui kontak individu yang dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Demikian juga Islamnya ‘Usman ibn ‘Affan, Zubair ibn ‘Awwam, ‘Abdul Rahman ibn ‘Auf, Sa’ad ibn Abi Waqqas, Talhah ibn ‘Ubaidullah RA dan yang lain adalah melalui komunikasi dakwah (kontak individu) yang dijalankan oleh Sayidina Abu Bakr di tahap dakwah secara rahsia (sir). Berhubung dengan method ini Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidakku berdakwah kepada seseorang individu untuk mengajak kepada Islam melainkan ia melambat-lambatkannya kerana rasa teragak-agak dan (ingin) memikirkannya terlebih dahulu kecuali Abu Bakr ibn Abi Qahafah, tanpa teragak-agak dan tanpa menangguhkannya.”[2]
Dalam situasi hari ini metod ini adalah amat berkesan dan merupakan sebaik-baik jalan di dalam rangka untuk mendapat anggota-anggota yang soleh yang boleh membantu dan memberi sumbangan di dalam gerakan dakwah. Tetapi sebelum dakwah disampaikan kepada mereka (para mad’u), para da’i hendaklah mengenali dan berkenalan (taaruf) dengan mereka terlebih dahulu bagi mengetahui latar belakang kehidupan, pemikiran,[3] kecenderungan dan lain-lain. Selepas mendapat informasi yang jelas barulah para da’i cuba menyampaikan fikrah Islamiyah dengan cara lembut, baik dan bersopan sama ada dengan lisan atau melalui risalah-risalah, buku-buku dan sebagainya. Para da’i merancang untuk bertemu lagi sebagai follow up, tanpa sebarang sifat angkuh atau memaksa, bahkan dengan cara bijaksana yang dapat meyakinkan mereka, seperti yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya dalam Surah al-Nahl, ayat 125:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ
Serulah kepada jalan Rabmu dengan cara bijaksana dan dengan nasihat yang baik, dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.
Firman Allah Subhanahuwata’ala lagi dalam Surah Ali Imran, ayat 159:
وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَ
Sekiranya kamu bersikap keras hati, nescaya mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.
Dakwah yang disampaikan dengan metod yang baik akan menyebabkan hati mudah terbuka. Hati terbuka bila diketuk dengan baik dan disentuh dengan suara kebenaran. Para da’i hanya menyampaikan[4], mengajak dan membimbing manusia agar kembali ke pangkuan Rab. Manakala yang memberi petunjuk ialah Allah Subhanahuwata’ala. Lihat bagaimana contoh generasi awal didikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bagaimana lembut dan hormatnya mereka ketika mengajak saudara dan sahabatnya kepada Islam. Ibu saudara sebelah ibu Saiyidina ‘Usman ibn ‘Affan, Sa’dai binti Kariz berkata kepada Saiyidina ‘Usman:
Wahai ‘Usman! Engkau mempunyai rupa paras yang cantik dan memiliki kefasihan lisan, itu Nabi yang bersama-samanya bukti kebenaran, ikutilah beliau.[5]
Al-Walid pernah berkata kepada Saiyidina Khalid ibn al-Walid di dalam suratnya:
Sesungguhnya saya berpendapat tidak ada sesuatu yang lebih aneh daripada keadaan engkau yang tidak memikirkan Islam, sedangkan engkau sanggup memikirkannya. Apakah patut Islam itu tidak diketahui oleh seseorang? Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bertanya kepadaku, di mana Khalid? Aku menjawab mudah-mudahan Allah akan mendatangkannya ke mari. Beliau Sallallahu’alaihiwasallam berkata: Tidak patut orang seperti Khalid tidak mengetahui Islam. Sekiranya ia berjuang bersama-sama kaum muslimin tentu aku akan dahulukan dia dari yang lain-lain. Hai saudaraku! Berusahalah bagi mendapatkan apa yang telah luput bagimu daripadanya, sesungguhnya kamu telah banyak kehilangan kesempatan yang baik.[6]
2. Memberi Pidato, Ceramah dan Kuliah-Kuliah Pelajaran
Dakwah disampaikan kepada umum dengan cara pidato, ceramah, seminar dan kuliah-kuliah pelajaran. Dipersembahkan pula dengan metod yang baik dan bersungguh-sungguh supaya ia benar-benar dapat menggerakkan mental, perasaan dan menyentuh pintu hati serta meresap ke dalam hati. Ini kerana hati adalah merupakan raja, apabila ia baik dan sihat maka baik dan sihatlah pula seluruh tenteranya (seluruh anggota tubuh badannya). Hati juga laksana sebuah bekas yang boleh diisi dan dipenuhi dangan kebenaran Islam.
‘Amir bin Qais pernah berkata:
“Ucapan, kiranya lahir daripada hati maka ia akan menusuk masuk ke dalam hati, andaikata ia hanya keluar daripada lidah maka ia tidak melebihi telinga.”
Sayidina Hasan RA pernah mendengar seorang berpidato dan memberi nasihat kepada orang ramai. Namun nasihat itu tidak masuk ke dalam hatinya. Lalu beliau berkata kepada orang itu: Apakah dalam hati kamu ada keburukan atau dalam hati saya?[7]
Pidato, ceramah, seminar dan kuliah ini pula hendaklah disampaikan dengan nada suara yang baik dan bahasa yang menarik, serta berwaspada dan meraikan kemampuan sasaran yang terdiri daripada pelbagai peringkat, seperti mana yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam supaya menyampaikan sesuatu mengikut kadar kemampuan akal manusia. Ini penting, lebih-lebih lagi para da’i menyeru dan mengajak mereka kepada matlamat yang sungguh mulia iaitu mardhatillah. Dan, beriman serta mendukung syakhsiah Islamiah, agar mampu merubah masyarakat yang sedang dilanda kerosakan dan seterusnya membangunkan kehidupan yang mulia dan baik.[8]
Sebaik-baiknya ceramah, kuliah dan pidato ini hendaklah ada follow-up-nya dalam bentuk bersiri dangan tajuk-tajuk yang dipelbagaikan merangkumi tauhid, fiqh, ‘ibadah, tafsir, hadith, sirah, mu’amalah dan lain-lain. Pendakwah tidaklah sahaja memperkatakan tentang hukum atau membangkitkan semangat semata-mata.
Untuk lihat lebih jelas lagi tentang kepelbagaian tajuk ini ialah dengan memperhatikan al-Quran yang mempelbagaikan tajuk. Namun, semuanya dihubungkan dengan satu sahaja, iaitu akidah dan Islam itu sendiri. Ini semua bertujuan supaya sasaran mendapat gambaran atau konsep yang jelas terhadap Islam, merasa mulia dengannya dan ingin untuk membangun dan menjulang kembali Din Allah. Justeru itu pidato, ceramah dan kuliah yang disampaikan hendaklah menimbulkan rasa cinta terhadap Islam. Ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada hati bahawa masa depan Islam tetap bersinar dan menjauhi sama sekali rasa putus asa.
Antara teknik yang baik yang sentiasa dapat meninggalkan kesan di hati ialah al-Iqnaq al-‘Aqidi, iaitu dimulakan dengan membuktikan wujudnya Allah Subhanahuwata’ala dan menerangkan hakikat message atau perutusan kita ke dunia ini[9] (Dari mana kita datang? Untuk apa kita didatangkan ke dunia ini dan ke manakah akhir kesudahannya pengembaraan hidup kita ini?).
Seterusnya membukti dan menerangkan bahawa Islam adalah sistem hidup bagi orang Islam dan berusaha untuk kembali kepada kehidupan secara Islam adalah wajib atas setiap muslim.
Oleh kerana itu dakwah yang disampaikan itu hendaklah diteliti dan diawasi supaya tidak tidak sahaja membekal dan memenuhkan mental dengan ilmu pengetahuan Islam bahkan hendaklah juga wujud ikatan antara ilmu dan amal supaya ilmu yang di perolehi dapat meninggalkan kesan dan seterusnya diamalkan atau dipraktikkan.
Di samping itu para pedakwah hendaklah memerhati orang yang berminat dan memberi perhatian yang lebih kepada apa yang disampaikan, kerana itu adalah sebagai tanda perhatian mereka kepada Islam. Orang ini dijemput atau diajak bersama-sama untuk ditingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan terhadap Islam dan dididik untuk bersama di dalam gerakan organisasi bagi melaksanakan dakwah. Kata al-Syahid Hasan al-Banna:
“Da’i berdakwah, di dalam masa yang sama memilih dan mendidik. Di waktu yang sama juga bekerja dan melaksanakannya. Tidak diragui lagi bahawa matlamat akhir atau natijah yang sempurna tidak mungkin lahir kecuali sesudah dakwah tersebar luas dan ramainya pembantu serta rapinya pembentukan.”[10]
3. Penerbitan dan Penyampaian Mansyurat
Penerbitan dan penyampaian mansyurat — artikel-artikel, nota-nota, keterangan-keterangan, majalah-majalah, akhbar-akhbar, buku-buku, bahan-bahan dalam media semasa (media elektronik/sosial) dan sebagainya — adalah di antara cara yang boleh digunakan oleh Gerakan Organisasi untuk menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat. Malah penggunaan media cetak, dalam hal ini, adalah antara metod yang penting dan ampuh. Kandungan mesej boleh dibaca dan dinikmati berulang kali dan dapat mempengaruhi sasaran. Jangkauan temboknya amat luas, menembusi pelusuk yang jauh dan menyeberangi lautan dan dapat dimanfaatkan oleh jutaan manusia.[11]
Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengikis kefahaman yang batil dalam pemikiran manusia dan menyemaikan pula kefahaman Islam. Lebih-lebih lagi untuk menyatupadukan masyarakat di atas fikrah Islam itu sendiri. Kerana itu pihak yang bertanggungjawab perlu mengetahui tujuan dan objektifnya setiap mansyurat yang dikeluarkan. Malah segala kalimah yang digunakan adalah untuk melahirkan kefahaman yang benar. Secara bijaksana dapat pula menolak kefahaman yang salah, yang dibawa oleh golongan atau organisasi yang berteraskan ideologi buatan manusia.
Bentuk dan kandungan mansyurat hendaklah benar-benar Islamik tanpa sebarang percampuran dengan perkara yang tidak syarak dan tanpa persemendaan dengan mana-mana ideologi ciptaan manusia, baik dari segi siasah, sosial dan sebagainya. Segala yang termuat tidak terputus dengan akidah Islam. Ianya sama sekali tidak sama dengan mansyurat yang dikeluarkan oleh badan atau organisasi yang menentang Islam.
Dakwah adalah tuntutan syarak. Oleh itu jalannya juga mesti syarak. Mansyurat adalah umpama fatwa. Kandungannya merupakan makanan kepada roh, bekalan kepada akal, menjuruskan hati kepada kebaikan, menjauhi segala kejahatan dan menyampaikan hidayah kepada jalan yang lurus[12] serta bertujuan untuk menyatupadukan manusia di atas kefahaman Islam yang didakwahkan.
Di tahap awal mansyurat menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenar kepada masyarakat dan mengajak mereka bekerjasama serta memberi sumbangan dan pengorbanan untuk Islam. Manakala di tahap Islam telah kuat mansyurat berfungsi untuk membimbing pemikiran masyarakat supaya merasa benci terhadap realiti yang berlawanan dengan Islam dan bersedia untuk menerima hukum-hukum Islam. Kebencian terhadap realiti yang tidak islamik dibina dan ditegaskan di atas asas semata-mata kerana ianya berlawanan dengan Islam dan bukan kerana sebab-sebab lain. Kalau kebencian dicetuskan di atas asas yang lain, maka ianya nanti akan mendatangkan keuntungan kepada pihak yang lain. Justeru itu matlamat dan kandungan mansyurat amatlah dijaga.
4. Memperlihatkan Syakhsiah Islamiah
Dakwah juga dapat disampaikan dengan memperlihatkan syakhsiah Islamiah[13] atau dengan memperlihatkan contoh ikutan yang baik yang dapat mempengaruhi dan menarik manusia terhadap apa yang didakwahkan. Contoh tauladan yang baik sebenarnya menjadi kitab terbuka yang dapat ditatapi dan dicontohi oleh sasaran dakwah itu sendiri.
Oleh itu pada da’i yang mendukung Gerakan Organisasi Dakwah, di dalam menjalankan usaha suci ini hendaklah merasa iltizam atau komited terhadap apa yang didakwahkan. Kehidupan mereka hendaklah benar-benar merupakan manifestasi atau tafsiran Islam yang didakwahkan, di dalam tutur kata, tindakan dan perilaku, di dalam kehidupan khas sebagai seorang individu di rumah, suami dan ayah, di dalam kehidupan am dalam masyarakat sebagai seorang buruh, pegawai[14] dan ketua pejabat, dan di dalam mana-mana profesion yang diceburi.
Da’i juga berusaha dari semasa ke semasa untuk menghilangkan sebarang kelemahan dan kekurangan sehingga yang tinggal ialah akhlak yang terpuji, hati yang bersih sentiasa patuh dan taat kepada perintah Allah ‘Azzawa Jalla, seperti wasiat Saidina Umar RA kepada tentera muslimin:
“Hendaklah kamu benar-benar menjaga daripada berlakunya perkara maksiat lebih daripada musuh kamu (menjaganya), kerana dosa perajurit lebih ditakuti daripada musuh. Kemenangan hanya sanya diberikan kepada kaum muslimin atas sebab maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka. Ketahuilah bahawasanya Allah mengawasi kamu di dalam perjalanan kamu. Jangan kamu melakukan perkara yang dimurkai Allah sedangkan kamu di dalam (jihad) sabilillah.”[15]
Tidak cukup buat para da’i sekadar memperkata dan menyampaikan bahawa Islam itu baik tetapi mereka sendiri tidak mempraktikkanya. Para da’i seperti itu disifatkan sebagai pemidato-pemidato (khutaba) sahaja, yang disebutkan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: pemidato-pemidato umatmu ialah orang yang menyuruh manusia dengan kebaikan dan melupakan diri mereka sendiri, sedangkan mereka membaca al-Kitab, tidakkah mereka berfikir.[16]
Allah Subhanahuwata’ala telah memberi amaran dan ingatan kepada para da’i supaya me-laksanakan Islam di dalam kehidupan mereka disamping menyampaikannya kepada orang lain:
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 44:
أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ
Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab, tidakkah kamu berfikir?
Firman Allah lagi dalam Surah al-Saff, ayat 2 & 3:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٣
Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu lakukan.
Praktik hidup para da’i terhadap apa yang didakwahkan adalah membuktikan kebenaran terhadap apa yang didakwahkan kerana mereka sendiri terlebih dahulu komited dengannya. Di segi yang lain dapat pula mempersaksikan betapa tingginya apa yang disarankan oleh Islam ke dalam jiwa manusia dan pandangan umum. Lebih-lebih lagi terbukti ianya dapat dijadikan contoh bandingan yang tinggi di dalam kehidupan manusia.[17]
Kalau sekadar untuk memperkatakan bahawa Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang baik, ciptaan Allah, sesuai untuk dilaksanakan di mana-mana tempat dan zaman, maka sudah beribu-ribu buku dan kitab, beribu-ribu khutbah diberikan di masjid-masjid dan di merata tempat, serta beribu-ribu filem untuk di‘ayah kepada Islam, namun masyarakat tidak tertarik dan sukar untuk menerimanya selagi mana tidak wujudnya individu-individu contoh. Kerana itu al-Syahid Sayyid Qutb pernah berkata:
“Bahawa sesungguhnya manusia pada kebiasaannya tidak akan tertarik dengan sesuatu sistem yang hanya dibaca dan diperdengarkan, tetapi akan tertarik dan dapat diterima terhadap sesuatu sistem yang benar-benar hidup bergerak dan berjasad, yang dimanifestasikan di dalam realiti hidup dalam wadah jama’ah (sekumpulan manusia) yang dapat dilihat dengan mata kepala dan diambil i’tibar dengan akal fikiran.”[18]
Kerana itu para da’i hendaklah menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat mulia dan berakhlak dengan akhlak mukmin. Berdakwah dan berbuat baik terhadap diri di samping mengajak orang lain. Panduannya – perbetullah dirimu dan ajaklah orang lain. Apalah gunanya para da’i bersusah payah berusaha untuk menyelamatkan orang lain, sedangkan dirinya sendiri yang rugi di hari Qiamat nanti.[19] Jadilah orang yang berusaha untuk mendapat keuntungan kepada dirinya sendiri, walaupun dunia dan seluruh manusia menerima kerugian.[20] Saiyidina ‘Ali pernah berpesan, katanya:
Siapa yang menjadi pemimpin (imam), hendaklah beliau mengajar dirinya terlebih dahulu, sebelum mengajar orang lain. Hendaklah mendidik dengan perilaku sebelum menddidik dengan tuturkata. Mengajar dan mendidik diri sendiri lebih berhak daripada mengajar dan mendidik manusia lain.”[21]
Malapetaka yang menimpa umat Islam di hari ini ialah kerana para da’i tidak memiliki sifat dan akhlah pendakwah, yang mana akibatnya bukan sahaja merosakkan mereka sendiri malah melambatkan perkembangan Islam di masa akan datang. Kerana itu para da’i yang tidak iltizam dengan sifat-sifat da’i bukanlah sebenarnya sebagai da’i. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menggambarkan bagaimana azabnya mereka di hari pembalasan nanti di dalam sabdanya yang bermaksud:
Didatangkan seorang lelaki (pendakwah) di hari Qiamat nanti, lalu dihumban ke neraka. Maka terburailah perutnya. Dia berpusing seperti mana berpusingnya keldai di tempat tambatannya. Lalu ahli-ahli neraka berhimpun kepadanya, mereka berkata: Wahai fulan! Kenapa engkau? Tidakkah dahulunya kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar? Dia menjawab: Aku menyuruh kepada perkara ma’ruf, tetapi aku tidak melakukannya. Aku mencegah daripada mungkar tetapi aku mendatanginya.[22]
Membina dan memperlihatkan syakhsiah Islamiyah adalah di antara perkara penting di dalam Gerakan Organisasi Dakwah kerana kerja-kerja membimbing dan memimpin ummah tidak mungkin terlaksana tanpa para da’i dan orang yang bekerja untuk Islam yang memiliki syakhsiah Islamiah yang disempurnakan dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi di saat-saat yang kritikal kini. Dalam hal ini Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Tariq al-Dakwah telah menjelaskan:
Sesungguhnya orang Islam ramai di segi kuantitinya, tetapi kita yakin bahawa jenis pendukung akidah yang memiliki syakhsiah mukminah-lah yang akan dapat mengubah realiti yang kotor dan seterusnya mampu pula untuk membangun suasana Islam yang baik.[23]
5. Melaksanakan Matlamat
Segala aktiviti yang dijalankan oleh Gerakan Organisasi Dakwah di dalam penyebaran dakwahnya adalah bertujuan untuk mencapai dan melaksanakan objektifnya iaitu untuk merealisasikan apa yang dituntut oleh Islam. Mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kejahilan, syirik, syak, kezaliman, hasad dan lain-lain adalah merupakan kegelapan yang menzalimi diri dan kehidupan) kepada cahaya (ilmu pengetahuan, tauhid, yakin, keadilan, kasih sayang, yang mana semuanya merupakan cahaya yang menyinari hati dan kehidupan).[24] Matlamat ini jelas. Cukuplah dengan meneliti sepotong ayat yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam Surah Ibrahim ayat 1:
الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ
Alif Lam Ra. Kitab yang kami turunkan kepadamu, supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan keizinan Rabb mereka, kepada jalan Rabb mereka yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”
Matlamat yang paling tinggi ialah untuk menjadikan manusia hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata dan mengembalikan perhambaan mereka hanya sanya kepada Allah[25], baik individu dan masyarakat supaya tunduk dan patuh kepada Allah serta mentauhidkan-Nya di dalam semua urusan hidup, mahupun di dalam aspek sembahan, kekuasaan dan perundangan hidup. Tunduk dan patuh memperhambakan diri kepada Allah sama ada di masjid ketika beribadah, di kompleks-kompleks perniagaan dan perdagangan semasa berjual beli, di bulan Ramadan ketika berpuasa, di luar Ramadan ketika bekerja, ketika berdoa dan semasa menjalankan pemerintahan dan lain-lain, tanpa sebarang pemisahan antara urusan agama dan negara. Menolak sama sekali sebarang bentuk sekularisme yang memisahkan antara kehidupan beragama dan bernegara dengan beranggapan bahawa apa yang untuk pemerintah adalah untuk pemerintah dan apa yang untuk Allah adalah untuk Allah, agama untuk Allah dan negara untuk semua[26]. Akhirnya Islam tinggal sebagai keyakinan di hati, terpenjara di rumah-rumah ibadat, masjid dan surau-surau, di majlis-majlis agama dan di pejabat-pejabat kadi.
Seterusnya Gerakan Organisasi Dakwah bermatlamat untuk merubah sistem hidup jahiliah (yang tidak Islamik) kepada sistem hidup Islam. Di atas keruntuhan sistem hidup jahiliah ini ditegakkan pula masyarakat dan pemerintahan Islam yang melaksanakan hukum-hukum al-Quran yang jauh sama sekali daripada sebarang sifat untuk menumpang atau menempelkan Islam kepada sistem-sistem lain. Atau, mengambil Islam sekadar untuk menyelesaikan permasalahan semasa (problem semasa) yang dihadapi oleh masyarakat yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah[27].
Hakikatnya Islam sebagai ad-Din ciptaan Allah yang Maha Esa tidak boleh dipisah-pisahkan antara satu sama lain atau diambil sebahagian dan ditinggal sebahagian yang lain. Islam mestilah didaulatkan dalam negara dan pemerintahan.
Termasuk di bawah matlamat menjadikan manusia hamba kepada Allah (تعبيد الناس لله) juga ialah kerja-kerja dan usaha-usaha untuk membimbing individu dan masyarakat, menyelamatkan mereka daripada kemungkaran dan kesesatan, kerana ia juga adalah tuntutan Islam. Sepertimana kata Dr. Yusuf al-Qardhawi:
Allah merahmati Rab’a bin ‘Amir al-‘Arabiy al- Muslim yang sedar tentang matlamat ini, yang telah menerangkan apa yang ada di hatinya di hadapan Rustam, pemimpin Parsi dengan gambaran yang cukup baik dan jelas ketika ditanya oleh Rustam: Siapakah kamu? Lalu beliau menjawab dengan katanya: Kami satu kaum telah diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan siapa yang disukai-Nya daripada beribadat memperhambakan diri kepada manusia kepada beribadat memperhambakan diri kepada Allah, daripada kesempitan hidup di dunia kepada kedamaiannya (kekuasaannya), daripada kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam.”[28]
Ringkasnya matlamat Gerakan Organisasi Dakwah adalah seluas Islam itu sendiri. Oleh kerana pelaksanaan hukum-hukum Islam tidak mungkin sempurna tanpa pemerintah Islam maka prioritinya adalah dijuruskan ke arah mewujudkan pemerintahan Islam yang dikendalikan oleh orang Mukmin, yang hidup dan matinya dengan Islam dan kerana Islam.
Oleh kerana kerja-kerja ini adalah kerja-kerja yang besar dan berat, maka ia memerlukan sifat kesungguhan dan tenaga yang banyak. Dalam suasana kekuatan dan kemampuan terbatas, maka segala tenaga dan kemampuan yang ada hendaklah ditumpukan kepada perkara yang lebih penting dan utama untuk mencapai objektifnya. Justeru itu penyampaian dan pembentukan kesedaran Islam (تكوين وعي الإسلام) dan membentuk individu-individu contoh adalah penting di samping berusaha menyampaikan fikrah Islam, melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan menghapuskan kemungkaran.
Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman
[1] Yakan, Fathi, Kaifa Nad’u Ila al-Islam, h. 31-32
[2] Ibnu Hisyam, Abi Muhammad Abdul Malik, Sirah al-Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, Juzu’ 1, (Dar al-Fikri, 1356H), h. 268
[3] Yakan, Fathi, Kaifa Nad’u Ila al-Islam, h. 21-22
[4] Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 99 yang bermaksud: “Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan…”
[5] Al-Marhab al-Tabari, Abi Ja’afar Ahmad, al-Riyad, al-Nadrah fi Manaqib al-‘Asyrah, juzu’ 3, (Syarikah al-Tiba’ah al-Fanniyah al-Muttahidah, 1390H), h. 9-10
[6] Abbas Mahmud al-Akkad, Kepahlawanan Khalid bin al-Walid, (terjemahan), (Jakarta, Penerbitan Bulan Bintang, 1396H), h. 63
[7] Ali Rifa’i Muhammad, Miratu al-Mursyidin, cetakan 1, (tanpa tempat percetakan, 1387H), h. 17
[8] Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 102
[9] Ibid., h. 120
[10] Hasan al-Banna, Majmu’ah Rasail al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna (Beirut, Dar al-Andalus, 1384H), h. 254
[11] Ali Rifa’i Muhammad, Miratu, al-Mursyidin, h. 13
[12] Ibid, h. 13
[13] Syakhsiah ini merangkumi dua aspek iaitu akliah dan nafsiah (jiwa):
- Segala pandangan dan buah fikiran yang lahir di dalam menghurai, menyelesaikan dan menghukum setiap peristiwa adalah serasi dengan Islam, baik di segi akidah, perundangan dan akhlak sama ada di dalam urusan khas atau umumnya yang dicetuskan oleh iman.
- Jiwa yang tegak melaksanakan naluri dan kehendak hati sejajar dengan syarak jauh dari hawa nafsu. (Lihat Fathi Yakan, Musykilati al-Da’wah wa al-Da’iyah, h. 159-160
[14] Yakan, Fathi, Musykilati al-Da’wah wa al-Da’iyah, cetakan ke-3, (Beirut, Lubnan, Muassasah al-Risalah, 1394H), h. 69
[15] Ibid, h. 106
[16] Al-Munziri, Zakiuddin Abdul Azim bin Abdul Qawi, Al-Targhib wa al-Tarhib min al-Hadith al-Syarif, juzu’ 4, (Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladahu, Bi Misr, 1352H), h. 13-14
[17] Barakat, Muhammad Taufiq, Sayyid Qutb, Khulasatu Hayatihi, Minhajihi, Fi al-Harakah, al-Naqdu al-Muwajjah Ilaihi, h. 125
[18] Ibid., h. 78
[19] Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang yang merugikan dirinya dan ahlinya di Hari Kiamat.” Surah al-Zumar : 15
[20] Firman Allah Subhanahuwata’ala: “Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah dirimu, tidakkah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepada kamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk.” Surah al-Maidah : 105
[21] Yakan, Fathi, Qawaribu al-Najah li Hayati al-Duati, (Beirut, Muassasah al-Risalah, 1397H), h. 62
[22] Al-Munziri, al-Tarhib wa al-Targhib Min al-Hadith al-Syarif, juzu’ 4, h. 12
[23] Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 102
[24] Al-Qaradawi, Yusuf, al-Khasaisu al-‘Ammah Li al-Islam, cetakan 1, (Qahirah, Dar Gharib Li al-Tab’ah, 1397H), h. 186-187
[25] Firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk memperhambakan diri kepada-Ku.” Surah al-Zariyat : 56
[26] Yakan, Fathi, Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, h. 148
[27] Ibid., h. 153
[28] Al-Duktur Yusuf al-Qardhawi, al-Khasaisu al-Ammah lil Islam, h. 187